Friday, December 2, 2011

[Video] Mesti dengar ucapan Datuk Alwi yang menyentuh kalbu #PAUmno


Saya hampir menitiskan air mata apabila mendengar ucapan ini. Saya percaya ramai di dalam dewan juga begitu. Hayatilah ucapan YB Datuk Alwi Che Ahmad ketika membawa usul menyokong ucapan dasar Presiden.

USUL Ucapan Dasar Presiden

MENSYUKURI nikmat kemerdekaan, keamanan, kemakmuran Malaysia dan wujudnya sebuah negara yang berdaulat, demokratik serta mengamalkan pendekatan kesederhanaan adalah hasil dari kebijaksanaan pemimpin negara yang luhur sejak lebih 54 tahun dan sokongan rakyat dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama;

MENYEDARI bahawa perjuangan UMNO adalah demi memartabatkan agama, bangsa dan negara, mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air serta memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang selama ini telah menjamin dan melindungi kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu, kedaulatan Institusi Raja-Raja serta hak-hak kaum dan penganut agama lain;

MEMPERAKUI ketelusan, kejujuran dan keikhlasan YAB Dato’ Sri Presiden memimpin negara berlandaskan falsafah gagasan 1Malaysia – “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan Program Transformasi Nasional iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Politik (PTP) demi mencapai perpaduan, keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat seterusnya untuk memacu pembangunan negara ke arah mencapai taraf sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi untuk masa depan generasi akan datang;

MENGINSAFI bahawa kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 adalah amat penting dan kritikal demi memastikan kesinambungan agenda perjuangan agama dan bangsa serta pelaksanaan gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Nasional dapat diteruskan bagi mencapai segala matlamat yang diimpikan tanpa sebarang gangguan dan halangan;

MAKA
Perhimpunan Agong UMNO pada hari ini membuat ketetapan seperti berikut:

1. MENYOKONG Ucapan Dasar YAB Dato’ Sri Presiden yang penuh bijaksana, jujur dan tegas dalam mengingatkan semua ahli UMNO untuk terus berjuang demi masa hadapan dan kesinambungan perjuangan parti yang berteraskan kekuatan, kewibawaan dan perpaduan pemimpinnya, ahli-ahlinya, serta seluruh umat Melayu/Bumiputera dalam menjamin kuasa politik Melayu/Bumiputera tetap kekal demi kepentingan Agama, Bangsa dan Negara.
2. MENGGESA semua pemimpin dan ahli parti mematuhi saranan YAB Dato’ Sri Presiden yang iklas untuk merapatkan saf, bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan serta bekerja bersungguh-sungguh memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang amat penting dalam sejarah negara.

3. MENYARANKAN agar semua ahli parti termasuk komponen Barisan Nasional (BN) menyokong dan menerima saranan YAB Dato’ Sri Presiden untuk bersikap terbuka, inklusif dan mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan lain dengan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon-calon mampu menang atau ‘winnable candidates’ yang di pilih parti.

4. MEMPERAKUI pendekatan kerajaan dalam melipat gandakan usaha bagi menambah baik daya saing nasional melalui penggunaan kreativiti, inovasi dan menggandakan usaha penciptaan kekayaan baru yang berasaskan idealisme, karya dan sifat keusahawanan tulen demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat terutama untuk generasi muda negara.
5. MENDUKUNG pelaksanaan Program Transformasi Negara yang terdiri dari Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA; Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA; Model Baru Ekonomi dengan 8 inisiatif Pembangunan Strategik dan Program Transformasi Politik (PTP) dan pelaksanaan Bajet 2012 iaitu “Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara” bagi memastikan kehidupan yang selamat, sejahtera dan makmur untuk seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik.

6. MEMPERAKUI bahawa pendekatan sederhana atau wasatiyyah yang diamalkan oleh YAB Dato’ Sri Presiden adalah benar dan tepat, sesuai dengan kehendak dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia.

7. MEMPERTAHANKAN perlembagaan negara yang menjamin Islam sebagai agama Persekutuan; Hak dan Keistimewaan bangsa Melayu/Bumiputera; Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, keluhuran undang-undang dan hak setiap warganegara Malaysia.

No comments:

Post a Comment