Kejahilan ibu bapa dan anak-anak muda Melayu mengenai Islam dan ajarannya amat merisaukan. Kejahilan ini membuka ruang bagi pihak sekularis, liberalis, sosialis dan pluralis merosakkan aqidah mereka dan merosakkan amalan mereka. Eloklah ustaz-ustaz berhenti berbalah antara satu sama lain, hentikan menyokong pihak sekularis-liberalis-sosialis-pluralis ini, dan kembali di dalam satu saf umat Islam. Apa yang berlaku di negeri Selangor hari ini adalah manifestasi kelemahan kepimpinan Islam dalam negeri Selangor.
Banyak persoalan mengenai kenajisan anjing baru-baru ini. Umat Islam Malaysia yang bermazhab Shafie, satu mazhab yang sangat teliti dan berhati-hati, memang secara budaya dan tradisi berpegang kepada hukum bahawa anjing itu najis secara keseluruhannya, baik dari segi air liur mahupun tubuh badannya.
Bagi yang merasakan mereka tidak mahu bertaqlid dengan Imam Shafie dan keliru dengan pelbagai pandangan yang tidak tahu dari mana asasnya, `bercita-cita' ingin membuat pegangan sendiri walaupun tidak mempunyai kelayakan yang sesuai dan tanpa kajian berasaskan kaedah tradisi dan fiqh Islam, mungkin mereka boleh membaca hadis-hadis di bawah sebagai panduan -
1. Sumber yang paling kuat tentang kenajisan anjing bermula daripada hadis Nabi saw. yang disepakati semua perawi hadis, iaitu daripada Abu Hurairah:
"Sesungguhnya Rasulullah Saw. bersabda: 'Apabila seekor anjing meminum dari wadah (bejana) salah seorang diantara kamu, maka hendaklah ia mencucinya tujuh kali.'"
Lafaz hadis yang diriwayatkan Imam Muslim dan Ahmad juga dari sahabat Abu Hurairah r.a. berbunyi:
"Apabila seekor anjing menjilati wadah salah seorang di antara kamu, maka hendaklah ia menumpahkan (membuang) isinya, lalu mencucinya tujuh kali"
Di dalam riwayat yang lain, juga oleh Imam Muslim Rasulullah Saw. bersabda:
"Sucinya wadah salah seorang di antara kamu jika anjing menjilatinya adalah dengan mencucinya tujuh kali, yang pertama dengan tanah."
Dari hadis ini, tidak ada persoalan lagi tentang kenajisan anjing ini dari segi 1. air liur 2. lidah Yang menjadi persoalan sekarang, adakah 1. mulut dan 2. keseluruhan tubuh anjing turut dikategorikan sebagai najis.
2. Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud :
“Bahawasanya Rasulullah saw diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
(Hadis riwayat Daruqutni dan Hakim)
Dalam hadis ini ada 2 pertikaian, 1. mengenai kedudukan periwayat hadis, Isa bin al-Musaiyab 2. tentang pernyataan “Sesungguhnya kucing bukan najis.”
i. Walaupun begitu ada pandangan yang tidak mempertikaikan Isa bin al-Musaiyab
“Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam (sanadnya) terdapat ‘Isa bin al-Musayyab, dinilai terpercaya (thiqah) oleh Abu Hatim dan dha’if oleh selainnya.” (Ini tidak benar) kerana Abu Hatim tidak menilai beliau thiqah, beliau hanya berkata tentangnya dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (6/288): “Dianggap shaduq akan tetapi kuat.”
