1. Alhamdulillah, hari ini tanpa Hamzah Zainudin dan penyokong-penyokongnya, perjalanan BERSATU lebih lancar dan harmoni. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) lebih produktif, keputusan-keputusan boleh dibuat dengan lebih pantas dan usaha-usaha penyusunan semula cawangan, bahagian, negeri dan pusat juga dapat dilaksanakan tanpa gangguan. Sepanjang bulan Ramadan, majlis berbuka puasa berlangsung dengan kehadiran yang menakjubkan, manakala dalam bulan Syawal, sambutan Aidilfitri di berberapa negeri dan bahagian diraikan dengan penuh kemesraan dan kemeriahan.
2. InsyaAllah, BERSATU kini lebih kukuh dan teguh. Pemimpin dan ahli yang kekal dalam BERSATU hari ini adalah mereka yang berprinsip, berintegriti, berpegang kepada perlembagaan dan keputusan-keputusan parti, menghormati Institusi Presiden dan Institusi-Institusi parti. Mereka juga setia kepada parti dan kepimpinan parti. Mereka tidak akan menyokong Hamzah walaupun ditawarkan wang ringgit, jawatan dan peluang bertanding dalam pilihan raya.
3. Sebelum ini dimaklumkan ada aduan disiplin dibuat oleh Ketua-ketua Bahagian di Kelantan bahawa mereka ditawarkan oleh pihak tertentu, bantuan kewangan dan juga peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang jika mereka bersetuju menandatangani Akuan Bersumpah (SD) mendesak Presiden berundur. Alhamdulillah, Ketua-Ketua Bahagian ini menolak rasuah yang ditawarkan dan memilih untuk membuat aduan kepada Lembaga Disiplin - membuktikan pemimpin-pemimpin yang ada berpegang kepada integriti.
4. Jika diingat semula, ketika gelombang “Turun Anwar 2025” pada 26 Julai 2025, BERSATU dan PN berada pada tahap kekuatan yang tinggi. Kini, akibat beberapa tindakan penyokong-penyokong Hamzah, BERSATU perlu disusun dan diperkukuhkan semula. Disebabkan penyokong-penyokong Hamzah juga, hari ini, sedikit sebanyak imej PN juga turut terjejas. Situasi ini menimbulkan persoalan - adakah tindakan penyokong-penyokong Hamzah ini sekadar kebetulan, atau wujud agenda lain yang melemahkan dari dalam?
5. Apa yang Hamzah dan penyokong-penyokongnya lakukan seringkali tidak selari, malah kadang-kadang bertentangan dengan apa yang mereka perkatakan. Tidak jelas sama ada Hamzah dan pengikutnya benar-benar memahami maksud “rundingan Penyatuan Melayu-Islam dengan Zahid” dan “Konsensus Nasional”, atau mereka sekadar menggunakan istilah-istilah ini sebagai retorik kosong, atau mungkin juga untuk menutup hipokrasi mereka.
6. Sebelum ini dalam BERSATU, penyokong-penyokong Hamzah tidak henti-henti melanggar perlembagaan dan disiplin parti. Setiap masa ada sahaja sidang media, kenyataan atau tindakan yang disusun untuk mengganggu pergerakan parti dan mencemarkan imej parti. Ada pengikutnya yang hampir setiap malam membuat 'live' dan posting menyerang Presiden, pemimpin-pemimpin parti dan Institusi Parti. Mungkin niat mereka adalah untuk memberikan imej yang tidak baik kepada parti sepanjang masa sehingga ke pilihan raya. Alhamdulillah sekarang mereka semua telah tiada dan meniadakan diri.
7. Sekarang nampaknya perkara yang sama sedang dilakukan ke atas PN. Sebelum ini timbul isu berkenaan Majlis Eksekutif 1.0, sekarang tidak habis-habis polemik mengenai Ketua Pembangkang, esok mungkin permohonan masuk Hamzah dan 'parti'nya ke dalam PN, selepas itu mungkin tuntutan Hamzah ke atas kerusi Larut. Selepas itu tuntutan kerusi daripada pengikut-pengikutnya pula. Akhirnya, sepanjang masa PN akan digambarkan seolah-olah bermasalah dan tidak stabil sehingga menjelang pilihan raya. Ada sahaja polemik dibangkitkan untuk menjejaskan imej PN. Adakah mereka ini Trojan Horse? Adakah dahulu peranan mereka adalah untuk memberikan imej tidak baik terhadap BERSATU, sekarang peranan itu disasarkan kepada PN?
8. Sebenarnya, jika betul Hamzah bersungguh-sungguh mahukan 'penyatuan Melayu-Islam' dan 'konsensus nasional',
I. kenapa Hamzah dan pengikutnya mahu menubuhkan atau menghidupkan satu lagi parti Melayu? Tidakkah ini memecah belahkan lagi kesatuan Melayu-Islam?
