Friday, March 27, 2026

KRISIS HARGA MINYAK: AKMAL, PEMUDA UMNO TIDAK BOLEH DIHARAP

 


1. Hujah Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkenaan krisis peningkatan harga minyak di Malaysia amat menyedihkan dan menggambarkan betapa Pemuda UMNO hari ini lemah serta sekadar menjadi pembodek kepada kerajaan, bukan suara sebenar rakyat.

Mengaitkan kenaikan harga minyak semata-mata dengan faktor global adalah hujah mudah, tetapi tidak jujur kepada realiti yang sedang dihadapi rakyat. 

2. Sepatutnya suara pemuda lebih kritis terhadap dasar-dasar PM10 dan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Pemuda Umno dan Umno adalah sebahagian daripada kerajaan campuran Pakatan Harapan - Barisan Nasional yang memutuskan dan melaksanakan dasar dan pendekatan yang tidak menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

FAKTA: HARGA BAHAN BAKAR GLOBAL 2022 HINGGA AWAL 2026 TURUN, TETAPI RAKYAT DIPAKSA BAYAR LEBIH

3. Pertamanya, Akmal perlu faham bahawa sejak tahun 2022 sehingga Februari 2026, harga minyak mentah, gas asli dan arang batu global menurun. Data Trading Economics jelas menunjukkan bahawa sejak Jun 2022 sehingga Disember 2025 harga minyak mentah turun 30% – 40%, gas asli turun >50% dan arang batu turun >60%.

4. Bagaimanapun sejak mula memerintah pada November 2022, kerajaan PH-BN tidak mengumumkan penurunan harga petrol, diesel dan tarif elektrik, sebaliknya bertindak menaikkan:

• harga diesel bermula dengan RM1.20 seliter

• harga petrol dinaikkan bermula dengan 55 sen seliter

• kadar ICPT dan tarif elektrik

5. Berbeza dengan harga pada Jun 2022, iaitu ketika harga minyak mentah Brent adalah pada paras AS$ 118 setong dan tukaran matawang adalah AS1 bersamaan RM4.24, kerajaan ketika itu masih boleh mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 seliter dan Diesel pada RM2.15 seliter.

6. Sedangkan pada 24 Mac 2026, harga minyak mentah Brent adalah pada AS$104 dan kadar tukaran matawang adalah AS$1 bersamaan RM3.96, harga RON95 dan Diesel melonjak begitu tinggi.

• RON95: RM2.05 → RM3.87 (+89%)

• Diesel: RM2.15 → RM5.52 (+156%)

Jika dibuat perbandingan yang lebih jelas penurunan harga minyak mentah Brent sejak Jun 2022 adalah seperti berikut:- 

• Jun 2022: harga minyak mentah Brent ~ USD118

• Dis 2025: ~ USD60 (penurunan hampir 50% dari Jun 2022)

• Mac 2026: ~USD103 (penurunan sekitar18% daripada Jun 2022)

Namun dalam tempoh sama harga tidak diturunkan malah dinaikkan. Ini bukan kesan pasaran global. Ini adalah keputusan dasar kerajaan campuran PH-BN. Rakyat Malaysia telah dipaksa membayar harga yang lebih mahal untuk RON95, Diesel dan tarif elektrik walaupun kos bahan bakar global telah menurun. 

7. Sepatutnya Akmal dan Pemuda Umno lebih kritis terhadap pendekatan PM10 dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Madani PH-BN. Misalnya, pengumuman kerajaan menghadkan subsidi RON95 kepada 200 liter sebulan. Kerajaan sendiri mengakui hampir 90% rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan. Jadi, apa sebenarnya tujuan had ini?

8. Jika majoriti tidak terjejas, maka pendekatan yang diambil adalah tidak menyeluruh, tidak menyelesaikan masalah, tidak adil dan sudah pasti tidak berkesan. Lebih teruk lagi, langkah ini boleh dilihat sebagai langkah punitif bagi menghukum rakyat yang terpaksa menggunakan lebih daripada 200 liter dengan memaksa mereka membeli pada harga pasaran yang melambung tinggi. Ini bukan solusi, sebaliknya adalah beban tambahan kepada rakyat. Ini juga tiada kaitan dengan soal global, tetapi kepandiran kerajaan berfikir dan mengemukan penyelesaian.

9. Sepatutnya Akmal dan Pemuda Umno mempersoalkan jika had penggunaan petrol individu boleh diturunkan dan subsidi bersasar boleh dilaksanakan di Semenanjung untuk RON95, kenapa kerajaan tidak mengumumkan langkah yang hampir sama untuk pengguna diesel oleh golongan T20 dan perniagaan di Sabah dan Sarawak? Jika benar tujuannya adalah untuk mengawal subsidi dan penggunaan minyak, maka tidakkah wajar kerajaan:-

• menghadkan penggunaan bahan api golongan T20 di Sabah dan Sarawak?

