Monday, September 9, 2013

[Wawancara] @HishammuddinH2O - UMNO perlu terus kukuh, yang menawarkan diri tidak boleh main-main


Pada pilihan raya lepas kita menang lebih banyak kerusi, oleh itu adalah penting kita mengekalkan sikap muafakat. Apatah lagi sebagai parti tunjang BN, kita perlu menunjukkan kemuafakatan dan keharmonian semasa dan selepas pemilihan parti supaya parti komponen lain melihat contoh terbaik daripada kita. Kemudian mungkin kita boleh membantu atau membimbing jika parti-parti komponen ini ada masalah dalam pemilihan. - Hishammuddin Hussein


Asal usul pemimpin bukan penentu


DIANGGAP menteri yang suka memberi amaran dan tidak tegas mengambil tindakan merupakan antara persepsi yang wujud dalam minda sebahagian ahli-ahli UMNO terhadap DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN.

Malah cabaran beliau dalam menghadapi dugaan persepsi ini semakin hebat apabila masih ramai yang memperkatakan bagaimana tindakan menghunus keris ketika menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO suatu masa lalu dan kemudian meminta maaf membuktikan ketidaktegasan beliau.

Namun Hishammuddin tidak mahu bersikap defensif. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID, di Kuala Lumpur, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO itu berkata, bagi beliau biarlah apa juga persepsi yang wujud, yang pasti segalanya beliau lakukan selama ini semata-mata demi bangsa, agama dan negara serta parti keramat UMNO.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat pemilihan UMNO kali ini? HISHAMMUDDIN: Kalau kita bandingkan kedudukan Malaysia dengan apa yang berlaku di dunia dan di rantau ASEAN hari ini dalam soal keamanan, keselamatan dan kestabilan politik ahli-ahli UMNO perlu bersyukur. Begitu juga apabila kita melihat apa yang terjadi di Asia Barat dan bagaimana kedudukan ekonomi negara kita yang jauh lebih kukuh berbanding beberapa negara Eropah seperti Portugal, Greek dan sebagainya. Apa yang ingin saya tekankan ialah soal kestabilan, pengukuhan dan kemakmuran politik, ekonomi serta keselamatan negara ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil kepimpinan yang bijaksana, tabah dan sabar serta memahami ia datang daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Semua ini dikecapi melalui kepimpinan terdahulu sehinggalah di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibantu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Naib-Naib Presiden UMNO. Tanpa keberkatan dan kebijaksanaan pemimpin tidak mustahil apa yang berlaku di Asia Barat boleh berlaku di Malaysia selain krisis ekonomi seperti di Eropah. Oleh itu kita perlu bersyukur memandangkan semua ini tidak berlaku secara kebetulan dan dalam kita berhadapan dengan pemilihan UMNO ini janganlah kita menidakkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO. Saya tidak akan apologetik dalam hal ini.

Sejauh mana Datuk Seri yakin bahawa ahli-ahli UMNO akan membuat keputusan berdasarkan fakta-fakta ini?

HISHAMMUDDIN: Pertamanya, kita perlu sentakkan mereka dengan apa yang mereka boleh bayangkan, contohnya pergolakan di Asia Barat seperti di Syria dan Mesir sebenarnya tercetus hanya kerana satu insiden iaitu kejadian bunuh diri seorang pemuda di Tunisia. Dalam keadaan sebegini kita kena sedarkan orang UMNO dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bahawa satu insiden seperti yang berlaku di Tunisia boleh menghuru-harakan bukan sahaja di negara itu tetapi di seluruh rantau tersebut. Oleh itu kita kena memperjelaskan apa yang berlaku iaitu landskap sudah berubah dan masyarakat juga perlu berubah. Ini adalah realiti sebenar yang berlaku dan tujuan kita mengingatkan perkara itu bukan mahu menakut-nakutkan sesiapa. Jika kita mahu ubah sesuatu hanya kerana mahu berubah termasuk dalam soal kepimpinan maka ia boleh mendatangkan kesan yang buruk.

Contohnya, seperti mana berlaku di Mesir, apabila Presiden Mohammed Mursi dengan kerjasama erat Ikhwanul Muslimin mengetepikan bekas Presiden Hosni Mubarak, namun malangnya hanya bertahan selama setahun sebelum Mursi dijatuhkan. Apa yang dikatakan demokrasi akhirnya berubah menjadi lebih autokratik sehingga banyak nyawa terkorban malah ada yang berkata adalah lebih baik mengekalkan pemerintahan Mubarak.

