Monday, December 26, 2011

Rosakkah aqidah bila memberi ucap selamat perayaan agama selain Islam?

Ucapan "Merry Christmas" - Wajarkah Dalam Islam? Baca Penerangan Dr MAZA

dipetik dari blog Cucu Tok Selampit

Sempena Hari Natal yang disambut hari ini, CTS mengemukan persoalan umum dari saudara kita untuk pengetahuan bersama. CTS merasakan jawapan Dr MAZA amat adil dalam konsep masyarakat majmuk di Malaysia. Wallahualam.

Soalan: Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hariraya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?

Munif, Putrajaya.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Munif, Alhamdulillah saudara prihatin dengan keadaan akidah saudara di kala ramai yang tidak mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka. Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya. Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang wajar difahami:

1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. 
Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl, ayat 106).

2. Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. 

Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

(Surah al-Mumtahah, 8-9)

3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. 

Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

(Surah al-Nisa, 86).

Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut, “Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain secara langsung atau tidak langsung, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi S.A.W.:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam). Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

2 comments:

  1. bererti semua papan tanda di gedung beli belah Merry Christmas hendaklah di tanggalkan secara tak langsung org muslim boleh membaca nya maka rosak akidah nya.tapi di arab..org arab boleh mengucap merry christmas.sehingga pegawai immigration begitu.Mereka tahu kiter balik sebab menyambut christmas,sebab apa saya begitu..saya baru balik dari arab.saya bekerja kat sana.apa beza nya islam di malaysia dan di Arab.

    ReplyDelete