Wednesday, May 11, 2011

65 Tahun Perjuangan Memartabat Agama, Bangsa dan Negara






Selamat Menyambut Ulangtahun Kelahiran PEKEMBAR/UMNO ke-65 - Semoga Allah terus memberi petunjuk, merahmati dan memberkati semua pejuang perjuangan memartabat Agama, Bangsa & Negara. Amiiiin...

Hari ini amat penting kerana ia menghimbau semula peristiwa penyatuan umat Melayu bagi menentang Malayan Union pada tahun 1946. Ketika itu Tanah Melayu berada di dalam keadaan yang amat genting kerana dengan tertubuhnya Malayan Union, negeri-negeri Melayu tidak lagi menjadi negeri naungan sebaliknya akan menjadi tanah jajahan British. Kedudukan umat Melayu sebagai kaum pribumi akan terhakis manakala status dan hak mereka akan menjadi lebih rendah dari kaum imigran ketika itu.

Menyedari masa depan yang kelam untuk pribumi ketika itu, gerakan menyatukan orang Melayu dimulakan dan pada 1 Mac 1946 Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dengan disertai oleh 200 orang wakil dari 41 persatuan.

Bagaimanapun British tetap dengan pendirian mereka dan penubuhan Malayan Union telah diisytiharkan secara rasmi pada 1 April 1946 dan Gabenor pertamanya adalah Sir Edward Gent.

Peristiwa ini mengudang kemarahan orang Melayu, sekali lagi Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu ke-2 telah diadakan dan kali ini, umat Melayu yang terpisah oleh suku, keturunan, darjat dan bahasa telah disatukan di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang lebih dikenali sebagai UMNO. Dato' Onn Jaafar, Menteri Besar Johor dipilih sebagai Presiden pertama dan kongres telah mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan menuntut Malayan Union dibubarkan.

Akhirnya, selepas berjuang selama TIGA tahun, perjuangan ini menjadi realiti dengan terbatalnya Malayan Union pada 1 Februari 1948 dan Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan.

Selepas itu bermulalah perjuangan UMNO memerdekakan negara dan mengisi kemerdekaan bersama-sama dengan parti-parti lain di dalam Perikatan dan Barisan Nasional.

Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikurniakan Allah kepada kita dan jangan sekali-kali lupa tentang tanggung jawab kita sebagai khalifah dan meneruskan perjuangan demi memartabat agama, bangsa dan negara.






Kepada Melayu yang mula lupa diri, ingatlah pesanan Raja Muda Perak, DYTM Raja Nazrin Shah,

"(Orang Melayu yang berjaya)... janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan dirinya dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung."

DYTM Raja Nazrin Shah, MCKK, 21 June 2008

Insya-Allah UMNO akan terus relevan. Kata-kata seorang mantan Perdana Menteri masih terngiang-ngiang di ingatan saya kerana ketika itu saya berada di dalam Dewan Merdeka, PWTC mendengar ucapan beliau. Kata beliau;

“Saya yakin ramai ahli Umno yang tidak ‘bernama’, yang tidak berjawatan, yang tidak berkedudukan, yang sekalipun tidak pernah menjejak kaki di dewan ini, apalagi dapat bersua Perdana Menteri, mereka memiliki semangat kesetiaan dan perjuangan yang tulen, bersih dan hening hati nuraninya. Saya berpegang bahawa niat suci mereka, usaha murni mereka, keikhlasan mereka, telah memudahkan para malaikat, mengangkat doa mereka ke pintu langit yang terbuka, lalu mendapat makbul Allah swt, lalu negara kita dilimpahi berkat, Umno masih selamat dan seluruh rakyat mendapat rahmat.”

YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi
Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO, 2003

Sama-samalah kita mendoakan keselamatan, kejayaan, keberkatan dan rahmat ke atas UMNO dan semua pejuang perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara sama ada yang masih hidup mahu pun yang telah meninggalkan kita ......

No comments:

Post a Comment