Penyusutan nilai ringgit merupakan reaksi pasaran kepada kejatuhan harga minyak dunia dan sentimen, bila mereka merasakan hasil negara akan berkurangan, kadar pertumbuhan kita akan menurun, maka sedikit sebanyak dan akaun dagangan kita terima tekanan, maka akan berlaku penyusutan pada nilai mata wang kita, tetapi apa yang penting ialah kita mesti sedar penyusutan ini tidak bererti bahawa kita tidak mempunyai asas yang kukuh, yang penting jangan kita panik kepada keadaan jangka pendek tetapi terus beri tumpuan kepada asas kita yang kukuh - Najib Razak
MUKADIMAH: HARGA minyak menjunam daripada paras tertinggi minyak mentah Brent pada Jun 2014 sebanyak AS$115 setong, telah turun lebih 50 peratus. Nilai ringgit Malaysia turut merosot daripada harga tertinggi tahun lepas pada 28 Ogos iaitu RM3.15 untuk AS$1 kepada RM3.61 kelmarin.
Nilai ringgit berbanding AS$ telah turun sebanyak 15 peratus. Pagi kelmarin dalam perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara, beliau telah menerangkan bagaimana kerajaan akan menangani isu-isu ekonomi yang disebutkan tadi. Di luar negara pula, insiden di Paris, Perancis pada 7 Januari lalu walaupun ia tidak berkaitan dengan Malaysia telah menimbulkan soalan, bolehkah sesuatu perkara seperti itu terjadi di sini? Pengarah Eksekutif di Pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Charon Wardini Mokhzani mewawancara Najib mengenai intipati perutusan beliau dalam program Soal Jawab TV3 di Seri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya semalam. Antara lain wawancara itu mengupas beberapa perkara membabitkan isu ekonomi semasa, usaha-usaha kerajaan menangani masalah penurunan harga minyak dunia dan nilai ringgit serta apakah erti sebenar kejadian di Perancis itu?
CHARON: Boleh terangkan prestasi ekonomi negara sebelum penurunan harga minyak dunia?
NAJIB: Sepanjang 2014, malah untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun itu, pertumbuhan ekonomi Malaysia merupakan kadar pertumbuhan yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Kita telah ambil dan laksanakan dasar-dasar yang memberi keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negara. Dalam 2013, umpamanya, kita catat kadar pelaburan langsung asing (FDI) yang tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM38.2 bilion.
Kita lihat nilai pasaran bursa yang tertinggi dicapai dalam 2014. Jadi kita tengok indikatornya memberi kita kesimpulan bahawa sebenarnya kita berada di landasan yang betul dan asas kita semakin kukuh.
Namun apa yang tidak diduga sama sekali ialah kejatuhan harga minyak secara begitu drastik. Inilah dugaan dan cabaran yang sedang kita hadapi.
Ramai tidak menyangka harga minyak turun dengan cepat, sekarang ramai yang tertanya-tanya mengenai kemampuan kerajaan memandangkan hasil minyak adalah 30 peratus daripada pendapatan kerajaan. Apa yang kerajaan boleh lakukan untuk tanganinya?
Sebab itu saya ambil keputusan untuk membuat perutusan khas, saya gariskan keadaan yang sebenarnya.
Iaitu apa yang kita perlu fahami ialah ini bukannya satu krisis atau disifatkan sebagai kegawatan seperti yang pernah alami dulu.
Keadaan ini adalah keadaan di mana kita perlu membuat penyesuaian bajet negara kepada langkah-langkah fiskal dan mikro supaya kesan kepada kejatuhan harga minyak ini dapat ditangani supaya kita akan dapat kadar pertumbuhan yang boleh dianggap sebagai masih baik dan menggalakkan.
Apa yang penting usaha kita untuk membela nasib dan kesejahteraan rakyat akan terus dapat dilaksanakan.
Saya telah terangkan bahawa setelah kita kaji segalanya, kesan daripada kejatuhan harga minyak ini, kesimpulannya ialah bahawa peruntukan untuk pembangunan negara lebih kurang RM48.5 bilion itu akan kita pertahankan dan tidak akan dikurangkan sama sekali.
Apa yang kita buat penyesuaian ialah perbelanjaan mengurus dan ini kita akan kurangkan sebanyak RM5.5 bilion supaya kita dapat tampung pengurangan hasil.
