Monday, December 5, 2011

Ucapan perbahasan @MukhrizMahathir - "Kedah akan kita rampas semula" #PAUmno


Nota: Terima kasih Unspinners kerana berkongsi ucapan perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden yang disampaikan oleh Datuk Mukhriz Mahathir. Sila dapatkan maklumat lanjut di blog beliau di


Permintaan kami di sini mendapat jawapan. Berikut adalah ucapan penuh Dato Mukhriz yang kami terima dalam email:

Gagah berani pendekar perang,
Menyusun langkah menyinting baju
Wujud UMNO untuk berjuang,
Demi maruah keramat Melayu
3) Alhamdulillah berkumpulnya kita hari ini adalah untuk memperakui hakikat dan mensyukuri nikmat kejayaan yang telah dicapai hasil dari ikrar, keazaman dan prinsip kepimpinan yang datang silih berganti berdasarkan kepada :
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
4) Begitu bijaksana sekali pemimpin-pemimpin terdahulu. Bukan saja mampu melakar sejarah, mengembalikan maruah dan kegemilangan lampau, malah yang paling penting ialah keupayaan mereka mencipta falsafah negara di dalam persekitaran yang begitu kompleks dan unik.

5) Kalau dulu maruah dan martabat kita disepak terajang oleh penjajah, hak untuk menentukan masa depan kita sendiri dinafikan lebih 400 tahun lamanya, kini kita mampu berdiri sendiri dengan penuh yakin tanpa bergantung kepada orang lain.

6) Kalau dulu kita terpegun dengan mercu-mercu tanda kebanggaan negara asing hingga timbul perasaan rendah diri di kalangan kita, kini kita juga dirikan Putrajaya dan Menara KLCC sebagai lambang keyakinan dan semangat bangsa kita yang tidak boleh dipatahkan.

7) Kalau dulu kita bergantung kepada belas ihsan kuasa asing yang datang merompak hasil bumi kita, kini Malaysia tersohor sebagai negara yang mampu menguasai pasaran global sehingga menjadi negara pedagang yang ke-24 terbesar di dunia.

8) Terbukti, negara kita ini adalah satu anugerah Tuhan yang teristimewa. Dengan kebolehan rakyatnya, dipandu dengan halatuju yang betul dan benar, tiada cita-cita yang mustahil untuk kita capai.

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI


9) Kesemuanya ini adalah kebenaran. Namun hakikat yang harus kita semua akui ialah.. perjuangan kita masih belum selesai. Terlalu banyak kerja yang masih perlu kita lakukan.

10) Kita perlu bekerja keras untuk memenuhi harapan Kak Fuziah, ibu tunggal dari Kodiang yang sakit kencing manis dan darah tinggi – gaji anaknya Azzim tak cukup untuk bayar kos ubat, belanja Akmal di UiTM dan Azli yang masih dibangku sekolah.

11) Kita perlu bekerja keras memenuhi harapan Firdaus yang ingin berkahwin gadis pujaannya Farah yang dikenali sejak di sekolah lagi serta mampu membeli rumahnya sendiri walaupun berhutang PTPTN dan kad kredit yang mendorongnya untuk meminjam dari Ahlong.

12) Kita perlu bekerja keras untuk mewujudkan perniagaan untuk Azwan supaya dia dapat bantu ayahnya Abg Mi seorang nelayan di Kuala Sanglang yang anak seorang lagi Azri adalah OKU.

13) Jelas sekali, para perwakilan yang saya hormati, terlalu banyak kerja yang perlu kita lakukan untuk memenuhi segala harapan rakyat Malaysia yang masih memerlukan bantuan dan sokongan.

14) Walaupun berharap, mereka yang mengadu nasib kepada kami tidak meletakkan tanggungjawab untuk menentukan masa depan mereka sepenuhnya diatas bahu Kerajaan semata-mata. Mereka tahu mereka juga perlu bekerja keras untuk menempah kehidupan yang lebih selesa, dan mereka tidak pernah mengabaikan tanggungjawab ini.

15) Mereka tahu itu semua. Tetapi harapan mereka adalah agar pemimpin seperti kita tidak terlepas pandang akan nasib mereka. Tidak lalai, tidak biarkan mereka tercicir dari arus pendidikan dan pembangunan perdana. Tidak bersengketa sesama sendiri hingga abaikan tugas dan tanggungjawab kita. Itu sahaja harapan mereka, dan sudah menjadi amanah kita untuk tidak menghampakan mereka.

