Thursday, September 8, 2011

#Santai Marsha stabil, tidak telan pil berlebihan

Marsha Stabil, Tidak Telan Pil Berlebihan

Marsha

PETALING JAYA: Rakan terdekat penyanyi Marsha Milan Londoh, 28, iaitu Afeeq Abdul Wahab, 25, menjelaskan bekas pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) itu tidak mengambil pil secara berlebihan sebagaimana yang didakwa sebaliknya trauma akibat kemalangan yang berlaku.

Afeeq berkata, Marsha dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pagi Rabu, setelah didapati rebah di kawasan kondominium yang didiaminya di Jalan Klang Lama dekat sini selepas insiden berkenaan.

"Saya masih belum mendapatkan penjelasan sebenar daripada Marsha sendiri tetapi difahamkan sebelum dia rebah, dia telah keluar membeli makanan berdekatan dengan kawasan kediamannya dan telah mengalami kemalangan kecil sehingga menyebabkan dahi serta matanya mempunyai kesan lebam dan luka.

"Marsha masih boleh memandu pulang ke rumah seperti biasa. Bagaimanapun, selepas meletakkan keretanya di kawasan parkir, dia pengsan ketika berjalan menuju rumahnya.

"Memandangkan Marsha turut mengalami masalah penyakit tekanan darah rendah, peristiwa itu turut memberi kesan kepadanya sehingga membuatkan dia rebah," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Penyanyi berasal dari Tamparuli, Sabah itu dilaporkan sebuah akhbar pada Khamis tidak sedarkan diri di rumahnya akibat menelan sebanyak 30 biji pil.

Dia kini menerima rawatan di wad trauma dan kecemasan PPUM dan masih belum bersedia menerima sebarang pelawat.

Bagaimanapun Afeeq menafikan tindakan Marsha yang kononnya mahu membunuh diri sebagaimana dilaporkan.

"Laporan yang dikeluarkan mengenai Marsha ternyata salah kerana dia bukannya jenis yang emosional sehingga ingin membunuh diri.

"Saya telah bertemu Marsha pagi tadi (Khamis) dan doktor meminta Marsha untuk berehat sebaik yang mungkin.

"Selepas dia sembuh daripada traumanya itu, dia akan membuat sidang media bagi menjelaskan isu tersebut," ujarnya.

No comments:

Post a Comment