Kita akan terima kesan yang pertama daripada penurunan hasil tetapi kita jimat dari segi tidak perlu lagi keluarkan subsidi minyak dan diesel.
Dan jika kita campur kedua-duanya kita masih ada defisit dalam lebih kurang RM8.3 bilion dan ini kita akan tampung melalui tindakan yang saya sebut tadi, perbelanjaan mengurus dan langkah-langkah yang saya umumkan semalam.
Tidak bolehkah kerajaan membuat sesuatu daripada masalah penurunan harga minyak ini?
Jika boleh kita hendak buat tetapi tiada negara yang boleh, malah negara yang lebih besar daripada kita pun tidak mampu seperti Rusia yang lebih besar dengan pengeluaran minyaknya antara 9 dan 10 juta tong minyak sehari, juga tidak boleh melakukan apa-apa dan negara-negara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) pun sama.
Masakan Malaysia yang merupakan pengeluar minyak yang kecil sebenarnya adalah di luar kemampuan kita. Ini adalah harga pasaran dunia yang berada di luar daripada keupayaan kita.
Ada juga yang risau apabila harga minyak dunia turun bermakna pendapatan kita akan turun, tetapi mengikut taklimat Datuk Seri semalam, ini tidak benar.
Pendapatan kita akan berkurangan tapi kita masih boleh menampungnya melalui pengurangan perbelanjaan, tambahan hasil pendapatan kerajaan dan keputusan yang kita ambil untuk melakukan reality check dari segi sasaran defisit fiskal yang kita unjurkan 3 peratus untuk 2015 berkurangan daripada 3.5 peratus yang kita unjurkan pada 2014, di mana sasaran itu telah dicapai oleh kita.
Tahun ini kita tidak mampu capainya sebab itu saya umum 3.2 peratus apa yang mustahak trend itu ke arah pengurangan meskipun tidak capai unjuran asal kita. Apa yang penting ialah jangka panjang sasarannya untuk mencapai bajet berimbang menjelang 2020
Sasaran bajet seimbang masih jadi sasaran?
Ya dan kita akan cuba sedaya upaya untuk capai sasaran itu.
Dari segi imbangan perdagangan, Malaysia mengimport dan mengeksport minyak, secara bersihnya Malaysia bukan negara yang mengimport minyak?
Ini kita mesti lihat secara keseluruhannya, kalau kita tengok crude oil yang kita keluarkan dan kita ambil crude oil yang kita import, kita masih merupakan negara surplus walaupun kecil, namun jika kita kira refined petroleum product dan kita campur kedua-duanya, kita merupakan negara pengimport bersih, jadi sangkaan atau persepsi rakyat bahawa kita negara pengeluar minyak yang ada lebihan adalah tidak tepat. Keadaan sudah berubah namun kita masih merupakan pengeksport lebihan dalam gas.
Harga gas tidak turun seperti minyak mentah?
Tidak tetapi trendnya akan lebih rendah.
Dalam soal persepsi orang ramai dan pelabur asing, Malaysia amat bergantung kepada harga minyak dunia.
Tidak, sebab kita telah buat langkah pelbagai untuk kita pelbagaikan ekonomi kita secara terancang. Pada 2009 bila kita perkenalkan dasar transformasi, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kita juga tetapkan Bidang Keberhasilan Negara, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menjadi tumpuan, kita lihat ekonomi kita mempunyai kepelbagaian dan ia merupakan satu kekuatan kepada kita dalam erti kata jika sesuatu berlaku misalnya kepada sektor minyak, kita dapat tampung melalui sektor lain.
Dari segi hasil umpamanya jika kita lihat pada 2009, minyak untuk hasil negara dalam lingkungan 40 peratus tetapi 2014 turun kepada 26 peratus bermakna bukan sahaja dalam aktiviti ekonomi tapi kebergantungan kepada hasil negara telah juga dapat pelbagaikan dan kita sekarang menerima banyak daripada sumber lain.
Maknanya kita tidak lagi bergantung kepada minyak iaitu sumber pendapat kerajaan tidak lagi kepada minyak?
Tidak tetapi sektor minyak masih lagi sektor yang strategik kepada negara, itu tidak dinafikan tapi kebergantungan negara telah dapat kita kurangkan.
Dari segi mata wang, nilai ringgit telah turun tapi negara lain pun turut turun, apa kaitannya nilai mata wang Malaysia dengan harga minyak?