16) Kini melalui program transformasi cetusan idea Dato Seri Najib, Firdaus mampu membeli rumah pertama dengan adanya PR1MA. TEKUN membantu Azwan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

17) Kak Fuziah sedang belajar menjahit baju kurung di bawah Skim Latihan 1Malaysia supaya boleh berniaga nanti. Bantuan subsidi diesel dan wang sara hidup nelayan juga dinikmati oleh Abg Mi yang boleh membeli gula dan beras dengan harga yang berpatutan di Kedai Rakyat 1Malaysia di Padang Sera. Ini semua pendekatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jelas Presiden kita mewarisi ketokohan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam berkhidmat dengan ikhlas dan jujur semata-mata demi rakyat.

CAMPURTANGAN ASING


18) Namun begitu, pihak pembangkang yang mengamalkan budaya politik pemusnah menidakkan mentah-mentah segala kejayaan kita dan memperlekeh setiap inisiatif kita.

19) Kata mereka Kerajaan kita ini korup, mengamalkan nepotisme, kronisme, tidak cekap, tidak relevan, tidak cukup liberal, tidak cukup Islam, terlalu berhaluan kiri, terlalu berhaluan kanan, tidak tegas, mengongkong kebebasan dan hak asasi manusia, dan banyak lagi. Seolah-olah Kerajaan pilihan rakyat yang telah 12 kali memenangi pilihanraya ini mahu disamakan dengan kerajaan diktator yang menzalimi rakyat di negara-negara Arab.

20) Pelbagai label jelek digunakan untuk menimbulkan rasa marah serta benci rakyat terhadap UMNO dan pemimpin kita. Mahafiraun, Mahazalim, Hitler, perompak harta rakyat tak lekang di bibir mereka, menghina para pemimpin kita.



21) Hak asasi manusia, kebebasan bersuara, pilihanraya yang bebas dan adil, kesamarataan, anti-rasuah, dan sebagainya menjadi kempen hakcipta terpelihara, seolah-olah hanya mereka yang layak gunakan walhal tindakan mereka adalah sebaliknya.

22) Anwar Ibrahim sendiri telah mencetuskan bibit-bibit revolusi ala Arab Spring yang dia namakan Malaysia Spring. Betapa terdesaknya Anwar setelah gagal menggunakan kaedah tidak demokratik pada 16 September 2008 untuk menjatuhkan Kerajaan yang dipilih rakyat.


23) Demonstrasi jalanan digunakan untuk mencabar mandat Kerajaan, dan apabila Kerajaan terpaksa bertindak - maka dengan sokongan terancang media Barat, dunia disajikan imej-imej yang memburukan nama baik Malaysia. Dalam situasi sebegini tegang, ditambah pula dengan teknologi telekomunikasi yang serba pantas, satu tweet atau FB saja, mampu mencetuskan huru hara ala Kota London.

24) Memang Anwar akan kata, "kami hanya mahu hak untuk berhimpun secara aman". Tapi hakikatnya satu konspirasi terancang telah digerakan seperti lakonan kematian sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 yang boleh dijadikan pencetus atau tipping point yang bakal mengakibatkan keganasan merebak keseluruh negara. Dalam situasi sebegini, ibarat telur dihujung tanduk, bila-bila pun pertumpahan darah boleh berlaku.


25) Adakah ini yang kita mahu? Adakah adegan-adegan ganas yang kita lihat berlaku dinegara-negara Arab hendak kita saksikan disini?

Kata Anwar dan kuncu-kuncunya, demonstrasi jalanan adalah perkara biasa dinegara-negara maju, dan seharusnya dicontohi oleh Malaysia. Menurut mereka, inilah demokrasi yang sebenar.

26) Ya, kita juga pengamal demokrasi. Bezanya kita amalkan demokrasi mengikut terjemahan kita sendiri. Ya, kita juga mahu jadi negara maju. Tetapi tentulah negara maju yang mengikut definisi dan acuan kita sendiri. Jika ada amalan-amalan terpuji dinegara-negara maju, sudah tentu kita akan mencontohinya. Tapi jika ada amalan-amalan yang tidak sesuai dengan budaya ketimuran kita, sudah tentu kita tolak.

27) Penting bagi kita untuk mempertahankan hak kita untuk memilih apa yang sesuai bagi negara dan rakyat, dan tidak meniru secara membabi buta setiap yang dilakukan oleh negara-negara Barat atas alasan ianya sesuatu yang lazim bagi mereka.

