Thursday, December 29, 2011

[Kisah dulu-dulu] Menyanggah kritikan editorial Wall Street Journal terhadap Tun Mahathir

Wall Street Journal telah mengkritik Ucapan Dasar Presiden UMNO YAB Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad semasa Perhimpunan Agung UMNO ke-54 pada 19 Jun 2003 yang bertajuk Ancaman Masa Depan. Kritikan ini sudah dijangka memandangkan di dalam Perhimpunan Agung terakhir beliau sebagai Presiden UMNO, melalui ucapannya yang begitu panjang lebar, Tun Dr Mahathir telah mengkritik keras Bangsa Eropah dan Yahudi. 



Bangsa Eropah yang mudah mengkritik tapi benci dikritik
Tun Faisal Ismail Aziz

Bagaimanakah kita dapat menganalisis kecerdikan sesuatu editorial? Salah satu kaedah mudah yang boleh digunakan adalah dengan memantau jumlah kenyataan-kenyataan mengarut yang dikeluarkan oleh editorial tersebut.

Membaca ruangan editorial Wall Street Journal yang mengkritik ucapan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, membuatkan kita tertanya-tanya, kenapakah masih terdapat manusia di Malaysia ini yang masih mengagung-agungkan Bangsa Eropah? 

Terdapat tiga kenyataan yang boleh dikategorikan sebagai mengarut di dalam editorial tersebut. Kenyataan paling mengarut adalah yang menyebut, “The real danger is that the country (Malaysia) could sink into a morass of religious extremism and racism, and that's precisely where American leadership in the world can be of help.”

Kenyataan kedua adalah, “Since the prime minister split his UMNO party five years ago over Mr. Anwar, the Islamic fundamentalist party PAS has gained considerable momentum. Dr Mahathir may be trying to signal his government's independence from the U.S. and thus prevent PAS from eroding his base of support.”

Kenyataan ketiga yang tidak kurang mengarutnya adalah, dengan memberikan layanan mesra cara Amerika di Pejabat Oval, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengharapkan tetamu tersebut `meneruskan hubungan baik’ yang boleh diterjemahkan sebagai menurut kehendak dan kemahuan AS. Bagaimanapun jika tetamu ini memilih untuk tidak bersetuju dengan kerajaan AS atau sekiranya mereka terpaksa menunjukkan yang mereka tidak bersetuju (atas apa alasan sekalipun, contoh - takut pengaruh parti pembangkang semakin meningkat) maka mereka boleh menunjukkannya, tetapi hanya dengan men`sandiwara’kan retorik-retorik membantah (`unpleasant rhetoric’).

Pertama, biarlah kita menerangkan kepada dunia bahawa kerajaan Malaysian, tidak seperti kerajaan AS, tidak hidup di atas retorik. Mungkin di AS, rakyatnya boleh dibeli dan dipengaruhi oleh retorik yang diukir sebegitu cantik dan teliti. Di Malaysia, kerajaannya lebih mementingkan kerja keras dan melakukan inovasi dalam menyelesaikan segala permasalahan yang timbul. Oleh itu, apabila kerajaan AS dan Britain melampaui batas, bertindak secara unilateral, menceroboh Iraq dan membunuh rakyatnya, bangkangan kerajaan Malaysia (termasuk rakyatnya) bukan retorik kosong, seperti retorik yang dipersembahkan di dalam Senat AS.

Keduanya, dengan memberikan layanan mesra Pejabat Oval, janganlah mengharapkan kerajaan Malaysia akan menurut perintah kerajaan AS seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tajaan mereka di kalangan negara Timur Tengah dan juga seperti yang telah kita singkirkan. 

Ketiga, Dr Mahathir, UMNO dan Malaysia adalah bebas dan merdeka dari titah perintah kerajaan AS. Kita tidak perlu bersandiwara, mereka-reka kebebasan kita dari kerjaan AS hanya kerana untuk melawan pengaruh PAS. Selama inipun kita tidak pernah nampak sebarang tindakan dan komen oleh pemimpin AS dan media mereka yang membantu kita mengurangkan pengaruh PAS. Apa yang telah kita capai selama ini, bukan atas bantuan AS dan medianya, tetapi lebih kepada kerja keras UMNO mendidik umat Islam Malaysia untuk memahami bahawa ajaran Pas bukan ajaran Islam sebenar dan Pas bukan parti Islam.

Keempat, walaupun kita sedar, negara kita sedang menghadapi ancaman perkauman dan keganasan, kita masih dapat menguruskan segalanya dengan baik, jauh lebih baik dari kerajaan AS. (walaupun kita terpaksa berdepan dengan golongan ekstremis seperti Petrof, Steven Gan, Tian Chua dan Dong Jiao Zhong). Sedikitpun kita tidak memerlukan campur tangan AS, Britain dan negara Eropah Asia yang lain. 

