Thursday, January 24, 2013

Teks Perutusan @HishammuddinH2O - 4 Ancaman dan 8 Tugasan Penting KDN


"Tidak ada masa rehat yang panjang bagi warga KDN, sebaliknya semua perlu berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi isu, cabaran, masalah, jenayah dan ancaman baru pada bila-bila masa sahaja." - Hishammuddin

Perutusan Tahun Baru 2013
YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
21 Januari 2013
[dibacakan oleh Timbalan Menteri YB Lee Chee Leong]



1. Alhamdulillah, marilah kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun 2012. Setinggi-tinggi kesyukuran juga kita ucapkan ke hadrat Ilahi yang mengizinkan negara kita kekal aman dan harmoni biarpun berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran di sepanjang tahun 2012 dan pada awal tahun 2013.

2. Selamat Tahun Baru saya ucapkan. Semoga tahun ini menjadi tahun yang lebih baik kepada kita semua. Mudah-mudahan kita semua dirahmati dan diberkati serta diberikan segala kekuatan bagi menunaikan tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh rakyat dan juga kerajaan.

3. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepeda kesemua 266 orang pegawai dan warga KDN dari pelbagai peringkat jawatan dan jabatan yang telah terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang hasil prestasi cemerlang sepanjang tahun 2012. Semoga pengiktirafan ini akan menjadi dorongan kepada kesemua penerima agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi dan semoga ia menjadi pembakar semangat kepada warga KDN yang lain untuk mengutamakan kecemerlangan dan prestasi.

APC5 (2)

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Negara dan rakyat telah melalui tempoh transformasi selama tiga tahun. Sejak Agenda Transformasi yang datang bersama gagasan “1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diumumkan pada tahun 2009, pelbagai perubahan pesat telah dirasai oleh rakyat negara ini. Bermula dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), diikuti dengan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan disusuli Pelan Transformasi Politik (PTP), hasrat Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk membawa gelombang perubahan yang besar dalam pentadbiran negara agar setiap rakyat dapat merasai kemakmurannya dan negara dapat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.




5. Tugas teras KDN adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin agar hasrat Agenda Transformasi Perdana Menteri dapat direalisasikan. Tugas ini amat berat, sukar dan semakin kompleks lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira perubahan lanskap politik negara dan antarabangsa, sempadan dunia yang semakin hilang akibat globalisasi, kecanggihan teknologi dan minda jenayah yang semakin kreatif dan terkehadapan selari dengan kecanggihan teknologi masa kini. Sudah pasti, dalam realiti sebegini, kita menjangkakan soal dan isu keamanan dan keselamatan negara tidak mungkin statik, dan kedinamikannya tentunya akan menyebabkan KDN akan terus berhadapan dengan cabaran baru dari semasa ke semasa. Maksudnya, tidak ada masa rehat yang panjang bagi warga KDN, sebaliknya tuan-tuan dan puan-puan semua perlu berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi isu, cabaran, masalah, jenayah dan ancaman baru pada bila-bila masa sahaja.


Pertama: Ancaman keselamatan akibat kegiatan jenayah

6. Contoh yang paling nyata adalah NKRA Mengurangkan Jenayah. Sasaran awal kerajaan adalah untuk memastikan kadar Jenayah Jalanan dikurangkan sebanyak 20 peratus dan kadar Jenayah Indeks dikurangkan sebanyak lima peratus. Melalui strategi lautan biru dan pendekatan di luar kotak kebiasaan, penentuan titik panas (hot-spots) yang tepat, omnipresence, perkongsian berkesan merentasi pelbagai kementerian dan agensi, dibantu pula dengan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan dalam melaksanakan setiap inisiatif yang dirancang, dalam tempoh hanya setahun, kadar Jenayah Jalanan telah dapat diturunkan dengan begitu drastik sehingga 37 peratus dan Jenayah Indeks pula turun sebanyak 16 peratus

7. Kita sendiri tidak menjangka bahawa impak pelaksanaan NKRA ini begitu memberansangkan. Bagaimanapun, seperti yang saya nyatakan, KDN tidak dibenarkan berasa selesa begitu lama. Benar, dengan pendekatan yang dilaksanakan, kadar jenayah dapat dikurangkan dari jalanan dan titik panas. Bagaimanapun ia beralih pula ke kawasan di luar titik panas, termasuk kawasan yang terlindung dari omnipresence seperti taman perumahan dan pusat membeli belah. Menyedari peralihan ini, di sepanjang tahun 2012, kita telah meningkatkan kehadiran anggota kita ke setiap halaman baru (new fronts), termasuk taman-taman perumahan dan pusat membeli belah.

