Sunday, December 25, 2011

Kes Khir Toyo: Hakim terkhilaf atau terlepas pandang?

khirtoyo2011

Hakim terkhilaf dalam penghakiman?

Dipetik dari portal MyKMU.net


Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim?
December 23, 2011

Saya berharap laman ini dapat membenarkan saya menulis mungkin buat kali terakhir mengenai kes Dr. Mohamad Khir Toyo yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi. Dr. Mohamad Khir dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan hartanah terbabit dirampas.

Tidak ada alasan untuk mempertahankan sebarang tingkah laku salah guna kuasa dan rasuah jika ia terbukti benar dan diuji oleh kebenaran maksima Mahkamah. Sama ada ia Ketua UMNO Bahagian, bekas Menteri Besar hatta Menteri pun harus berhadapan dengan undang-undang negara.

Namun dalam penghakiman Khir Toyo pagi tadi, saya dapati penghakiman oleh Datuk Wira Mokhtarudin sangat melucukan dan bakal menjadi bahan lawak jenaka dalam fraterniety guaman negara. Bagi mereka yang membenci Dr. Khir atau UMNO, hukuman tersebut adalah adil dan Dr. Khir layak mendapatkannya. Itu soal lain. Jika Dr. Khir benar-benar rasuah sekalipun sudah tentu kita mahukan beliau dijatuhkan hukuman atas sebab yang betul dan alasan yang diterima akal.

Malangnya apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Shah Alam menunjukkan bahawa penghakiman dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan ini tidak memenuhi ujian-ujian penting dalam menjatuhkan hukuman. Saya menulis dalam ulasan sebelum ini bahawa untuk membuktikan sama ada Khir Toyo bersalah atau tidak dalam mendapatkan satu barangan dengan balasan yang tidak mencukupi ialah bergantung kepada jawapan kepada soalan-soalan berikut:

1. Apakah nilaian sebenar hartanah berserta rumah yang tidak siap pada 2007 itu sama dengan harga pembelian pada 2004 sebanyak RM 6.5 juta. Ini kerana pertuduhan tersebut dengan jelas menyatakan Dr. Khir memberi balasan yang kurang berbanding harga RM 6.5 juta.

2. Yang mana satu pilihan hakim dalam menentukan harga hartanah tersebut pada 2007 sama ada nilai pembelian, nilai oleh Rahim and Co atau nilai oleh TransAsia.

3. Jika hakim menerima nilai pembelian tersebut sebagai nilai struktur rumah tidak siap yang dibeli oleh tertuduh pada 2007, Hakim perlu membuat keputusan sama ada tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai harga hartanah tersebut bernilai RM 6.5 juta.

4. Untuk menentukan sama ada tertuduh mempunyai pengetahuan ini, Hakim perlu membuat keputusan sama ada untuk menerima atau tidak keterangan SP2 dan SP 3. Hakim juga perlu memutuskan apakah kenyataan-kenyataan SP2 dan SP3 boleh diterima sebagai satu saksi yang suci dan melampaui keraguan munasabah. Ini kerana pertuduhan terhadap Dr Mohamad Khir bergantung kepada kenyataan-kenyataan SP2. Jika kedua-dua ini diterima oleh Hakim, maka Dr. Mohamad Khir akan disabitkan kesalahan.

5. Jika hakim menerima penilaian Trans-Asia, Dr. Mohamad Khir mungkin dibebaskan berdasarkan kenyataan SP2 sendiri bahawa beliau tidak pernah memaklumkan kepada tertuduh mengenai laporan ini.

6. Jika Hakim menerima laporan Rahim and Co, bermakna tertuduh harus dibebaskan walaupun pendakwaraya mendakwa SP2 terpaksa menjual kepada tertuduh. Ini kerana tertuduh mendapat barangan tersebut dengan memberi balasan yang setimpal. Dakwaan SP2 terpaksa menjual juga tidak dapat diterima kerana SP2 mengaku di dalam Mahkamah bahawa beliau yang menawarkan untuk menjual kepada tertuduh.

