Friday, September 13, 2013

Ranking Universiti - Penipuan atau Perniagaan?



Artikel menarik untuk kita memahami sedikit sebanyak tentang ranking universiti dan motivasi di sebalik mengadakan ranking tersebut. Saya dimaklumkan bahawa ranking ini ditentukan berdasarkan kriteria berikut - 1. Reputasi pencapaian akademik (40%) 2. Kebolehpasaran graduan dan persepsi majikan (10%) 3. Nisbah mahasiswa kepada tenaga pengajar (20%) 4. Rujukan penyelididikan (citation) mengikut fakulti 5. Keantarabangsaan pelajar (5%) dan 6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%). Perkara 5 dan 6 menjadi punca kenapa ada IPTA yang gila ranking di negara ini yang berebut-rebut menawarkan ruang kepada pelajar dan penyarah luar. Mungkin boleh dibaca sebagai satu lagi agenda halus kapitalis dan pasaran terbuka tajaan Barat, seperti TPPA juga. 

[RANKING DUNIA UNIVERSITI] Ramai Yang SALAH FAHAM & TERTIPU Kerana TIDAK BERILMU

http://celahgelegar.blogspot.com/2013/09/ranking-dunia-universiti-ramai-yang.html


APABILA Rafizi Ramli, Pengarah Strategik PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan menulis mengenai "Kejatuhan IPTA Malaysia dalam Ranking QS" di salah sebuah laman web berita 'on-line' ternama di Malaysia, saya tidak punya masalah.

Namun, apabila saya membaca komen-komen yang ditulis oleh rakyat marhaen seperti saya, saya mula gusar. Seharusnya dengan kecanggihan teknologi dan kebebasan maklumat, masyarakat akan bertambah peka dan bermaklumat dan tidak mudah diperdayakan.

Akan tetapi apa yang saya perhatikan memperlihatkan sebaliknya. Memperdayakan manusia /rakyat tidak pernah semudah sekarang. Saya utarakan permasalahan ini kepada seorang rakan yang pernah terlibat secara langsung dalam proses 'merankingkan' salah sebuah IPTA dalam QS ranking (ketika itu THES-QS ranking: THES dan QS menamatkan kerjasama mereka pada 2010).

Penulisan dalam artikel ini cuba menjelaskan secara paling asas, siapa QS dan bagaimana ranking universiti diberi. Juga saya akan muatkan beberapa argumen mengenai kelompangan dan isu integriti dalam badan berpengaruh ini.
  
QS dan World University Ranking.

Dalam artikel yang ditulis oleh YB Rafizi, beliau mengatakan bahawa sumber penilaian QS adalah berdasarkan beberapa kriteria yang dijumlahkan menjadi 100%. Antara kriteria utama ialah "reputasi pencapaian akademik" yang ditulis oleh YB Rafizi membawa markah 40%.

Namun terma tersebut bersifat 'ambiguous' dan boleh membawa kepada pelbagai maksud dan kesimpulan, antaranya seolah-olah:

1) Pelajar IPT kita mempunyai reputasi akademik yang rendah sehinggakan menjatuhkan ranking universiti.

2) Universiti merangka silibus bermasalah dan tidak mampu menaikkan reputasi akademik pelajar

3) Graduan kita lemah dan tak berdaya saing berpunca daripada IPT yang lemah

Beberapa kesimpulan ini lahir bukan sahaja akibat kegagalan Yg Berhormat Rafizi menerangkan apa itu "reputasi pencapaian akademik" namun kegagalan pembaca untuk setidaknya 'wiki' apa itu QS ranking dan apakah 'method' yang digunapakai dalam menyenaraikan universiti-universiti di seluruh dunia.

Berbalik kepada isu "reputasi pencapaian akademik" yang dibawakan. Terma itu bukanlah seperti markah pencapaian akademik berdasarkan jawapan salah dan betul yang kita ambil di sekolah dahulu.

Markah 40% itu adalah berdasarkan 'survey' yang dilaksanakan QS melibatkan persepsi anggota akademik dalam bidang berkenaan terhadap 10 universiti dalaman sesebuah negara dan 30 institusi antarabangsa yang dirasakan cemerlang dan ulung dalam bidangnya. Responden tidak dibenarkan mengundi institutnya sendiri.

Sebagai contoh, katakan anda merupakan ilmuwan dengan kelulusan PhD dalam bidang biokimia, jadi anda akan diminta meyenaraikan 10 universiti dalam negara anda dan kemudian 30 universiti antarabangsa yang anda rasakan cemerlang dan ulung dalam bidang biokimia anda tersebut.

QS akan memaparkan perincian mengenai demografi responden, fakulti responden dan jawatan responden dalam webnya (http://www.iu.qs.com/university-rankings/academic-survey-responses/).