8. Tahun 2013 akan menjadi penanda kepada pelaksanaan fasa kedua NKRA Mengurangkan Jenayah. `Tiang gol telah beralih’ dan tugas mengurangkan jenayah semakin mencabar. 

9. Bagi memastikan kadar jenayah dapat diturunkan secara berterusan, pendampingan dengan pihak berkepentingan utama seperti Persatuan Penduduk, golongan wanita, kanak-kanak, anak muda, pemilik gedung membeli belah, pemilik perniagaan dan operator tempat meletak kenderaan mesti dipertingkat dan diperkukuhkan agar rakyat merasa lebih selamat. Bagi mengurangkan lagi kadar Jenayah Jalanan, pengawasan perlu ditingkatkan di taman perumahan dan premis perniagaan.  Tumpuan juga perlu diberikan bagi membanteras kegiatan pecah rumah dan samun di tempat meletak kenderaan.




10. Komitmen yang tinggi bagi mengurangkan jenayah di halaman baru ini ditunjukkan sendiri oleh Perdana Menteri semasa melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan penyerahan sebanyak 1,000 unit motorsikal bagi tugas rondaan di taman perumahan dan tapak perniagaan terpilih di 150 lokasi di seluruh negara. Perdana Menteri sendiri memberi jaminan akan memperluaskan lagi inisiatif ini jika terbukti kadar jenayah di kawasan perumahan dapat diturunkan dengan signifikan. 



11. Selain URB, dalam tahun 2013, komitmen untuk mengurangkan jenayah juga akan ditingkatkan melalui program-program seperti berikut; 

i. Perluasan Program SafeCam PDRM bagi mewujudkan jaringan CCTV terbesar merentasi Malaysia dengan pemantauan bersama persatuan penduduk dan pemilik perniagaan. Pada tahun 2012, program SafeCam ini telah dirintis dengan rangkaian 19,336 unit CCTV.

ii. Kerjasama dengan 4,025 buah Persatuan Penduduk bagi memperkukuhkan lagi inisatif Kepolisian Komuniti (Community Policing)  

iii. Pembentukan Unit Hubungan Antarabangsa (International Liaison Unit (ILU)) di Kontingen Kuala Lumpur bagi menangani keperluan pegawai dagang dan komuniti perniagaan antarabangsa. 

iv. Inisiatif Biru-Hijau di Sekolah (Blue-and-Green Safety in Schools) bagi mengukuhkan program rondaan bersama PDRM-RELA di 612 buah sekolah di seluruh Negara

v. Kempen Bersatu Memerangi Jenayah (United Against Crime Campaign) untuk menyuarakan tanggung jawab bersama semua pihak bagi memerangi jenayah.

vi. Meningkatkan keselamatan Pusat Membeli Belah dan Tempat Meletak Kenderaan serta melaksanakan Audit Kawalan Keselamatan.

vii. Perluasan Sistem Semakan Online (SSO) bagi membolehkan rakyat mengesan status kes mereka selepas difailkan dengan PDRM

viii. Membersihkan Titik-titik Hitam (Clean-up of Black Spots), iaitu kawasan yang dilihat oleh masyarakat sebagai kawasan tidak selamat dan mengundang jenayah seperti kawasan kotor, gelap, terdapat pendatang tanpa izin dan penagih dadah. 

ix. Merekrut 10,000 Sukarelawan Simpanan Polis (Police Volunteer Reserve (PVR)) yang akan membantu PDRM dalam rondaan dan memastikan keselamatan di jalanan. 