Ini merupakan reaksi pasaran kepada kejatuhan harga minyak dunia dan sentimen, bila mereka merasakan hasil negara akan berkurangan, kadar pertumbuhan kita akan menurun, maka sedikit sebanyak dan akaun dagangan kita terima tekanan, maka akan berlaku penyusutan pada nilai mata wang kita, tetapi apa yang penting ialah kita mesti sedar penyusutan ini tidak bererti bahawa kita tidak mempunyai asas yang kukuh, yang penting jangan kita panik kepada keadaan jangka pendek tetapi terus beri tumpuan kepada asas kita yang kukuh.
Lambat laun jika asas kita kuat dan kukuh dapat kita mantapkan, misalnya kurang defisit fiskal maka kita akan terus dapat menarik pelaburan daripada luar dan sebagainya. Kita akan melihat bahawa nilai mata wang kita akan melalui adjustment mengikut kepada asas kukuh dan sentimen serta percaya akan menjadi lebih positif lagi.
Dari segi asasnya ekonomi kita masih kukuh walau harga minyak dunia turun, pada pendapat Datuk Seri apakah nilai yang sepatutnya?
Tidak boleh saya hendak nyatakannya sebab ia ditentukan oleh pasaran dunia dan kita tidak boleh melihat dari segi spekulatif dan ini bukan tugas kerajaan. Tugas kerajaan ialah untuk beri tumpuan kepada asas kerana asas inilah yang akan kita terus perkukuhkan.
Bagaimana dengan harga barangan, kos sara hidup, sesuatu yang sememangnya semua rakyat Malaysia perlu mengetahuinya, jika mata wang turun adakah kos sara hidup akan meningkat?
Kita telah kaji perkara ini dengan mendalam, untuk tahun ini inflasi sebenarnya akan menurun, dalam lingkungan 2.5 hingga 3.5 peratus termasuk juga waktu kita melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), salah satu sebabnya ialah pengurangan harga minyak iaitu RON 97, 95 dan diesel, bila kita ambil kira pengurangan ini, pengguna akan dapat pendapatan yang berpatutan, pengguna akan dapat kuasa membeli dengan nilai yang lebih besar lagi.
Keseluruhan bila kita sebut hendak laksanakan GST, maka inilah masa yang terbaik apabila kadar inflasi rendah dan apabila negara memerlukan hasil tambahan dan bila dalam keadaan harga minyak dah menjunam, kita perlu tampung dari sumber lain. Salah satunya ialah GST kerana akan beri pendapatan lebih kepada kerajaan berasaskan kepada broad based income tax, jadi pada hemat saya ini membuktikan keputusan kerajaan itu kena pada tempat, masa dan keadaannya.
Ada yang kata GST perlu ditunda ke tahun lain.
Inilah masa terbaik untuk GST, tentu sekali kerana lebih 160 buah negara telah laksanakannya, pihak yang bayar cukai hanya 1 daripada 12 yang membayar cukai pendapatan. Ini bererti tax based kita terlalu sempit, tidak menyeluruh bererti hasil negara akan terancam, bila ekonomi negara terjejas akan tambah hutang untuk perbelanjaan tetapi jika hasil bertambah maka ekonomi kita akan lebih kukuh dan bila kukuh apabila berlakunya situasi dalam keadaan luar dugaan kita akan lebih bersedia.
Dari segi penurunan harga, adakah kerajaan akan buat sesuatu, minyak naik harga naik tetapi apabila minyak turun harga tidak ikut turun?
Betul, dalam soal ini yang terlibat ialah supply chain tidak mengambil keputusan untuk kurangkan harga bila harga minyak turun tetapi apabila minyak naik cepat pula mereka naikkan harga barangan. Ini yang jadi hambatan kepada ekonomi negara terutama sekali menjejaskan pengguna, sebab itulah apa yang perlu kita buat ialah penguatkuasaan yang lebih berkesan dan pengguna yang lebih berhemah yang tahu buat penilaian, tidak beli dari kedai yang tidak kurangkan harga atau kenakan harga tinggi, kena pilih kedai yang mereka akan dapat harga rendah dan berpatutan. Orang kata harga yang adil.
Kelmarin Datuk Seri ada menyebuat Malaysia patut mengeksport lebih dan tahun ini Malaysia menjadi Pengerusi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan perjanjian dagangan lain yang Malaysia sedang usahakan, misalnya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA), apakah kaitannya AEC dan lain-lain dengan pengeksportan?