Perubahan-perubahan sebegini adalah perlu bagi ahli-ahli UMNO ikuti dan fahami kerana memang mudah untuk kita mengatakan orang itu salah dan sebagainya. Bukanlah tujuan saya mahu menakut-nakutkan orang ramai tetapi dalam kita ghairah mahu menentukan kepimpinan UMNO dan masa depan parti, ahli-ahli parti juga perlu berfikir seketika dan melihat apa yang berlaku di sekeliling serta membuat keputusan terbaik dalam membawa parti dan ahli-ahlinya jauh lebih baik ke hadapan. Seharusnya masa depan negara perlu menjadi pertimbangan ahli-ahli selain jawatan yang menjadi rebutan. Ini kerana jawatan datang bersama amanah dan tanggungjawab.

Rekod perkhidmatan Datuk Seri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikatakan akan menjadi sandaran ahli-ahli UMNO, Datuk Seri dianggap menteri amaran dan terlalu ‘lembik’ membuat tindakan apa komen Datuk Seri?

HISHAMMUDDIN: Bagi saya kemampuan seseorang pemimpin tidak boleh dinilai pada masa dan ketika mereka memimpin di satu-satu tempat atau pada masa dan senario ketika itu kerana sejarah akhirnya akan menentukan apa yang dilakukan itu sebenarnya melebihi kepentingan sendiri. Itu merupakan satu ujian yang perlu dilalui bukan sahaja oleh saya tetapi juga sesiapa sahaja yang menerajui KDN.

Saya sudah melalui banyak dugaan dan ia bukan mudah tetapi yang memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan dalam kerajaan dan UMNO kerana apa yang dilakukan bukan untuk diri sendiri tetapi demi agama, bangsa dan negara. Orang boleh menilai saya berdasarkan apa yang dilakukan tetapi masalahnya ada yang membuat penilaian berdasarkan keadaan sekarang dan ia dipanaskan oleh ‘tukang cucuk’ atau pihak-pihak tertentu yang ada kepentingan.

Di dalam KDN terdapat banyak keputusan harus dilaksanakan bersandarkan kepada maklumat yang tidak boleh didedahkan kepada orang ramai. Oleh itu apabila berhadapan dengan sesuatu situasi yang berkaitan dengan keselamatan rakyat dan negara, pemimpin-pemimpin di KDN perlu membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya. Bagaimanapun saya memahami bahawa realitinya, tidak ada Menteri Dalam Negeri yang popular.

Ada yang menyatakan kedudukan Datuk Seri ketika di KDN lebih sukar berbanding ketika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih jawatan itu?

HISHAMMUDDIN: Saya tidak mahu berkata demikian kerana nanti orang akan kata saya defensif. Bagi saya, bebanan dan amanah walaupun berbeza zaman dan masa adalah sama sahaja. Sebenarnya, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak menyatakan apabila Ahmad Zahid memegang jawatan Menteri Dalam Negeri keadaan hari ini jauh berbeza atau lebih baik berbanding zaman saya. Namun saya tetap memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap beliau kerana kita tidak tahu apa akan berlaku, contohnya seperti peristiwa pencerobohan di Lahad Datu yang tercetus sekelip mata.

Begitu juga dalam soal perhimpunan Bersih ketika zaman saya, sudah tentu perkara ini boleh berlaku ketika kepimpinan Ahmad Zahid. Tidak bolehlah hendak kata keadaan beliau sekarang ini lebih mudah berbanding saya, itu tidak betul.

Ahmad Zahid juga tahu apa yang ada di KDN, semua maklumat yang saya ketahui sebelum ini akan diketahui oleh beliau juga. Jika apa-apa berlaku maka beliau boleh belajar daripada pengalaman yang saya lalui dahulu, contohnya pencerobohan pengganas Sulu dan demonstrasi jalanan.

Mungkin orang melihat saya lemah kerana ada persepsi kita berlembut dengan penunjuk perasaan tetapi fikirkan apa yang berlaku di Mesir dan Syria apabila pasukan itu memukul perusuh. Hanya kerana tindakan pihak keselamatan yang bertindak kasar, ia membuka jalan kepada pihak ketiga yang mahu mengganggu gugat soal kedaulatan seperti Amerika Syarikat (AS) dan sebagainya.

