Friday, March 27, 2026

KRISIS HARGA MINYAK: AKMAL, PEMUDA UMNO TIDAK BOLEH DIHARAP

 


1. Hujah Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkenaan krisis peningkatan harga minyak di Malaysia amat menyedihkan dan menggambarkan betapa Pemuda UMNO hari ini lemah serta sekadar menjadi pembodek kepada kerajaan, bukan suara sebenar rakyat.

Mengaitkan kenaikan harga minyak semata-mata dengan faktor global adalah hujah mudah, tetapi tidak jujur kepada realiti yang sedang dihadapi rakyat. 

2. Sepatutnya suara pemuda lebih kritis terhadap dasar-dasar PM10 dan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Pemuda Umno dan Umno adalah sebahagian daripada kerajaan campuran Pakatan Harapan - Barisan Nasional yang memutuskan dan melaksanakan dasar dan pendekatan yang tidak menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

FAKTA: HARGA BAHAN BAKAR GLOBAL 2022 HINGGA AWAL 2026 TURUN, TETAPI RAKYAT DIPAKSA BAYAR LEBIH

3. Pertamanya, Akmal perlu faham bahawa sejak tahun 2022 sehingga Februari 2026, harga minyak mentah, gas asli dan arang batu global menurun. Data Trading Economics jelas menunjukkan bahawa sejak Jun 2022 sehingga Disember 2025 harga minyak mentah turun 30% – 40%, gas asli turun >50% dan arang batu turun >60%.

4. Bagaimanapun sejak mula memerintah pada November 2022, kerajaan PH-BN tidak mengumumkan penurunan harga petrol, diesel dan tarif elektrik, sebaliknya bertindak menaikkan:

• harga diesel bermula dengan RM1.20 seliter

• harga petrol dinaikkan bermula dengan 55 sen seliter

• kadar ICPT dan tarif elektrik

5. Berbeza dengan harga pada Jun 2022, iaitu ketika harga minyak mentah Brent adalah pada paras AS$ 118 setong dan tukaran matawang adalah AS1 bersamaan RM4.24, kerajaan ketika itu masih boleh mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 seliter dan Diesel pada RM2.15 seliter.

6. Sedangkan pada 24 Mac 2026, harga minyak mentah Brent adalah pada AS$104 dan kadar tukaran matawang adalah AS$1 bersamaan RM3.96, harga RON95 dan Diesel melonjak begitu tinggi.

• RON95: RM2.05 → RM3.87 (+89%)

• Diesel: RM2.15 → RM5.52 (+156%)

Jika dibuat perbandingan yang lebih jelas penurunan harga minyak mentah Brent sejak Jun 2022 adalah seperti berikut:- 

• Jun 2022: harga minyak mentah Brent ~ USD118

• Dis 2025: ~ USD60 (penurunan hampir 50% dari Jun 2022)

• Mac 2026: ~USD103 (penurunan sekitar18% daripada Jun 2022)

Namun dalam tempoh sama harga tidak diturunkan malah dinaikkan. Ini bukan kesan pasaran global. Ini adalah keputusan dasar kerajaan campuran PH-BN. Rakyat Malaysia telah dipaksa membayar harga yang lebih mahal untuk RON95, Diesel dan tarif elektrik walaupun kos bahan bakar global telah menurun. 

7. Sepatutnya Akmal dan Pemuda Umno lebih kritis terhadap pendekatan PM10 dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Madani PH-BN. Misalnya, pengumuman kerajaan menghadkan subsidi RON95 kepada 200 liter sebulan. Kerajaan sendiri mengakui hampir 90% rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan. Jadi, apa sebenarnya tujuan had ini?

8. Jika majoriti tidak terjejas, maka pendekatan yang diambil adalah tidak menyeluruh, tidak menyelesaikan masalah, tidak adil dan sudah pasti tidak berkesan. Lebih teruk lagi, langkah ini boleh dilihat sebagai langkah punitif bagi menghukum rakyat yang terpaksa menggunakan lebih daripada 200 liter dengan memaksa mereka membeli pada harga pasaran yang melambung tinggi. Ini bukan solusi, sebaliknya adalah beban tambahan kepada rakyat. Ini juga tiada kaitan dengan soal global, tetapi kepandiran kerajaan berfikir dan mengemukan penyelesaian.

9. Sepatutnya Akmal dan Pemuda Umno mempersoalkan jika had penggunaan petrol individu boleh diturunkan dan subsidi bersasar boleh dilaksanakan di Semenanjung untuk RON95, kenapa kerajaan tidak mengumumkan langkah yang hampir sama untuk pengguna diesel oleh golongan T20 dan perniagaan di Sabah dan Sarawak? Jika benar tujuannya adalah untuk mengawal subsidi dan penggunaan minyak, maka tidakkah wajar kerajaan:-

• menghadkan penggunaan bahan api golongan T20 di Sabah dan Sarawak?

• melaksanakan subsidi diesel bersasar kepada towkey balak dan perniagaan besar?

10. Tidakkah Akmal dan Pemuda Umno sedar bahawa rakyat Semenanjung, baik individu termasuk B40 dan perniagaan membayar sehingga 157% lebih mahal diesel berbanding golongan T20, towkey balak dan perniagaan besar di Sabah & Sarawak? Kenapa Akmal dan Pemuda Umno tidak mempersoalkan polisi kerajaan untuk menghadkan penggunaan RON95 rakyat biasa, tetapi langsung tiada langkah untuk menghadkan penggunaan diesel oleh golongan berkemampuan, towkey balak dan perniagaan di Sabah dan Sarawak? Ini juga bukan soal global, tetapi persoalan dasar kerajaan yang tidak konsisten, diskriminatif, songsang dan tidak adil?

11. Pada waktu yang sama kenapa Akmal dan Pemuda Umno tidak mempersoalkan perbandingan harga RON95 dan Diesel di Malaysia yang merupakan 'net exporter' berbanding negara 'net importer' seperti Indonesia dan Thailand? Pada 26 Mac 2026 harga RON95 dan Diesel Euro 5 dan produk setaranya di Indonesia dan Thailand adalah seperti berikut:- 

I. RON95 Malaysia

• Setara dengan Pertamax Green 95 Indonesia (~RM3.10) dan Gasohol 95 Thailand (~RM4.93)

• Malaysia masih lebih mahal berbanding Indonesia (- 20%), lebih murah berbanding Thailand (+27%)

II. Diesel Euro 5 Malaysia

• Setara dengan Diesel B7 Thailand (~RM3.59) dan Pertamina Dex Indonesia (~RM3.48)

• Diesel Malaysia jauh lebih mahal: 

• +35% berbanding Thailand

• +37% berbanding Indonesia

III. Premium / High Octane

• RON97 Malaysia ≈ Pertamax Turbo (RON98) Indonesia (harga ~RM3.14, lebih murah berbanding RON97 Malaysia RM5.15)

Hakikatnya, petrol RON95 Malaysia lebih mahal berbanding Indonesia (~20% lebih tinggi) dan Diesel Malaysia jauh lebih mahal dari Thailand dan Indonesia, +35% berbanding Thailand, +37% berbanding Indonesia. Jika ketiga-tiga negara terkesan dengan peningkatan harga global, kenapa harga di Malaysia sebagai negara pengeksport minyak lebih mahal berbanding negara pengimport minyak seperti Indonesia dan Thailand? Sekali lagi, ia adalah soal polisi.