x. Meningkatkan jumlah anggota PDRM dengan pertambahan 4,000 anggota

xi. Inisiatif Pencegahan Jenayah Berasaskan Teknologi (Technology-Driven Initiatives to Crime Fighting), seperti MyDistress dan C4I

xii. Program Pemulihan Selepas Keluar Penjara (Prison After-Release Program) , dan 

xiii. Program-program Pemulihan Penagihan Dadah AADK

12. Dalam program Pemulihan Selepas Keluar Penjara misalnya, melalui pelbagai pendekatan di sepanjang tahun 2012, Jabatan Penjara telah berjaya memastikan kadar residivis kekal di bawah 10 peratus, iaitu pada kadar 7.97 peratus. Melalui Program Pemulihan Pemasyarakatan Banduan di bawah Strategi Lautan Biru Nasional bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia bukan sahaja membantu mengurangkan jenayah, tetapi juga membolehkan kerajaan menjimatkan kos sekitar RM200 juta untuk membina kompleks penjara baru. Sejak pelaksanaannya mulai Mac 2011, seramai 3,551 Orang Di Selia (ODS) telah mengikuti program ini dan daripada jumlah tersebut seramai 1,907 ODS telah dibebaskan dan sehingga kini tiada bekas ODS yang mengulangi kesalahan jenayah dan masuk semula ke penjara. Bukan itu sahaja, dengan bantuan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO's), sebanyak 90 peratus ODS ini juga berjaya mendapatkan pekerjaan. Selain Program Pemasyarakatan Banduan, Rumah Perantaraan, Sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib juga banyak membantu mengurangkan kadar residivis penjara di dalam negara. 




13. Menerusi transformasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pelbagai pembaharuan diperkenalkan dalam program pemulihan dan pencegahan dadah. Klinik Cure & Care 1Malaysia mencatat pertambahan kehadiran klien seramai 12,766 orang pada tahun 2012. Kajian Universiti Malaya dan Universiti Yale di  Klinik Cure & Care 1Malaysia Sungai Besi dan Kota Bharu pada tahun 2012 menunjukkan bahawa hampir 95 peratus klien berjaya mengurangkan craving terhadap dadah. Selain itu, Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) atau dulunya PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik) telah memperkenalkan modul baru berkonsepkan Fun, Effective and Easy to Implement. Hasil dari program ini, seramai 500 orang klien telah dibebaskan dan daripada jumlah itu, 78.9 peratus berjaya memperolehi dan mengekalkan pekerjaan dari tempoh Mac hingga Disember 2012. Di peringkat komuniti pula, sebanyak 43 buah Cure and Care Service Centre (CCSC) di seluruh negara telah memberikan perkhidmatan kepada 4,994 residen dan 172,861 klien harian dan 62 buah Caring Community House (CCH) telah memberi khidmat kepada seramai 106,713 orang klien sehingga Disember 2012. 

14. Dalam tahun 2013 ini, diharapkan semua inisiatif yang telah dirangka di dalam NKRA Mengurangkan Jenayah Fasa Kedua dapat mengurangkan kadar jenayah yang menjadi salah satu ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan di dalam negara kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, 

Kedua: Ancaman akibat kegiatan jenayah merentasi sempadan





15. Ancaman kedua terhadap keselamatan dan keamanan negara adalah Jenayah Merentasi Sempadan. Bagi menangani ancaman ini, KDN telah meneruskan kerjasama strategik dengan negara-negara rakan seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Arab Saudi dan Bangladesh. Sesungguhnya usaha menangani jenayah rentas sempadan memerlukan kerjasama secara kolektif dan holistik di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa kerana tiada sebarang negara di dunia ini yang dapat menanganinya secara bersendirian. Melalui Perjanjian dan Memorandum Persefahaman Dalam Bidang Jenayah Rentas Sempadan, KDN boleh memberikan fokus terhadap jenayah tertentu secara lebih spesifik. Perjanjian dan Memorandum Persefahaman ini juga telah membuka ruang kepada penyertaan Kementerian dan Agensi Penguatkuasaan lain untuk bekerjasama dengan KDN secara bersepadu, berkongsi perspektif dan kepakaran serta tidak lagi bekerja secara berasingan.





16. KDN merupakan agensi peneraju dalam usaha negara menangani ancaman pemerdagangan orang dan penyeludupan migran terutama dalam aspek penguatkuasaan. Bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, Sistem Penguatkuasaan Dan Pendaftaran (Biometrik) Warganegara Asing Nasional Atau Sistem NERS telah dikuat kuasakan di 64 pintu masuk dan keluar negara.