AEC satu model regional integration iaitu kita lihat pada satu pasaran yang tarif kita kurangkan, kebanyakan kepada zero tarif atau hampir zero, boleh lihat pada single market dan single production base, bererti kita mesti optimis lihat bukan sahaja pasaran domestik tetapi ASEAN, sebab itu dalam perutusan saya semalam saya katakan semua pihak perlu melihat dan berani mengambil langkah positif untuk mengeksport ke negara ASEAN, inilah peluang kita mendapat pasaran lebih besar iaitu hampir 600 juta manusia dan ini merupakan peluang keemasan.
Harap semua, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan supaya lebih agresif.
Mengenai TTPA ia lebih regional integration yang lihat kepada market acces tetapi ada lagi peruntukan tertentu yang kita masih lagi belum menerimanya. Kita mahukan TTPA berdasarkan kepada terma-terma kita.
KDNK dalam perutusan kelmarin, dahulu 5 - 6 peratus kepada 5 1/1 peratus, apa sebab?
Antaranya ialah kesan kejatuhan harga minyak, ekonomi dunia tidak menentu, kadar pertumbuhan dunia dikaji semula oleh bank dunia dan IMF, China pun dijangka 7.4 peratus walaupun tinggi kalau kita bandingkan pada kebanyakan negara, tetapi bagi China dikira agak perlahan, dengan senario ini kita terpaksa kaji semula, China merupakan rakan niaga kita yang terbesar, apabila ekonomi mereka perlahan tentu sekali eksport kita juga akan perlahan, kemampuan mereka untuk membeli produk kita juga akan berkurangan.
Bagi pekerja Malaysia adakah akan memperoleh pendapatan lebih rendah kerana ekonomi dunia perlahan?
Saya rasa tidak akan berlaku pengurangan pekerja, atau pendapatan berkurangan tetapi mungkin kegiatan ekonomi perlahan sikit maknanya perniagaan dan jumlah pekerjaan baharu yang ditawarkan mungkin akan berkurangan, ini bukan krisis tetapi perlahan kerana kesan pengurangan pertumbuhan ekonomi global.
1MDB banyak cerita mengenainya, bolehkah Datuk Seri berikan sedikit ulasan?
Ia satu syarikat pelaburan kerajaan untuk tambahkan pelaburan strategik termasuk rakan dari luar negara, ramai tidak sedar kita hanya sumbang RM1 juta sahaja dari segi saham modalnya, tetapi hari ini 1MDB punyai aset lebih RM50 bilion.
Memang mereka mempunyai hutang yang agak besar, tetapi dari segi aset dengan liabiliti, aset melebihi liabiliti, dan yang kedua kita memang ada perancangan untuk memantapkannya seperti penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) misalnya dan bila ia diterbitkan nanti dalam keadaan pasaran yang positif sudah tentu kita akan dapat tarik pelaburan besar dalam dan luar negara untuk melabur dalam syarikat tenaga. Untuk jangka panjang ia akan beri banyak manfaat kepada negara.
Keadaan pasaran yang positif sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan juga luar negara untuk melabur dalam apa nama energy company yang dimiliki oleh 1MDB.
Di samping itu, 1MDB ada tanah yang besar iaitu Bandar Malaysia seluas 550 ekar dalam bandar, tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Nilainya besar. Begitu juga TRX yang kita nak buat pusat kewangan yang baru, itu pun merupakan nilai yang besar.
Jadi kalau kita dapat merealisasikan aset-aset ini, sudah tentu ia akan memberi nilai pulangan yang besar.
Saya masih yakin dengan lembaga pengarah, dengan kepimpinan yang ada, lebih lagi yang baharu dalam 1MDB bahawa jangka panjang 1MDB akan memberi banyak manfaat kepada negara kita.
Dari segi jangka panjang, maknanya 1MDB akan teruskan terlibat dalam sektor elektrik, janakuasa dan tanah. Boleh saya tanya sedikit mengenai keadaan banjir di Pantai Timur dan apa yang boleh dibuat oleh kerajaan?
Keadaan banjir yang menimpa negeri-negeri Pantai Timur memang pada kali ini begitu serius dan amat membebankan rakyat.
Saya amat sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir pada kali ini, lebih dahsyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.