28) Tidakah negara-negara maju yang pembangkang agung-agungkan itu juga - yang melanggar hak asasi manusia bila mencetus peperangan di rantau Teluk atas alasan yang kini terbukti penipuan? Tidakah negara-negara maju yang mereka sanjungi itu juga - yang membunuh dengan kejam rakyat biasa yang tidak bersalah dinegara-negara yang mereka jajah - atas alasan menjatuhkan diktator dan mempromosi demokrasi kononnya!

29) Tidakah negara-negara Barat ini juga yang kini mencetuskan krisis kewangan yang paling teruk dalam sejarah dunia? Tidakah negara-negara ini juga yang menidakkan hak bersuara sesiapa yang menentang kehendak mereka?



30) Namun, ada juga pengkhianat-pengkhianat dinegara kita ini yang sanggup bersubahat dengan kuasa-kuasa asing untuk memperkosa negara. Malangnya apabila kita mendedahkan kegiatan-kegiatan subversif ini, kita pula yang dituduh mempromosi teori konspirasi.

31) Sebenarnya, sidang perwakilan yang saya sanjungi, sedar ataupun tidak, pembangkang adalah alat penjajahan era baru kuasa-kuasa asing. Mereka ditaja dengan dana yang besar dan pelbagai bantuan yang lain untuk menjayakan apa yang diistilahkan sebagai perubahan rejim atau regime change. Soalnya adakah kita akan membenarkan penjajahan era baru ini berlaku?

32) Menjadi tanggungjawab kitalah untuk menerangkan fakta sebenar kepada rakyat supaya rakyat faham dan tidak terpedaya dengan tipu helah pembangkang. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan mampu menggalas amanah ini.

33) Jika benar Tuan-tuan bersedia bersama Dato Seri Najib ingin mengembalikan kekuatan UMNO, jika benar Tuan-tuan sanggup berkorban apa saja untuk UMNO. Dan jika benar Tuan-tuan yakin kita perlu menang dengan majoriti yang besar di PRU kelak, demi masa depan anak cucu kita, inilah masanya kita bersatu hati dan bertekad untuk memenangkan parti keramat kita ini. Patah sayap bertongkat paruh. Perjuangan ini akan tetap kita teruskan!

KEGAGALAN PAS KEDAH


34) Dalam tiga tahun setengah sejak PAS mengambilalih Kedah, tidak ada langsung usaha mereka untuk merancakan ekonomi di negeri tersebut.

35) Dalam konteks agama pula, walaupun PAS kononnya memperjuangkan Islam, tidak ada satu masjid atau surau pun yang mereka bina sejak PRU12. Dah lah tak bina masjid, madrasah yang berusia seratus tahun pun nak diroboh untuk dirikan pusat beli belah! Malah pemimpin tertinggi PAS negeri sendiri yang tersenyum riang menggerakkan jentolak untuk acara pecah tanah! Hakikatnya wakil rakyat UMNO lah yang membina masjid dan surau diseluruh negeri Kedah.

36) Masjid tidak mereka bina, tapi rumah urut pula yang semakin bertambah! Kejap suruh tutup dibulan puasa, tiba-tiba atas tekanan DAP buka balik. Kononnya orang Islam tidak dibenarkan masuk rumah-rumah urut ini dibulan puasa. Apa maksud ini semua? Adakah selain bulan Ramadhan, Kerajaan PAS benarkan orang Islam melanggani pusat-pusat maksiat ini?

37) Bila kita tanya, depa kata "rumah-rumah urut ini untuk memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam"! Ini satu penghinaan besar kepada rakan-rakan kita yang bukan Islam. Adakah pemimpin PAS Kedah bermaksud orang bukan Islam di Malaysia ini suka pi pusat-pusat maksiat?

38) Begitulah sikap pemimpin PAS di Kedah. Ikut loghat Kedah, PAS ni kemereh betoi. Kemereh ni lebih teruk dari koman, buat semua tak jadi, pendek akai. Balak sebesar betis pun depa tebang untuk cari duit. Nak bela ikan keli pun tak reti - apa lagi nak tadbir sebuah negeri?

39) Kata pemimpin depa 80.7% dari janji PRU12 telahpun ditunai. Bukan 80% tuan-tuan, tapi 80.7%! Yang 0.7% ni mai mana pun saya tak tau. Rakyat pun tak tahu janji mana yang PAS dah tunai! Ini satu penghinaan kepada rakyat Kedah, seolah-olah pemimpin PAS menganggap orang Kedah ni bodoh, begitu mudah nak ditipu oleh pemimpin PAS. Kemereh sungguh pemimpin PAS Kedah ni.

