Monday, November 21, 2011

#SeksualitiMerdeka Tun M, Marina dan Kisah Nabi Lut a.s


[Nota: Membaca tulisan Negarawan Ulung Tun Dr Mahathir Mohamad ini mengingatkan saya tentang kisah Nabi Lut a.s (klik) dan Nabi Nuh a.s. (klik). Dalam kisah Nabi Nuh a.s di sebut -

Kisah Nabi Nuh disebut pada 43 tempat di dalam Al Quran. Malahan nama beliau dijadikan sebagai salah satu nama surah dalam Al Quran iaitu Surah Nuh. Beliau termasuk salah seorang daripada lima Rasul yang bergelar Ulul ‘Azmi. Sungguh banyak penderitaan dan cubaan yang menimpa beliau semasa beliau menjalankan tugas sebagai Rasul, bukan saja dari kaumnya tetapi juga dari keluarganya sendiri seperti dari isterinya dan anaknya. Beliau berdakwah siang dan malam selama 950 tahun namun kaumnya yang beriman kepadanya hanya 80 orang bersama dengan isteri isteri mereka masing-masing (menurut riwayat Ibnu Abbas).

Beliau mempunyai empat orang anak. Seorang daripada mereka bernama Kan’an. Dia durhaka kepada ayahnya dan tidak beriman kepada Allah. Kan'an mati ketika banjir dan taufan melanda bumi ketika itu kerana keengganannya mengikuti perintah ayahnya agar menaiki bahtera. Adapun tiga anaknya yang lain iaitu Sam , Ham dan Yafith terselamat kerana patuh kepada ayah mereka dan beriman kepada Allah.

Dalam kisah Nabi Lut pula, dipetik - Keluarga Nabi Lut telah dirahmati Allah, kecuali isterinya, seorang perempuan tua. Dia tidak percaya dan mengkhianti Nabi Lut. Terdapat seorang lagi isteri Nabi yang serupa dengan isteri Nabi Lut, yang tidak percaya dan mengkhianti suaminya. Walhal, mereka berada di bawah dua hamba Allah yang salih, yang diangkat menjadi Nabi dan rasul. Kedua-kedua isteri tersebut akan dimasukkan ke dalam Api (neraka) pada Hari Kiamat. ]


SEKSUALITI MERDEKA
NOV18
2011 24 COMMENTS WRITTEN BY CHEDET

1. Masyarakat mana-mana pun tahu adanya orang yang dilahirkan dengan jantina tidak menentu. Ada yang memiliki tubuh badan lelaki tetapi bahagian-bahagian tertentu lebih mirip kepada perempuan. Mereka dikenali sebagai pondan atau ponen dan ada yang sebaliknya, iaitu tubuh badan perempuan tetapi mirip lelaki.

2. Mereka diterima oleh masyarakat sejak dahulukala lagi tanpa banyak masalah.

3. Tetapi di Barat, kerana gerakan bagi mendaulatkan kebebasan (freedom), mereka ini digesa untuk menuntut hak supaya diiktiraf sebagai sejenis yang berlainan. Mereka juga manusia dan manusia mesti diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja.

4. Yang menjadi masalah ialah mereka yang tidak ada apa-apa kecacatan tetapi menuntut supaya larangan agama dan undang-undang terhadap perbuatan seks di luar tabii seperti meliwat dihalalkan.

5. Dari sini tuntutan diteruskan untuk bukan sahaja dihalalkan seks songsang tetapi juga perkahwinan sejenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Akhirnya perlakuan seks dibebaskan di Barat sehingga apa sahaja diterima oleh masyarakat sebagai hak seseorang manusia. Anak perempuan dan anak lelaki belasan tahun pun boleh tidur dengan siapa sahaja, melakukan apa jenis seks sesuka hati mereka. Tidak ada lagi anak dara atau teruna semasa berkahwin.

6. Kita banyak terpengaruh dan menerima pendapat dan nilai hidup serta adat resam Barat. Kita hidup dalam dunia yang berpusat kepada Eropah (Eurocentric). Kita terima sistem pemerintahan demokrasi umpamanya.

7. Tetapi perlukah kita turut dan terima segala-galanya yang dilakukan di Barat? Sebenarnya budaya dan nilai hidup Barat sudah runtuh, runtuh kerana terlangsung taksub dengan kebebasan (freedom). Apa sahaja yang hendak dilakukan oleh seseorang individu tidak boleh dilarang kerana larangan bermakna menidakkan hak asasi individu atau kumpulan.

8. Sesuatu yang dilarang oleh agama memang mempunyai sebabnya. Mungkin kita tidak kenal atau tahu sebabnya. Tetapi kita harus ingat penyakit HIV Aids dahulu tidak ada. Ia mula dikenali dikalangan mereka yang mengamalkan seks songsang di California, Amerika Syarikat, secara pilihan walaupun tidak ada kecacatan apa-apa. Sehingga kini tidak ada ubat yang boleh menyembuh penyakit HIV Aids. Mereka yang mengidap penyakit ini bukan sahaja akan musnahkan diri sendiri tetapi juga isteri, suami dan anak cucu. Mereka tidak akan hidup sempurna.

9. Manusia yang bertamadun tidak menurut nafsu semata-mata. Budaya Barat menggalakkan manusia mengikut nafsu. Kebebasan bagi mereka bermakna apa sahaja yang didorong oleh nafsu tidak boleh ditegah oleh agama atau undang-undang manusia.

10. Sifat ini adalah sifat haiwan. Manusia memiliki akal fikiran. Orang yang bertamadun menggunakan akal fikiran untuk menghalang diri dari terikut-ikut dengan nafsu. Sebabnya nafsu perlu dibendung ialah sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka yang mengikut nafsu. Tamadun yang utamakan nafsu akan runtuh akhirnya.

11. Kita sedang melihat keruntuhan akhlak dalam masyarakat Barat. Sementara agama mereka melarang seks songsang, paderi mereka secara terbuka mengamalkan seks songsang. Mereka ditugaskan untuk mengahwini sepasang lelaki dan perempuan. Apakah maknanya apabila mereka menasihati pasangan itu supaya setia kepada masing-masing. Sesungguhnya institusi perkahwinan dan kekeluargaan sudah luput dalam masyarakat Barat. Ramai daripada mereka tidak tahu siapa bapa mereka. Kemungkinan besar akan berlaku perkahwinan atau hubungan seks antara adik dengan abang, kakak dengan adik, bapa dengan anak, anak dengan ibu.

12. Mereka yang taksub dengan kebebasan akan berkata apa salahnya jika ini berlaku. Percayalah, masyarakat selepas ini akan dipenuhi dengan manusia yang cacat tubuh-badan, cacat akal fikiran dan besar kemungkinan aneka jenis penyakit baru akan menyerang msyarakat itu.

13. Sementara kita akui ada manusia yang jantina mereka tidak jelas, janganlah kerana ingin tidak memencilkan mereka, kita terima amalan Seksualiti Merdeka atau Free Seks dalam masyarakat kita. Amalan ini bukan sahaja berdosa tetapi akan runtuhkan masyarakat kita.

No comments:

Post a Comment