Justeru, kerajaan akan mengambil langkah-langkah membantu mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai. Kita dah umumkan kadarnya, tetapi lebih daripada itu, mereka memerlukan kalau rumah mereka dah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baharu untuk mereka.
Kita sedang merumuskan bentuk rumah baharu ini dan insya-Allah pada 29 hari bulan ini nanti, saya dijadualkan melancarkan program pembinaan rumah di Kuala Krai, Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baharu yang kita akan laksanakan nanti.
Di samping itu, macam-macam bantuan disalurkan oleh kerajaan, oleh sektor swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) dan sebagainya. Orang-orang perseorangan dan sebagainya. Kita lihat bahawa memang ramai yang nak membantu mangsa-mangsa banjir.
Tapi satu yang tidak dapat dinafikan bahawa kos dari segi kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, hospital, masjid, balai raya dan sebagainya lah, kalau jalan dan jambatan, kalau kita hitungkan semua, setakat ini, taksiran kita ialah sebanyak RM2.9 bilion, yang merupakan kerugian yang besar.
Datuk Seri kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi, sekarang boleh kita berbincang sedikit mengenai apa yang terjadi di Paris. Bolehkah perkara sebegitu terjadi di tanah air. Apa yang boleh kita pelajari daripada insiden itu?
Tidak mustahil, sebab kita sudah dapat kesan pada masa ini mengikut pada apa yang kita ketahui, terdapat 39 orang rakyat Malaysia yang telah memasuki IS. ISIS ataupun ISIL di Syria dan Iraq.
Dan di Malaysia pun kita telah tangkap beberapa orang yang ditahan kerana mereka disyaki terlibat dalam kegiatan militan. Sudah pun disahkan, dua orang rakyat Malaysia yang telah menjadi pengebom mati diri ataupun suicide bomber dan mereka telah mengakibatkan ramai yang lain terkorban.
Dalam keadaan sedemikian, maka kerajaan pada akhir tahun lalu, mengambil keputusan untuk membentangkan satu Kertas Putih di Dewan Parlimen, memaklumkan kepada Parlimen dan rakyat bahawa ini merupakan ancaman yang serius.
Sebab itulah, apabila kita sudah katakan kita sudah tentukan bahawa ini satu ancaman yang serius, maka kita kena lihat apa yang boleh dan patut kita lakukan.
Antaranya, kita mesti ada undang-undang baharu dan undang-undang sedia ada diperkukuhkan. Undang-undang baharu antikeganasan akan kita bentangkan bulan Mac yang akan datang di Dewan Parlimen untuk memberi kita kuasa yang lebih untuk menangani ancaman seperti ini yang pokok pada saya ialah untuk membuat sesuatu sebelum satu kejadian itu berlaku.
Misalnya di Sydney dan di Paris, bila sudah berlaku, baharu mereka boleh bertindak. Tetapi apa yang kita hendak adalah kuasa untuk melakukan sesuatu untuk menghalang sesuatu bentuk tindakan keganasan berlaku, inilah yang perlu kita lakukan.
Perkara-perkara lain yang patut kita lakukan ialah untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang apa dia Islam yang sebenarnya. Konsep Islam, umpamanya pengertian jihad yang sebenarnya, untuk difahami, dihayati oleh rakyat Malaysia dan aspek-aspek lain yang boleh memberi panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan propaganda IS ini.
Kita juga mesti ambil tindakan supaya ada rasa saling hormat menghormati antara kaum dan antara agama dalam negara kita.
Antaranya, kita mesti memahami sensitiviti antara agama, supaya kita tidak membuat sesuatu yang boleh menghina ataupun boleh menimbulkan kemarahan mana-mana penganut agama.
Sebab itulah dalam konsep kebebasan ini, saya mengajukan kebebasan yang tiada had ataupun mutlak tidak sesuai sebaliknya kita mesti ada kebebasan, tetapi kebebasan yang ada batasnya.
Supaya kita tidak membuat sesuatu dari segi perbuatan, percakapan kita yang menghina agama lain. Bukan sahaja agama Islam, tetapi agama lain. Bila kita faham perkara ini, saya percaya kita boleh mengelak daripada mereka yang akan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.
