Thursday, September 8, 2011

Hanya UMNO harapan orang Islam dan Melayu

Pas, PKR bukan tempat bergantung

Mohammad Sabu memerhatikan Mustapa Ali memberi kenyataan tentang erti pejuang kemerdekaan sebenar di pejabat Pas Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, kelmarin.


'UMNO adalah harapan orang Melayu. Segala-galanya yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan UMNO. Kita telah menangkis Malayan Union, kita telah mencapai kemerdekaan, kita telah mengisi kemerdekaan ini dengan pembangunan, kita telah meningkatkan ekonomi dan pelajaran orang Melayu dengan menggunakan kekuatan yang kita dapati daripada UMNO."

Inilah fakta mengenai sumbangan UMNO kepada orang Melayu tanpa mengira apa juga fahaman politik mereka yang dibentangkan oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika menyampaikan amanat di Perhimpunan Agung UMNO pada April 1987.

Fakta inilah yang terpaksa diakui oleh Pas melalui sidang media oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali kelmarin yang bertujuan mempertegaskan penolakan parti itu terhadap ideologi dan perjuangan komunis.

Malahan Mustafa mengakui bahawa melalui perjuangan UMNO, negara mampu mencapai kemerdekaan dan fakta ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa sahaja yang bergelar orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Justeru apabila Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba menafikan bahawa Dato' Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah pejuang bangsa maka tidak salahlah kalau orang menganggap beliau buta sejarah, dangkal fikiran dan mencari publisiti murahan.

Sememangnya tindakan menafikan sumbangan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya dalam memerdekakan negara bukan sahaja boleh dianggap jahil malah satu tindakan politik jumud.

Tidak kira sama ada orang Melayu itu berada dalam parti politik apa sekali pun, apa yang jelas mereka tidak mampu memadamkan sejarah terhadap jasa besar UMNO kepada negara ini.

UMNO adalah parti keramat yang bukannya ditubuhkan melalui demonstrasi jalanan atau berikutan perasaan tidak puas hati mana-mana pemimpin kerana tidak mendapat jawatan tetapi seperti mana kata seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO kepada penulis, UMNO lahir kerana doa orang Melayu yang mahu menuntut kemerdekaan ketika itu.

''Oleh itu UMNO bukan sebarang parti, ia ditubuhkan melalui niat dan perjuangan yang suci demi memartabatkan orang Melayu, membela maruah bangsa dan mempertingkatkan syiar Islam di negara ini," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam pertemuan dengan penulis pada Isnin lalu.

Atas sebab itulah, UMNO harus terus dipelihara dan dijaga oleh semua orang yang mengaku dirinya Melayu. Berbeza fahaman politik sehingga berhasrat mewujudkan gerakan bagi menggantikan peranan UMNO sebagai parti utama kepada orang Melayu bukanlah langkah yang bijak.

Sebaliknya ia akan membuka laluan kepada terhapusnya kekuatan dan kekuasaan politik orang Melayu yang sekali gus menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Orang Melayu perlu memahami bahawa selama ini apa juga yang dinikmati dan diraih adalah hasil perjuangan UMNO yang bukan sahaja bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan tetapi juga menyusun strategi serta langkah bagi memastikan orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri.

Atas sebab itulah, orang Melayu tidak boleh terpedaya dengan mainan politik mana-mana pihak terutamanya Pas kononnya mereka mampu menjadi lebih baik daripada UMNO dan sudah bersedia menggantikan peranan UMNO.'

Impian seumpama ini hanyalah sekadar mimpi di siang hari kerana Pas tidak ada kekuatan mempertahankan prinsip seperti mana UMNO dan Pas tidak dominan seperti mana UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Pas bagaikan sesumpah yang boleh menukar wajah mengikut perjalanan politik yang dilaluinya. Sebab itulah Pas bersedia mengorbankan perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Tetapi UMNO tidak berbuat demikian, UMNO tidak pernah berganjak seinci pun daripada perjuangannya dalam memartabatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini namun dalam yang sama tidak menindas kaum-kaum lain.

Fakta inilah yang harus dipegang oleh semua orang Melayu agar mereka tidak mudah terpedaya dengan mainan politik alaf baru yang cuba menafikan kepentingan UMNO untuk terus kekal berkuasa di negara ini.

Pengekalan kedudukan UMNO sebagai tunjang utama pemerintahan negara bukan semata-mata kerana kuasa politik atau kedudukan tetapi bagi mengelakkan negara ini menjadi huru-hara memandangkan tidak ada parti Melayu seperti UMNO dan juga mana-mana parti komponen lain yang boleh menggantikan BN.

Walaupun pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP cuba meniru amalan politik BN tetapi setakat ini mereka tidak begitu berjaya, perbezaan idelogi dan berlainan falsafah perjuangan membantutkan usaha berkenaan.

Apa yang paling malang, orang-orang Melayu yang berada di dalam PKR dan Pas telah diperalat untuk melemahkan UMNO melalui percaturan dalam perebutan kerusi dalam pilihan raya.

Lemahnya UMNO hanya akan mengakibatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini tidak tergugat.

Percayalah orang Melayu tidak boleh bergantung kepada PKR dan Pas bagi mempertahankan kedudukan mereka kerana kedua-dua parti itu tidak ada kekuatan politik seperti mana UMNO kecapi dalam BN.

Bagaimanapun, dalam kita berhujah soal betapa penting orang Melayu mengiktiraf jasa dan mempertahankan kedudukan UMNO, kita juga harus memperingatkan pemimpin-pemimpin di dalam UMNO sendiri supaya jangan ada antara mereka terus bercakaran untuk merebut jawatan dan kedudukan.

Dari segi kerusi pilihan raya, UMNO kini masih boleh dianggap rapuh, masih kehilangan kuasa di Kelantan sejak 1990, terlepas takhta di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor pada pilihan raya umum lalu sepatutnya memberikan pengajaran berguna kepada pemimpin UMNO.

Pilihan raya umum akan datang dikatakan menjadi medan perhitungan utama bagi menentukan survival parti terbesar orang Melayu itu.

UMNO tidak boleh lagi mengulangi kekalahan dalam pilihan raya umum 2008 kerana ia boleh mengakibatkan kedudukan orang Melayu tergugat.

Justeru kepada pemimpin-pemimpin tertentu dalam UMNO terutamanya di peringkat bahagian usahlah terlalu kemaruk untuk mempertahankan kedudukan sehingga ia akhirnya merugikan parti.

Penulis membangkitkan perkara ini kerana mendapati di sesetengah negeri walaupun ketua-ketua bahagian tertentu sudah ditolak rakyat, mereka masih mahu mempertahankan kedudukan dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam soal ini, sudah sampai masanya, pemimpin-pemimpin tersebut memikirkan mengenai survival UMNO dan orang Melayu, bukannya kepentingan peribadi.

Pilihan raya umum kali ini amat penting bagi UMNO, parti itu tidak boleh lagi berhadapan dengan kemerosotan perolehan kuasa sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

Semakin kurangnya jumlah kerusi milik UMNO dalam kedua-dua dewan berkenaan maka semakin longgarlah cengkaman parti Melayu itu untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment