Tranformasi kerajaan BN tingkat kuasa politik mahasiswa
SELASA, 26 FEBRUARI 2013 18:55
WARTAWAN AGENDADAILY
Transformasi politik yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) telah meningkatkan kuasa politik mahasiswa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kata bekas aktivis mahasiswa, Tun Faisal Ismail Aziz.
Menurut beliau, dengan pindaan yang dibuat menggambarkan keterbukaan kerajaan untuk memberi kesamarataan dalam sistem demokrasi kepada rakyat termasuk mahasiswa.
Beliau berkata, mahasiswa pada masa kini bebas untuk berpolitik secara terbuka, sekali gus mendapat peluang untuk menjadi calon pada pilihan raya umum ini.
Namun, Tun Faisal berkata, kebebasan yang diberikan perlu diiringi dengan panduan supaya tidak menimbulkan sebarang perkara tidak diingini.
"... kita bagi ruang untuk mereka bebas berpolitik, tapi perlu ada juga yang menjadi panduannya. Kita bagi kepercayaan kepada pelajar, ini menjadi medan terbuka kepada mahasiswa untuk memberi sokongan secara terbuka dan menjadi calon PRU13," katanya dalam satu forum di Shah Alam tadi.
Pada 19 April tahun lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, yang membenarkan penuntut universiti terbabit dalam politik dan memegang jawatan dalam persatuan serta pertubuhan di luar kampus.
Mengulas lanjut, Tun Faisal yang juga Pengerusi Unit Media Baru (UMB) UMNO berkata, tranformasi politik membabitkan pindaan Auku tidak menghalang kebebasan berpolitik, tetapi memberi panduan dan mengelakkan sifat partisan di kalangan pengajar serta mahasiswa di institut pengajian tinggi.
Tun Faisal juga berkata, parti politik boleh mengambil kesempatan terhadap mahasiswa untuk menjadikan mereka sebagai tonggak dalam pergerakkan parti pada PRU13.
"... transformasi tak menghalang pelajar berpolitik, tapi kita tak mahu ada budaya partisan dalam kampus termasuk pensyarah dan mahasiswa.
“Keterbukaan atau kebebasan ini juga akan memberi peluang kepada parti politik menjadikan mahasiswa sebagai tonggak utama mereka pada pilihan raya kali ini," katanya.
Selain Tun Faisal, barisan panel forum Wacana Sinar Wacana Sinar bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa di terdiri daripada Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi; Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi menyangkal sama sekali dakwaan sesetengah pihak yang melabel golongan muda terutamanya mahasiswa mengikut parti dan "bendul."
Menurutnya, label tersebut sebagai tidak adil kepada mahasiswa.
“Adalah tidak adil kita memberi label pada mahasiswa itu. Sama ada dia ini pakatan (Pakatan Rakyat) atau dia ini barisan (Barisan Nasional). Menurut kajian, pola kecenderungan orang muda adalah terhadap parti yang ada asas kukuh dan calon pula dipilih yang benar-benar telus serta boleh harap.
“Jadi, untuk mengatakan siswa ini sokong BN atau PR tak adil. Adalah tidak adil untuk kita meletakkan label mahasiswa... semua pakatan, semua kerajaan kerana mereka bersifat intelektual,” katanya.
Katanya, mahasiswa membangkang atau menyokong sesuatu isu atas dasar ilmu bukan kerana menyokong mana-mana pihak.
“Apabila mereka membangkang, tak semestinya mereka duduk dalam pembangkang. Apabila mereka menyokong bukan kerana mereka penyokong. Mereka menyokong atau membangkang atas dasar ilmu itu sendiri.
“Kalau tajuk itu beri kesan yang baik kepada negara contohnya, dasar-dasar kerajaan yang membawa perkara yang baik kepada siswa sudah pasti mereka akan menyokong, tidak kira haluan kiri atau kanan.
"Saya percaya ia berlaku di kampus. Jadi, tak tepat (label) kerana mereka mempunyai pemikiran yang lebih,” katanya.
Ketika moderator menyifatkan mahasiswa sebagai lemah dan bendul, Muammar membidas kenyataan tersebut.
“Saya terpaksa untuk tidak setuju dengan kenyataan Prof (moderator) yang menyatakan siswa ini lemah, bendul. Pertama kita kena tengok kenapa topik ini menjadi begitu hangat?... kerana mahasiswa ini mempunyai satu nilai ilmu.
“Komen daripada mana-mana pihak yang mengatakan mereka ini lesu saya sangat tidak setuju. Saya cukup terasa apabila Prof mengatakan mahasiswa kita lesu, lemah. Kita ada banyak contoh. Tidak kira mereka menyokong atau tidak kerajaan. Mereka bergiat aktif, begitu lantang bersuara menyatakan pandangan mereka,” katanya.
Menutup bicaranya, Muammar akui malu dengan tindakan sesetengah pihak yang mencemarkan status mahasiswa sebelum ini.
“Saya malu dengan kelakuan sesetengah pihak sebelum ini. Mahasiswa (sepatutnya) tahu mana baik dan mana buruk.
“Mereka ada nilai ilmu, jadi, apabila nilai ilmu itu hilang, maka akan hilanglah keistimewaan sebagai mahasiswa... masyarakat pandang rendah pada mahasiswa,” katanya.-26/2/2013
No comments:
Post a Comment