Wednesday, December 4, 2013

@KhairyKJ - Pemuda UMNO, antara realiti dan persepsi #PAU13


Banyak lagi program yang kita berjaya anjurkan pada penggal lepas. Tun Faisal Ismail Aziz yang menggerakkan Unit Media Baharu. Mereka telah mencorakkan nama sendiri dalam sejarah dan legasi Pemuda UMNO. Cuma, mungkin kurang menyerlah sebab ada lagi persepsi bahawa ‘Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda’ - Khairy Jamaluddin


Memantapkan pemimpin pelapis

MENTERI Belia dan Sukan, KHAIRY JAMALUDDIN yang lebih dikenali dengan gelaran ‘KJ’ berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal kedua pada pemilihan parti Oktober lalu.

Seperti yang dibayangkan Khairy kepada wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dalam wawancara eksklusif di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini, penggal 2013-2016 mungkin yang terakhir menyaksikan beliau sebagai pemimpin nombor satu sayap berkenaan.

Bagi penggal baharu ini, Khairy ingin memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan dan memantapkan pemimpin pelapis Pemuda UMNO segenap peringkat agar mereka boleh diketengahkan sebagai pewaris kepimpinan parti dan negara.

UTUSAN: Terlebih dahulu, boleh Yang Berhormat jelaskan tentang hala tuju Pemuda UMNO bagi penggal 2013-2016?

KHAIRY: Kita akan teruskan dengan usaha untuk mendekati dan mendaftarkan pengundi muda. Kita menjangka hampir 2.5 juta pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke -14 dan kita akui pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kelompok ini memainkan peranan amat penting sekali dalam menentukan kemenangan di kebanyakan kawasan.

Kita melihat bahawa usaha kita selama empat tahun lepas telah membuahkan hasil sebab dalam kalangan pengundi muda Melayu kita dapati memihak kepada Barisan Nasional (BN). Yang tidak memihak kepada kita adalah pengundi muda bukan Melayu.

Jadi kita nak kekalkan momentum untuk mendekati pengundi muda terutamanya mereka yang ketika ini bukan pengundi yang masih lagi di sekolah, masih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menjadi pengundi pada empat hingga lima tahun akan datang.

Selain itu, kita akan memulakan satu proses pengkaderan politik. Ini adalah pembaharuan untuk penggal kedua ini di mana kita ada satu akademi khusus untuk melatih pemimpin-pemimpin parti pada masa hadapan.

Akademi ini adalah di bawah pengendalian Pemuda UMNO dan juga melibatkan Puteri UMNO. Ideanya datang dari Pemuda UMNO dan kita akan menggunakan akademi ini sepenuhnya untuk melatih kader-kader kita. Jadi, ini adalah lebih kepada latihan untuk bakal pemimpin, bukan latihan massa. Latihan massa kita sentiasa buat untuk cawangan, ahli kita. Tetapi itu berbentuk penyertaan umum. Ini lebih kepada kita pilih.

Kita akan kenal pasti beberapa pemimpin yang kita rasa adalah pemimpin masa depan parti. Contohnya, daripada lima lantikan Exco Pemuda UMNO yang saya buat, dua daripada mereka adalah dalam lingkungan 20-an. Profesional muda yang datang dari luar struktur tradisi Pemuda UMNO. Mereka tidak memegang sebarang jawatan di dalam sayap Pemuda UMNO bahagian. Itu satu kelainan yang kita bawa supaya nampak ada orang muda yang di luar kelompok biasa menyertai Pemuda UMNO.

Yang Berhormat akan berganding dengan Naib Ketua yang baharu, Khairul Azwan Harun. Bagaimana YB melihat gandingan ini terutama dari segi keserasian?

Memang amat serasi. Kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kami pernah bekerjasama untuk menarik profesional muda menyertai Pemuda UMNO. Beliau telah bersama dengan saya dalam Exco sebagai Ketua Pemuda Perak dan menjaga Akademi Pemuda sebelum ini. Saya percaya beliau memahami corak kepemimpinan dan pemikiran saya. Saya yakin beliau dapat menjadi seorang Naib Ketua yang efektif.

