Seorang pembaca menghantar e-mel menyatakan bahawa Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) hanya sekadar retorik politik, himpunan soundbites dan pelan yang nampak bagus di atas kertas semata-mata. Dalam e-mel itu disebut bahawa kenyataan ini dibuat berdasarkan pemerhatian beliau terhadap keadaan dan kekurangan di sekolah-sekolah tertentu.
Sukar untuk membahaskan kenyataan beliau jika hanya bersandarkan kepada kenyataan-kenyataan yang umum dan tidak spesifik, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira faktor jumlah sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang banyak, iaitu hampir 10,000 buah, jumlah pegawai sekitar 450,000 orang, jumlah pelajar sekitar 5 juta orang dan sumber kewangan yang terbatas.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ada menyebut bahawa di peringkat awal jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang dipohon oleh setiap peringkat di dalam KPM adalah sekitar RM 80 bilion. Bagaimanapun selepas diteliti dan disusun berdasarkan keutamaan jumlah peruntukan yang dipohon daripada kerajaan adalah sekitar RM 25 bilion. Daripada jumlah ini, jumlah yang diluluskan oleh kerajaan adalah sebanyak RM 23.1 bilion dan berdasarkan jumlah inilah PIPP dirangka dan ditulis.
Tentunya usaha mengurangkan jumlah permohonan daripada RM 80 bilion yang dianggap tidak praktikal kepada suatu jumlah yang munasabah, iaitu sebanyak RM 25 bilion menyebabkan banyak keperluan dan kehendak banyak pihak yang tidak dapat dipenuhi. Antaranya mungkin melibatkan sekolah-sekolah yang disebut oleh penulis e-mel tadi.
Sebenarnya bukan mudah untuk mengurangkan jumlah permohonan dari RM 80 bilion ke RM 25 bilion. Ia tidak semudah memotong dan mengurangkan perbelanjaan kita setiap bulan. Pegawai KPM perlu menentukan keutamaan bukan puluhan, tetapi ribuan projek dan program pendidikan. Program ini pula bukan hanya program di peringkat pusat, tetapi juga yang melibatkan sekolah yang berada jauh di pedalaman. Setiap satunya saling berkait dan jika tidak diteliti dengan baik, pengeluaran projek atau program tertentu daripada senarai permintaan yang panjang ini boleh menyebabkan matlamat keseluruhan pendidikan terjejas.
Sebelum bertindak mengeluarkan sebarang permohonan dari senarai asal, pegawai-pegawai KPM perlu memahami sekurang-kurangnya secara umum hala tuju sistem pendidikan negara dan matlamat pendidikan yang ingin dicapai. Inilah yang dimaksudkan oleh Menteri Pelajaran bila beliau menyatakan bahawa PIPP telah mula dirangka dan direncana sejak pertengahan tahun 2004 lagi.
Sememangnya PIPP adalah sebuah pelan perancangan, tetapi ia bukan sekadar pelan untuk membelanjakan peruntukan kerajaan. Sebaliknya PIPP dirangka lengkap dengan hasrat, sasaran dan matlamat yang ingin dicapai dalam masa lima tahun. PIPP juga merupakan usaha untuk menyediakan landasan yang baik untuk reformasi pendidikan dilaksanakan menjelang tahun 2020. Disebabkan itu di dalam PIPP terdapat ruang untuk merintis sejumlah perubahan dan pembaharuan.
Tidak betul jika PIPP dilabelkan sebagai retorik politik kerana ia bermula dengan permintaan daripada pihak berkepentingan di setiap peringkat dalam KPM dan juga di luar KPM. Bagaimanapun ia bukan satu pelan rojak bagi memenuhi semua permintaan ataupun yang terlalu ideal dan tidak bersandarkan kenyataan. Biarpun dirangka sejak pertengahan tahun 2004, namun menurut Menteri Pelajaran, PIPP merupakan sebuah pelan yang realistik kerana ia ditulis dan dirangka berdasarkan jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan dalam RMKe-9.
