1. Pengumuman PM10 menghadkan subsidi petrol RON95 kepada 200 liter sebulan membuktikan sekali lagi bahawa pendekatan yang diambil adalah tidak menyeluruh, tidak menyelesaikan masalah, tidak adil dan tidak berkesan.
Had 200 Liter: Langkah Tidak Logik atau Sekadar Simbolik?
2. PM10 sendiri menyatakan bahawa hampir 90% rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan. Jika demikian, apakah rasional sebenar menetapkan had ini?
Jika majoriti pengguna tidak menggunakan lebih daripada 200 liter, maka kesan fiskal daripada langkah ini juga adalah terhad.
3. Apa gunanya pengumuman ini? Adakah supaya kerajaan boleh mengambil untung daripada rakyat jika mereka terpaksa membeli pada harga semasa RON95 yang melambung tinggi jika ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menggunakan lebih daripada 200 liter? Ini bukan solusi tetapi langkah punitif yang lebih bersifat menghukum rakyat dan mengambil kesempatan ke atas kesulitan mereka.
KENAPA RAKYAT DIHADKAN, TETAPI T20 DAN PERNIAGAAN BESAR TIDAK?
3. Jika penurunan had penggunaan petrol adalah berkaitan dengan langkah pengurangan subsidi rakyat dan pengawalan bekalan, maka kenapa PM10 tidak mengumumkan langkah yang sama terhadap golongan T20 dan perniagaan di Sabah dan Sarawak? Kenapa PM10 tidak:-
• menghadkan penggunaan bahan api golongan T20 di Sabah dan Sarawak
• melaksanakan subsidi diesel bersasar kepada towkey balak dan perniagaan besar di Sabah dan Sarawak?
Mengapa rakyat biasa dikenakan had, tetapi golongan berkemampuan dan penggunaan berskala besar terus dibiarkan? Ini adalah dasar yang tidak konsisten, diskriminatif, songsang dan tidak adil.
HARGA GLOBAL TURUN, TETAPI RAKYAT DIPAKSA BAYAR LEBIH
4. Data menunjukkan sejak September 2022 sehingga Disember 2025:
• harga minyak mentah global turun sekitar 30% – 40%
• gas asli turun lebih 50%
• arang batu turun lebih 60%
Namun, kerajaan campuran Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) ini tidak pula menurunkan harga minyak ketika itu, sebaliknya bertindak:
• menaikkan harga diesel bermula dengan kenaikan sekitar RM1.20 seliter
• menaikkan harga petrol sekitar 55 sen seliter
• menaikkan ICPT dan tarif elektrik
Hari ini harga tanpa subsidi melonjak:
• RON95: RM2.05 → RM3.87 (naik lebih 89%)
• Diesel: RM2.15 → RM5.52 (naik lebih 156%)
Ini menunjukkan rakyat dipaksa menanggung beban walaupun kos global telah menurun sepanjang tahun 2023 hingga 2025. Ke mana pergi penjimatan kerajaan sepanjang tempoh ini?
KE MANA PERGINYA BERBILION RINGGIT PENJIMATAN DAN HASIL KERAJAAN?
5. Sedangkan sepanjang tempoh yang sama, Kerajaan campuran PH-BN ini telah:
• menarik balik berbilion-bilion subsidi rakyat
• menambah dan meningkatkan cukai
• memansuhkan tol percuma musim perayaan
• menaikkan tarif elektrik dan harga bahan api
Sehingga hari ini, tiada penjelasan telus ke mana perginya berbilion ringgit penjimatan dan hasil pendapatan cukai ini yang sepatutnya digunakan untuk menyerap kesan krisis Perang Amerika Syarikat, Israel - Iran ini.
PM10 PERLU TUMPUKAN USAHA UNTUK DAPATKAN KESTABILAN HARGA, BEKALAN, BUKAN GEOPOLITIK
6. Apa gunanya PM10 ke Jakarta untuk membincangkan soal geopolitik Asia Barat? Ia tidak sepatutnya menjadi keutamaan ketika ini kerana tidak ada apa pun yang boleh dilakukan oleh Malaysia untuk menyelesaikan Perang Amerika Syarikat, Israel - Iran. Bukankah sepatutnya PM10 pergi berunding dengan negara sumber minyak untuk memastikan bekalan dan harga minyak yang diimport untuk kegunaan Malaysia lebih stabil? Yang sakit dan perlukan rawatan ni jantung sendiri, tapi yang cuba diubat, anak kawan di kampung sebelah.