12. Akmal dan Pemuda Umno sepatutnya lebih kritis untuk mempersoalkan PM10 dan kerajaan mengenai ke mana perginya berbilion ringgit hasil penjimatan dan pendapatan kerajaan sejak tahun 2023. Sepanjang tahun 2023 hingga 2025, kerajaan telah:- 

• menarik subsidi berbilion ringgit

• menambah dan menaikkan cukai

• memansuhkan tol percuma hari perayaan

• menaikkan ICPT dan tarif elektrik

• menambah hutang negara hampir RM250 bilion

Namun sehingga hari ini tiada penjelasan telus ke mana perginya semua penjimatan, pendapatan dan hutang yang dibuat ini. Subsidi rakyat ditarik, cukai meningkat, hutang negara bertambah, tetapi berbanding zaman Pandemik Covid19, rakyat tidak benar-benar merasai manfaatnya. Ini juga bukan soal global tapi soal polisi.

13. Akmal dan Pemuda Umno juga boleh mempersoalkan keutamaan PM10 apabila mahu ke Indonesia membincangkan soal geopolitik. Apa gunanya lawatan ke luar negara membincangkan geopolitik Asia Barat sedangkan Malaysia tidak mampu menyelesaikan konflik global. Yang lebih utama adalah untuk Malaysia pergi ke negara sumber dan berunding untuk memastikan bekalan dan kestabilan harga minyak yang diimport oleh Malaysia. Ini sudah menjadi kes, sakit lain tetapi beri ubat yang lain.

AKMAL SILAP: INI BUKAN SEMATA-MATA ISU GLOBAL

14. Hujah bahawa ini isu global tidak boleh diterima bulat-bulat kerana realitinya, semasa harga bahan api global turun sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, tetapi harga minyak dan ICPT/tarif elektrik domestik tetap naik dan rakyat menanggung beban. Apa yang berlaku hari ini adalah kegagalan dasar kerajaan, bukan semata-mata tekanan global. Sebagai pemimpin muda, Akmal dan Pemuda Umno sepatutnya mempersoalkan dasar kerajaan dan keutamaan PM10, serta membela rakyat, bukan bersekongkol mempertahankan naratif dan alasan-alasan kerajaan.


PERBANDINGAN HARGA MINYAK (26 MAC 2026) – MALAYSIA vs THAILAND vs INDONESIA


 

🌏 PERBANDINGAN HARGA MINYAK (26 MAC 2026) – MALAYSIA vs THAILAND vs INDONESIA 

1. Nilai tukaran semasa:

• THB 1 = RM0.12

• Rp 1,000 = RM0.24


2. Sumber Info:-

📌 Data berdasarkan:

Thailand - Bangchak / Thairath (26 Mac 2026)

Indonesia - Indonesia – Pertamina (26 Mac 2026)

3. Negara/Jenis MinyakOktana / Standard/Harga Lokal/Harga RM/L_Setara Malaysia% /Beza vs Malaysia


🇲🇾 Malaysia

RON95, harga = RM3.87✅ Diesel Euro 5, harga = RM5.52✅ 

🇹🇭 Thailand

Gasohol 95 (E10) = RON95, harga = 41.05 THB (~RM4.93)✅ Perbezaan harga dengan RON95 = lebih mahal +27%

🇹🇭 Thailand

Diesel B7 = Euro 5, harga = 38.94 THB (~RM4.67)✅ 

Perbezaan harga dengan Diesel Euro 5 = lebih murah -15%

🇹🇭 Thailand

Diesel S = Euro 5, Premium, harga 38.94 THB (~RM4.67)

Perbezaan harga dengan harga Euro 5 Premium Malaysia = lebih murah -15%

🇮🇩 Indonesia

Pertamax Green 95

= RON95, harga Rp12,900 (~RM3.10) ✅ 

Perbezaan harga dengan RON95 = lebih murah -20%

🇮🇩 Indonesia

Pertamax Turbo = RON98, harga Rp13,100 (~RM3.14), 

Perbezaan harga: jenis hampir sama dengan ≈ RON97, tetapi lebih murah -19%

🇮🇩 Indonesia

Pertamina DexCN53 = Euro 5, harga Rp14,500 (~RM3.48)✅ 

Perbezaan harga dengan Diesel Euro 5 Malaysia = lebih murah -37%

🇮🇩 Indonesia

DexliteCN51, harga Rp14,200 (~RM3.41), hampir sama dengan Euro 5, perbezaan harga, lebih murah -38%

🇮🇩 Indonesia

Biosolar (subsidi), High sulfur, harga Rp6,800 (~RM1.63)❌ Tidak sama dengan Euro 5 Malaysia, perbezaan harga: lebih murah -70%

🇮🇩 Indonesia

Pertalite RON90, harga Rp10,000~RM2.40❌ 

Tidak sama dengan RON95, perbezaan harga: lebih murah -38% 

✅️ SETARA RON95, DIESEL EURO 5 MALAYSIA

❌️TIDAK SETARA RON95, DIESEL EURO 5 MALAYSIA

[*jenis minyak berdasarkan infomasi dalam talian dan ChatGPT)


4. 🔍 Analisis Ringkas (dengan tukaran terkini)

I. RON95 Malaysia

• Setara dengan Pertamax Green 95 Indonesia (~RM3.10) dan Gasohol 95 Thailand (~RM4.93)

• Malaysia masih lebih mahal berbanding Indonesia (- 20%), lebih murah berbanding Thailand (+27%)

II. Diesel Euro 5 Malaysia

• Setara dengan Diesel B7 Thailand (~RM3.59) dan Pertamina Dex Indonesia (~RM3.48)

• Diesel Malaysia jauh lebih mahal: 

• +35% berbanding Thailand

• +37% berbanding Indonesia

III. Premium / High Octane

• RON97 Malaysia ≈ Pertamax Turbo (RON98) Indonesia (harga ~RM3.14, lebih murah berbanding RON97 Malaysia RM5.15)

IV. Subsidi & Diesel Murah

• Biosolar & Pertalite bukan setara standard Malaysia, hanya untuk subsidi

5. ⚖️ Kesimpulan

• Diesel Malaysia (RM5.52) adalah paling mahal berbanding negara jiran untuk standard Euro 5

• Petrol RON95 Malaysia lebih mahal berbanding Indonesia (~20% lebih tinggi), lebih murah dari Thailand (~27%)

• Ini menunjukkan rakyat Malaysia masih menanggung kos bahan api lebih tinggi walaupun standard sama atau lebih rendah di negara jiran

MOVE ON SAJALAH, LUPAKAN PN

1. Gerakan SD atau Reset atau penyokong Hamzah dikaitkan dengan kerakusan untuk berkuasa dan kerakusan untuk menjadi Presiden, pelanggaran perlembagaan dan disiplin parti, pengkhianatan terhadap 


amanah, penipuan, keingkaran, ketidak taatan dan pemberontakan terhadap imam, rundingan haram dan tanpa izin, kerjasama tanpa izin dengan pihak luar dan musuh, pelanggaran keputusan-keputusan parti/jemaah, pelanggaran baiah dan sumpah atas nama Allah.

2. Dilaporkan ada surat aduan kepada Lembaga Disiplin mengenai WAF yang dikaitkan dengan penggunaan SD palsu.

3. Semua ini adalah mudarat besar, bukan mudarat kecil. Tak mungkin segala perbuatan ini patuh syariah pun. Halal atau haramkah untuk disokong? Tepuk dada, rujuklah syariat.