Menurut beliau pelan ini bukan sesuatu yang sepenuhnya baru dan tidak diwujudkan dari sesuatu yang tiada, tetapi dirangka berdasarkan realiti masa kini dan pencapaian sedia ada KPM dan sistem pendidikan negara yang lalu. Dalam proses penghasilannya pula, KPM telah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dari kalangan pemikir, ahli akademik, guru, ibu bapa, pelajar, ahli politik, badan korporat sehinggalah rakyat biasa.
Menurut beliau lagi, pembentangan pelan induk ini secara telus dan terbuka penting kerana KPM merupakan sebuah kementerian yang besar dan menerima peruntukan pembangunan dan belanja mengurus yang paling tinggi berbanding kementerian-kementerian lain.
Dengan peruntukan pembangunan RMKe-9 sebanyak RM 23.1 bilion dan peruntukan belanja mengurus sebanyak RM19.139 bilion bagi tahun 2007, PIPP penting bagi membolehkan pegawai-pegawai di KPM mengetahui dengan jelas dari mana perlu bermula, sasaran yang hendak dicapai dan peranan yang perlu dimainkan agar setiap program dan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cepat, cekap, berhemah, berhikmah, telus dan penuh integriti.
Tentulah ada sedikit sebanyak kelemahan di dalam melaksanakan PIPP. Bagaimanapun tidaklah begitu adil untuk menyifatkan PIPP sebagai suatu pelan yang nampak cantik di atas kertas semata-mata hanya disebabkan terdapat sedikit sebanyak kelemahan di dalam pelaksanaannya.
Mungkin perlu dijelaskan kepada penulis e-mel ini, PIPP dibentangkan secara telus, iaitu dengan menyatakan bagaimana setiap peruntukan diagihkan, Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang perlu dicapai, modul penyampaiannya dan juga Kad Laporan pelaksanaannya setiap enam bulan adalah bagi membolehkan orang awam menilai dan memantau pelaksanaannya seterusnya melaporkan kepada KPM akan segala kelemahan pelaksanaannya di semua peringkat.
Bagi beliau, pelan ini adalah sesuatu yang berterusan dan setiap pihak dijemput dan dialu-alukan untuk mengemukakan pandangan. Berdasarkan pandangan-pandangan ini, KPM akan melaksanakan pengubahsuaian, penambah baikkan dan penyelarasan mungkin di dalam Kajian Separuh Penggal atau untuk rancangan lima tahun yang berikutnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
Forum Air Selangor - 14 Fakta DS Ir Mohd Zin Yang Mesti MB Selangor Jawab! 1. Kerajaan Pakatan Selangor mengadakan Forum Air Selango...
-
Polis Bukit Kepong wira sebenar Oleh Shamsul Kamal Amarudin http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PolisBukitKepongwirasebenar/Article 2...
-
Tahniah mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Terima kasih atas jemputan. Terima kasih juga kepada blogger bebas dan TV Selan...
-
Tiga soalan - keadilan media, pembunuhan altatunya, debat PM - Anwar. Terima kasih kepada Fotoblogger Ammray Lensa Assault kerana b...
-
Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbaga...
-
KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA Dan PERSATUAN KELUARGA JAMALULLAIL PERAK Mewakili Waris dan Kerabat D...
-
Nama je parti Keadilan, tetapi TIDAK ADIL - itu yang diperkatakan oleh ahli dan penyokong PKR apabila mempersoalakan keadilan berpilih ...
-
Saya dok perhati saja video wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid ni. Pada saya dia ni terlalu obsessed dengan data, sampai cara dia mentaf...
-
KETUA PENCEROBOH TERBUNUH, 20 MAYAT PENGGANAS DITEMUI http://keris7lok.blogspot.com/2013/03/ktua-penceroboh-terbunuh-20-penggana...
-
13 JAWAPAN Najib Razak Isnin, 18 Mei 2015 Saya telah mengambil sedikit masa untuk melihat pelbagai soalan dan isu-isu yang tela...
No comments:
Post a Comment