17. Negara juga mempunyai perundangan khusus untuk memastikan sindiket dan agen yang terlibat dalam jenayah ini dapat dibawa ke muka pengadilan kerana mengaut keuntungan di atas penderitaan dan penganiayaan terhadap individu yang tidak berdosa. Pada waktu yang sama, kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap aspek perlindungan mangsa pemerdagangan manusia. Atas sebab kemanusiaan, pada 11 Januari 2012 kerajaan telah membenarkan mangsa kes pemerdagangan orang, terutama dalam mangsa kes eksploitasi buruh untuk tinggal dan bekerja di negara ini. Pelaksanaan dasar ini penting kerana ia merupakan elemen kritikal dalam usaha Malaysia untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dalam aspek perlindungan berlandaskan ‘victim centered approach’ terhadap mangsa pemerdagangan orang di negara ini. 

18. Satu lagi bentuk ancaman jenayah rentas sempadan yang serius adalah jenayah siber yang melibatkan eksploitasi data dan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Penjenayah siber hari ini semakin licik. Sepanjang tahun 2012 sahaja terdapat sejumlah 4,564 kes dalam bentuk pencerobohan, penggodaman, serangan kod berbahaya dan spam yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM 94 juta. Penjenayah siber turut menggunakan peralatan teknologi maklumat seperti komputer dan pencetak bagi memalsukan dokumen seperti matawang, cek dan pasport. Jika jenayah siber ini tidak ditangani dengan baik dan bersungguh-sungguh, ia boleh menjejaskan keamanan dan ketenteraman negara pada masa akan datang, termasuk meruntuhkan sistem ekonomi, institusi dan prasarana. Menyedari hakikat ini, Bahagian Keselamatan Siber telah ditubuhkan bagi menghadapi ancaman serangan siber yang semakin canggih dan berubah-ubah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Ketiga: Ancaman akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri 

19. Ketiadaan dokumen pengenalan diri merupakan salah satu ancaman terhadap keselamatan negara. Tanpa pengenalan diri, akan ada rakyat yang terpinggir dan tersisih dari pendidikan dan pembangunan negara. Negara bukan sahaja akan kehilangan potensi modal insan, tetapi juga akan mengakibatkan permasalahan sosial yang berpanjangan.




20. Di sepanjang tahun 2012, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali lagi berjaya merealisasikan KPI Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN dalam menyelesaikan permohonan Daftar Lewat Kelahiran dengan pencapaian sebanyak 100% daripada keseluruhan 23,719 permohonan. Pada waktu yang sama, JPN juga telah banyak membuat penambahbaikan dan pembaharuan dalam sistem penyampaian perkhidmatan melalui pengenalan prosedur baru Pendaftaran Kematian dengan menggabungkan dokumen Pendaftaran Kematian dan Permit mengubur, mewujudkan Sijil Kelahiran yang berbeza warna bagi kanak-kanak warganegara dan bukan warganegara, mempergiatkan program turun padang dan memperkenalkan perkhidmatan permohonan Gantian MyKad secara Dalam Talian (Online) dan “Phone-In”. Kesemuanya adalah demi kemudahan dan keselesaan rakyat, sesuai dengan hasrat gagasan 1Malaysia untuk mendahulukan rakyat dalam segala aspek. 


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Keempat: Ancaman keganasan dan gangguan terhadap ketenteraman awam

21. Seperti yang kita semua sedia maklum, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa inisiatif Program Transformasi Politik (PTP) yang melibatkan pembatalan tiga Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, dan Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta  Mesin Cetak dan Penerbitan. Bagi menggantikan ISA, Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 telah diperkenalkan. Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional bagi melengkapkan fasa pertama PTP. Jelas dengan inisiatif ini, kerajaan mahu memperseimbangkan di antara keselamatan rakyat dan negara dengan kebebasan dan hak asasi individu dalam sebuah negara demokratik moden. Dengan Akta-akta dan peruntukan undang-undang sedia ada, kerajaan memberi jaminan untuk tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman keganasan serta gugatan terhadap keselamatan rakyat dan negara.


Post Pic




22. Inisiatif transformasi politik ini telah menunjukkan hasil yang positif dalam perhimpunan yang diadakan pada 12 Januari 2013. Perhimpunan 12 Januari yang lalu telah menguji kewibawaan Akta Perhimpunan Aman 2012. Kita dapati pihak berkuasa dan penganjur dapat menghayati kehendak akta ini. Tidak ada sebarang insiden buruk yang berlaku dan perhimpunan dapat dilaksanakan dengan aman tanpa sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.