Berkata al-Hakim: “Dan ‘Isa bin al-Musayyab berseorangan daripada Abi Zur’ah kecuali bahawasanya beliau benar (shaduq) dan tidak tidak dicela secara pasti.” Namun ini kemudiannya diikuti dengan komentar al-Zahabi: “Berkata Abu Daud (tentang ‘Isa bin al-Musayyab): Dha’if. Berkata Abu Hatim: Tidaklah dia kuat.”
ii. Ada pandangan yang mengatakan bahawa hadis yang dijadikan dalil dalam Mazhab al-Syafie berakhir dengan lafaz: “Sesungguhnya kucing bukan najis," sebenarnya tidak wujud di dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkan hadis tersebut. Pandangan ini menyebut, lafaz yang terdapat dalam Sunan al-Daruquthni adalah:
Rasulullah saw pernah datang ke rumah satu kaum daripada kalangan orang-orang Anshar namun baginda enggan masuk rumah mereka. Ini menimbulkan kegelisahan ke atas mereka (tuan rumah) lalu mereka bertanya: “Ya Rasulullah, anda datang ke rumah si fulan tetapi anda enggan pergi ke rumah kami.” Maka baginda menjawab: “Ini kerana rumah kamu ada anjing.” Mereka berkata: “Akan tetapi pada rumah mereka ada kucing.” Rasulullah menjawab: “Kucing adalah sejenis binatang buas (yakni tidak tetap penjagaannya, sering merayau-rayau).”
Jika ada yang tidak mahu berpegang kepada Imam Shafie dan menganggap hadis ini sebagai dhaif, anda boleh melihat sendiri tentang hukum berpegang kepada hadis dhaif di sini - http://informations-the.blogspot.com/2012/10/edisi-renungan-kenali-hadis-dhaif-dan.html
Tapi dari sudut pandangan saya, pertama terdapat pandangan yang jelas bahawa Isa bin al-Musayyab tidak dipertikaikan dari segi keboleh percayaannya (thiqah). Kedua, apa pun pertikaian tentang kucing, riwayat tentang anjing TETAP SAMA. Jadi peganglah tentang cerita Rasulullah saw tidak mahu masuk ke rumah orang Ansar yang memelihara anjing di dalamnya.
3. Bagi yang sekejap nak ikut Mazhab Shafie, tetapi atas kepentingan tertentu nak ikut pula mazhab-mazhab lain, di sini dicatakan juga pandangan Imam Hanafi dan Imam Maliki.
i. Imam Hanafi berpendapat menyatakan bahawa anjing itu najis pada cecair badannya sahaja, bukan pada bulu kulit badannya ketika kering. Bagi mazhab Hanafi;
anjing pada dasarnya zatnya adalah makluk yang suci iaitu tidak najis, dengan alasan antara lain, agama membolehkan kita memeliharanya dalam rangka berburu atau penjagaan.
anjing itu suci keadaannya selama dia masih hidup sahaja.
najis berkaitan anjing hanya pada mulutnya sahaja, air liur dan kotorannya (tahi) selama anjing masih hidup, dengan alasan kerana mengikuti najisnya, daging anjing itu sesudah matinya. Hadis dari Abu Hurairah hanya menerangkan tentang kenajisan mulut dan jilatan anjing semata-mata. Oleh itu, tidak sah mengqiyaskan kenajisan mulut dan jilatannya kepada seluruh badan. Dan yang demikian ini diikuti oleh mereka yang bermazhabHanafi. Dengan ini bermaksud bahawa anjing bukan najis seluruhnya, tetapi hanya mulut, lidah dan air liurnya adalah najis
Mazhab Hanafi menolak hadis dari Abu Hurairah yang bermaksud “Cara mencuci bejana seseorang kamu, apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh tujuh kali, air pertama hendaklah dicampur dengan tanah,” kerana perawinya, Abu Hurairah menyanggahi apa yang diriwayatkan, di mana beliau hanya membasuh sebanyak 3 kali saja, bukan 7 kali.
Jadi bagi yang nak sangat berpegang kepada Mazhab Hanafi, jangan pegang mulut dan jangan terkena jilatan dan air liur anjing. Jangan pegang ketika tangan berpeluh dan basah atau ketika anjing berpeluh dan basah. Kalau terkena masih kena samak, cuma hanya 3 kali basuhan, bukan 7 kali. Terserahlah kepada anda, hendak ikut Abu Hurairah atau nak ikut ajaran Rasulullah saw.
ii. Imam Maliki pula berpandangan -
Anjing secara mutlak (keseluruhannya) baik yang dijadikan sebagai penjaga, pemburu atau apa sahaja, adalah tidak najis iaitu suci sebagaimana haiwan yang lain kecuali kekotorannya (tahi) yang dianggap najis mutawassitah.