Dalam soal kebebasan ini, di negeri-negeri Barat mereka kata orang ramai patut menyokong kebebasan untuk bersuara tanpa batas seperti mana di Perancis. Mereka kata kebebasan untuk menghina agama lain dan mungkin juga orang lain, tetapi itu yang dipercayai di Barat tetapi di Malaysia kebebasan apakah yang patut kita ada? Sebab sememangnya kita tidak patut menghina agama orang lain. Tetapi dalam soal lain daripada menghina agama, adakah kebebasan itu perlu diberi kepada rakyat Malaysia?
Ini timbul persoalan yang besar, apakah semua yang difahami dan dianuti di negara-negara Barat itu baik sekali ataupun wajar dijadikan contoh ikutan bagi kita ataupun sebaliknya kita harus memikirkan apa bentuk cara pemerintahan dan apa bentuk undang-undang serta nilai-nilai yang paling sesuai untuk kita.
Sebab matlamatnya pada saya ialah untuk menjaga keamanan dan keharmonian serta kestabilan negara kita. Kalau berlaku sesuatu dalam negara kita, maka ia adalah serius. Bagi setengah negara itu, sebab mereka tidak ada perbezaan kaum, sesuatu yang berlaku itu tidak jadi satu bentuk konflik perkauman, tidak berbentuk racial in nature.
Tetapi Malaysia ini kalau sesuatu berlaku, ia akan cepat menjadi sesuatu yang berbau racial dan ini boleh mencetuskan konflik antara kaum.
Sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan umpamanya. Sebab Akta Hasutan ini bukan untuk orang Islam dan orang Melayu sahaja tetapi untuk semua dan saya yakin kemungkinan besar Akta Hasutan ini melindungi mereka yang bukan beragama Islam juga.
Sebab kalau berlaku konflik antara kaum, biasanya kumpulan minoriti yang menjadi mangsa. Jadi kita mesti pastikan tak berlaku apa-apa perbalahan secara serius antara kaum dalam negara kita.
Ini komitmen kerajaan dan saya hendak tegaskan sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia. Itu yang sentiasa menjadi perhatian saya, bukan pada mana-mana pihak di luar negara. Untuk rakyat Malaysia, saya akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Soalan berbalik semula kepada hak bersuara seperti yang Datuk Seri terangkan tadi, jadi di sini hak bersuara mesti ada batasnya, kalau tidak boleh jadi berbahaya. Tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbahas mengenai perkara lain ataupun adakah rakyat Malaysia boleh bersuara mengenai perkara-perkara lain yang tiada kena mengena dengan agama?
Ya, boleh. Banyak perkara. Mereka bebas untuk mengkritik kerajaan umpamanya. Kalau kita tengok pada sosial media, banyak yang membuat komen-komen negatif terhadap kerajaan.
Bererti bahawa kebebasan di Malaysia ini masih berlaku secara terbuka. Demokrasi masih berjalan secara sihat, hendak buat ucapan mana tempat pun asalkan dapat kebenaran dan sebagainya tidak jadi masalah.
Jadi siapa kata tiada demokrasi di Malaysia? Jadi Malaysia merupakan satu negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi jangan sampai mutlak. Orang kata kebebasan mutlak itu menjadi kita melakukan sesuatu yang akhirnya menimbulkan konflik dalam negara kita.
Datuk Seri menyebut tadi mengenai ISIS, lebih kurang Datuk Seri kata 40 orang Malaysia telah masuk ISIS, tetapi adakah ini satu minoriti orang Malaysia yang sanggup pergi ke Syria dan masuk ISIS ataupun adakah ini satu masalah yang lebih besar daripada itu?
Ia masih merupakan kumpulan kecil dalam negara kita tetapi walaupun kecil tetapi kita jangan biarkan dia menjadi macam api dalam sekam.
Dan dalam keadaan yang kita lihat walaupun kumpulan kecil tetapi boleh melakukan apa nama tindakan dalam bentuk keganasan yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh dan harta benda musnah seperti mana kita lihat di Paris baru-baru ini.
Walaupun yang bertindak itu cuma tiga orang, tetapi kesan daripadanya adalah besar. Jadi kita pernah dengar istilah lone wolf misalnya, itu pun kalau seorang melakukan sesuatu dalam bentuk tindakan keganasan, kesannya buruk sekali kepada negara kita pada rasa keyakinan.
Mungkin rakyat akan merasai kebimbangan, sentimen terhadap Malaysia berubah dari luar umpamanya.