• melaksanakan subsidi diesel bersasar kepada towkey balak dan perniagaan besar?

10. Tidakkah Akmal dan Pemuda Umno sedar bahawa rakyat Semenanjung, baik individu termasuk B40 dan perniagaan membayar sehingga 157% lebih mahal diesel berbanding golongan T20, towkey balak dan perniagaan besar di Sabah & Sarawak? Kenapa Akmal dan Pemuda Umno tidak mempersoalkan polisi kerajaan untuk menghadkan penggunaan RON95 rakyat biasa, tetapi langsung tiada langkah untuk menghadkan penggunaan diesel oleh golongan berkemampuan, towkey balak dan perniagaan di Sabah dan Sarawak? Ini juga bukan soal global, tetapi persoalan dasar kerajaan yang tidak konsisten, diskriminatif, songsang dan tidak adil?

11. Pada waktu yang sama kenapa Akmal dan Pemuda Umno tidak mempersoalkan perbandingan harga RON95 dan Diesel di Malaysia yang merupakan 'net exporter' berbanding negara 'net importer' seperti Indonesia dan Thailand? Pada 26 Mac 2026 harga RON95 dan Diesel Euro 5 dan produk setaranya di Indonesia dan Thailand adalah seperti berikut:- 

I. RON95 Malaysia

• Setara dengan Pertamax Green 95 Indonesia (~RM3.10) dan Gasohol 95 Thailand (~RM4.93)

• Malaysia masih lebih mahal berbanding Indonesia (- 20%), lebih murah berbanding Thailand (+27%)

II. Diesel Euro 5 Malaysia

• Setara dengan Diesel B7 Thailand (~RM3.59) dan Pertamina Dex Indonesia (~RM3.48)

• Diesel Malaysia jauh lebih mahal: 

• +35% berbanding Thailand

• +37% berbanding Indonesia

III. Premium / High Octane

• RON97 Malaysia ≈ Pertamax Turbo (RON98) Indonesia (harga ~RM3.14, lebih murah berbanding RON97 Malaysia RM5.15)

Hakikatnya, petrol RON95 Malaysia lebih mahal berbanding Indonesia (~20% lebih tinggi) dan Diesel Malaysia jauh lebih mahal dari Thailand dan Indonesia, +35% berbanding Thailand, +37% berbanding Indonesia. Jika ketiga-tiga negara terkesan dengan peningkatan harga global, kenapa harga di Malaysia sebagai negara pengeksport minyak lebih mahal berbanding negara pengimport minyak seperti Indonesia dan Thailand? Sekali lagi, ia adalah soal polisi.

12. Akmal dan Pemuda Umno sepatutnya lebih kritis untuk mempersoalkan PM10 dan kerajaan mengenai ke mana perginya berbilion ringgit hasil penjimatan dan pendapatan kerajaan sejak tahun 2023. Sepanjang tahun 2023 hingga 2025, kerajaan telah:- 

• menarik subsidi berbilion ringgit

• menambah dan menaikkan cukai

• memansuhkan tol percuma hari perayaan

• menaikkan ICPT dan tarif elektrik

• menambah hutang negara hampir RM250 bilion

Namun sehingga hari ini tiada penjelasan telus ke mana perginya semua penjimatan, pendapatan dan hutang yang dibuat ini. Subsidi rakyat ditarik, cukai meningkat, hutang negara bertambah, tetapi berbanding zaman Pandemik Covid19, rakyat tidak benar-benar merasai manfaatnya. Ini juga bukan soal global tapi soal polisi.

13. Akmal dan Pemuda Umno juga boleh mempersoalkan keutamaan PM10 apabila mahu ke Indonesia membincangkan soal geopolitik. Apa gunanya lawatan ke luar negara membincangkan geopolitik Asia Barat sedangkan Malaysia tidak mampu menyelesaikan konflik global. Yang lebih utama adalah untuk Malaysia pergi ke negara sumber dan berunding untuk memastikan bekalan dan kestabilan harga minyak yang diimport oleh Malaysia. Ini sudah menjadi kes, sakit lain tetapi beri ubat yang lain.

AKMAL SILAP: INI BUKAN SEMATA-MATA ISU GLOBAL

14. Hujah bahawa ini isu global tidak boleh diterima bulat-bulat kerana realitinya, semasa harga bahan api global turun sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, tetapi harga minyak dan ICPT/tarif elektrik domestik tetap naik dan rakyat menanggung beban. Apa yang berlaku hari ini adalah kegagalan dasar kerajaan, bukan semata-mata tekanan global. Sebagai pemimpin muda, Akmal dan Pemuda Umno sepatutnya mempersoalkan dasar kerajaan dan keutamaan PM10, serta membela rakyat, bukan bersekongkol mempertahankan naratif dan alasan-alasan kerajaan.


No comments:

Post a Comment