Akan tetapi persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh ilmuwan dan profesor dalam bidang statistik sepertiberapa peratus responden mengenai biokimia datang dari Asia, berapa ramai dari Eropah. Perkara-perkara ini mendatangkan keraguan terhadap tafsiran yang dilakukan oleh QS, apatah lagi QS mengeluarkan ranking universiti berdasarkan subjek (e.g. falsafah, kejuruteraan, perubatan dsb).

Apatah lagi terdapat laporan bahawa sebuah universiti di Arab Saudi yang merupakan universiti petroleum dan mineral menghantar borang 'survey' kepada seorang ahli falsafah (rujuk ini :http://leiterreports.typepad.com/blog/2013/05/the-qs-university-rankings-are-a-fraud-on-the-public.html).

Apakah tidak aneh jika 'survey' mengenai reputasi universiti berkait petroleum dan mineral diajukan kepada seorang ilmuwan dalam bidang kemanusiaan. Seolah bertanyakan pendapat siapa pemain bola yang terbaik untuk dibeli kepada jurulatih bola jaring.

Saya akan terangkan dalam bab yang berikutnya mengapa QS juga adalah perniagaan dan meletakkan 'faith' kepada peniaga adalah seperti meletakkan 'faith' kepada ahli politik.

QS, Transperansi dan Perniagaan

Jika diajukan kepada saya mahupun sebilangan besar anda, siapa yang berhak mengadili saya, orang terakhir yang ingin saya berikan adalah mereka yang punya kepentingan. Orang yang ada kepentingan pasti ada bias dalam penilaian.

Sebab itu kita inginkan mahkamah yang adil, Suruhanjaya tidak berkepentingan untuk melakukan audit. Semuanya demi menjaga integriti agar keputusannya boleh dipercayai oleh semua lapisan masyarakat.

QS mengakui mereka cukup transparens dalam perkara ini. Antara kenyataan mereka adalah mereka mendapat pengiktirafan IREG (The International Ranking Expert Group) dalam sistem dan method yang digunapakai mereka.

Namun menariknya salah seorang komuniti eksekutif dalam IREG ini adalah Mr Robert Morse yang juga merupakan Ahli Lembaga Badan Penasihat QS. Jadi, pegawai dalam IREG yang memberikan pengiktirafan kepada QS juga merupakan ahli penasihat QS.

Ini kalau dalam analogi, seolah ahli mesyuarat pemberi tender merupakan pengarah dalam syarikat yang membida tender tersebut. Apakah ini transperansi yang dijuangkan badan induk ranking universiti dunia dan kita selaku rakyat/pemegang kepentingan tergilakan ranking ini.(rujuk : http://www.ireg-observatory.org/index.php?option=com_content&task=view&id=3&Itemid=115 danhttp://www.iu.qs.com/2013/05/qs-global-academic-advisory-board/).

QS juga merupakan sebuah syarikat swasta dan tertakluk kepada norma perniagaan untuk meraih keuntungan sebanyak mungkin pada setiap tahun. 

Lebih menarik lagi QS pernah dikenakan penalti GBP80,000 kerana menggunakan perisian tidak berlesen (rujuk: http://www.computerweekly.com/news/1280094547/Quacquarelli-Symonds-pays-80000-for-using-unlicensed-software).

Malah menurut salah seorang ahli komiti THES yang pernah bekerjasama dengan QS sebelum ini " Kajian dan ranking yang dilakukan oleh THES bersama rakan kerjasama kami selama 6 tahun sebelum ini adalah tidak sebagus yang disangka (not good enough)" - Phil Batty (rujuk :http://www.insidehighered.com/views/2010/03/15/baty).

Jika kita bertegas dengan FAM, PDRM mahupun SPRM dalam soal rasuah dan integriti mengapa kita perlu bersikap 'double standard' dalam isu ini hanya kerana mereka mat salleh?

Untuk makluman anda, perniagaan ranking ini telah lama dijalankan dan setiap satunya ada 'catch' nya tersendiri. QS menawarkan pelbagai jenis kursus dan seminar untuk universiti-universiti membaiki kedudukan dalam ranking yang dicipta oleh QS sendiri (rujuk:http://www.qs.com/qs-rankings-event.html).

Tidak cukup dengan itu QS turut menawarkan khidmat konsultansi(semestinya berbayar) kepada mana-mana universiti yang ingin membaiki rankingnya. Kesemua ini adalah semata-mata untuk memasarkan universiti di peringkat antarabangsa.

Soal saya, apakah dengan menyertai semua pakej ini, bilangan pelajar dari Eropah dan Amerika bertambah. Kebanyakan mereka lebih berminat dengan universiti seperti MIT, Yale, Imperial College of London.