Ini semua kesan yang cukup buruk pada negara kita, jadi macam mana pun kita selalu sebut Malaysia ini merupakan sebuah negara yang aman, sebuah negara yang harmoni, inilah imej yang kita mesti pelihara yang kita mesti pertahankan.
Datuk Seri kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi, telah berbincang mengenai masalah ISIS dan kebebasan bersuara. Adakah ada perkara lain yang Datuk Seri ingin mengutarakan kepada penonton-penonton kami?
Saya lihat bahawa kita jangan hilang arah dan fokus kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersama-sama, sebab bila kita sebut kita bercita-cita hendak Malaysia ini sebagai sebuah negara advance economy, negara maju menjelang tahun 2020, ini merupakan satu shared vision, bukan sahaja visi kerajaan tetapi mesti dikongsi bersama oleh segenap lapisan malah semua rakyat Malaysia perlu berkongsi bersama untuk merealisasikan visi ataupun impian tersebut.
Dan inilah yang saya kata apa yang berlaku dalam jangka pendek, short term adjustment ini tidak bererti kita lari daripada objektif jangka panjang.
Kita telah tentukan landasan dan landasannya saya yakin adalah landasan yang benar cuma dalam perjalanan ini kadang-kadang kita kena buat perubahan sedikit dalam perjalanan kita.
Seperti mana kita pandu kereta, kalau ada sesuatu yang terjatuh depan kereta, kita mengelak. Daripada kita buat adjustment sebagai pemandu, kita buat adjustment, tetapi kita mesti sedar bahawa destinasi kita itu, kita jangan hilang dari segi panduan kita. Untuk macam manapun destinasi, matlamat, objektif itu mesti kita capai.
Datuk Seri kata walaupun harga minyak telah jatuh, nilai ringgit turun, tetapi ini bukan satu krisis, ini bukan gawat. Tetapi pada sayalah, saya harap Datuk Seri bersetuju bahawa rakyat Malaysia pun mestilah berjaga-jaga pasal keadaan ekonomi global ini bukan sesuatu yang boleh diramal ataupun senang diketahui. Kita pun tak tahu ke mana harga minyak akan pergi. Apakah pesanan yang Datuk Seri kepada rakyat Malaysia menjelang tahun 2015 dan ketika ekonomi global yang tak boleh dijangkakan?
Sebagai rakyat Malaysia kita kena bertindak secara berhemah, kalau kita ini sebagai pengguna umpamanya buatlah keputusan sebagai pengguna yang bijak. Umpamanya kalau kita boleh jimat belanja, kita jimatlah perbelanjaan kita.
Dan kalau kita boleh beli daripada sumber yang memberi nilai yang lebih kepada kita, value yang lebih, buatlah keputusan sedemikian supaya kita akan dapat menentukan apa juga pendapatan yang ada pada hari ini, ianya akan dapat kita gunakan dengan manfaat yang sebesar dan semaksimum mungkin.
Dan saya juga berharap rakyat Malaysia ini atas ikatan kita berpegang kepada pendirian wasatiyyah atau kesederhanaan, berimbang dan kecemerlangan.
Ketiga-tiga unsur ini, maknanya bila kita sebut moderation atau sederhana bukan bererti sederhana dari segi pencapaian, tidak.
Sederhana bererti bahawa kita ini seimbang, balance dan juga di samping itu kita tetap merupakan seorang insan yang inginkan kecemerlangan dunia dan akhirat.
http://www.utusan.com.my/rencana/jangan-hilang-arah-fokus-1.50841#sthash.Umun5v1R.dpuf
....
ReplyDelete(( Loceng Amaran!! ))- Selepas Penjarakan Anwar. UMNO Bersiap Sedia Untuk PENJARAKAN Azmin Dan Wan Azizah Pula!!!??
Sumber Berita
>> Klik Di Sini <<
(( UMNO Penjara Anak Muda )) - Anak Muda Sangat Marah Dan Berdendam Dengan UMNO...
Sumber Berita
>> Klik Di Sini <<
Gambar Dan Video Anwar 'Diseksa' Di Penjara Akan Diedar Dan Diprotes Habis-Habisan!!!
Sumber Berita
>> Klik Di Sini <<
Rakyat Malaysia Sokong Azmin Jadi PM...Tolak Parti PENJARA UMNO
Sumber Berita
>> Klik Di Sini <<