Apakah yang kita betul-betul cari apabila kita bercakap tentang kebebasan berpolitik di kalangan mahasiswa? Adakah apa yang kita mahu ialah mahasiswa bersuara lantang menyampaikan pendapat mengenai politik negara atau yang kita harapkan mereka sebagai barisan depan berceramah di universiti?
Adakah sebenarnya kebebasan berpolitik tadi bermaksud mahukan mahasiswa bertanding sebagai calon pilihanraya atau sekadar menjadi jentera penampal poster?
Apapun tuntutan dan kemahuan tadi, sebenarnya ini adalah kehendak siapa? Adakah ia merupakan tuntutan orang ramai rakyat Malaysia? Adakah ia kehendak ibu bapa mahasiswa sendiri atau kehendak mahasiswa secara majoriti di universiti?
Hakikatnya melabelkan mahasiswa sebagai orang bebas berpolitik dan menjadi orang parti hanyalah kehendak pemimpin-pemimpin parti politik tertentu yang mempunyai agenda dan segelintir kecil mahasiswa yang berangan bertanding dalam politik partisan.
Gambaran yang lebih besar tentang mahasiswa dan politik adalah mahasiswa sebagai suara anak muda terpelajar yang memberi idea non-bias sebagai pemerhati kepada landskap politik tanah air. Mereka boleh menegur, memuji, memberi pendapat berbekalkan ilmu yang ada di dada sebagai orang terpelajar yang menuntut di universiti.
Suara-suara ini penting kerana mereka membawa suara dan idea yang tidak menyebelahi dan boleh menjadi kritikan membina buat negara.
Adakah sistem sedia ada yang wujud sebelum ini menghalang mahasiswa untuk mengetahui dan mempelajari politik? Tidakkah pindaan yang dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada 2010 telah membolehkan penglibatan pelajar untuk mempelajari politik dengan lebih dekat?
Difahamkan dalam pindaan tersebut, pemimpin parti politik dari kedua kubu kerajaan dan pembangkang dibolehkan untuk hadir ke universiti-universiti dalam program mahasiswa dan mahasiswa yang ingin berkecimpung dalam politik juga diperbolehkan atas kebenaran Naib Canselor.
Sudah tentu Naib Canselor terdiri dari orang-orang akademik yang bijaksana dan adil dalam membuat keputusan. Mereka yang berpotensi dan tidak ada masalah dari segi akademik sudah tentu diluluskan permohonannya.
Maklumat dari Kementerian Pengajian Tinggi, tidak ada satu pun permohonan yang dibuat tetapi ramai pelajar mengadu domba katanya tak diluluskan permohonan-permohonan mereka. Auta.
Seperti mana yang kita ketahui antara alasan kenapa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diperkenalkan suatu ketika dahulu adalah supaya mahasiswa di universiti menumpukan perhatian pada pelajaran dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak selama beberapa tahun mereka berkuliah.
Siapa kata mahasiswa tidak boleh mengeluarkan pendapat mengenai isu semasa negara, politik? Media massa, internet, sentiasa terbuka bagi mana-mana pihak mengeluarkan pendapat.
Sebagai mahasiswa yang sudah tentu lebih banyak membaca pasti mengetahui bahawa sejarah-sejarah penting di dunia ini banyak bermula dari tulisan-tulisan di media dalam menyampaikan idealisme dan pemikiran. Ilmu selalu mendasari perjuangan. Inilah cara yang bijak. Cara yang seharusnya lebih difahami dan digunapakai oleh mereka yang bijak dan terpilih ke universiti.
Cara bijak untuk mereka yang mengatakan diri mereka pejuang dan ingin mengambil serta dalam perubahan ke arah lebih baik ketika masih berkuliah. Bukan demo jalanan, provokasi, dan mainan emosi!
Perlu diingat juga apabila seksyen 15 dalam AUKU dipinda dan dibolehkan pelajar berpolitik dan mendaftar sebagai ahli parti politik tertentu kelak, kita khuatirkan idealisme murni seorang mahasiswa untuk menghasilkan pemikiran jujur tanpa mana-mana pengaruh yang baik untuk negara akan hilang.
Mereka yang kini cenderung menjadi orang parti akan secara majoriti berkata ya bila pemimpin kata ya, tidak bila pemimpin kata tidak. Ini hakikatnya.
Rakan-rakan sekalian, percayalah negara manapun akan hancur jika pendapat anak muda tidak diambil peduli. Negara juga akan hancur jika generasi muda tersebut tidak dididik baik dengan kemahiran dan ilmu.
Waktu di universiti digunakanlah sebaik mungkin untuk menguasai hal tersebut dan jadilah produk universiti yang penuh bersedia untuk meneruskan usaha menjadikan negara makmur, maju dan terus ke depan apabila tiba waktunya nanti.
Tiga atau empat tahun berkuliah bukannya lama sangat. Tidak rugi kalau kita fokus pada kuliah dalam jangka waktu ini daripada hendak berpolitik partisan secara serius.
Jika hendak sampaikan komen, pemikiran dan idealisme ia sangat dialu-alukan tetapi sampaikan dengan cara berhemah dan efektif, ini baru cara bijaksana seorang mahasiswa.
Pada Disember 2011 yang lalu, Sondang Hutagalung seorang mahasiwa dari Universitas Bung Karno Jakarta membakar diri sendiri ketika selesai berdemo di depan istana presiden Susilo Bambang Yudhoyono, mendesak presiden meletak jawatan seperti tuntutan beberapa parti politik pembangkang di Indonesia.
Adakah ini contoh manipulasi parti politik yang mungkin saja terjadi pada anak muda yang emosi berpolitik? Adakah bila kejadian begini terjadi baru kita hendak membuka mata meminta anak-anak kita supaya tidak memilih cara berdemonstrasi jalanan? Renung-renungkan.
Mohd Rizal Abd Rahman
Ahli Kelab UMNO Jakarta dari Badan Perhubungan Negara Indonesia yang juga mahasiswa Jurusan Perubatan di Universitas Kristen Krida Wacana, Jakarta, Indonesia.
1 comment:
Ni baru la namanya suara mahasiswa. Berpekik terlolol tu cara monyet. Perangai macam ni nak jadi cikgu pun tak lepas, apa lagi nak jd calon pilihanraya. Jadi 'makanan' Anwar je la kau Adam Adli.
Post a Comment