4. Tindakan Geng SD dan penyokong Hamzah berpunca daripada kerakusan mereka yang dikaitkan dengan Zahid dan Umno. Jika mereka tidak terlalu naif, rakuskan kuasa dan termakan janji Zahid dan Umno melalui rundingan haram tanpa mandat parti dan jika mereka tidak mendapat sokongan daripada Umno, sudah tentu mereka tidak akan melanggar perlembagaan, melanggar disiplin dan menentang keputusan-keputusan parti. Jika mereka tidak melakukan semua perkara ini, sudah pasti BERSATU tidak perlu memecat dan mengambil tindakan disiplin ke atas mereka. 


5. Alhamdulillah, isu dalaman BERSATU telah diselesaikan dan parti sedang menyusun semula kepimpinan di peringkat Bahagian, Negeri dan Pusat bagi membina semula kekuatan. Yang kekal dalam BERSATU hari ini adalah mereka yang teguh berprinsip, berintegriti, berpegang kepada perlembagaan dan disiplin parti, yang tidak mudah dibeli dan yang tidak melompat parti kerana janji jawatan dan peruntukan. Mereka kekal setia bersama parti dan kepimpinan sedia ada, dan tidak mungkin menyokong Hamzah walaupun dijanjikan habuan wang, habuan dan jawatan. 

6. Hari ini WAF, Hamzah Zainudin dan pengikut Hamzah bukan lagi Ahli BERSATU. Sepatutnya WAF memohon masuk Umno dan minta bertanding mewakili Umno di Machang.

7. Bagi membuktikan keikhlasan Zahid dan Umno pula, apa kata Zahid dan Umno menerima Hamzah dan kesemua penyokongnya yang telah dipecat dan digantung oleh BERSATU dan memastikan mereka kekal secara automatik sebagai calon bagi kerusi Parlimen dan DUN yang disandang mereka dalam PRU16 dan PRN akan datang? Selain mengekalkan Hamzah sebagai calon Parlimen Larut, Zahid juga boleh menamakan Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Umno menjadi kerajaan. 

8. Cuma nampaknya Hamzah dan penyokongnya sudah sedar yang mereka tiada tempat dalam Umno, melainkan sebagai ahli biasa. Tanpa jawatan di dalam BERSATU, di mata Umno, mereka ini tidak lagi signifikan, tidak lagi dipandang dan tidak lagi bernilai di mata Umno.

Friday, December 14, 2018

HALA TUJU PARTI DAN SEMUA SALAH PRESIDEN

1. 36 Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti - apa yang baru? Tiada yang baru. Beberapa bulan lepas pelbagai khabar angin bertiup menamakan Hishammuddin Hussein dan Hamzah Zainuddin sebagai broker yang mengaturkan urusan ini. Maklumat ini diperolehi dari dalam kalangan pihak yang dijemput untuk menghadiri perjumpaan tertutup yang mana telefon bimbit masing-masing perlu ditinggalkan di luar ruang perbincangan.

2. Walaupun mandat diberikan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO  kepada Presiden  Zahid Hamidi untuk berunding dengan parti politik lain, namun beberapa orang pemimpin telah mengambil jalan belakang untuk berunding dengan Mahathir Mohamad. Tindakan melanggar disiplin ini jelas memberikan Mahathir kelebihan dalam rundingan dan memberi gambaran UMNO sedang berpecah.

3. Walaupun Hishammuddin menafikan kedalangannya, namun Khairy Jamaluddin (KJ ) telah membayangkan berulang kali dalam tweetnya bahawa ada bangsawan yang menjadi dalang di belakang gerakan ini, termasuk terbaru bahawa Ketua Pemuda UMNO yang mencadangkan Presiden berehat, adalah boneka bangsawan. Adakah bangsawan lain selain Najib Razak dan Hishammuddin?

4. Maka alasan-alasan dicipta untuk memberi justifikasi kepada rundingan pintu belakang atau kedai dalam kedai ini. Salah satunya adalah mengenai hala tuju parti. Antara pemimpin yang menyebut tentang hala tuju parti ini adalah KJ dan Hishammuddin, kedua-duanya tidak hadir retreat MKT dan Ketua-ketua Bahagian YANG MEMBINCANGKAN HALA TUJU PARTI dan tidak menghadiri Himpunan Bantah ICERD 812 yang menunjukkan mereka tidak bersama dalam melaksanakan hala tuju parti.

5. Ketua-ketua UMNO Bahagian Sabah dan Ahli Parlimen di bawah skim yang dibrokerkan oleh Hamzah bercakap tentang hala tuju UMNO dan Presiden. Rasanya, Hamzah juga tiada semasa retreat kepimpinan tertinggi UMNO dan Himpunan 812. Walaupun Presiden telah menjelaskan hala tuju dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018, lengkap dengan 7 teras dan 21 langkah, Ahli Parlimen dan Ketua-ketua Bahagian ini masih bercakap tentang hala tuju. Kenapa?

6. Jawapannya kerana hala tuju Presiden TIDAK SAMA dengan apa yang mereka mahukan. Presiden menyebut - untuk bekerjasama dengan Mahathir, Mahathir mahu UMNO dibubarkan dan pemimpin-pemimpin UMNO perlu di'samak' terlebih dulu untuk tempoh tertentu sebelum boleh menyertai Ppbm. Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden tidak bersetuju. Tetapi, jika Presiden bersetuju dengan syarat ini, pasti tidak timbul lagi soal tiada hala tuju. UMNO pun sudah tidak ada lagi jika itu berlaku.

7. Kenapa begitu terdesak? Berdasarkan pemerhatian, Ahli Parlimen dan Ketua-ketua Bahagian tertentu ini keluar parti atas TIGA SEBAB UTAMA.

i. Hilang punca pendapatan, terutama bagi mereka yang mengharapkan projek-projek kerajaan atau AP atau subsidi kerajaan atau yang sepertinya, termasuk yang masih menunggu bayaran daripada kerajaan

ii. Tiada peruntukan untuk menjaga kawasan bagi mengekalkan jawatan Yang Berhormat dan Ketua Bahagian yang dipegang

iii. Tidak mahu didakwa oleh kerajaan Pakatan yang menggunakan SPRM, polis, Peguam Negara dan LHDN.

Jika mereka sudah bersama kerajaan, pastinya tiga masalah ini tidak lagi menghantui mereka. Ramai yang telah jadi suci bersih selepas di'samak' oleh Mahathir. Lim Guan Eng yang ada kes rasuah pun sudah menerima sijil 'halalun tayyiban' menerusi Peguam Negara. Tidak mungkin hala tuju Mahathir dalam mentadbir ekonomi negara, menjaga urusan agama dan bangsa serta membela kebajikan rakyat lebih jelas berbanding hala tuju UMNO ketika ini.

8. Faktor-faktor ini menjadikan mereka terdesak dan keluar parti SEDANGKAN pemimpin lapisan kedua, ketiga dan ahli-ahli biasa UMNO yang tiada TIGA MASALAH ini tidak terdesak meninggalkan parti.

9. Baiklah, ada desakan untuk Presiden berundur dan meletakkan kesemua kesalahan di atas bahu Presiden. Sebelum ahli UMNO melompat dan menggantikan Presiden yang ada dengan Presiden yang baru disebabkam permainan emosi ini, agar masalah HALA TUJU TIDAK LAGI MENJADI ALASAN MENOLAK PRESIDEN YANG BARU, eloklah kita minta bakal-bakal calon Presiden membentangkan rancangan mereka berkaitan TIGA PERKARA yang menjadi masalah Ahli Parlimen dan Ketua-ketua Bahagian UMNO yang mahu meninggalkan parti ini.

