Thursday, January 8, 2015

Banjir: Kesiapsiagaan, belajar dari kealpaan lalu @ShaberyC #PascaBanjir

B6v-970CQAEC2wV

Banjir adalah bencana yang boleh dijangka. Justeru persiapan awal boleh dilakukan bagi mengurangkan kesan akibat bencana tersebut, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di dalam sebuah rancangan bual bicara di TV1 semalam. Beliau juga menyebut, tahun lepas, ramai yang kelihatan tidak bersedia kerana tidak menjangka fenomena perubahan iklim yang mendadak mengakibatkan bencana banjir yang lebih buruk berbanding tahun sebelumnya.


Terdapat banyak perkara menarik yang dikongsikan oleh Shabery mengenai persiapan menghadapi banjir di kawasan Parlimen beliau, Kemaman. Di antaranya, beliau menyebut, “dari segi falsafah, penyampaian bantuan semasa banjir adalah salah kerana bantuan sepatutnya telah tiba sebelum banjir melanda. Apabila banjir sudah melanda, amat sukar untuk menyampaikan bantuan kerana kebanyakan perhubungan dan laluan sudah terputus.”





Dalam keadaan cuaca buruk, bukan mudah juga bagi helikopter penyelamat untuk terbang. Cubaan untuk terbang dalam cuaca buruk boleh membahayakan pasukan penyelamat seperti kejadian helikopter mendarat cemas baru-baru ini. Bukan mudah juga untuk mencari sesuatu kawasan dari udara jika ia tidak ditandakan. Selain sukar mendarat dalam cuaca buruk, helikopter juga tidak boleh turun di kawasan yang sempit.

Menurut beliau, perancangan perlu dibuat lebih awal meliputi persiapan sebelum, semasa dan selepas banjir. Di Kemaman misalnya, struktur organisasi persiapan banjir yang diketuai Pejabat Daerah Kemaman, kemudahan di pusat penempatan sementara dan tapak pendaratan helikopter telah dibuat setahun lebih awal. Malah simulasi menghadapi banjir telah diadakah pada 8 Disember, seminggu sebelum banjir bermula.

Berdasarkan ramalan cuaca, keperluan harian mangsa banjir berbentuk makanan, selimut, tilam, bantal, lampin pakai buang, air bersih, susu dan `sleeping bag’ telah disediakan untuk sejumlah 42,000 orang mangsa. Keperluan yang diunjurkan ini sudah tertentu lebih dari mencukupi bagi mangsa yang terlibat tahun ini, iaitu sekitar 32,000 orang.

Dari segi strategi, Shabery menyebut bahawa pengurusan banjir bukan mengenai bantuan makanan semata-mata, tetapi juga meliputi infrastruktur komunikasi, komunikasi dan pengurusan persepsi.

Komunikasi semasa banjir penting kerana ia menentukan hidup mati mangsa banjir. Justeru pemancar komunikasi di seluruh negara termasuk di Kuantan, Pekan dan Kuala Krai telah dinaikkan agar tidak ditenggelami air,. Malangnya air naik lebih tinggi dari yang dijangka di Kuala Krai, mengakibatkan komunikasi terputus di kawasan tersebut.

Komunikasi dengan penduduk di kawasan banjir juga penting kerana ia membantu pemindahan dan penyampaian bantuan dilakukan dengan berkesan dan sistematik. Di Kemaman misalnya, dijangka ketika air pasang tinggi, air akan naik setinggi tiga meter. Jika hujan turun ketika ini, banyak tempat akan ditenggelami. Semua penduduk di kawasan berisiko di Kemaman telah diberikan kad dan diminta berpindah ke kawasan yang telah ditetapkan jika hujan turun semasa air pasang tinggi.


Memandangkan komunikasi amat penting, perancangan perlu dibuat agar ia tidak terputus semasa banjir. Selain merangka pelan alternatif untuk tidak hanya bergantung kepada syarikat telekomunikasi untuk memastikan komunikasi tidak terputus, `power bank’ juga telah dimasukkan ke dalam prosedur operasi banjir. Perkhidmatan talian kecemasan 999 juga dicadangkan agar diperluaskan untuk bencana seperti banjir.

Sebagai langkah memastikan kesiapsiagaan nasional, Shabery mencadangkan agar kempen kesiapsiagaan menghadapi banjir diadakan di dalam bulan September atau Oktober tahun ini.


Banyak perkara menarik yang dikongsikan oleh Shabery sepanjang rancangan bual bicara selama satu jam ini. Jika penduduk, masyarakat, agensi kerajaan, wakil rakyat dan pemimpin negeri di kawasan berisiko banjir dapat mengaplikasikan pendekatan yang sama, kita yakin pengurusan banjir pada tahun ini akan berjalan dengan lebih lancar.

No comments:

Post a Comment