TINDAKAN KERAJAAN
7. Dalam keadaan sekarang bukankah lebih baik kerajaan memikirkan langkah-langkah yang praktikal dan yang boleh dilaksanakan segera, misalnya:-
I. Penjimatan Dalam Kerajaan
Kerajaan Perlu Mulakan Dengan Berjimat
Dalam keadaan rakyat menanggung beban, kerajaan perlu menunjukkan contoh kepimpinan melalui:
• Pemotongan gaji dan elaun Menteri serta Timbalan Menteri
• Kurangkan perbelanjaan tidak perlu
• Hentikan pembaziran dalam pentadbiran kerajaan
• Hentikan perjalanan dan lawatan ke luar negara yang tidak perlu. Anwar boleh sahaja berbincang secara video conferencing atau kaedah lain dengan pihak di luar negara.
• Tamatkan kontrak dan tugas pegawai-pegawai lantikan politik dalam kementerian, agensi, GOC dan GLC, misalnya lantikan pegawai-pegawai khas dan cybertrooper/pempengaruh politik dalam agensi-agensi tertentu
• Kurangkan jawatan-jawatan lantikan politik yang tidak kritikal
II. Laksanakan Subsidi Diesel Bersasar
• Laksakan subsidi diesel bersasar, had penggunaan dan harga pasaran kepada T20 dan perniagaan besar di Sabah dan Sarawak
• Lindungi rakyat biasa dan sektor kritikal
III. Kawal Harga Minyak Seperti Dahulu
Sebelum ini, pada tahun 2022 dan sebelum tahun 2018, harga minyak mentah pernah melebihi USD115 setong, namun kerajaan masih mampu mengekalkan harga bahan api pada paras rendah.
Hari ini:
• RON95 meningkat lebih 89%
• Diesel meningkat lebih 156%
Ini membuktikan bahawa kawalan harga adalah mampu dilakukan jika ada kemahuan dan kesungguhan politik.
V. Perkukuh Diplomasi Tenaga
Berunding secara langsung dengan negara pengeluar untuk mengikat kontrak bekalan jangka panjang dan harga yang lebih stabil.
VI. Lindungi Rakyat dan Perniagaan
Kenaikan harga bahan api, khususnya diesel, mempunyai kesan berantai/dimino yang besar terhadap kos sara hidup dan kos operasi perniagaan:
• Kos logistik meningkat
• Harga makanan dan barangan asas naik
• Kos operasi perniagaan kecil dan sederhana (SME) melonjak
Namun, sehingga kini tiada langkah menyeluruh untuk menyerap kesan ini. Bantuan tunai sahaja tidak mencukupi kerana ia bersifat sementara, sedangkan kos perniagaan meningkat secara berterusan. Ketiadaan subsidi bersasar kepada sektor kritikal seperti pengangkutan makanan dan logistik menunjukkan kelemahan dasar dalam memahami struktur ekonomi sebenar negara. Perlu ada kaedah untuk mengadakan subsidi atau rebat kepada sektor logistik dan makanan, sokongan kepada SME dan kawalan harga barangan asas tertentu untuk manfaat rakyat.
VII. Ketelusan Penuh
• Dedahkan jumlah penjimatan subsidi
• Nyatakan ke mana dana disalurkan
• Laporkan kepada rakyat secara berkala
8. Apa yang jelas adalah langkah menurunkan had penggunaan daripada 300 liter kepada 200 liter tidak menyelesaikan sebarang masalah sebaliknya hanya akan membebankan pengguna individu yang menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan terutama dalam musim perayaan. Pergi berunding dengan Indonesia kononnya untuk menyelesaikan masalah geopolitik dunia juga tidak masuk akal. Semua ini hanya antara bukti kegagalan PM10 dan kerajaan campuran PH-BN memahami isu pokok dan masalah sebenar rakyat.


No comments:
Post a Comment