Kelima, marilah kita maklumkan kepada Bangsa Eropah ini yang kita telah hilang kepercayaan dengan `kepimpinan Amerika’ yang ada sekarang, yang memilih untuk menyelesaikan masalah melalui tindakan unilateral dan peperangan. Menurut pandangan kita kepimpinan sebegini bukannya menyelesaikan masalah tetapi menggalakkan timbulnya lebih banyak masalah kepada negara-negara terlibat. Contoh paling nyata adalah Afghanistan dan Iraq.

Keenam, Dr Mahathir tidak pernah takut untuk mengutarakan pendapatnya jika dia percaya yang pendapat tersebut baik untuk bangsa dan negaranya. Dr Mahathir pernah menyelar Soros suatu ketika dulu. (Ingatkah kita, ketika itu, negara yang takut untuk menyelar panyangak matawang ini juga tidak selamat dari serangan penyangak-penyangak ini). Pada Perhimpunan Agung UMNO ke-57, sekali lagi Dr Mahathir mengingatkan kaum Melayu tentang sifat-sifat negatif pegangan Bangsa Eropah yang boleh merosakkan kaum Melayu dan boleh menghuru-harakan dunia, seperti yang pernah mereka lakukan sejak kurun ke-16 lagi. Kita, orang Melayu berterima kasih atas ingatan ini.

Ketujuh, Bangsa Eropah tidak pernah sekalipun meminta maaf apabila mereka membuat generalisasi terhadap umat Islam, orang Melayu, Negara Dunia Ketiga, kaum Negro dan sebagainya. Disebabkan itu, kita, tidak berhutang apa-apa dengan mereka. Kita, tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa di kalangan Bangsa Eropah.

Kenapakah Bangsa Eropah tidak boleh menerima generalisasi, sedangkan mereka sendiri menghalalkan generalisasi yang dibuat terhadap orang lain? Generalisasi yang dibuat oleh Dr Mahathir mungkin kelihatan sedikit kasar terhadap Bangsa Eropah, tetapi itu adalah untuk menyedarkan mereka yang jika mereka tidak suka orang lain membuat tanggapan umum terhadap mereka, maka mereka mesti menghentikan amalan membuat tanggapan umum dan melulu seperti yang mereka amalkan sekarang.

Akhirnya, sekiranya Bangsa Eropah merasa malu dengan pemimpin-pemimpin Bangsa Eropah yang ada sekarang, iaitu keturunan Anglo-Saxon, maka mereka mesti bertindak untuk melaksanakan `regime change’. Mereka juga mesti menilai semula diri mereka dan sistem nilai mereka yang semakin rosak sebelum mereka bertindak memasarkannya ke seluruh pelusuk dunia. Banyak di antaranya tidak dapat diterima sama sekali oleh tamadun lain, terutamanya tamadun Islam. 

Bagaimanapun editorial tersebut membuat pilihan tepat bila mengutip semula kata-kata Dr Mahathir tentang Bangsa Eropah seperti "Malangnya, mereka juga tamak dan suka merampas wilayah dan hak orang lain. Sejarah mereka selama lebih 2,000 tahun memperlihatkan peperangan yang tidak habis-habis untuk merebut wilayah dan memperluaskan kuasa masing-masing di dunia,” ATAU " Dan mereka telah membuktikan bahawa mereka sanggup mencipta sebab palsu untuk berperang dan membunuh kanak-kanak, orang tua, orang sakit dan siapa saja dan menganggap semua orang ini sebagai collateral yang tidak dibenar menghalang pencapaian hasrat mereka.." ATAU "Mereka sudah menolak institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Sebaliknya, mereka terima amalan seks bebas termasuk liwat sebagai sesuatu hak.”

Bagi kita, segala pandangan ini amat tepat bila kita membuat generalisasi mengenai Bangsa Eropah. 

Editorial Pemuda UMNO pernah menimbulkan soal `kecerdikan’ dan `etika’ media suatu masa dulu. Editorial Pemuda UMNO juga pernah menyatakan bahawa apabila seseorang itu menjadi editor sesuatu majalah, belum tentu dia mempunyai kebijaksanaan dan perasaan tanggungjawab yang tinggi. 

Kenyataan ini adalah benar kerana kita telah melihat majalah The Economist tersasar berulang kali, sama ada dalam menganalisis perihal ekonomi negara, ataupun mengenai tahanan ISA negara. Kita merasa hairan melihat fenomena ini. Jika itu sajalah kualiti editorial Barat yang menjadi pujaan sesetengah rakyat Malaysia, apakah kita boleh menaruh sebarang harapan kepada Steven Gan yang menyifatkan tulisan Petrof sebagai `fakta kajian perbandingan’?

No comments:

Post a Comment