Wednesday, October 1, 2014

Kenapa Ambiga dan PR takutkan BTN? @NajibRazak @ShaberyC @Fuhas_Tweet @Rajarif



Ini bukan kali pertama saya menulis dan bercakap tentang Biro Tata Negara (BTN) yang ditakuti oleh pemimpin pembangkang, termasuk terbaru pendokong Hak Asasi Tanpa Batas, Ambiga Sreenevasan. Saya percaya isu BTN ini ditimbulkan sekali lagi sebagai `diversion' atau usaha mengalih tumpuan rakyat Malaysia terhadap krisis dan tragedi yang melanda Pakatan Pembangkang (PR) ketika ini. 

Tuduhan Ambiga - 

"Melayu dibasuh otak supaya menjadi rasis dan pentaksub semasa menghadiri kem ini" 

"Saya dengar orang berkata menteri tertentu terpaksa keluarkan kenyataan perkauman kerana perlu melakukannya. Apa jenis penjelasan ini? Ia salah pemimpin kita, tiada alasan" 

Soalan saya kepada Ambiga,

1. Perincikan bagaimana BTN membasuh otak peserta menjadi rasis dan pentaksub?

2. Siapa MENTERI TERTENTU yang didakwa terpaksa mengeluarkan kenyataan perkauman?


Saya percaya Ambiga TIDAK PERNAH melalui kursus kendalian BTN, yang lama mahupun yang baharu. 

Kem latihan BTN yang pertama saya ikuti adalah pada tahun 1991, iaitu sewaktu menuntut dalam Tahun Satu di Universiti Sains Malaysia (USM). Kali kedua adalah pada tahun 1993 dan yang ketiga adalah dalam tahun 1995.

Saya suka menceritakan sedikit pengalaman yang ditempuhi semasa mengikuti kursus BTN ini bersama 109 orang pelajar USM yang lain di Kem Wira Waja Janda Baik. Sesi pertama dimulakan dengan taklimat tentang disiplin yang perlu dipatuhi di kem. terutama dari segi kepatuhan terhadap ketepatan masa dan mengikut arahan. Sepanjang tempoh kursus, kemi dikehendaki membasuh tray makanan dan gelas sendiri serta ditunjukkan kawasan bebas merokok yang digelar Sudut Maut. Kami dimaklumkan tentang jadual yang ketat, program ceramah, sukan, latihan dalam kumpulan dan program kembara. Bagi yang beragama Islam, kami dikehendaki bersembahyang jemaah setiap waktu dan ikut serta mendengar kuliah subuh serta melakukan solat hajat dan qiyamul-lail.

Sesi kedua adalah pembahagian kepada kumpulan-kumpulan dan `ice-breaking' bagi membolehkan kami mengenali ahli-ahli kumpulan yang terdiri dari pelajar berlainan Sekolah Pengajian (Schools). Kami diminta melantik ketua kumpulan, menamakan kumpulan dan mencipta slogan. Setiap kumpulan diberikan bendera Malaysia dan diajar tata cara membawa dan menyimpannya. Kami dikehendaki berada dalam kumpulan dan membawa bendera Malaysia pada setiap masa. Sekiranya ada seorang ahli tercicir sekalipun atau lewat mengikuti program, kesemua anggota kumpulan akan didenda.

Kami diberi tanda nama yang besar dan sebiji telur ayam mentah yang kami tidak tahu apa tujuannya. Pada sesi pertama sahaja, hampir 30 orang peserta yang terpecahkan telur secara tidak sengaja; sama ada jatuh dari saku kemeja sewaktu tunduk; terpijak; pecah dalam saku seluar kerana terjatuh atau terlanggar meja. Bagi setiap yang terpecahkan telur, akan di'hadiah'kan dengan bata merah atau putih untuk dibawa ke mana sahaja. Sesiapa yang terlupa membawa telur atau batu ini, mereka juga akan didenda.

Dalam banyak program, ceramah dan kuliah subuh paling membosankan. Paling menarik adalah program kembara, permainan dalam kumpulan dan sukan. Semasa kembara malam, kami dikejutkan seawal jam satu pagi dan diminta beratur mendaki bukit yang curam. Malangnya malam itu hujan lebat dan lereng begitu licin. Pergerakan menaiki bukit amat sukar dan kami perlu saling sokong menyokong dan tarik menarik bagi membolehkan setiap peserta mendaki bersama-sama. Lebih sukar lagi, pada malam itu ada dua orang pelajar wanita yang kekejangan kaki dan terpaksa diusung sepanjang perjalanan. saya sendiri disengat tebuan, menyebabkan jari saya bengkak dan saya juga luka-luka akibat tergelicir semasa mendaki malam itu.

