Thursday, May 4, 2017

Rafizi celaru, gagal buktikan SRC kehilangan wang dan duit yang masuk akaun Najib datang dari SRC


1. Selepas mendengar kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, saya dapat menyimpulkan Rafizi amat celaru dan keliru serta terlalu banyak membuat andaian dan serkap jarang apabila membuat apa yang dia anggap sebagai 'pendedahan' kehilangan wang SRC.

2. Untuk rekod, Rafizi sudah 10 kali tertangkap berbohong. Ini tidak termasuk pembohongan-pembohongan lain seperti mengatakan cukai di Finland lebih rendah dari di Malaysia semasa perdebatannya dengan YB Khairy Jamaluddin di Karangkraf.

3. Untuk rekod juga, dalam kes NFC misalnya, Rafizi gagal membuktikan dakwaan-dakwaannya dan mahkamah memerintah agar Rafizi membayar RM150,000 kepada Pengerusi NFC, Datuk Seri Salleh Ismail dan RM50,000 kepada NFC, serta kos RM100,000.

4. Dalam apa yang didakwa sebagai 'pendedahan' terbarunya, PERTAMA, dapat diperhatikan Rafizi berulang kali hilang punca dan gagal menjelaskan secara meyakinkan apa yang didakwanya sebagai "money trail pemindahan wang yang berlapis-lapis" dan gagal menunjukkan di mana berlaku kesalahan dari segi undang-undang dalam pemindahan tersebut.

5. KEDUA, Rafizi juga banyak menggunakan perkataan 'andaian' kerana dia juga tidak pasti tentang banyak perkara. Antara andaian paling ketara tanpa sebarang bukti adalah cubaan Rafizi mengaitkan perbelanjaan Ihsan Perdana dan Datuk Seri Najib Razak dengan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

6. KETIGA, Rafizi gagal membuktikan bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak datangnya dari SRC. Sebaliknya Rafizi hanya mampu menunjukkan kaitan SRC dengan syarikat Putra Perdana Construction (PPC) S/B dan Gandingan Mentari S/B. Pada waktu yang sama Rafizi gagal menjelaskan kenapa terdapat pembayaran yang dibuat oleh PPC sebanyak RM140 juta dan Permai Binaraya S/B sebanyak RM30 juta kepada SRC. Rafizi hanya mampu membuat andaian tanpa sebarang bukti bahawa duit tersebut datangnya dari Tabung Haji. Kecelaruan Rafizi jelas kerana sebelum ini dia mengandaikan RM43 juta ini datang dari KWAP, bukannya dari Tabung Haji.

7. KEEMPAT, Rafizi gagal membuktikan kaitan langsung antara SRC dengan syarikat Ihsan Perdana yang memang diketahui berperanan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Apa yang ada cuma ANDAIAN bahawa duit yang masuk ke dalam Ihsan Perdana melalui Gandingan Mentari berasal dari SRC.

8. KELIMA, Ihsan Perdana memang diketahui terlibat dalam melaksanakan program-program CSR. Sebagai syarikat yang mengendalikan CSR, ia boleh menerima sebarang sumbangan dari pelbagai sumber (korporat dan individu) untuk program CSR yang dikendalikannya.

9. KEENAM, paling penting dalam kenyataannya pada 4 Mei 2017, Rafizi mengesahkan RM43 juta wang SRC tidak masuk ke dalam ke dalam akaun Datuk Seri Najib, sebaliknya Rafizi menyebut bahawa RM40 juta dipindahkan kepada Gandingan Mentari, seterusnya dipindahkan kepada Ihsan Perdana, seterusnya sebanyak 7 keping cek dikeluarkan kepada Mail Global Resources, sebuah syarikat perniagaan kepunyaan Arifin Ismail Shahul Hamid.

10. KETUJUH, benarkah ada wang dari SRC yang hilang atau dicuri? Seperti dongeng "wang 1MDB masuk akaun Datuk Seri Najib", Rafizi boleh mendakwa apa sekalipun, tetapi hakikatnya benarkah duit 1MDB hilang? Sehingga hari ini, 1MDB telah membuktikan bahawa bukan duit 1MDB yang hilang. Tiada wang 1MDB yang hilang ke dalam akaun Jho Low sebaliknya PetroSaudi mengesahkan wang tersebut diterima oleh subsidiarinya. Tiada juga bukti wang 1MDB hilang di Singapura. Seperti yang diketahui ramai, walaupun ada sejumlah perbicaraan dilaksanakan di Singapura, sehingga hari ini, 1MDB tidak pernah dipanggil sebagai saksi pendakwa. Jika benar wang 1MDB hilang, sudah pasti setidak-tidaknya ia perlu dipanggil untuk mengesahkan bahawa memang benar duitnya yang hilang, dicuri atau sebagainya. Dalam penceritaan Rafizi, kononnya wang SRC yang dicuri ini datangnya dari KWAP, kemudiannya diubah kepada Tabung Haji, dan disebut juga Tabung Haji ini adalah 'penyumbang' kepada SRC, melalui syarikat PPC dan Permai Binaraya. Adakah Rafizi mahu mengatakan wang Tabung Haji pula yang hilang? Jelas Rafizi celaru dan keliru.

11. KELAPAN, diketahui ada sejumlah dana yang disumbangkan oleh penderma Arab Saudi ke dalam akaun Datuk Seri Najib. Ini disahkan oleh SPRM dalam kenyataannya pada 3 dan 5 Ogos 2015. http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/penjelasan-sprm-mengenai-isu-dana-rm2-6-bilion-1.416595. Berdasarkan surat tersebut, memandangkan sumbangan yang diberikan merupakan sumbangan peribadi kepada Datuk Seri Najib, ia boleh digunakan untuk sebarang tujuan termasuk untuk melaksanakan CSR dan sebarang kegiatan politik. Jika Rafizi cuba mengaitkan Yayasan Abrar dengan wang dari akaun peribadi Perdana Menteri sekalipun, kaitan ini sekadar mengesahkan bahawa wang tersebut memang digunakan untuk program CSR.

1 comment:

  1. Tak perlulah nak belit auta rafizi keliru.

    Saman sahaja rafizi seperti yang dicabar.. Itu pun susah sangat nak buat atau takut

    ReplyDelete