Pertama - Apakah hala tuju parti - kekal seperti sedia ada atau berubah menjadi liberal/sekular atau ekstrem kanan? Segera jadi kerajaan bersama Mahathir dan membubarkan UMNO?

Kedua - Apakah kaedah untuk memastikan sumber pendapatan berterusan dan peruntukan Ahli-ahli Parlimen dan Ketua-ketua Bahagian? Apakah sumber untuk membiayai pentadbiran parti di pusat, negeri-negeri dan 191 bahagian UMNO?

Ketiga - Bagaimana untuk mengelakkan pendakwaan berterusan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO, baik yang pernah duduk dalam kabinet atau yang diganggu oleh LHDN?

10. Eloklah disyorkan bakal calon Presiden, termasuk KJ dan Hishammuddin untuk menjawab soalan-soalan ini. Diharapkan juga agar Hishammuddin bertanding jawatan Presiden jika ada pertandingan kali ini. Lebih mudah untuk ahli-ahli memberi wala kepadanya sebagai Presiden parti berbanding sekarang ini.

11. Tak perlu kelam kabut membuat pemilihan yang baru melainkan calon Presiden benar-benar mampu menyelesaikan masalah UMNO hari ini

Tuesday, June 5, 2018

PELANTIKAN TOMMY THOMAS CETUS KEBIMBANGAN ORANG MELAYU DAN UMAT ISLAM MALAYSIA


1. Keputusan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong memperkenankan perlantikan Tommy Thomas amat membimbangkan orang Melayu dan umat Islam negara ini. Lebih membimbangkan apabila perkenan ini diberi sebelum Majlis Raja-Raja sempat untuk bermesyuarat bagi membincangkan soal perlantikan Peguam Negara. Ia menimbulkan persoalan, apakah yang telah berlaku di sebalik tabir sehingga mendorong pemberian perkenan ini?

2. Kenapa orang Melayu dan umat Islam Malaysia yang berpegang kepada ajaran Islam sebenar tidak senang dengan pelantikan ini? Jawapannya, kerana mereka bimbang peruntukan-peruntukan dalam Perkara 3 berkaitan kedudukan agama Islam, Perkara 153 berkaitan kedudukan orang Melayu dan Perkara-perkara lain yang melibatkan kedudukan YDP Agong dan Raja-raja Melayu di dalam perlembagaan akan tergugat.

3. Belum 100 hari Pakatan memerintah, sudah begitu banyak suara-suara sumbang daripada golongan sosialis, liberal dan sekular yang mempertikaikan kedudukan istimewa yang diberikan kepada orang Melayu, umat Islam dan institusi-istitusi berkaitan dalam negara. Pelantikan Thomas dilihat sebagai langkah pertama kerajaan Pakatan merealisasikan desakan-desakan golongan ini.

3. Dengan pelantikan Thomas, ahli dan penyokong Pas boleh melupakan terus hasrat untuk menegakkan hukum Hudud. Jangan kata hendak melaksanakan hukum Hudud, undang-undang yang lebih mudah seperti memperkasakan undang-undang syariah melalui RUU355 juga tidak mungkin mampu mereka lakukan.

4. Bagi pendukung kefahaman 'Islam adalah ad-din' dan menolak fahaman sekularisme, pelantikan Thomas merisaukan kerana ia boleh mengubah cara Perlembagaan dan Undang-undang berkaitan kedudukan Islam ditafsirkan selepas ini.

5. Bagi pendukung Perkara 153 dan kedudukan Raja-raja Melayu, pelantikan Thomas merisaukan kerana ia boleh menggugat tafsiran Perlembagaan berkenaan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, seterusnya boleh mempengaruhi pelbagai dasar dan institusi yang berkaitan, baik yang sedang dilaksanakan mahupun yang hendak dilaksanakan di masa hadapan.

6. Lebih membimbangkan mengenai pelantikan Thomas ini adalah hasrat kerajaan Pakatan untuk meminda atau berkemungkinan memansuhkan Akta Hasutan.

7. Walaupun Pakatan menyebut bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera tetap akan diutamakan dan dijaga, 'track record' Pakatan dalam menunaikan janji amat teruk sekali. Jika begitu banyak janji gagal dilaksanakan, apakah perbezaannya dengan janji-janji berkaitan kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera yang Pakatan ungkapkan?

8. Sebelum PRU14, kita telah mengingatkan bahawa janji Pakatan boleh mengakibatkan defisit dan risiko ekonomi kepada negara. Malangnya pengundi Pakatan tidak percaya. Hari ini terbukti Pakatan tidak mampu melaksanakan janji-janji mereka malah lebih teruk lagi kenyataan dan tindakan mereka semakin merosakkan ekonomi negara.

9. Telah diingatkan bahawa pemimpin Pakatan mendukung fahaman sekular, sosialis dan liberalisme melampau dan pemilihan mereka membolehkan fahaman ini dilaksanakan di dalam negara. Malangnya ada di kalangan umat Islam dan orang Melayu yang mengundi Pakatan tidak mempercayainya.

10. Kita juga telah mengingatkan bahawa dalam kerajaan Pakatan sebenarnya bukan PPBM yang menjadi parti yang dominan, sebaliknya Dap akan jadi paling berkuasa melalui kerusi yang dimenanginya dan oleh proksinya. Hari ini terbukti bahawa Perdana Menteri hanyalah Perdana Menteri yang lemah dan didukung oleh hanya 13 kerusi PPBM sedangkan Dap dan proksinya memiliki jauh lebih banyak sokongan di Parlimen dan di negeri-negeri.

11. Adakah ini yang diinginkan oleh umat Islam dan orang Melayu yang mengundi Pakatan? Atau adakah umat Islam dan orang Melayu merasa tertipu dengan janji-janji dan jaminan yang ditaburkan oleh Pakatan semasa mereka merayu undi?

Oleh: TUN FAISAL ISMAIL AZIZ


#MalaysiaMemilih
#MalaysiaTertipu

Saturday, March 17, 2018

RAIS, siapa TALI BARUT sebenarnya?

1. Memandangkan DS @DrRaisYatim @mkini_bm, editor pencen NST dan caitro Pakatan tak faham definisi TALI BARUT, elok kita bagi faham terlebih dahulu. 1. Kalau ikut deifinisi DBP - orang yang menjadi penyampai rahsia. Definisi lain 2. Barua/orang yang membuat pekerjaan tidak baik untuk orang lain. Konteks ke-2 nampaknya lebih tepat dalam isu dan polemik ini.

2. Salah satu contoh konteks TALI BARUT adalah: apabila ada wartawan @mkini_bm yang mengakui bahawa Malaysiakini ada menerima dana daripada Open Society, milik usahawan Yahudi, George Soros, maka Malaysiakini tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada yang mendakwa ia menjadi TALI BARUT kepada PIHAK ASING/Soros dan sebagainya.