Apa yang saya belajar? Pengalaman penting bagi seorang anak muda yang masih tercari-cari erti kehidupan bernegara.

Dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) barulah saya fahami maksud sebenar modul yang dilalui. Telur yang diberi kepada saya pecah dan saya diberikan bata putih yang berat sebagai ganti. Ia mungkin lebih berat, tapi tidak fragile. Kata fasilitator yang membimbing LDK, "itu gambaran bahawa dalam usaha membina sebuah negara, yang susah bukan untuk menjaga pembangunan tetapi untuk menjaga pertamanya; zuriat dan kedua, modal insan (dianalogikan dengan telur ayam mentah). Sebaliknya batu yang melambangkan pembangunan, lebih mudah dijaga. Jadi sekiranya seseorang itu tidak dapat diharap untuk menjaga keturunan dan sumber manusia, maka jagalah pembangunan sebaik-baiknya."

Perjalanan mendaki bukit amat sukar. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan hujan lebat. Apa lagi dengan jari yang membengkak dan terpaksa mengusung peserta yang sakit. Kalau tidak saling bahu-membahu dan tarik-menarik ke atas, maka ada yang akan tercicir dan lebih buruk lagi dengan senang semua akan tergelincir. Maksudnya, proses pembinaan sebuah negara amat sukar dan tidak boleh dilakukan secara sendirian. Untuk membawa setiap orang dalam arus perdana pembangunan, termasuk yang lemah, kurang upaya dan tercedera lebih sukar lagi. Jangan pula berperangai seperti ketam batu di dalam raga yang saling tarik menarik ke bawah sehingga tiada yang berjaya keluar dari raga.

Dalam sesi kuliah subuh, kami diajar tentang prinsip-prinsip penting aspek kenegaraan dalam Islam dan bagaimana untuk membentuk pandangan dunia (world view) seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dijelaskan juga akan pengertian Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang ketika itu sedang diamalkan oleh kerajaan.

Dalam sesi ceramah, diterangkan tentang Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukunegara, termasuk tentang keharmonian kaum yang perlu dipertahankan. Turut diterangkan adalah dasar-dasar kerajaan ketika itu seperti Dasar pandang ke Timur, Dasar Penswastaan dan Dasar Pengkorporatan, termasuk pelaksanaan projek-projek kerajaan seperti projek kereta nasional, pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Seluas-luas ruang diberikan kepada kami semua untuk bertanyakan soalan dan memberi pandangan dan sebagai golongan muda yang kritikal, kami memang mengambil sepenuhnya ruang tersebut (melainkan sewaktu kuliah subuh.. biasanya akibat mengantuk) untuk bertanyakan pelbagai soalan dan ada juga yang mengkritik kerajaan.

Hasilnya - selepas kursus, saya berpandangan bahawa saya mempunyai sikap cintakan negara yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Saya menginsafi bahawa amat sukar untuk membina sebuah negara dan ia mengambil masa berpuluh-puluh tahun sedangkan mengkritik itu cukup mudah. Menghancurkan negara jauh lebih mudah dan mungkin boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Saya juga belajar bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam pembinaan negara. Besar atau kecil bukan persolannya; setiap satunya penting dan kita wajar belajar menghargai setiapnya. Saya juga belajar bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab peribadi (personal responsibilities) masing-masing dan kita perlu mengambil tanggungjawab peribadi dalam membangunkan negara, biarpun tanpa ada arahan dan sebarang ganjaran. Bukankah semua ini nilai-nilai murni dan universal dalam pembinaan sahsiah dan sebuah negara?

Adakah kita diajar bersifat perkauman? Seingat saya tidak pernah sekali pun kami diajar untuk membenci kaum-kaum lain. Sebaliknya kami diajar untuk menjaga keharmonian negara dan mempertahankannya sebaik mungkin. Dalam kursus yang pertama, kedua dan ketiga, modulnya hampir sama cuma dalam ceramah, topiknya sedikit berbeza kerana seperti yang disebutkan ramai, peranan BTN adalah untuk menerangkan dasar-dasar semasa amalan kerajaan ketika itu.

Adakah ia berguna untuk pelajar? Ya, sebab ini merupakan salah satu platform untuk membentuk semangat cintakan negara dan memupuk kefahaman tentang dasar-dasar kerajaan.