Mokhtaruddin dalam penghakimannya menyatakan beliau mendapati Khir Toyo bersalah kerana membeli hartanah dari seorang yang beliau tahu mempunyai hubungan rasmi dengan beliau dengan balasan yang tidak mencukupi. Menurut beliau kenyataan bahawa Dr. Khir pernah ditawarkan harga rumah tersebut dengan RM 7 juta dan kemudiannya terbabit dengan perbincangan antara Sumardi dan Shamsuddin dengan menyuruh Shamsuddin membeli rumah tersebut merupakan bukti Khir Toyo mengetahui harga rumah tersebut.

Hujahan ini sangat luar biasa kerana Pendakwaraya tidak pernah memanggil saksi mereka Datuk Sumardi untuk memberi keterangan mengenai situasi tersebut. Namun Hakim memilih untuk mempercayai kenyataan SP2 yang dinafikan oleh tertuduh.

Malahan Mokhtaruddin juga berhujah bahawa pengakuan SP2 dan Dr. Khir bahawa SP2 ada menawarkan hartanah tersebut dengan harga RM 5 juta merupakan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan Dr. Khir mendapatkan barangan dengan balasan yang kurang daripada nilai sebenar. Ini bermakna menurut tafsiran Hakim, harga yang ditawarkan oleh SP2 menjadi “benchmark” balasan tidak mencukupi seperti dalam pertuduhan.

Hakim tidak langsung mengulas mengapa beliau menolak atau tidak menerima nilai pasaran oleh penilai profesional seperti Rahim and Co dan Irhamy and Co sebagai benchmark untuk menentukan balasan tersebut mencukupi atau tidak. Hakim juga tidak langsung mengambil hirau penilaian oleh Jabatan Penilai Hartanah dan lain-lain penilai.

Dengan kata lain, Hakim membuka satu keadaan yang sangat merbahaya pada masa hadapan dalam isu pegawai kerajaan membeli hartanah atau barangan lain. Seseorang pegawai kerajaan yang pernah atau akan membeli sesuatu barangan daripada orang yang beliau pernah mempunyai urusan rasmi akan berhadapan dengan ancaman pendakwaan pada masa hadapan. Kes hanya perlu diwujudkan dengan penjual mengaku bahawa beliau mahu menjual dengan harga yang lebih tinggi tetapi pegawai tersebut meminta membeli ikut harga pasaran.

Hakim juga jelas tidak mengambil kira fakta bahawa yang menawarkan untuk menjual hartanah tersebut ialah SP2 dan tertuduh hanya meminta untuk diadakan penilaian mengikut harga pasaran jika SP2 benar-benar mahu menjualnya.

Lebih melucukan hakim mendakwa beliau percaya kepada kejujuran dan kebenaran kenyataan Saksi Pendakwa 2 (Datuk Shamsuddin Haryoni) dan Saksi Pendakwa 3 (Nasir) berdasarkan persembahan mereka di dalam Mahkamah. Ini sangat menghairankan kerana sungguhpun sepanjang perbicaraan kita melihat pelbagai kenyataan tidak masuk akal termasuk pembayaran berjuta-juta ringgit secara tunai tanpa sebarang bukti resit mahupun barangan yang dibeli oleh Nasir, Hakim menganggap Nasir seorang yang boleh dipercayai.

Dengan itu kata Hakim, “Berdasarkan keterangan SP2 dan SP3, tertuduh telah mengadakan satu pakatan lebih awal untuk membeli rumah tersebut dengan terbabit dalam ubahsuai rumah dari awal sebelum transaksi pembelian dilakukan. Ini ini saya dapati tertuduh telah melakukan kesalahan.”

Kenyataan Hakim ini sangat luar biasa. Luar biasa bukan sahaja beliau menerima pakai kenyataan SP2 dan SP 3yang banyak percanggahan, malah yang lebih serius ialah mensabitkan kejadian ini dengan pertuduhan yang didakwa ke atas Khir Toyo.

Khir Toyo dituduh mendapatkan satu barangan dengan balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi daripada seseorang yang mempunyai hubungan rasmi dengan beliau. Jadi apa relevan sama ada beliau berpakat untuk melakukan ubah suai atau tidak?