3. Mengambil takrifan dan konteks yang sama, jika dibuat perbandingan di antara @DrRaisYatim dan saya, dalam aspek;

A. ORGANISASI: @DrRaisYatim & saya, kami sama2 di dalam kerajaan dan mewakili kerajaan sedia ada, iaitu kerajaan Barisan Nasional

B. PENDIRIAN DALAM ISU 1MDB:
- pendirian saya adalah selari dengan pendirian kerajaan/kabinet/PDRM/JAN/AG/PAC, sedangkan
- pendirian @DrRaisYatim selari, jika tidak menyamai, dengan pendirian  Pakatan, Sarawak Report, Media Asing, media pro-Pakatan, @mkini_bm

C. Pendirian terhadap kabinet, kementerian-kementerian dan agensi-agensi;
- saya percaya kepada pendirian dan tindakan para Menteri Kabinet, kementerian-kementerian dan agensi-agensi terbabit dalam soal 1MDB, sebaliknya
- @DrRaisYatim mempertikaikan pendirian dan tindakan rakan-rakan Menteri di dalam kabinet, kementerian-kementerian dan agensi-agensi

5. Dalam soal ini, saya yakin ramai yang boleh melihat @mkini_bm, caitro Pakatan termasuk @ZainudinMaidin beriya-iya & tersangat gigih mempertahankan @DrRaisYatim. Jika melihat perbandingan dan perkaitan hubungan simbiotik ini, dalam soal TALI BARUT, bukankah soalan yg lebih wajar ditanya, adakah @DrRaisYatim tali barut mereka?

Pelik kan? 😁😁😁

6. Tweet pertama @DrRaisYatim mengenai Jho Low tidak akan timbul jika dia memahami FAKTA KES dan membaca LAPORAN PAC. Jika nak tahu dengan lebih mendalam mengenai soal jawab sebelum LAPORAN PAC dihasilkan, boleh baca hansard prosiding PAC di Laman Web Parlimen. Malangnya @DrRaisYatim tidak mahu merujuk FAKTA dan tidak menulis menggunakan saluran untuk mendapatkan taklimat.

7. Tweet @DrRaisYatim mengulas pendirian pihak Polis Diraja Malaysia juga tidak wajar kerana seolah-olah meremehkan tugas @PDRMsia, JAN, PAC dan @AGCPutrajaya yang telah melaksanakan siasatan sejak tahun 2015. Sebab itu saya sarankan supaya @DrRaisYatim mendapatkan  maklumat dan fakta kes menggunakan saluran rasmi yang ada. Bukannya susah untuk menulis surat rasmi atau bercakap sendiri dengan Menteri berkaitan untuk mendapatkan taklimat rasmi.

8. Malangnya @DrRaisYatim lebih suka menulis di twitter dan tidak mahu berusaha mencari jawapan melalui saluran yang betul. Macamlah tulisannya nanti akan dijawab oleh twitter. Jadi fikirkan lah jawapan kepada soalan di atas. Siapa TALI BARUT sebenarnya?

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Tuesday, February 6, 2018

ADAKAH SPIN MALAYSIAKINI DAN KENYATAAN MYDIN "KDNK KUKUH TAPI RAKYAT TIADA WANG" FAKTA ATAU AUTA?






1. Saya mendengar temubual Melisa Idris dengan Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian hypermarket popular Mydin di BFM Radio semalam. Memang benar Ameer ada menyebut perkara sebegini. Walaupun itu hanya andaiannya berdasarkan aktiviti perniagaan hypermarket semata-mata. TIDAK TEPAT JIKA DIA MENYIMPULKAN, HANYA KERANA ORANG KURANG BERBELANJA DI HYPERMARKET, MAKA ITU INDIKATOR BAHAWA "RAKYAT MALAYSIA TIADA WANG".

2. Peningkatan KDNK negara bukan ditentukan oleh hypermarket  semata-mata, tetapi oleh banyak sektor dalam negara. Sektor pertanian misalnya menyumbang pertumbuhan sebanyak 5.6% pada tahun 2017, perlombongan dan kuari 0.5%, pembuatan 5.5%, pembinaan 7.6% dan perkhidmatan 5.9%. Dalam sektor perkhidmatan pula, Utiliti menyumbang 2.5%, Perniagaan Borong dan Runcit 6.5%,  Makanan, Minuman dan Penginapan 7.6% dan banyak lagi. Malah dalam perniagaan borong dan runcit, bukan Mydin dan hypermarket sahaja yang menjadi penyumbangnya kerana perniagaan borong dan runcit melibatkan jauh lebih ramai pemain. Jumlah keseluruhan sumbangan seluruh sektor ini kemudiannya akan membentuk keseluruhan KDNK negara.

3. Walaupun pertumbuhan dalam sub-sektor hypermarket menguncup, namun Ameer ada menyebut bahawa, selepas Mydin Mohamed Holdings Bhd menjual SAM's Groceria, sejumlah pasaraya mini, menghentikan operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan melaksanakan pemotongan kos yang sangat ketat secara besar-besaran, tidak mengambil pekerja baru dan tidak menaikkan gaji pekerja, baharulah Mydin memperolehi keuntungan semula sebanyak RM30 juta. Jika RAKYAT MALAYSIA BENAR-BENAR TIADA WANG, BAGAIMANA MYDIN BOLEH MEREKODKAN KEUNTUNGAN RM30 JUTA? Adakah keuntungan sebanyak RM30 juta ini hasil perolehan daripada rakyat Bangladesh, Indonesia, China, Korea atau warga asing yang lain?

4. Menurut The Edge, "Mydin Holdings mencatatkan kerugian pertama dalam tempoh 6 dekad dalam tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2016. Alasan yang diberikan adalah pertama, RINGGIT YANG MELEMAH berbanding Dollar AS dan kedua, kesan pengembangan AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI-PENCATUTAN 2011. Kerugian yang dicatatkan adalah RM156.61 juta dari perolehan sebanyak RM2.99 bilion".

5. Dalam laporan yang sama, The Edge menyebut "dalam bulan Februari 2017, RAM Ratings menyatakan KERUGIAN Mydin Holdings ini juga adalah kerana "A LAGGED RESPONSE TO THE MISPRICING OF PRODUCTS AT THE GROUPS MINI MARKETS AND CONVENIENCE STORES (dan BUKAN KERANA RAKYAT MALAYSIA TIADA WANG).

6. Ada kebenaran kenyataan RAM Ratings ini kerana semakan The Edge terhadap Sam’s Groceria Sdn Bhd menunjukkan ia adalah syarikat yang membuat kerugian, iaitu kerugian bersih sebanyak RM27.49 juta daripada perolehan sebanyak RM63.16 juta dalam tahun kewangan 2016. ADAKAH SAM'S GROCERIA RUGI KERANA RAKYAT TIADA WANG? Sam's Groceria adalah PASARAYA PREMIUM yang mensasarkan PEMBELI DALAM KALANGAN GOLONGAN BERPENDAPATAN TINGGI. Pasaraya ini menawarkan lebih 19,000 barangan, yang mana 60% daripadanya adalah BARANGAN IMPORT dari Amerika Syarikat, Australia, Japun, India, Taiwan dan Thailand. SASARAN MYDIN BUKAN RAKYAT BIASA, TAPI RAKYAT YANG MEMPUNYAI WANG (PENDAPATAN TINGGI). JIKA SAM'S GROCERIA RUGI, MAKA ISUNYA BUKAN RAKYAT TIADA WANG TAPI KERANA IA MENYASARKAN SEGMEN YANG SALAH ATAU IA GAGAL MENARIK SEGMEN ITU BERBELANJA DI SITU.

