Monday, January 28, 2013

@RazaliIbrahim lancar sukarelawan Siswa4U sahut #1M4U #BeautifulMY @NajibRazak @HishammuddinH2O


“Bukan kita nak mahasiswa masuk politik, tetapi apabila Auku tarik balik sekatan terhadap politik, kita rugi jika tidak melakukannya kerana ia sudah dipinda. Sekarang mahasiswa sudah ada pilihan, kecemerlangan akademik adalah paling utama, tetapi adalah lebih baik jika mereka boleh kendalikan dua-duanya" - Razali


200,000 Mahasiswa Layak Mengundi - Razali Ibrahim 

MUAR - Lebih 200,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan terbabit dalam politik selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 dipinda hujung tahun lalu.

Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 14,000 daripadanya adalah ahli Umno yang boleh terbabit secara langsung dalam politik selain pelbagai lagi terlibat dengan kerja kesukarelaan yang disertai parti-parti politik.

Menurutnya, jika dulu mahasiswa tidak boleh terbabit secara langsung dalam politik, namun kini sudah dibenarkan yang memberi peluang kepada golongan berkenaan menyertainya secara lebih serius.

Dulu nak masuk politik tidak boleh kerana mengikut peraturan hanya pemimpin selain mahasiswa dibenarkan, akhirnya yang boleh masuk kepimpinan ialah rakyat, tetapi bukan mahasiswa.

Bukan kita nak mahasiswa masuk politik, tetapi apabila Auku tarik balik sekatan terhadap politik, kita rugi jika tidak melakukannya kerana ia sudah dipinda. Sekarang mahasiswa sudah ada pilihan, kecemerlangan akademik adalah paling utama, tetapi adalah lebih baik jika mereka boleh kendalikan dua-duanya,” katanya ketika sidang media selepas menyertai Majlis Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Muar, dekat Parit Keroma, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kerajaan akan membenarkan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) untuk bertanding pada PRU13, pada 15 Disember lalu.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, mengikut rekod pihaknya, 14,000 mahasiswa adalah ahli Umno di seluruh negara daripada jumlah keseluruhan iaitu 200,000 yang layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Justeru, katanya, Pemuda Umno akan melancarkan Sukarelawan Siswa4U bagi mengetengahkan kepimpinan dimiliki golongan terbabit dan ia akan dikendalikan oleh 184 mahasiswa ahli Umno dari Muar sendiri.

Dan selaras pelancaran program sukarelawan My Beautiful Malaysia pada 3 Februari depan anjuran 1Malaysia For Youth (IM4U) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita akan lancarkan Siswa4u, di sini, esok (hari ini) bagi mengetengahkan kepimpinan golongan ini.

“Antara tema program berkenaan ialah semangat kesukarelaan selain pelbagai lagi program yang kita tidak hadkan, terpulang kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara dirancang termasuk kebersihan di kalangan masyarakat, pembelajaran Bahasa Inggeris, keagamaan serta gotong-royong selain penyerahan bantuan.

No comments:

Post a Comment