40) PAS berharap rakyat Kedah ni pelupa. Selama tiga tahun setengah PAS tak buat apa-apa, tapi bila dah dekat pilihanraya barulah macam-macam habuan depa hulur dengan harapan kerja sikit yang PAS buat itu lah yang rakyat ingat, kerja baik UMNO buat selama ini akan rakyat lupa. Bagi depa, kalau orang Kedah ni macam Melayu yang mudah lupa, cerahlah peluang untuk depa menang.

41) Soalnya betui ka rakyat Kedah lagu tu? Betui ka orang Kedah ni tak pandai bersyukur dan tak kenang budi? Pemimpin PAS ini begitu kemereh dan menghina rakyat sebenarnya. Kami percaya rakyat Kedah bijak dalam membuat pilihan nanti kerana kami Rakyat Kedah dah cemuih mendengar alasan kenapa sampah tak boleh dikutip sekitar Kedah. Kami dah cemuih mendengar alasan bahawa Kerajaan PAS tak mampu membangun negeri, kami dah cemuih mendengar alasan bahawa jalan-jalan kampung tak dibaiki walaupun peruntukan dah Kerajaan Pusat bagi, kami dah cemuih mendengar alasan bahawa segala masalah di Kedah - semua salah kita!

42) Sambil depa bagi alasan demi alasan, penjaja berdepan dengan trakter yang nak robohkan gerai di Taman Ria Jaya, Sg Petani. Peniaga runcit Cina gulung tikar di Alor Setar, rumah kampung di Sungai Setar, Sik alami hakisan tanah kerana pokok-pokok sebesar peha pun ditebang, Madrasah Salahiah di Kancut yang berusia lebih 100 tahun pun nak dirobohkan untuk beri laluan kepada pusat beli belah.

43) Serik dengan keadaan ini, saya percaya rakyat Kedah bersedia mengembalikan kuasa kepada UMNO sekiranya kita letakan calon yang boleh menang.
Ikrar diberi tanda sokongan
UMNO Kedah menyahut seruan
Biarpun siapa menjadi pilihan
Kemenangan parti sentiasa didahulukan
Cuma pra syaratnya ialah - kita perlu bersatu. Untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin bahagian tak lawan das sesama sendiri, kita mesti bersatu. Untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita serious menjamin masadepan anak cucu mereka, kita harus bersatu. Untuk meyakinkan rakyat bahawa kita pilihan terbaik di PRU kelak, kita wajib bersatu. Bersatu kita bersatu dengan setia berganding bahu - itupun ikrar kita dipermulaan lagu UMNO!

44) Apabila kita bersatu, usaha kita yang sekecil mana sekalipun akan bercantum dengan usaha rakan-rakan lain lantas menggerakan arus, maka arus menjadi ombak, ombak menjadi gelombang, dan gelombang yang besar hasil perpaduan antara kita akan mampu meruntuhkan tembok kebencian yang pembangkang dirikan, retak dan pecahlah dinding pemisah antara keikhlasan kita dan harapan rakyat, leburlah segala fitnah yang pembangkang sajikan, berkecailah perisai atas nama agama yang pembangkang salahgunakan untuk memperdaya rakyat.

45) Gelombang yang kami namakan Gelombang merah ini sedang bergerak di seluruh Kedah. Jika Tuan-tuan dan Puan-puan turut memainkan peranan menggerakan gelombang merah ini, tiada masalah yang tak boleh kita rongkai, tiada impian yang tak boleh kita capai. Kedah akan kita rampas semula, Putrajaya akan tetap kita pertahankan! Itulah bai'ah UMNO Kedah!

Sekian. Kedah mohon menyokong!

2 comments:

  1. KEDAH BOLEH DITAWAN SEMULA JIKA DATUK MUKHRIZ DAN DATUK AHMAD BASHAH DAPAT BERKERJASAMA DAN MENYUSUN JENTERA DENGAN KEMAS..CALON2 YANG BERKALIBER/DIKENALI/DIRESTUI HARUS DI KETENGAHKAN..MULAI SEKARANG BEBERAPA PASUKAN PENINJAU UMNO HARUS TURUN KE KAMPUNG2 DAN SELURUH KEDAH UNTUK MELIHAT PENERIMAAN RAKYAT DAN MAKLUM BALAS DARI RAKYAT TERHADAP PEMIMPIN UMNO DI KEDAH DAN PARTI UMNO ITU SENDIRI..GENDANG PERANG SUDAH DI PALU MAKA WAJIBLAN SKUAD TENTERA UMNO DI PERSIAPKAN...

    ReplyDelete