Thursday, December 4, 2014

SOLIDARITI - Ubat untuk UMNO Selangor @NajibRazak @NohOmar




"Selangor - Dua nakhoda, satu kapal, antara punca 
BN kalah PRU13" - Zein Isma


SO-LI-DA-RI-TI adalah perkataan yang paling banyak disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam ucapan dasar dan ucapan penggulungan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO 2014. Adakah UMNO Selangor cukup bersolidariti bagi menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14?

Ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden, wakil Badan Perhubungan Negeri Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menyebut bahawa berdasarkan tinjauan umum antara faktor utama kekalahan BN di Selangor adalah kehilangan sokongan kaum bukan Melayu dan bukan Islampemilihan calon yang salah dan keadaan satu kapal, dua nakhoda dan perpecahan dalaman UMNO Selangor

Ramai pemerhati politik Selangor berpandangan, nakhoda kedua yang dimaksudkan oleh Zein Isma adalah Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed atau Zin Badak, Koordinator BN Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bersaing kedudukan dengan Datuk Seri Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor ketika itu. 

Bagaimanakah keadaan UMNO Selangor sekarang berbanding PRU13? Datuk Seri Najib telah mengangkat Noh sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor. Pada waktu yang sama, Datuk Seri Najib juga melantik Datuk Syukor Idrus sebagai Timbalan Pengerusi, Datuk Johan Abdul Aziz sebagai Setiausaha, Datuk Seri Fateh Iskandar sebagai Bendahari dan Datuk Zein Isma sebagai Ketua Penerangan.

Blog MIK mendakwa terdapat perpecahan dalam kepimpinan tertinggi UMNO Selangor, di mana wujud kem Noh yang disokong oleh Zein Isma dan kem Syukor yang disokong oleh Johan dan Fateh sehingga menyebabkan UMNO Selangor kelihatan lembab dan mengakibatkan kontroversi selepas Konvensyen UMNO Selangor 2014. 

Bagaimanapun Presiden UMNO baru-baru ini telah bersetuju mengekalkan Noh sebagai Pengerusi dan sudah tentu, keputusan ini boleh menyebabkan krisis perpecahan dan fenomena DUA NAKHODA sekali lagi jika tidak ditangani dengan betul. 

UMNO Selangor memerlukan suntikan semangat baru dan SOLIDARITI. UMNO Selangor juga memerlukan pasukan yang lebih mantap dibarisi gandingan di antara pemimpin berpengalaman dan pemimpin pelapis. Paling penting UMNO Selangor perlu dibarisi kepimpinan dan jentera yang rajin bekerja bagi menentang kerajaan PR Selangor yang dipimpin oleh Azmin Ali.

Sejauh mana negeri Selangor penting kepada UMNO? 

Pastinya Selangor merupakan negeri yang penting bagi PR. Mereka akan melakukan apa saja termasuk menjual agama dan bangsa, demi untuk mempertahankan kuasa di negeri ini. 

Selangor adalah negeri bertumpunya ramai pemastautin daripada 13 negeri lain di luar Selangor. Perantau mencari rezeki di Selangor dan mereka akan pulang mengundi di negeri asal mereka. Apa sahaja yang disebut, dilaksanakan, baik atau tidak, benar atau pun salah, oleh Kerajaan Pusat, UMNO Pusat dan UMNO/BN Selangor akan mengakibatkan pembentukan persepsi dan impak yang besar bukan sahaja ke atas pengundi yang mengundi di dalam negeri Selangor, malah akan dibawa pulang ke kampung dan negeri-negeri lain oleh pengundi yang bermastautin di Selangor.

Kerajaan Pusat dan UMNO Pusat mesti berhati-hati kerana setiap dasar dan tindakan mereka mempunyai impak ke atas pengundi di Lembah Klang. Pada waktu yang sama, Badan Perhubungan UMNO negeri-negeri lain pula, tidak boleh meminggir dan membiarkan sahaja pengundi luar mereka tanpa sebarang bentuk engagement di negeri Selangor.

Sebagai parti pembangkang di negeri Selangor, tidak mungkin UMNO/BN Selangor mempunyai sumber dan masa yang mencukupi untuk mendekati dan membela kebajikan pengundi pemastautin ini, lebih-lebih lagi pengundi di dalam negeri Selangor sahaja sudah melebihi 2.05 juta orang.

UMNO/BN Selangor adalah pembangkang yang sedang berhadapan dengan seteru yang kuat, iaitu kerajaan PR kepada sebuah negeri yang mempunyai begitu banyak sumber.

Menyedari hakikat ini, jika Selangor amat penting kepada BN, bukan sahaja BN Pusat perlu memberi sebanyak mungkin bantuan, malah pemimpin-pemimpin UMNO di luar Selangor, baik yang berjawatan mahupun sudah bergelar mantan, perlu memberikan sebanyak mungkin sokongan dan meminimumkan risiko kekalahan BN di negeri Selangor.

Seperti kiasan Zein Isma di dalam ucapannya,

"Insafilah bahawa kita ini semua.bersaudara dan saling bertaut, adat bersaudara, saudara dipertahankan, cubit peha kanan, peha kiri terasa jua, ingatlah pesanan orang tua, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, kapal yang satu tidak boleh bernakhoda dua, tidak mengapa menjadi ayam mencatuk anak, tapi jangan sampai menjadi tikus membaiki labu, jangan memukul anak kerana ingin menyindir menantu, elakkan menepuk air di dulang, kerana akhirnya memercik ke muka sendiri, ingat2 bila bersorak, jangan diikut resam Pak Kaduk tiada gunanya menang bersorak, kalau.akhirnya tergadai kampung"


Mampukah UMNO Selangor bersolidariti di bawah kepimpinan satu nakhoda, iaitu Noh Omar dan membentuk pasukan yang lebih mantap, berdisiplin, berkemahiran dan yang paling penting, lebih banyak bekerja daripada bercakap?

Mampukah pemimpin, ahli dan penyokong UMNO menghentikan serangan ke atas kepimpinan UMNO Selangor dan menggantikannya dengan sokongan yang tidak berbelah bagi atas nama SOLIDARITI agar UMNO Selangor semakin kukuh dan kuat untuk menawan semula negeri Selangor dalam PRU14?


No comments:

Post a Comment