Wednesday, January 21, 2009

PPSMI – Antara yang emosional dan rasional (Bahagian 2)




Saya telah menjangka bahawa saya akan mendapat respons yang agak banyak selepas menulis mengenai tajuk ini minggu lepas. Salah satunya adalah daripada seorang yang menggunakan nama maya Ata Bakar, seorang kakitangan kerajaan yang menjelajah ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Beliau banyak merisik tentang kesan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) terhadap pelajar luar bandar dan bagi beliau dasar ini banyak merugikan pelajar. Nasihat beliau, janganlah saya menyokong dasar ini semata-mata kerana kajian dan laporan yang nampak cantik di atas kertas.

Sebenarnya saya terpanggil untuk mengulas tentang isu rasional dan emosional kerana golongan tertentu kelihatan melampau dalam penentangan mereka terhadap PPSMI sehingga tidak lagi berpegang kepada kematangan tradisi intelektual dan budaya ilmu.

Jika mahu berhujah tentang kesan PPSMI terhadap bahasa, berhujahlah mengenainya berlandaskan tradisi ilmu dan budaya intelektual. Itu rasional. Lagipun Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memberi jaminan bahawa pandangan mereka akan diambil kira dalam kertas laporan dan cadangan kepada Jemaah Menteri. Yang tidak rasional adalah apabila golongan ini mula bercakap kasar, menipu, mengugut, berhujah tanpa fakta dan data yang kukuh serta sibuk hendak mengusung keranda walaupun jelasnya bahasa Melayu tidak akan mati semata-mata kerana PPSMI.

Disebabkan itu saya mempersoalkan tindakan golongan muda tertentu yang menurut rentak golongan ini secara membuta tuli tanpa benar-benar mendalami tentang dasar, usaha dan isu di sebalik perjuangan memperkasakan Bahasa Kebangsaan sepanjang tempoh 20 tahun ini. Lebih-lebih lagi apabila sesetengah kelompok di dalam gerakan ini langsung tidak menyokong perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Sedangkan tanpa perjuangan memartabatkan bangsa, tiadalah erti perjuangan bahasa. Apakah motif mereka?

Saya tidak perlu menjawab Ata Bakar kerana seorang lagi pengirim e-mel, danebopt, seorang guru bahasa Inggeris (BI) yang pernah mengajar di SK Ulu Lubai di kawasan pedalaman Sabah ada berkongsi pengalamannya.

Menurut danebopt, beliau mahu PPSMI diteruskan agar golongan guru dan murid dapat meningkatkan penguasaan BI di samping memantapkan penguasaan ilmu matematik dan sains. Beliau yakin PPSMI akan berjaya lebih-lebih lagi jika semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dijalankan secara komited dan ikhlas.


Menurut danebopt lagi, beliau juga dapat melihat kesan positif ini di SK Tanjung Aru, sebuah sekolah di kampung nelayan di Sandakan yang tidak pernah melahirkan pelajar yang mencapai keputusan 5A dalam UPSR sepanjang tempoh 52 tahun sekolah itu beroperasi. Apabila beliau berpindah ke sekolah tersebut dalam tahun 2007, beliau terperanjat kerana murid sekolah ini dapat memahami dan menguasai istilah Matematik dalam BI dengan baik. Misalnya, istilah "round off" dapat difahami dengan baik berbanding perkataan "bundarkan" walhal mereka terdiri daripada anak-anak nelayan. Baru-baru ini salah seorang pelajarnya berjaya memperolehi 5A dan jumlah pelajar yang lulus mata pelajaran matematik dan sains pula melebihi 80 peratus. Kesimpulannya, beliau mahu dasar ini diberi ruang dan peluang mencukupi agar lebih banyak kejayaan diperolehi.

Untuk Ata Bakar, saya percaya tentulah pegawai-pegawai KPM lebih terdedah dgn banyak data dan kajian berbanding saudara. Walaupun ada beberapa kajian disebut oleh sejumlah pengirim emel, seperti yang dibuat oleh UPSI dan Pembina, namun dimaklumkan, dalam persidangan meja bulat, terdapat pertikaian mengenai kekuatan instrumen, sampel dan kesimpulan kajian.

Istilah bahasa ibunda bukan lagi istilah yang tepat dalam isu PPSMI dan hujah bahawa pelajar lebih mudah menguasai konsep sains dan matematik menggunakan bahasa ibunda bukan hujah yang begitu kukuh kerana terdapat bukti bahawa anak-anak bukan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dapat mempelajari sains dan matematik menggunakan bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan tanpa sebarang masalah. Begitu jugalah anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Jangan lupa bahawa anak-anak kita lebih accomodative dan mampu beradaptasi dalam menghadapi cabaran-cabaran baru.

Seorang lagi pengirim e-mel, haryati, menyatakan jika di kawasannya ada pilihan, tentulah dia akan menghantar anaknya ke sekolah yang melaksanakan PPSMI. Baginya, tidak mengapa jika anaknya susah sedikit kerana selama ini dalam menghadapi kehidupan, anak-anak perlu diajar susah bukan dimanjakan.

Kata haryati ada benarnya. Belajarlah dari bidalan orang-orang tua, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Jangan terlalu memanjakan anak dan jadilah orang yang berkeyakinan terhadap kemampuan anak bangsa dalam mengharungi sebarang cabaran.

Apa pun saya percaya Menteri Pelajaran akan membuat keputusan yang akan mengambil kira pandangan semua pihak, termasuk pejuang bahasa. Tidak perlu beremosi sehingga mengusung keranda kerana ia hanya manifestasi perilaku tidak rasional, kurang sopan dan bukan dari budaya kita.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
Rabu, 21 Januari 2009

1 comment:

opcharlie said...

teruskan usaha saudara itu memantapkan polisi ini. mereka yang tidak menghiraukan pentingnya penguasaan bahasa inggeris akan sentiasa ketinggalan dan dalam keadaan 'self-denial' (dengan izin).

Popular Posts