Jadi bagaimana Datuk Seri hendak berhadapan dengan ‘tukang cucuk’ politik yang akan menggugat peluang Datuk Seri mempertahankan jawatan?

HISHAMMUDDIN: Saya telah berhadapan dengan pelbagai isu sebelum ini termasuklah isu menghunus keris, ketika Pemuda UMNO berpecah selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pelbagai lagi. Seperti yang saya nyatakan, sejarah yang akan menilai kita dan dalam soal ini semua insiden itu sudah menjadi sejarah. Boleh tanya kepada rakan-rakan yang bersama dengan saya ketika itu antaranya Datuk Idris Haron yang kini menjadi Ketua Menteri Melaka, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Razali Ibrahim dan ramai lagi. Kecaman-kecaman dan serangan yang diterima sangat teruk. Tetapi Alhamdulillah saya terus bertahan dan UMNO pun sudah melalui semua ini yang kemudiannya lebih mematangkan parti dan ahli-ahlinya. Selepas pemilihan berlangsung seharusnya semua pihak dalam UMNO perlu merapatkan barisan dan lupakan segala sengketa serta terus melihat ke hadapan.

UMNO harus terus membantu parti-parti komponen BN yang turut akan berhadapan dengan pemilihan parti masing-masing tidak lama lagi. Ini perlu kerana UMNO adalah parti tunjang dalam BN oleh itu adalah sangat penting untuk kita memastikan rumahtangga kita kekal sejahtera. Saya tidak mahu parti huru-hara hanya kerana pemilihan.

Pada pilihan raya lepas kita menang lebih banyak kerusi, oleh itu adalah penting kita mengekalkan sikap muafakat. Apatah lagi sebagai parti tunjang BN, kita perlu menunjukkan kemuafakatan dan keharmonian semasa dan selepas pemilihan parti supaya parti komponen lain melihat contoh terbaik daripada kita. Kemudian mungkin kita boleh membantu atau membimbing jika parti-parti komponen ini ada masalah dalam pemilihan. Seperti yang dikatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, UMNO adalah dalam keadaan sangat genting sekarang kerana kita perlu berhadapan dengan masalah jurang generasi muda dan bagaimana mahu menarik mereka menyertai UMNO. Kita telah cuba dengan membuat pindaan Perlembagaan selain mewujudkan Puteri dan usaha perlu lebih gigih dalam mentransformasi UMNO supaya terus kekal relevan dan diterima oleh semua golongan. Begitu juga dengan parti-parti lain dalam BN termasuk di Sabah dan Sarawak, mereka juga perlu mentransformasi parti supaya diterima golongan muda. Kita tidak mahu jika selama ini mereka hanya menyalahkan UMNO dalam banyak hal tetapi sekarang sudah sampai masanya mereka melihat keadaan parti sendiri dan memperbetulkan keadaan. Cukup-cukuplah menjadikan UMNO sebagai punching bag.

Bagaimana Datuk Seri mahu ahli UMNO menilai diri dan usaha yang telah dilakukan dan bukannya kerana Datuk Seri adalah sepupu kepada Perdana Menteri atau anak kepada bekas Perdana Menteri?

HISHAMMUDDIN: Ini adalah satu perkara yang saya tidak boleh elak kerana sudah dilahirkan sebegitu rupa. Apabila mula masuk politik orang kata saya cucu Datuk Onn, anak Tun Hussein Onn dan sekarang sepupu kepada Perdana Menteri. Bagi saya, ahli UMNO bukanlah terdiri daripada mereka yang tidak boleh membuat penilaian. Ramai juga anak bekas pemimpin UMNO yang tidak menyertai politik dan tidak berjaya dalam politik.

Bagi saya, walau siapapun seseorang itu akhirnya ahli UMNO akan membuat penilaian berdasarkan apa yang telah dilakukan dan bukan kerana dia anak si polan. Saya tidak menafikan asal usul saya memberi sedikit kelebihan malah orang UMNO buka pintu rumah mereka lebih sedikit untuk saya masuk tetapi sama ada saya kekal dalam rumah itu, ia masih belum pasti. Malah sebelum ini pun ramai juga yang ditolak oleh ahli-ahli UMNO sekali gus membuktikan hubungan keluarga bukanlah satu jaminan untuk berjaya dalam UMNO.

