Friday, March 27, 2026

DASAR HARGA DIESEL: KENAPA PM10 DAN KERAJAAN MELANGGAR PERKARA 8 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN MENAFIKAN HAK RAKYAT, PERNIAGAAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA?


 1. Ahli-ahli Parlimen wajar menyoal PM10 dan kerajaan Madani PH-BN, adakah mereka telah melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan apabila secara nyata menafikan subsidi diesel kepada rakyat dan perniagaan di Semenanjung Malaysia, sedangkan subsidi tersebut terus dinikmati secara menyeluruh di Sabah, Sarawak dan Labuan. Ini bukan lagi persoalan dasar semata-mata, tetapi persoalan keadilan perlembagaan.

2. Perkara 8 (1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut:-

2.1 Perkara 8(1) - Kesamarataan

“Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang.”

2.2 Perkara 8(2) - Larangan Diskriminasi

“Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berhubung dengan pemerolehan, pemilikan atau pelupusan harta atau penubuhan atau menjalankan apa-apa perdagangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”

3. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah PM10 dan kerajaan PH-BN telah mewujudkan dua realiti berbeza dalam satu negara:

- Diesel di Semenanjung: RM4.72 seliter

- Diesel di Sabah, Sarawak & Labuan: RM2.15 seliter

- RON95 bersubsidi: RM1.99 (seragam)

- RON97: seragam

4. Perbezaan ini bukan kecil, tetapi jurang besar yang memberi kesan langsung kepada kos hidup dan kos perniagaan. Lebih pelik, hanya diesel diperlakukan secara berbeza, bukan petrol.

5. Pelanggaran Teras Perkara 8(1): Layanan Tidak Sama Terhadap Kelas Yang Sama

Kerajaan tidak boleh lari daripada fakta ini, iaitu:

i. Pengguna diesel di Malaysia adalah kelas yang sama

ii. Mereka menjalankan fungsi ekonomi yang sama

iii. Namun dikenakan harga yang berbeza hanya kerana mereka berada di wilayah berbeza

Ini bukan sekadar “perbezaan dasar”. Ini adalah layanan tidak sama terhadap kumpulan yang sama - asas kepada pelanggaran Perkara 8(1). Jika prinsip kesamarataan memberi sebarang makna, ia mesti terpakai di sini.

6. Diskriminasi Terselindung Yang Nyata (Perkara 8(2))

Kesan dasar ini terhadap kehidupan rakyat dan perniagaan amat jelas dan tidak boleh disangkal:

- Rakyat, termasuk golongan B40 dan Perniagaan di Semenanjung perlu menanggung beban kos lebih tinggi

- Rakyat, termasuk golongan T20 dan Perniagaan Sabah/Sarawak pula menerima manfaat subsidi menyeluruh

Ini bukan neutral. Ini adalah "diskriminasi secara operasi (operational discrimination)" yang memberi kesan kepada:

- kos perniagaan

- harga barangan

- daya saing ekonomi

yang secara langsung menyentuh perlindungan di bawah Perkara 8(2).

7. Ketidak konsistenan ini melemahkan keseluruhan Dasar kerajaan PH-BN. Hakikatnya, tiada hubungan rasional yang konsisten dalam soal ini:-

- Harga RON95 dan RON97 sama seluruh negara

- Harga Diesel berbeza secara ekstrem

Jika alasan kerajaan melaksanakan dasar yang diskriminatif ini adalah berkaitan aspek geografi, logistik dan kos sara hidup Sabah dan Sarawak, maka persoalan yang tidak dapat dielakkan adalah - Mengapa petrol tidak dibezakan? Mengapa hanya diesel?

8. Pengelasan yang diskriminatif ini juga gagal dan tidak bertanggungjawab, ia terlalu meluas (overbroad). PM10 dan kerajaan Madani PH-BN memilih pendekatan paling mudah dan paling tidak adil. 

8.1 Semua pengguna di Sabah/Sarawak mendapat subsidi penuh termasuk syarikat besar, industri berat dan golongan T20.

8.2 Semua pengguna di Semenanjung dikenakan harga yang tinggi tanpa pengecualian, termasuk  golongan B40.

Ini bukan dasar bersasar. Sebaliknya ia adalah "pengagihan manfaat dan beban secara pukul rata yang tidak berasas". Dalam undang-undang, pengelasan sebegini disebut sebagai "gagal ujian “reasonable classification”".

9. Dasar yang diskriminatif dan tidak konsisten ini sudah pasti mengakibatkan ketidakadilan yang sistemik terhadap kos operasi perniagaan dan bebanan ekonomi yang tidak seimbang, terutama di Semenanjung. Apabila kos logistik meningkat, sudah pasti harga barang meningkat dan tekanan inflasi juga bertambah. Sedangkan kesan tersebut minimum di Sabah dan Sarawak. Dasar diskriminatif ini mengakibatkan “distortion of economic equality” antara wilayah dalam satu negara. Kerajaan PH-BN bukan sahaja telah mencipta perbezaan, tetapi juga memperdalam jurang ekonomi secara aktif.

10. Hujah kerajaan untuk menghalalkan diskriminasi dan ketidakkonsistenan polisi ini di Sabah dan Sarawak tidak masuk akal:-

i. Jika ia adalah kerana Sabah/Sarawak lebih mencabar dari segi logistik, kenapa harga Petrol RON95 dan RON97 tidak dibezakan 

ii. Jika tujuan membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, kenapa tidak subsidi berdasarkan keperluan sebenar (pendapatan), bukan lokasi?

iii. Jika tujuannya memberi keadilan, mengapa golongan kaya dan syarikat besar di Sabah/Sarawak turut menikmati subsidi penuh?

11. Dasar Perbezaan Harga Diesel ini merupakan isu Perlembagaan, bukan sekadar persoalan dasar. Dasar ini:

i. Tidak konsisten

ii. Tidak rasional

iii. Tidak disasarkan

iv. Memberi kesan diskriminasi yang nyata, dan yang paling penting

v. melanggar prinsip asas kesamarataan dan anti diskriminasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

12. Kenapa PM10 dan kerajaan Madani PH-BN menafikan hak Perlembagaan Persekutuan rakyat Malaysia dan perniagaan di Semenanjung Malaysia untuk mendapat subsidi dan harga diesel yang sama dengan rakyat Malaysia dan perniagaan di Sabah dan Sarawak?

No comments:

Post a Comment