Namun, pemilihan universti ternama ini adalah turut banyak dipengaruhi 'nama baik/halo effect' mereka.Rakan saya yang pernah menguruskan perkara ini bagi pihak IPTAnya memaklumkan bahawa harga satu 'web banner' berukuran dalam 2 inci adalah RM20,000. Itupun harga bagi 6 tahun yang lalu. Lihat betapa lumayannya perniagaan ini.

Mengejar Ranking ataupun Tidak

Ranking universiti tidak dapat dinafikan merupakan salah satu bentuk perniagaanKita mungkin tidak punya masalah andai ia dijalankan dengan integriti. Namun untuk kita memujanya dan menyalahkan mana-mana pihak jika ranking kita jatuh adalah tidak wajar.

Sedangkan kita bila dihidangkan dengan isu air al-khodafi, gelang AC kita bersarkastik menunjukkan rasa tidak puas hati kita. Namun mengapa apabila isu ini keluar, kita menikus sehinggakan 'wiki' pun tidak sanggup.

Lebih rela menuding jari dan meletakkan kesalahan di bahu orang lain. Walaupun saya tidak punya masalah atas 'disagreement' namun biarlah kita tidak bersetuju apabila kita telah punya fakta dan pegangan yang kukuh. Jangan hanya emosi.

Malah peristiwa ini memberi gambaran kepada kita, andai yang menulis datang dari bukan kerajaan, ethos tulisannya lebih tinggi dan ketepatan fakta bolehlah dipandang sekali lalu sahaja. Jika benar maka jangan salahkan IPT kita, salahkan sikap kita sendiri.

Mengenai kewajaran mengejar ranking, andai kata ia melibatkan ratusan ribu setahun bagi satu-satu universiti dalam soal ini, saya percaya adalah lebih baik dana ini disalurkan ke dalam bidang penyelidikan, tambahkan jumlah geran, tambahkan biasiswa bagi pelajar pasca siswazah.

Melalui cara ini, jumlah penyelidikan akan dapat ditambahkan dan ia akan memberi keuntungan bukan sahaja kepada universiti malah kepada penyelidik dan rakyat melalui pengkomersialan.

Kerajaan juga boleh mendapatkan data berharga mengenai kajian yang dilakukan apatah lagi jika kajian melibatkan respons kepada dasar-dasar kerajaan. Mengapa kita ingin laburkan kepada sesuatu perkara yang sudahpun diketahui tidak mendapat hasil seperti yang dijangka.

Salam hormat,
Ammar Redza, alumni UPM 

Komen Celah Gelegar

Antara kriteria dalam Ranking QS juga adalah bilangan pelajar antarabangsa dan pensyarah antarabangsa. Lebih ramai mereka di dalam IPTA kita lagi bagus pada mereka.

Adakah kita sanggup melepaskan tempat dan peluang kemasukan di UiTM untuk anak Melayu dan memberi tempat itu kepada pelajar antarabangsa?

Adakah kita sanggup memberi peluang menjadi pensyarah untuk orang-orang Melayu dan menyerahkan kepada pensyarah antarabangsa demi hanya memuaskan hati puak-puak fanatik ranking itu.

Jangan lupa negara kita masih memerlukan pembelaan Kerajaan terhadap kumpulan yang  tercicir disebabkan social disadvantage, demi membawa mereka sama-sama ke arus perdana Kemajuan negara.

Kesimpulanya untuk menjadikan QS World University Ranking (QS WUR) sebagai panduan tidak salah, namun jangan terlalu fanatik seolah-olah QS WUR sangat tepat dan sebagai rujukan yang terbaik di dunia ini. Jangan lupa permainan perniagaan sebagai sebuah syarikat swasta disebalik semua ini. Anda sanggup bayar mahal (perhabiskan duit rakyat) untuk publisiti IPTA anda, maka peluang untuk kedudukan ranking akan lebih baik. Bagi sesiapa yang mempelajari marketing akan faham permainan ini.

Jangan cepat mengambil peluang untuk memburukkan kerajaan dan IPTA. Lalu semua sistem IPTA dijadikan kambing hitam dan dipersalahkan seolah-olah semuanya tidak betul dan sangat teruk di mata rakyat. Mereka yang bukan Melayu pula cepat-cepat menuduh proses pengambilan pelajar tidak telus lalu IPTA mengambil mereka yang tidak berkelayakan yang menyebab ranking IPTA jatuh. Sungguh dangkal tuduhan mereka.

Sedangkan IPTA telah banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu di atas muka bumi ini, malah terdapat hasil-hasil kajian IPTA telah digunakan di seluruh dunia dengan jumlah pendapatan jutaan ringgit kepada negara.

Kita jangan lupa, ramai antara kita ketika ini yang sedang membangunkan negara kita adalah terdiri daripada lulusan IPTA.

No comments:

Post a Comment