Tetapi apabila ada barang yang dijilat anjing diperintahkan mencucinya tujuh kali. Perintah yang demikian itu harus ditaati tetapi tidak ditegaskan bahawa perintah mencuci sedemikian BUKAN kerana jilatan anjing itu NAJIS. Tokoh-tokoh mazhab Maliki berpendapat suruhan Rasulullah s.a.w untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing bukanlah disebabkan oleh kenajisan mulut, lidah dan air liur anjing tetapi disebabkan kepada ketaatan kepada Allah semata-mata - ta’abudi.
Mereka berpendapat sedemikian dengan merujuk kepada lain-lain hadis Rasulullah yang membenarkan penggunaan anjing terlatih untuk berburu. Dan tiadalah seekor anjing memburu dan membunuh mangsanya melainkan melalui gigitan mulutnya.
Haiwan yang ditangkap oleh anjing buruan tersebut adalah tetap suci untuk dimakan seluruhnya. Pandangan mereka semua hadis-hadis yang menerangkan tentang perintah membasuh bekas yang terkena jilatan anjing telah dimansukhkan oleh ayat 4 dari surah al-Maidah yang bermaksud:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagikamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya"
(Surah al-Maidah:4)
Terpulanglah kalau nak berpegang kepada pandangan ini. Cuma ada beberapa persoalan yang timbul dan perlu dijawab bagi mereka yang mahu beramal dengan pegangan ini,
a. Konteks ayat dari surah al-Maidah itu adakah berkenaan HALAL atau HARAM memakan binatang yang diburu menggunakan anjing buruan atau berkenaan SUCI dan NAJIS di tempat gigitan anjing buruan tersebut?
b. Adakah konteks ayat tersebut adalah mengenai hukum makan bangkai seperti yang difahami dalam hadis berikut?
Diriwayatkan daripada Adiy bin Hatim r.a katanya:
Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing tersebut membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku telah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya.
Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang telah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu.
Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya.
Aku bertanya lagi kepada baginda:
Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena dari bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.
c. Jika ayat itu hanya mengenai HALAL dan HARAM memakai bangkai hasil buruan anjing yang dilatih, maka mungkinkah hal berkaitan kebersihan dan kesucian binatang buruan itu, terutama di kawasan gigitan anjing buruan masih perlu merujuk hadis asal mengenai jilatan anjing.
d. Kenapa dalam hadis tersebut ada peringatan `jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya'? Adakah kerana jika bukan anjing buruan yang terlatih, ada tabiat-tabiat anjing bukan buruan yang akan menyebabkan haiwan itu menjadi bangkai yang tidak HALAL dimakan atau menjadikannya TIDAK BERSIH dan SUCI dimakan?
Jawablah sendiri persoalan-persoalan ini.
4. Bagi yang ingin sangat memelihara anjing sebagai `pet', binatang kesayangan di dalam rumah, mandi, tidur, bersembahyang dan menyambut hari raya bersama anjing peliharan ini, maka mereka mungkin wajar meneliti hadis-hadis di bawah, selain hadis di atas mengenai keengganan Rasulullah saw memasuki rumah seorang Ansar yang memelihara anjing di dalam rumah;
i. Sesiapa mengambil anjing (sebagai peliharaan) kecuali anjing menjaga tanaman atau anjing menjaga ternakan atau anjing berburu maka setiap hari pahalanya berkurang satu qiraat.[12] [Shahih Muslim – no: 1574]
ii. “Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/54), no. 450)
iii. ‘Aisyah menyatakan bahawa Jibril (‘alaihis salam) berjanji dengan Rasulullah SAW untuk menemuinya pada masa yang telah ditetapkan, namun pada masa yang tersebut, dia (Jibril) tidak datang. Kemudiannya Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji”. Kemudian Nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah katil dan berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?” Dan beliau (‘Aisyah) menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu.” Kemudiannya Nabi mengarahkan dan anjing itu pun dikeluarkan. Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada saya dan saya menantikan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang. Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalang (saya untuk masuk), untuk kami (malaikat) tidak masuk rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian & Perhiasan (24), no. 5246)
iv. Dari Abu Talha meriwayatkan, katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya ada anjing atau patung”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Pakaian & Perhiasan, no. 5250).