Tetapi saya percaya ahli-ahli UMNO lebih bijak dalam membuat penilaian dan keputusan, inilah yang membezakan antara UMNO dengan parti-parti lain. Saya tidak mendabik dada tentang siapa saya dan ahli keluarga tetapi semua orang berhak berjuang untuk menjamin kelangsungan perjuangan dan masa depan orang Melayu serta semua kaum di negara ini. Tidak kira apa pun andaian, persepsi atau tanggapan, akhirnya hanya perwakilan yang akan membuat penilaian. Oleh itu saya menyerahkan kepada ahli-ahli UMNO untuk membuat keputusan dan kemudiannya, empat tahun akan datang, kita serahkan pula kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum membuat penentuan melalui pilihan raya umum.

Selepas hampir 20 tahun bergelumang dalam politik, apakah kekuatan yang ada pada Datuk Seri untuk membolehkan dipilih sekali lagi sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini?

HISHAMMUDDIN: Kekuatan saya adalah terletak pada rangkaian dan semangat setiakawan, ia bukanlah bermusim. Perkara ini tidak hanya wujud semasa pemilihan sahaja dan ia kelebihan ‘kilang’ Pemuda UMNO yang mana semua perlu melalui pahit getir bersama, satu pengalaman yang tidak boleh dinilai bersandarkan wang ringgit. Kalau dilihat sepanjang 10 tahun saya memegang jawatan Ketua Pemuda, macam-macam perkara yang telah dilalui antaranya isu keris, pemecatan Anwar, Pemuda berpecah dua, Ahmad Zahid ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan macam-macam lagi.

Ahmad Zahid adalah contoh terbaik walaupun berhadapan masalah satu ketika dahulu tetapi disebabkan sikap tabah dan sabar, kini beliau berada dalam Kabinet. Dalam juga yang dilakukan, saya tidak pernah meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Kelebihan dan pengalaman inilah yang sangat saya hargai serta memberi semangat untuk terus menabur bakti.

Apa mesej Datuk Seri untuk memastikan pemilihan kali ini berjalan lancar?

HISHAMMUDDIN: Pertamanya, pesanan untuk ibu pejabat UMNO, kerana tugasnya mereka bukan mudah kerana pemilihan kali ini akan melibatkan 150,000 perwakilan. Mereka akan menentukan hala tuju dan masa depan UMNO serta negara. Maka tugas mereka di ibu pejabat adalah memastikan mesyuarat parti berjalan dengan lancar. Mereka perlu melihat perjalanan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian supaya nanti tidak ada orang yang marah.

Ibu pejabat perlu memastikan tidak ada masalah selain memudahkan urusan di peringkat cawangan dan bahagian. Apa sahaja isu yang membuatkan ahli-ahli di peringkat akar umbi marah perlu ditangani dengan segera. Ini kerana selepas mesyuarat cawangan ia akan berlanjutan ke peringkat bahagian. Manakala di peringkat bahagian ia akan melibatkan pemilihan Majlis Tertinggi. Oleh itu perjalanan di peringkat cawangan perlu diberikan fokus sepenuhnya. Namun Alhamdulillah saya masih belum mendengar apa-apa masalah setakat ini. 

Kedua, pesanan saya kepada mereka yang menawarkan diri menjadi calon, harap mereka jangan main-main kali ini. Kalau berani menawarkan diri maka mereka perlu berani membuat kerja selepas ini. Ia kerana semua orang boleh menilai siapa mereka dan kerja-kerja yang telah dijalankan. Oleh itu jika benar mahu menawarkan diri, maka mereka perlu bersedia memandangkan bukan sahaja ahli UMNO yang akan menilai tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Ketiganya, saya ingin memberi nasihat kepada perwakilan yang akan membuat pemilihan. Saya berharap mereka perlu rasional dan melihat pemilihan ini sebagai satu tanggungjawab dan amanah untuk memilih pemimpin yang boleh diletakkan harapan tidak kira mereka sama ada di peringkat Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda mahupun Puteri. Apa pun saya berharap, semua ahli-ahli UMNO akan memastikan pemilihan kali ini akan berjalan lancar dan tidak mewujudkan sebarang kekecohan sehingga menjejaskan imej parti dan kepimpinan UMNO.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130908/re_02/Asal-usul-pemimpin-bukan-penentu#ixzz2eOt0dXnM
© Utusan Melayu (M) Bhd




No comments:

Post a Comment