7. The Edge turut melaporkan bahawa Mydin Holdings juga menjual MyMydin Sdn Bhd, yang mengendalikan operasi 48 kedai serbaneka (convenience store) MyMydin kepada Jubilee Games Sdn Bhd. MyMydin merekodkan kerugian bersih sebanyak RM16.64 juta dan kerugian terkumpul sebanyak RM39.39 juta. JIKA BENAR RAKYAT MALAYSIA TIDAK MEMPUNYAI WANG SEPERTI YANG DIDAKWA OLEH AMEER, MAKA PEMILIK JUBILEE ADALAH SANGAT TIDAK CERDIK KERANA MEMBELI 48 BUAH KEDAI SERBANEKA DARIPADA MYDIN HOLDINGS YANG MEREKODKAN KERUGIAN DEMI KERUGIAN.

8. Sebenarnya Ameer boleh sahaja mengandaikan bahawa rakyat Malaysia sekarang lebih bijak dan berhati-hati dalam berbelanja. Mereka tidak membeli keperluan dan menyimpan stok seperti dulu. Kedua, persaingan sudah menjadi semakin sengit dan rakyat akan berbelanja di premis yang boleh menawarkan harga paling rendah. Ketiga, rakyat Malaysia tetap berbelanja untuk memenuhi kehendak mereka dan mereka akan berjimat cermat untuk memastikan mereka dapat memenuhi kehendak mereka. Jika diperhatikan dalam pasaran kereta, jualan kereta menujukkan peningkatan, misalnya Perodua, meningkat 2.4% pada pertengahan tahun 2017, Honda, 19% pada tahun 2017 dan Mercedes meningkat 2.3% pada tahun 2017. Rakyat Malaysia juga berbelanja lebih RM6.8 bilion untuk membeli telefon bimbit sepanjang tempoh 2016 hingga 2017. Jumlah rakyat yang melancong di dalam dan ke luar negara serta menunaikan umrah juga meningkat setiap tahun. Pelancong domestik membelanjakan RM66.5 bilion sepanjang tahun 2016. Jumlah perbelanjaan rakyat Malaysia di luar negara juga meningkat kepada RM43.4 bilion pada tahun 2016 berbanding RM41.7 bilion pada tahun 2015. Jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun meningkat 400% daripada hanya 65,010 pada tahun 2009 kepada 322,683 sehingga Oktober tahun 2017. Jumlah rakyat Malaysia yang pergi menunaikan umrah juga meningkat, iaitu hanya 80,000 pada tahun 2009 kepada 310,000 pada tahun 2016.

9. KESIMPULANNYA, bukan soal RAKYAT TIADA WANG, tetapi selepas mendengar secara penuh wawancara tersebut dan menyemak semula prestasi Mydin, boleh dikatakan PENETAPAN HARGA YANG SALAH (kenyataan RAM Ratings), KESILAPAN MEMILIH MODEL PERNIAGAAN (KR1M), KESILAPAN MEMILIH SEGMEN DAN KEGAGALAN MEMENUHI CITARASA SEGMEN TERSEBUT, DAN KOS OPERASI YANG TINGGI (GAJI DAN PENGAMBILAN PEKERJA) adalah punca Mydin Holdings merekodkan kerugian. Ternyata selepas Mydin membetulkan kesilapan-kesilapan itu, mereka tetap merekodkan keuntungan RM30 juta.

10. Tanpa analisis, memang dijangkakan Malaysiakini dan portal berita pro Pakatan akan mengambil kesempatan ke atas kenyataan-kenyataan seperti ini. Hampir sahaja BFM berjaya melagakan Ameer dan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Mujurlah Ameer bijak menjawab.

Friday, December 22, 2017

PROSIDING FINMA BUKTIKAN KELEMAHAN PENGURUSAN JP MORGAN, BUKAN PENYELEWENGAN DANA 1MDB

1. Usaha mengaitkan 1MDB dengan kesalahan penggubahan wang timbul sekali lagi. Kali ini susulan laporan Reuters mengenai kenyataan badan pemantau kewangan Switzerland, FINMA bahawa institusi kewangan, "JP Morgan didapati melakukan kesalahan besar berkaitan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB."

2. Apakah KESALAHAN BESAR itu?  FINMA menyebut, JP Morgan "gagal untuk mengenal pasti secukupnya peningkatan risiko penggubahan wang berkaitan dana kekayaan "yang dituduh menyeleweng" ketika skandal penggelapan berlangsung secara besar-besaran."

3. Apakah HUKUMAN terhadap DOSA BESAR ini? TIADA HUKUMAN.  FINMA memutuskan "untuk menutup prosiding dan tidak mengenakan sebarang hukuman (yang ditafsirkan oleh Reuters sebagai) - "kemungkinan petunjuk bahawa sebarang KEUNTUNGAN yang diperolehi oleh JP Morgan akibat dakwaan pelanggaran peraturan ini sebagai TIDAK SIGNIFIKAN."

4. Reuters turut memetik kenyataan FINMA yang menyebut J.P. Morgan telah menerima "maklumat yang tidak lengkap dan tidak konsisten daripada pelanggan tanpa melihat dan mendokumenkannya secara lebih mendalam", dan ini dinyatakan sebagai KELEMAHAN SISTEM PEMANTAUAN dan KAWALAN BANK TERSEBUT".

5. Apakah respon JP Morgan terhadap dakwaan FINMA ini? Jurucakap JP Morgan, Jason Lobo, menyebut, "resolusi yang diumumkan oleh FINMA adalah berkaitan perkara yang berlaku lama dahulu dan sejak itu kami telah MENINGKATKAN LATIHAN, MENAMBAH KAKITANGAN dan MEMBUAT PENAMBAH BAIKAN DALAM KAWALAN DAN PENGAWASAN". Ini adalah pengakuan mengenai kelemahan JP Morgan.

6. Adakah 1MDB melakukan sebarang kesalahan dalam transaksi berkaitan JP Morgan ini? TIDAK. Pertama, dana yang dipindahkan oleh 1MDB adalah daripada sumber yang sah dari segi undang-undang. Kedua, pemindahan wang yang dibuat oleh 1MDB juga sah dari segi undang-undang, iaitu selepas mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia sebanyak TIGA KALI, pada 29 September 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011.

7. Apakah yang berlaku dengan wang yang dipindahkan ini?
Konspirator plot "menjenayahkan Najib" mendakwa wang yang dipindahkan ini, iaitu sebanyak AS$1 bilion di'curi' oleh Jho Low melalui akaun Good Star dan wang ini kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

8. Benarkah wang ini dicuri? TIDAK. Pertama, akaun Good Star dan pemilik PetroSaudi mempunyai kaitan. Menurut Chris Wright, dalam editorial Euromoney, JP Morgan (Suisse) memegang akaun berkaitan syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi JV, iaitu akaun yang sah dari segi undang-undang, dan JPMorgan Chase adalah bank hubungan untuk pemindahan dalam talian bagi Deutsche Bank dan AmBank yang berakhir ke akaun Good Star. JPMorgan juga adalah bank hubungan untuk pemindahan wang dari akaun Good Star ke akaun Putera Raja Arab Saudi yang menubuhkan PetroSaudi. Kedua, syarikat PetroSaudi International (PSI) sendiri pada 1 Mac 2015, menafikan laporan bahawa dana dari 1MDB diambil oleh pihak ketiga dan memaklumkan bahawa subsidiarinya telah menerima semua tunai untuk syarikat usaha sama dengan 1MDB. PetroSaudi juga menyebut bahawa ia telah membayar kembali jumlah yang penuh pelaburan pokok (AS$1.83 bilion) kepada 1MDB bersama keuntungannya (AS$488 juta). Ketiga, jika benar wang AS$1 bilion atau AS$700 juta ini dicuri dari  pelaburan pokok keseluruhan bernilai AS$1.83 bilion, sudah pasti jumlahnya akan berkurangan. Sebaliknya jumlah ini bertambah menjadi AS$2.318 bilion membuktikan TIADA WANG 1MDB DICURI dalam transaksi berkaitan JPMorgan ini.