Hakim bukan sahaja tidak dapat mewujudkan satu benchmark yang sesuai untuk menentukan balasan yang tidak mencukupi tetapi juga telah membuat kesimpulan yang berlainan sekali dari pertuduhan iaitu kononnya terdapat pakatan menipu dalam pembelian hartanah tersebut.

Jika Khir Toyo berpakat dengan Shamsuddin untuk melakukan penipuan maka satu pertuduhan lain harus dibuat. Adalah sangat luar biasa untuk Hakim keluar dari ruang lingkup pertuduhan untuk mendapati Khir Toyo bersalah.

Sungguhpun Mahkamah mahu menghukum Khir Toyo untuk menunjukkan bahawa sistem kehakiman negara ini bebas, namun ia bukanlah bermakna memberi lesen kepada hakim membuat penghakiman semberono dan memalukan pengamal undang-undang sendiri.

Adalah tidak masuk akal untuk hakim menolak penilaian nilai pasaran sebagai benchmark untuk menentukan balasan pembelian tersebut mencukupi atau tidak tanpa sebarang huraian penghakiman yang mempunyai legitimasi. Ketika mensabitkan kesalahan Hakim langsung tidak mengulas isu ini yang diminta secara jelas oleh pembela dan hujah pembelaan isnin lalu.

Hakim juga langsung tidak menyatakan mengapa beliau berpendapat rumah yang tidak disiapkan pada 2007 tersebut dianggap sama harga dengan rumah siap pada 2004 atau pun mengapa rumah tersebut dianggap lebih daripada RM 3.5juta mengikut neraca keadilan undang-undang.

Selain Hakim, pendakwaraya juga menimbulkan prasangka di kem Khir Toyo mengenai terdapat percubaan menjadikan Khir Toyo sebagai kambing hitam apabila secara tiba-tiba memohon penggunaan hukuman rampas barangan yang terbabit dalam kes mengikut Seksyen 36 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Secara profesionalnya Pendakwaraya sepatutnya dari awal memaklumkan niat mereka untuk meminta seksyen ini diambil kira ketika menjatuhkan hukuman sekiranya tertutuduh di dapati bersalah. Namun pendakwaraya hanya mengemukakan semasa hujahan untuk meminta hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas Khir Toyo sekaligus menyebabkan peguam bela tidak bersedia dengan hujah mereka.

Hakim menangguhkan sidang seketika bagi membolehkan beliau meneliti kandungan seksyen tersebut. Apabila kembali Mokhtarudin enggan membenarkan sebarang penangguhan untuk membolehkan peguam bela menyediakan hujah, sebaliknya bersetuju dengan pendakwaraya bahawa keputusan merampas hartanah tersebut merupakan sesuatu yang mandatori.

Beliau terus menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan hartanah tersebut menjadi milik kerajaan. Hakim kemudiannya terus bangun tanpa menunggu sebarang permohonan menangguh hukuman. Ini menyebabkan peguam bela terpaksa meninggikan suara menyatakan mereka ingin membuat permohoanan penangguhan hukuman. Akhirnya beliau duduk kembali dan kemudiannya meluluskan permohonan penangguhan hukuman dengan syarat rayuan mesti difailkan dalam tempoh 14 hari.

Keputusan hakim merampas hartanah yang berada dalam kaveat HSBC ini juga menimbulkan tanda tanya dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang lain apabila dicabar oleh Bank nanti. Hakim membuat keputusan seolah-olah tidak menyedari bahawa hartanah tersebut dibeli secara pinjaman.

Nilailah hujahan penghakiman dan hujahan pembelaan dan lihatlah siapa yang lebih rasional dan memenuhi kehendak undang-undang dan pertuduhan.

Bagi saya, hakim ini patut merasa malu dengan hujahan penghakimannya yang sangat dangkal dan dan tidak rasional ini. Cuma hakim ini bernasib baik ialah kerana penghakimannya ini membabitkan seorang pemimpin UMNO. Jika ia terjadi kepada Anwar Ibrahim atau mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, nesacaya sudah seantero Malaysia beliau dikutuk dan dikeji.

This post was submitted by lawyer cabuk.



No comments:

Post a Comment