23. Pada waktu yang sama, begitu banyak penghargaan diberikan kepada pihak PDRM kerana berjaya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam semasa berlangsungnya perhimpunan tersebut sekali gus, ia telah memulihkan persepsi orang ramai terhadap PDRM.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Gelombang kesukarelaan untuk keamanan dan memerangi jenayah

24. Menyedari bahawa lebih banyak lagi anggota masyarakat perlu dilibatkan bagi membantu memastikan keselamatan dan keamanan negara, salah satu komitmen utama KDN pada tahun 2011 adalah untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan melalui pasukan RELA, JPAM, AADK dan PDRM. Ketika itu, jumlah sukarelawan RELA, JPAM, AADK dan PVR yang boleh digerakkan oleh KDN adalah seramai 2.5 juta orang. 




25. Bagi menyegarkan lagi gerakan kesukarelaan ini, KDN menyedari bahawa perlu ada usaha untuk melibatkan tenaga sukarelawan muda. Atas kesedaran ini, Skuad Muda KDN telah ditubuhkan bagi memberikan seluas-luasnya platform kepada golongan muda melibatkan diri dalam kegiatan kesukarelaan.  Sesuai dengan namanya, Skuad Muda KDN bersifat inklusif dan membuka penglibatan kepada seramai mungkin anak muda, bukan sahaja dari pasukan Rela, JPAM, AADK dan SUKSIS, tetapi sesiapa sahaja dari dalam KDN dan di luar KDN

26. Menerusi Skuad Muda KDN, kita mahu pemimpin-pemimpin muda terlibat dari peringkat awal lagi, iaitu di peringkat memberi input, merancang dan melaksanakan program yang sesuai dengan jiwa dan minat mereka.





27. Dari segi jumlah, terdapat sekitar 850,000 sukarelawan muda terlatih di dalam RELA, 200,000 di dalam JPAM, 90,000 di dalam AADK dan 2,000 di dalam SUKSIS. Jumlah ini sahaja membentuk RM 1.14 juta orang sukarelawan muda berumur 18 – 25 tahun. Ini belum termasuk sukarelawan-sukarelawan muda dari pelbagai jabatan dan agensi di dalam dan di luar KDN yang mempunyai pelbagai bakat dan kemahiran masing-masing. Sudah tentu dengan jumlah yang ramai dan kemahiran yang dipunyai, Skuad Muda KDN boleh menjadi penyumbang utama dalam gerakan kesukarelaan 1M4U ilham Perdana Menteri.




28. Hari ini, jumlah sukarelawan RELA, JPAM, AADK, PVR dan Skuad Muda KDN telah melebihi 3.7 juta orang. Dengan jumlah seramai 3.7 juta sukarelawan, termasuk 1.14 juta terdiri daripada golongan muda, KDN mempunyai cukup tenaga bagi memerangi jenayah dan juga menyokong keamanan. Menerusi slogan `We Want Peace’ dan ‘United Against Crime’, saya berharap gerakan ini dapat membantu mengurangkan lagi kadar jenayah di dalam negara ini seterusnya menyumbang ke arah gerakan keamanan yang berterusan.



Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Hala tuju transformasi KDN 2013

29. KDN telah melalui proses transformasi yang pesat sejak tiga tahun yang lalu. Sepanjang tempoh tahun 2011 sehingga 2012, tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya melaksanakan Tujuh Komitmen Utama KDN dengan begitu cemerlang dan hasilnya telah dapat tuan-tuan dan puan-puan rasai pada hari ini. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. 




30. Namun begitu cabaran hari ini menuntut KDN untuk terus melakukan transformasi dengan lebih menyeluruh agar dapat menjadi sebuah organisasi yang lebih mesra rakyat, dapat memberikan perkhidmatan dan maklumat terbaik kepada mereka, dan memainkan peranan yang lebih penting dalam pembinaan negara bangsa. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, saya ingin menggariskan 8 Tugasan Penting KDN yang perlu dilaksanakan dengan segera pada tahun 2013, iaitu;

i. Melaksanakan kesemua inisiatif NKRA Mengurangkan Jenayah Fasa Kedua agar rakyat merasa aman dan selamat

ii. Melaksanakan komunikasi yang berkesan agar rakyat dan pihak berkepentingan memperoleh maklumat yang jelas mengenai dasar, program, produk dan perkhidmatan KDN