III. kenapa tidak mahu menyertai sahaja parti yang sudah sedia wujud, misalnya menyertai inisiatif Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung yang ditaja Zahid Hamidi? Bukankah perkara ini telah dirundingkan secara tanpa mandat dengan Kem Zahid? Bukankah Langkah Bangkok juga adalah mengenai 'agenda penyatuan' ini?
9. Jika Hamzah benar-benar menyakini konsep 'perpaduan' dan 'konsensus',
I. Kenapa semasa di dalam BERSATU sebelum ini, Hamzah dan penyokong-penyokongnya memilih untuk menjadi punca pergolakan dalam BERSATU? Kenapa mereka tidak boleh menerima keputusan Pemilihan Parti, PAT2024 dan PAT2025 yang sebulat suara mahu mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU? Kenapa dilanggar perlembagaan dan disiplin parti? Kenapa dipanggil sidang media dan membuat kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang merosakkan keharmonian dalam parti dan mencemarkan imej parti? Kenapa menyerang Institusi Presiden dan pemimpin-pemimpin parti secara terbuka? Adakah Hamzah faham maksud 'perpaduan' dan 'konsensus'?
ii. Bukankah dia sepatutnya menyertai Umno melalui Rumah Bangsa kerana jelas Umno tidak mempunyai sebarang masalah menerima Hamzah? Malah, kem Zahid juga telah bersetuju untuk melantik Hamzah menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya Umno menjadi kerajaan. Sudah pasti Zahid akan memastikan Hamzah kekal bertanding dan menang di Larut kerana Hamzah adalah bakal TPM daripada Umno.
III. kenapa Hamzah memilih untuk menjadi punca pertikaian, ketidak harmonian dan ketidak selesaan dalam Perikatan Nasional (PN)? Kenapa masih memegang jawatan Ketua Pembangkang yang bukan haknya? Tidakkah Hamzah ada perasaan malu untuk terus bertenggek di atas jawatan Ketua Pembangkang yang bukan hak peribadinya dan yang diberikan kepadanya atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung BERSATU dan Ahli Parlimen PN/BERSATU? Kenapa susah sangat untuk melepaskan jawatan yang bukan haknya dan berpindah ke blok Ahli Parlimen Bebas? Kenapa memilih untuk mewujudkan pertikaian dan ketidak selesaan jika Hamzah dan pengikut-pengikutnya benar-benar faham maksud 'konsensus', 'penyatuan' dan 'perpaduan'?
IV. Kenapa bercakap mengenai hasrat untuk memohon menyertai PN sedangkan Hamzah sudah tahu, permohonannya ini akan mengakibatkan ketidak selesaan dan ketidak harmonian dalam kalangan parti-parti komponen PN dan penolakan dari parti anggota PN? Maksudnya, akan timbul masalah 'konsensus'. Kalau Hamzah benar-benar menjiwai maksud 'konsensus', sudah pasti dia akan mengelak dari menjadi punca pertikaian dan memohon untuk memasuki Umno kerana melalui Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung tajaan Zahid, serta rundingan Langkah Bangkok, sudah pasti Hamzah akan diterima oleh Umno dan BN dengan tangan terbuka secara konsensus, tanpa penolakan, dan Hamzah juga akan diangkat menjadi TPM bagi Umno.
10. Persoalan sama ada Hamzah Zainudin akan menubuhkan parti baharu atau menyertai parti Melayu-Islam sedia ada sebenarnya tidak perlu dipolemikkan dan dibincangkan sama sekali kerana ia akan 'berpotensi mencetuskan Akta Anti Lompat Parti, Perkara 49(A)1 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:-
“Seorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan tersebut dan kerusinya menjadi kosong jika -
(a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai seorang ahli daripada sesuatu parti politik—
(i) dia meletakkan jawatan daripada parti politik tersebut; atau
(ii) dia tidak lagi menjadi ahli parti politik tersebut; atau
(b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat selain sebagai seorang ahli daripada sesuatu parti politik, dia menyertai sesuatu parti politik sebagai ahli.”
11. Jika Hamzah benar-benar faham maksud 'agenda penyatuan Islam dan ummah', 'konsensus' dan 'perpaduan Melayu-Islam', dia akan mengelak daripada menjadi punca perpecahan, baik dalam BERSATU sebelum ini, atau dalam PN atau dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam. Jika Hamzah mampu melaksanakan perkara-perkara ini, barulah betul kata-kata selari dengan tindakan - cakap serupa bikin. Barulah 'reset' dalam ertikata sebenar, bukan hanya KETIMBANG.

No comments:
Post a Comment