Adakah ia berguna untuk penjawat awam? Sepatutnya ia dijadikan kemestian. Saya tidak nampak bagaimana seorang penjawat awam boleh melaksankan tugas mereka, iaitu melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan baik tanpa mereka memahami dengan jelas dasar-dasar tersebut.

Jika mereka tidak bersetuju dengan dasar? Mungkin mereka wajar membezakan peranan mereka sebagai seorang pelaksana dasar dan bukan pembuat dasar. Jika mereka tidak mahu menghadirinya? Mungkin lebih elok mereka memilih profesion lain kerana ia akan menyukarkan mereka dan meletakkan mereka di dalam konflik. Mungkin ini yang berlaku hari ini dalam kerajaan dan perlu diperbaiki oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Professional.



Sewaktu menyatakan "Mahasiswa wajar kritikal, bahas dasar semasa kursus BTN", saya menjelaskan bahawa BTN merupakan medan terbaik untuk mahasiswa mendapatkan penjelasan yang mendalam mengenai dasar-dasar kerajaan. Tanyalah apa saja dan jangan takut dilabel sebagai penyokong pembangkang kerana bersikap kritikal. Dapatkan sebanyak mungkin penjelasan kerana sebagai mahasiswa kita memerlukan sebanyak mungkin maklumat untuk membuat keputusan.

Ada yang menyanggah kenyataan saya dan mendakwa lagu Warisan merupakan faktor utama yang mengakibatkan mahasiswa bersikap rasis. Benarkah? Di bawah adalah lirik lagu Warisan versi lama dan baru untuk kita nilaikan bersama.


Lirik Warisan (Anak Kecil Main Api)

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara


Di bawah pula adalah lirik lagu Warisan versi baru. 


Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara

Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia


Bacalah berulang kali, tidak pula ada kata-kata yang bersifat rasis di dalam lirik kedua-dua lagu ini. Jelasnya ia adalah sebuah lagu mengenai kesedaran anak watan mengenai cabaran untuk hidup dan berjaya di tanah airnya sendiri. Seruan lagu ini bukan untuk menganiayai orang lain, sebaliknya ingatan untuk membetulkan diri sendiri, bersatu padu, bersama berbakti, hapuskan sengketa, pulihkan maruah diri, jangan terlalai, teruskan berusaha barulah bangsa ini akan gagah di nusantara.

Di mana rasisnya lirik lagu Warisan ini?

Jadi kenapakah Ambiga dan PR takutkan BTN? 

Mudah - kerana di dalam kursus BTN:-

1. Nilai yang dibawa tidak sama dengan nilai yang diperjuangkan oleh Ambiga dan rakan-rakannya. Apakah nilai yang diperjuangkan oleh Ambiga? Infografik di bawah jelas menunjukkan siapa Ambiga yang sebenar dan perjuangannya:-





2. Penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa diberikan. Jika dahulu, kami diberi penjelasan mengenai Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Negara, penjelasan mengenai isu-isu semasa ketika itu dan Wawasan 2020, mungkin hari ini penjelasan akan berkisar mengenai Gagasan 1Malaysia, NKRA, NKEA, TPPA, GST, ancaman terhadap keselamatan negara, termasuk tragedi Lahad Datu, Akta Hasutan, ISA dan SOSMA dan pelbagai isu semasa. 

3. Semangat patriotisme sebenar dipupuk, jadi tindakan-tindakan yang tidak patriotik seperti usaha mencemarkan nama baik negara dan menghakis keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara termasuk melalui demonstrasi dan rusuhan jalanan tidak lagi akan diterima oleh rakyat

4. Semangat membina negara yang sebenar melalui semangat tolerasi, penerimaan, keharmonian, sokong menyokong tanpa meninggalkan kumpulan yang terpinggir dipupuk, oleh itu usaha pemimpin pembangkang untuk mewujudkan prasangka suku etnik, kaum dan agama tidak lagi berhasil.

Jika semangat patriotisme dan nilai-nilai yang baik di dalam aspek pembinaan sebuah negara dapat disemai serta penjelasan yang baik mengenai dasar-dasar dan isu semasa dapat diberikan di dalam kursus-kursus anjuran BTN, maka sudah tentu manipulasi dan pembohongan Ambiga dan rakan-rakannya di dalam PR akan dapat diperbetulkan. 

No comments:

Post a Comment