Soalannya - kenapa Jibril dan malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah yang ada anjing? Adakah kerana takut kepada salakan anjing, kerana kesyirikan tuan anjing atau kerana aspek kesuciannya?
Kenapa pendirian Imam Shafie paling selamat?
1. Islam amat menitik beratkan akan kebersihan dan kesucian. Tidak kira sama ada kebersihan tubuh badan, tempat tinggal dan sebagainya. Malah apabila seseorang itu hendak menunaikan solat, haruslah memastikan telah mengikuti kesemua syarat sah solat. Di antara syarat tersebut ialah memastikan tubuh badan, pakaian dan tempat solatnya adalah BERSIH dan SUCI dari NAJIS.
2. Imam Shafie dan Imam Hanafi membuat pegangan berdasarkan hadis dalam konteks jilatan - air liur anjing, termasuk najis. Jadi tidak ada pertikaian bagi mereka yang dijilat anjing. Persoalannya, jika air liur merupakan najis, bagaimana pula cecair badan yang lain, termasuk peluh anjing?
3. Bagi pengikut Imam Shafie, seluruh tubuh anjing juga najis. Jadi bagi mereka yang yang hendak menyentuh anjing, tangan mereka perlu dipastikan kering dan tidak bepeluh, begitu jugalah tubuh anjing.
4. Bila kita memelihara anjing sebagai binatang peliharaan - adakah kebiasaan anjing yang suka menjilat dan air liurnya meleleh dapat kita tahan? Akhirnya ia akan menjadikan rumah kita tidak suci dan akan menyukarkan kita beribadah. Sama ada yang menganggapnya sebagai kepatuhan (ta'abuddi) atau menganggapnya sebagai najis, soalnya tetap sama - ia masih perlu dibersihkan 7 kali, atau kalau tak nak ikut Rasulullah saw tapi nak ikut Abu Hurairah r.a, maka masih kena basuh 3 kali.
5. Bagi mereka yang ingin memelihara anjing di dalam rumah, hadis-hadis di atas adalah amat jelas dan TIDAK ADA PERTIKAIAN sama sekali. Tidak ada alasan lagi.
6. Bagi yang nak menyambut Hari Raya bersama anjing, selepas membaca semua nas dan dalil di atas, anda faham-faham lah anda dari kategori mana - orang yang degil dan masih nak melanggar perintah Rasulullah saw. Tindakan anda sebenarnya cuba mempertikaian panduan yang diberikan oleh Rasulullah saw dan ulama silam. Tidak salah, jika anda dihukum di bawah kesalahan sengaja menghina Islam, ajarannya dan penganutnya.
Bersih atau tidak bersih, suci atau tidak suci - puak-puak ni bukan kisah pun. Kalau bab aqidah pun boleh dilanggar, kalau bab yang paling jelas tentang LGBT pun mereka tak kisah, u all ingat mereka kisah ke bab anjing ni atau bab kebersihan dan kesucian mengerjakan solat. Silap-silap solat pun tak buat, agama pun bukan Islam lagi. Mungkin mereka ni hanya alat untuk mencetuskan provokasi, kekeliruan pegangan dan perpecahan di kalangan umat Islam.
Baca pandangan lain di
MayALLAH bless Syed Azmi for pioneering the misconception of touching dogs by muslim.
ReplyDelete