9. Seperti yang dinyatakan, laporan prosiding FINMA ini tiada kaitan dengan sebarang 'penyelewengan dana 1MDB' atau 'jenayah 1MDB', tetapi adalah laporan mengenai kelemahan sistem kawal selia JP Morgan. Ini diakui oleh JP Morgan sehingga ia terpaksa 'memperbanyakkan latihan, menambah kakitangan dan menambah baik sistem pemantau dan kawal selia'.

10. Ia adalah kesalahan yang hampir sama dengan kesalahan yang dilakukan oleh Bank Development Bank of Singapore (DBS), Standard Chartered dan Union Bank of Switzerland (UBS), yang dilaporkan oleh Monetary Authority of Singapore (MAS) sebagai “kegagalan kawalan dan kelemahan dalam proses menerima pelanggan serta pemantauan transaksi, selain kelewatan dalam mengenal pasti dan melaporkan transaksi-transaksi yang mencurigakan.” The Guardian melaporkan DBS dikaitkan dengan 10 kesalahan dan UBS sebanyak 13 kesalahan. Kesalahan yang dilakukan oleh Falcon Bank dan BSI Bank lebih teruk lagi sehingga keduanya diarah menutup operasi di Singapura. Falcon Bank diarah untuk menamatkan operasi di atas sebab “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls." BSI Bank pula telah dikaitkan dengan 41 kesalahan dan dilaporkan oleh MAS sebagai “melakukan pelanggaran keperluan-keperluan Anti Penggubahan Wang, penyeliaan pengurusan yang sangat lemah serta salah laku yang teruk oleh kaki tangan bank tersebut”

11. Jelas sekali prosiding-prosiding ini adalah berkaitan kelemahan setiap institusi kewangan tersebut untuk mengawal selia transaksi dan kegagalan mereka mematuhi peraturan anti penggubahan wang negara berkaitan. Mengaitkannya dengan 1MDB atau 'dakwaan penyelewengan dana 1MDB' adalah berniat jahat.

Oleh:
TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Tuesday, December 12, 2017

Tembelang pecah, punca Kit Siang marah sangat kepada Puad

1. Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Dr Hj Mohd Puad Zarkashi bertajuk "PRU KE 14; BN LAWAN CALON PM LIM KIT SIANG. PAU UMNO 2017 MENJADIKAN DIA DAN DAP CACING KEPANASAN" telah mengakibatkan Lim Kit Siang benar-benar melenting sehingga dia membuat kenyataan balas.

2. Ada tiga sebab kenapa Kit Siang menjadi ibarat cacing kepanasan, PERTAMA, kerana tembelang dia mahu menjadi Perdana Menteri pecah. KEDUA, kerana ahli UMNO dan orang Melayu/Bumiputera diingatkan tentang kemusnahan dan bencana yang bakal diakibatkan oleh Dap di bawah Dinasti Lim jika Pakatan berjaya memerintah. KETIGA, kerana pembohongan Dap dan Pakatan selama ini telah didedahkan.

3. Kit Siang memulakan kenyataannya dengan pembohongan, iaitu gaji Puad lebih tinggi daripada menteri kerana beliau hanya perlu melapor kepada Perdana Menteri dan mempertahankan Perdana Menteri. Kenyataan ini adalah pembohongan yang nyata kerana seluruh institusi perkhidmatan awam mengetahui bahawa GAJI MENTERI LEBIH TINGGI daripada pegawai yang digajikan secara kontrak 'for service'  dan menerima gaji secara 'lump sum'. Kit Siang juga jelas berbohong kerana apabila mengulas ucapan Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO, Puad melakukannya di atas kapasiti Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan bukan sebagai Ketua Pengarah JASA seperti yang didakwa. Ini hanya salah satu contoh pembohongan Kit Siang dan Dap, tidak termasuk pembohongan yang lain seperti dongeng 40,000 pengundi Bangladesh, 'black out semasa pengiraan undi' dan lain-lain pembohongan lagi, termasuk yang berkaitan 1MDB.

4. Benarkah Kit Siang tidak mahu menjadi Perdana Menteri? Umum mengetahui bahawa Penasihat dan Ketua Jawatankuasa Polisi dan Perancangan Strategik Dap ini mempunyai pengaruh yang sangat besar termasuk melalui anaknya Lim Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung Dap.

5. Terbaru 100 orang ahli Dap Nibong Tebal keluar parti kerana berasa tidak selamat di bawah pentadbiran Dinasti Lim. Dalam kenyataannya, bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat mengakui sudah beberapa kali mendengar Kit Siang meletakkan harapan mahu menjadi Perdana Menteri. Perkara ini bukan mustahil kerana DAP boleh menuntut hak ini jika Dap menguasai lebih banyak kerusi-kerusi DUN di negeri seperti di Pulau Pinang dan Selangor sehingga menjadikan mereka berkuasa di negeri-negeri tersebut, serta berdasarkan hujah bahawa gabungan parti Pan, Ppbm dan Pkr hanya mampu menarik sokongan 30 peratus pengundi kaum Melayu dan baki 70 peratus adalah undi kaum Cina yang majoritinya diusahakan oleh Dap.

6. Adakah Kit Siang dan Dap bukan ancaman kepada orang Melayu/Bumiputera dan umat Islam? Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor, mendakwa Deklarasi Setapak 1967 adalah perancangan jangka panjang DAP untuk menolak Bumiputera selain merancang mahu menjadikan pemimpin bukan Bumiputera sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya mentadbir negara. Sikap, tuntutan dan penentangan Dap terhadap dasar, agenda, program dan institusi Bumiputera selama ini membuktikan kenyataan Zulkifli ini benar.

7. Begitu juga sikap Dap terhadap agama dan institusi Islam selama ini membuktikan ancaman parti ini terhadap Islam adalah benar. Dalam perlembagaan Dap sendiri menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah "dokumen sekular dan antara matlamat Dap adalah untuk mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal", iaitu suatu perkara yang menafikan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan dan peranan serta pengaruhnya dalam penentuan dasar, program serta aturan-aturan tertentu di dalam negara.

8. Sudah tentu Kit Siang tidak senang hati apabila Puad membangkitkan pula tentang hasrat DAP mahu menjadikan orang Kristian sebagai Perdana Menteri. Walaupun Dap menafikannya, Puad menegaskan bahawa bekas ahli Dap, iaitu Razali Abdul Rahman, orang Melayu yang pernah menjadi orang kanan Lim Guan Eng, telah membuat laporan polis mengesahkan dakwaan ini dan mengakui bahawa beliau sendiri hadir dalam pertemuan paderi paderi yang turut di hadiri oleh Ahli Parlimen Jelutong YB Jeff Oii.