iii. Meningkatkan keselamatan siber (cyber security) individu, sektor awam dan swasta, agar setiap satunya merasa dilindungi dan selamat 

iv. Memperjelas dan melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) agar ancaman terhadap keselamatan dan keamanan negara dapat diatasi dan diperseimbangkan dengan hak asasi serta kebebasan sivil

v. Memberi penghargaan kepada warga KDN melalui motivasi dan menjaga kebajikan mereka agar mereka merasa terbela dan mencapai lebih banyak kejayaan

vi. Mendekati Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan menerima sumbangan mereka agar mereka merasai bahawa peranan mereka diiktiraf

vii. Mendekati golongan mahasiswa dengan memanfaatkan kebijaksanaan dan potensi mereka dalam pembangunan negara bangsa

viii. Merancakkan kegiatan kesukarelaan melalui pelbagai insentif bagi membentuk perkongsian yang berkesan


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


Indikator kejayaan KDN dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara

31. Saya telah menerima senarai begitu banyak kejayaan dan pencapaian jabatan, bahagian dan agensi dalam KDN yang tidak sempat saya sebutkan dalam ucapan pagi ini. Saya menghargai setiap kejayaan yang telah dicapai oleh pihak tuan-tuan dan puan-puan yang tentunya telah membantu mengangkat lagi imej KDN di mata masyarakat. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang berjaya.




32. Selain daripada kejayaan jabatan, bahagian dan agensi, saya ingin sebutkan beberapa indikator kejayaan kita semua di dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara melalui semangat 1KDN

i. Indeks Keamanan Global – Malaysia merupakan negara paling selamat dan paling aman di Asia Tenggara, negara ke-4 paling selamat di rantau Asia Pasifik dan negara ke-20 paling selamat di seluruh dunia. 

ii. Laporan World Justice 2012 – Malaysia di tempat paling selamat di kalangan 30 Negara Berpendapatan Sederhana Atas dan ke-16 paling selamat di dunia, mengatasi kedudukan Amerika Syarikat dan Great Britain. 

iii. World Economic Forum Global Competitiveness Report 2012 - Malaysia di tempat tertinggi dalam Ekonomi Membangun Asia walaupun kedudukan jatuh daripada tempat ke-21 ke tempat ke-25

iv. Crime NKRA International Panel Review (‘IPR’) yang terdiri daripada pakar penguatkuasaan undang-undang dan pembasmian jenayah dari AS, UK, Hong Kong dan Singapura menyatakan bahawa ‘apa yang dicapai Malaysia dalam tempoh 12-18 bulan mungkin hanya akan dicapai selepas beberapa tahun pelaksanaan oleh negara lain’

v. Safe City Monitoring System (SCMS) – Malaysia menerima Special Achievement in GIS Award dari Enviromental System Research Intitute (ESRI) dan “Future City of The Year 2012 “ dari Future GOV Summit. 



33. Kesemua pengiktirafan ini menunjukkan bahawa tuan-tuan dan puan-puan, semua warga KDN telah melakukan sesuatu yang betul untuk memastikan keamanan negara dan keselamatan rakyat negara ini. Tahniah kepada semua warga KDN di atas kerjasama berpasukan yang ditunjukkan. Biarpun sukar dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan, namun saya amat menghargai sikap warga KDN yang tidak pernah patah semangat dan tidak pernah mengalah. Biar apapun yang dilemparkan kepada warga KDN, ia menjadikan kita semua lebih bersemangat dan menyebabkan kita semua akan lebih bersungguh-sungguh memikul amanah tanpa rasa takut dan pilih kasih bagi memastikan negara aman dan rakyat dapat hidup dengan selamat.




34. Dalam apa sahaja yang kita lakukan selepas ini, ingatlah bahawa rakyat mesti didahulukan. Rakyat mesti dapat merasai hasil dari dasar transformasi kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Untuk memastikan rakyat dapat menikmati hasil dari agenda transformasi ini, tidak dapat tidak, kita semua warga KDN perlu meningkatkan usaha, berintegriti dan bekerja sebagai satu pasukan – pasukan KDN. Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita dan semoga negara ini terus dirahmati dan rakyat terus dilimpahi nikmat.



Sekian, terima kasih
Wabillahitaufik, Walhidayah’ Wassalamualaikum w.r.t

No comments:

Post a Comment