Saturday, October 19, 2013

#PemilihanUMNO : @tunfaisal - Majlis Tertinggi bukan platform Kerajaan, tapi platform parti..



Bezakan kerja parti dengan kerja kerajaan..

Jemaah Menteri adalah pelaksana kepada dasar dan gerak kerja kerajaan. Pendekatan, bahasa dan nadanya adalah pendekatan, bahasa dan nada kerajaan. Majlis Tertinggi adalah platform parti, pendekatan, bahasa dan nadanya adalah pendekatan, bahasa dan nada parti. Majlis Tertinggi tidak seharusnya menjadi duplikasi atau `mirror image' kepada Jemaah Kabinet. Jika itu berlaku, maka tiada input baru. Kerajaan perlu melaksanakan dasar yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Tertinggi perlu menjadi watchdog bagi memastikan Jemaah Menteri melaksanakan dasar seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan dasar-dasar parti.

Majlis Tertinggi tidak boleh dibarisi oleh hanya Jemaah Menteri yang sibuk dengan tugas pentadbiran dan Ahli-ahli Parlimen yang akan terikat dengan sidang Parlimen ketika ia bersidang. Perlu ada pemimpin yang dapat mengisi vakum yang ditinggalkan oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen semasa mereka sibuk menguruskan tugas-tugas pentadbiran dan sidang Parlimen.

Kerja kita banyak. Golongan sasar yang perlu didampingi ramai. Tetapi platform kita terhad. Ia akan menjadi lebih terhad apabila platform kerajaan dan parti dibarisi oleh pemimpin yang sama.

Majlis Tertinggi memerlukan pemimpin yang boleh bekerja untuk parti, memberi nilai tambah kepada parti dan melaksanakan kerja parti. Majlis Tertinggi memerlukan pemimpin yang boleh bersuara menggunakan bahasa dan nada parti.

Adakah barisan kepimpinan Majlis Tertinggi boleh menyakinkan ahli UMNO dan rakyat? Adakah barisan kepimpinan Majlis Tertinggi yang baru ini akan mempunyai WOW factor atau membawa harapan dan tarikan baru kepada ahli parti dan rakyat Malaysia? Atau adakah kita akan terus disajikan dengan barisan lama? 

Hari ini para perwakilan UMNO akan memilih.

Mereka yang akan menentukan sama ada Majlis Tertinggi akan mempunyai imej baru dan daya tarikan baru atau ia Majlis Tertinggi yang biasa-biasa saja. 

Semoga para perwakilan UMNO memilih barisan yang dapat memperkukuhkan parti dan menyakinkan bagi berhadapan dengan pembangkang dan rakyat dalam PRU ke-14.


No comments:

Post a Comment