9. Tidak perlu Kit Siang berlakon seolah-olah sangat prihatin mengenai soal tadbir urus dan kleptokrasi kerana negeri yang ditabdir Dap dan anaknya sendiri telah ditadbir dengan begitu teruk dan anaknya sendiri didakwa at atas kesalahan rasuah. Keprihatinan palsu Kit Siang ini juga jelas apabila dia sanggup bekerja sama dengan 'kleptokrat sebenar' yang pernah didakwa oleh Kit Siang sendiri telah mengakibatkan negara hilang berbilion ringgit akibat "skandal Forex Bank Negara" dan yang mengamalkan nepotisme serta kroni kapitalisme sehingga anak-beranaknya boleh menjadi begitu kaya dalam masa yang singkat.

10. Keprihatinan Kit Siang terhadap demokrasi juga hanya sandiwara semata-mata kerana di dalam parti Dap, pemilihan jawatankuasa pusat telah diserang sebagai suatu proses yang tidak demokratik dan melanggar peraturan. Manakala dari aspek pentadbiran parti, bekas ahli Dap sendiri, Tan Beng Huat menyebut, "dia (Kit Siang) bukan sahaja tidak bertolak-ansur, dia juga diktator. Cuba lihat apa yang dia dan anaknya lalukan terhadap mereka yang menentang".

11. Tidak perlu menegakkan benang yang basah, apa lagi yang Kit Siang hendak bohongi?



TUN FAISAL ISMAIL AZIZ 

Wednesday, December 6, 2017

1MDB: Jeff Sessions seperti kakak tua yang hanya mengulang cerita orang sebelumnya



1. Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Jeff Sessions sekadar mengulangi kenyataan Peguam Negara AS sebelumnya tanpa menyedari hakikat saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ)  tiada kaitan secara langsung dengan 1MDB.

2. Kenyataannya bahawa kononnya dakwaan korupsi berkaitan 1MDB merupakan "kleptokrasi pada tahap paling parah" dan AS sedang berusaha untuk memberikan "keadilan kepada mangsa-mangsa yang terbabit" membuktikan Sessions tidak memahami fakta kes berkaitan. Lebih-lebih lagi apabila dokumen saman sivil ini hanyalah berdasarkan aduan dan andaian semata-mata sedangkan FBI belum lagi melakukan sebarang penyiasatan yang berjaya mengadakan bukti yang melangkaui keraguan yang munasabah.

3. Siapakah "mangsa-mangsa terbabit" dalam dakwaan Sessions? Apabila saya bertanyakan soalan kepada Thomas Goldstein, antara peguam Mahkamah Agung berpengalaman di AS mengenai justifikasi DOJ memfailkan saman ini dengan mengaitkannya dengan 1MDB sedangkan 1MDB tidak pernah membuat aduan dan mengaku dana atau wang kepunyaannya dicuri? Goldstein mengakui bahawa kes ini agak pelik kerana 1MDB bukan pengadu dan tidak mengakui kehilangan wang. Mungkin kerana ada pihak yang beranggapan bahawa AS merupakan "polis dunia" maka saman sivil difailkan kononnya untuk memberi keadilan kepada rakyat Malaysia dan 1MDB. Goldstein juga menjelaskan DOJ berada dalam kebuntuan kerana 1MDB menegaskan bahawa wang yang didakwa hilang itu bukan wang mereka, sedangkan kes ini adalah dibina atas kepercayaan bahawa wang ini diambil dari 1MDB berdasarkan aduan yang dibuat oleh pihak yang tidak mewakili 1MDB.

4. Apabila saya tanyakan juga, sehingga kini hanya International Petrolium Investment Company (IPIC), dana kekayaan milik kerajaan Abu Dhabi yang mengadu kehilangan wang; kenapakah DOJ tidak menyiasat IPIC dan bagaimanakah mereka mahu memulangkan wang kepada IPIC sekiranya mereka menyiasat kes ini di bawah inisiatif kleptokrasi kerana IPIC tidak menerima dana daripada rakyatnya tapi dari pemerintahnya? Goldstein menjawab, terdapat kemungkinan DOJ tidak mengetahui apa yang sedang mereka hadapi dalam kes ini kerana tiada pengadu (di kalangan pihak yang kehilangan wang).

5. Mungkin elok dimaklumkan kepada Sessions bahawa kes di Singapura tiada kaitan langsung dengan 1MDB kerana 1MDB tiada akaun di sana. The Guardian melaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) mengarahkan Falcon Bank menghentikan operasi atas sebab “persistent and severe lack of understanding” of Singapore’s money laundering controls." Atas sebab ini Falcon Bank diarahkan untuk ditutup. Bukan atas sebab lain, termasuk 1MDB. Bukan Falcon Bank sahaja yang mempunyai kelemahan ini, tetapi Development Bank of Singapore (DBS) (10 kesalahan), Union Bank of Switzerland (UBS) (13 kesalahan) dan BSI Bank (41 kesalahan).

6. Mungkin Sessions perlu dimaklumkan bahawa kes di Luxembourg juga tiada kaitan dengan 1MDB. Menurut Finews Asia dalam laporan bertajuk "Rothschild bleeds for 1MDB", Marc Ambroisien bekas pengarah bank Rothschild di Luxembourg dinamakan sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan bank Swiss ini terbabit dalam apa yang didakwanya sebagai 'skandal 1MDB'. Dalam laporan yang sama Finews menyebut "he allegedly accepted Khadem Al Qubaisi, former boss of Abu Dhabi state fund IPIC, as a client and carried out transfers of funds from 1MDB, originally set up as a Malaysian development fund, for him. Al Qubaisi is alleged to have even gifted Ambroisien with an Aston Martin for his services."

7. Laporan Finews Asia jelas menyebut bahawa individu yang dikatakan mengakibatkan Rothschild terbabit dalam 'skandal' ini adalah Ambroisien dan Ambroisien TIDAK dikaitkan dengan Arul Kanda, Shahrul Azral Ibrahim Halmi atau 1MDB sebaliknya dengan Al Qubaisi, dan seharusnya kaitan itu berterusan, iaitu kepada  IPIC, Aabar Investment PJS, Falcon Private Bank dan Abu Dhabi.

8. Adalah lebih tepat jika Sessions dan DOJ mengaitkan denda terhadap Bank Edmond de Rothschild Luxembourg ini dengan IPIC kerana 1MDB tidak mempunyai akaun dengan Rothschild. Qubaisi adalah pelanggan kepada Rothschild dan ketika itu, Qubaisi merupakan Pengarah Urusan IPIC, Pengerusi Aabar Investment PJS, iaitu anak syarikat IPIC dan bekas Pengerusi Falcon Private Bank, iaitu bank Swiss yang dimiliki oleh Abu Dhabi melalui Aabar Investment PJS.

9. Mungkin lebih wajar Sessions terlebih dahulu menjawab soalan-soalan ini sebelum terus membuat kenyataan, iaitu pertama, mengenai siapa sebenarnya yang kehilangan wang, IPIC atau 1MDB agar mudah mereka membuat keputusan untuk memulangkan kepada siapa hasil segala rampasan aset yang didakwa 'dari wang yang dicuri' ini. Kedua, jika pihak yang kehilangan wang ini adalah IPIC, bilakah mereka mahu mula menyiasat IPIC dan adakah wajar DOJ menggunakan inisiatif kleptokrasi jika mereka bercadang untuk memulangkan wang hasil rampasan ini kepada IPIC dan Abu Dhabi.


TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Popular Posts