Saturday, December 3, 2011

Usul Agama, Pendidikan dan Sosial Perhimpunan Agung UMNO 2011 #PAUmno


MENGAKUI bahawa UMNO sejak penubuhannya sentiasa mendukung, mempertahan, mengembang serta memperkukuhkan kedudukan agama Islam sesuai dengan statusnya sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam perlembagaan;

MENGIKTIRAF prinsip-prinsip wasatiyyah (perimbangan dan kesederhanaan) dan nilai-nilai murni Islam sebagai landasan kefahaman serta amalan yang memacu ke arah penyatuan ummah dan keharmonian masyarakat seterusnya menjadi benteng daripada sebarang fahaman melampau, perlakuan songsang dan kebebasan tanpa batas;

MEYAKINI bahawa akses pendidikan anak bangsa mesti dibuka seluas-luasnya menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan sistem pendidikan diperkukuhkan bagi melahirkan insan yang bersifat glokal yang mempunyai ketaqwaan, kekuatan mental, kemuliaan akhlak dan kesempurnaan akal budi;

MENYEDARI terdapat hampir 180,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) setiap tahun yang tidak mendapat tempat di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi di negara ini dan kebanyakannya merupakan anak-anak Melayu yang berpotensi untuk menceburi bidang kemahiran teknikal dan vokasional;

MEMPERAKUI akan peranan dan kepentingan golongan muda yang merupakan 41 peratus dari jumlah pemilih berdaftar serta bakal menjadi penentu kepada masa depan dan kesinambungan perjuangan memartabat agama, bangsa dan tanah air;

MENGINSAFI akan keperluan untuk menerima kepelbagaian bangsa dan etnik seterusnya masyarakat perlu bergerak daripada sikap, amalan dan semangat bertoleransi kepada tahap yang lebih tinggi iaitu konsep penerimaan atau ‘acceptance’ seperti yang di gagaskan dalam falsafah 1Malaysia;

MAKA
Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini membuat ketetapan seperti berikut:

1. MENYOKONG PENUH pendekatan wasatiyyah oleh kerajaan di dalam menguruskan kepelbagaian agama dan budaya, amalan demokrasi, hak individu dan masyarakat, keadilan sosial dan pembangunan negara serta menolak fahaman ekstrem, songsang dan melampau dalam usaha mencari hasanah (kebaikan) di dunia dan hasanah di akhirat demi mencapai al-Falah (kejayaan).

2. MENYARANKAN agar Transformasi Dakwah yang bersifat universal dan mencapai golongan sasar dilaksanakan secara interaktif, menarik, sesuai dengan peredaran zaman dan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.

3. MENGGESA agar adab, budaya, nilai murni dan sistem sosial Melayu/Islam dikembalikan di dalam masyarakat melalui pelbagai kempen di peringkat sekolah, institusi pengajian awam dan swasta di seluruh negara bagi membina generasi wasatiyyah yang lebih menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.



4. MENDESAK supaya usaha-usaha penyatuan ummah diteruskan tanpa ada noktah dan dilaksanakan merentasi batas fahaman politik, kepentingan kelompok dan individu bagi merangsang kekuatan dan mencipta kegemilangan umat.

5. MENYARANKAN supaya kerajaan terus memperkasakan instrumen kewangan, pembangunan aset dan dana Islam serta segera melaksanakan Undang-undang Pengurusan Sistem Kewangan Islam agar Malaysia dapat diangkat dan dimasyhurkan menjadi hub Pengurusan dan Kewangan Islam.

6. MENUNTUT agar kerajaan melipat gandakan usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan yang menjurus ke arah pembangunan modal insan secara holistik, kreatif, inovatif dan interaktif, serta memiliki keupayaan soft skill dan keupayaan berdikari yang tinggi.

7. MENYOKONG keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi memperkasa kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah sejajar dengan Akta Pendidikan 1996.

8. MENGGESA Kerajaan agar menjadikan pendidikan Vokasional dan Teknikal sebagai pendidikan arus perdana bermula seawal pendidikan menengah rendah dan memperluaskannya dengan melibatkan bidang-bidang kemahiran baru bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berkebolehpasaran.

9. MENDESAK agar kerajaan terus membantu dan memperkasakan sistem pendidikan Islam dan kualiti sekolah-sekolah beraliran agama agar produk yang dilahirkan dapat bersaing dari segi akademik, mempunyai jati diri yang kukuh, berpegang kepada prinsip-prinsip wasatiyyah dan dapat menjadi penyumbang utama dalam memajukan ummah dan negara.

10. MENDUKUNG hasrat kerajaan untuk melibatkan, menghak upayakan dan mendampingi generasi muda secara berterusan melalui pelbagai pendekatan dan platform termasuk golongan mahasiswa melalui pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta memperkasakan Parlimen Mahasiswa.

No comments:

Post a Comment