Hampir keseluruhan barisan Exco Pemuda UMNO pada penggal ini terdiri daripada muka-muka baharu. Mungkin ada yang kurang pengalaman. Bagaimana Yang Berhormat melihat keupayaan mereka?

Tidak juga, sebab ada di antara mereka yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian. Jadi, di peringkat akar umbi, mereka sudah ada pengalaman. Bagus juga sebab ada pembaharuan. Ini adalah satu tanda bahawa ada peralihan generasi di mana hampir 95 peratus Exco kali ini adalah baharu. Muka lama adalah saya, Khairul Azwan dan Nazir Hussin Akhtar Hussin sahaja selain Jamawi Jaafar yang dilantik. Ini saya anggap positif sebab ia satu pembaharuan.

Saya anggap bahawa soal pengalaman itu bukan masalah sebab dahulu pun yang membarisi Exco ramai muka baharu. Exco Pemuda UMNO bukan seperti Majlis Tertinggi (MT). MT kita mungkin lihat dari segi pengalaman tetapi yang ini adalah lebih dari segi mereka yang ada idea untuk disumbangkan bagi menarik minat orang muda kepada UMNO.

Ada juga pihak yang berpandangan barisan Exco sebelum ini kurang menyerlah. Hanya beberapa Exco sahaja yang dikenali ramai.

Saya tidak berapa bersetuju jika dikatakan mereka kurang menyerlah sebab ramai juga yang ke hadapan. Kita melihat, contohnya, Nazir Hussin yang banyak terlibat dengan Karnival Kerjaya Pemuda BN, Lokman Noor Adam yang sentiasa menganjurkan ceramah dan ramai lagi termasuk Tengku Azman Tengku Zainal Abidin yang mengendalikan Sekretariat Hal Ehwal Bandar, Datuk Muhammad Khairun Aseh yang menguruskan Biro Aduan Komuniti.

Banyak lagi program yang kita berjaya anjurkan pada penggal lepas. Tun Faisal Ismail Aziz yang menggerakkan Unit Media Baharu. Mereka telah mencorakkan nama sendiri dalam sejarah dan legasi Pemuda UMNO. Cuma, mungkin kurang menyerlah sebab ada lagi persepsi bahawa ‘Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda’.

Sebab itu, dalam penggal kedua ini, saya hendak memastikan bahawa saya bukan sekadar ‘take the back seat’ tetapi saya hendak minta mereka yang lain ke hadapan seperti Khairul Azwan dan Fathul Bari Mat Jahya. Kita ada ramai bakat dan saya tak mahu bakat itu tenggelam disebabkan persepsi ‘Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda’.

Banyak pihak melihat Pemuda UMNO kurang lantang bersuara dalam isu-isu berkaitan Islam berbanding Pemuda Pas. Contohnya, dalam isu tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu. Apakah dengan adanya Fathul Bari yang dikenali sebagai tokoh ulama muda, persepsi itu akan berubah?

Ini juga saya rasa persepsi. Kita telah mengeluarkan banyak kenyataan termasuk berhubung isu tuntutan Comango yang dibuat oleh Khairul Azwan. Isu ‘Alvivi’ kita buat kenyataan. Isu penghinaan terhadap Rasulullah yang disiarkan dalam bentuk kartun, kita buat demonstrasi di hadapan kedutaan. Isu kalimah Allah pun kita buat demonstrasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kita masih lagi buat tetapi mungkin kita juga ada pendekatan yang progresif, orang tidak nampak. Kita tetap dengan perjuangan mempertahankan agama. Itu adalah perkara asas dalam perjuangan kita. Tetapi mungkin disebabkan kita lebih dikenali dengan karnival kerjaya, pendidikan, perumahan dan banyak lagi. Jadi, perkara itu bukan tenggelam tetapi salah satu daripada banyak aktiviti yang dilakukan Pemuda UMNO.

Namun, saya rasa dengan adanya Fathul Bari dan seorang lagi ulama muda yang dilantik dalam Exco, isu ini akan kita ambil serius sebagai perkara yang penting untuk dipertahankan. Dalam hal ini memang tidak ada kompromi dan kita akan terus memastikan agenda mempertahankan agama sebagai keutamaan kita.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131204/re_05/Memantapkan-pemimpin-pelapis#ixzz2mV70CHzV 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment