Thursday, December 15, 2011

#1PlastikHitam: Rugi wooo, siapa yang tak pergi tengok...


[Nota: Review dari Keris 7 Lok disertakan di bawah. Keris 7 Lok adalah di antara 12 orang dari UMB dan Putrajaya yang turut menonton persembahan malam terakhir Teater 1 Plastik Hitam oleh Mask Team. Sejak mula sampai habis, hadirin asik gelak sakan. Nak pecah perut dibuatnya. Memang betul, hilang penat berkejar balik dari program latihan di Johor semata-mata untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan Mask Team.

Teater 1 Plastik Hitam menyindir rancangan realiti TV yang ada. Pada waktu yang sama turut disindir adalah persepsi dan pegangan rakyat Malaysia hari ini mengenai pelbagai isu, termasuk isu politik dan keganasan.

Kelakarnya tengok Anas dan tak sangka Fasyali boleh menyanyi - lagu Dari Sinar Mata yang kemudiannya turut dinyanyikan oleh para penonton. Suara blogger Kulaan Niring yang berada di depan saya ada off tune sikit, tapi tak apalah, janji happy. Aloy Paradoks memang sempoi, siap pakai kain pelikat tak berbaju, pecah rahsia pasal six pack masa tangkap gambar untuk Teater Juta Juta ke Putrajaya hari tu.

Tahniah kepada penulis dan pengarah, Syahrul Fithri Musa Pensyarah Program Teater dan pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, (Fantastic? :P ) UiTM. Berpendidikan Sarjana dalam jurusan teater di Universiti Sains Malaysia (opps USM juga, macam saya.... ) selepas tamat pengajian diperingkat Ijazah Pertama di Universiti Malaya

Teater-teater yang pernah beliau terlibat sama ada sebagai pengarah, pelakon atau penulis skrip adalah seperti Tingginya Menyapu Awan, Meja Bulat, Jangan Bunuh Diri, Kursi, Catan Buat Zuriat, Seribu Peluru Untuk Aku, Hari Ini Jam 12 Datang Lewat Dari Waktunya, Obsesi, Teater Eksperimental Rabak X, Orang Baik, Merdeka! Merdeka! Merdeka!, Root and Earth, Ronggeng Rokiah, Tunku Kudin, Jerejak, Pentas Opera, Gugurnya Kopiah Putih, dan Isteriku Tiada Susu. Juga terlibat dalam produksi drama, iklan dan filem fiksyen seperti Wayang dan Senario Asam Garam. Terbaru, beliau baru saja selesai menerbitkan dan mengarah filem pendek pertama dengan kerjasama FINAS iaitu Epal Hijau Di Luar Pagar.

Tahniah juga kepada para pelakon Karl Shafek, Ameera Ramli, Fasyali Fadzly, Anas Ridzuan dan Fazleena Hishamuddin dan Aloy Paradoks.

Apa pun teater 1 Plastik Hitam ni memang best. Kalau ada duit lebih ingat elok juga buat ulang tayangnya di Putrajaya. Ada sapa-sapa nak sponsor tak?]


5 Bintang Buat Pementasan Teater #1plastikhitam !!!

Sinopsis ringkas bagi Teater 1PlastikHitam :

Apa yang tersembunyi didalam satu plastik hitam? Hingga ia menimbulkan segala kekecohan dan menjadi pertikaian semua orang. Mungkikah benar ia adalah sebuah bom yang diikhuatiri akan meletup? Atau mungkin juga sesuatu yang sangat berharga.

Dalam masa yang sama, mereka semua sebenarnya di dalam sebuah rancangan realiti TV "Rupa: Bukan Sekadar Berbakat Besar' menguji sejauh mana pembawakan rupa mereka dalam setiap watak yang diberi. Beberapa orang telah tersingkir pada minggu-minggu sebelumnya kerana telah tewas di tangan peserta lain akibat undian SMS tidak memihak kepada mereka.

Apa Kata Keris 7 Lok :

Baru-baru ini Keris dan rakan-rakan ada menonton pementasan ini pada 11 Disember 2011 yang lalu. Ada yang suruh komen dalam artikel jadi Keris tulis sedikit pandangan buat pementasan tersebut dan para pelakon. Pendek tapi ringkas dan maaf ya jika tidak menarik kerana Keris bukan reti sangat tulis review tentang teater.

Okay pada sudut pandang Keris, permulaan cerita sudah menghiburkan penonton apabila Aloi masuk dan mula berbicara dan memperkenalkan para pelakon. Pelakon-pelakon juga sempoi dan membuatkan penonton rasa senang melihat mereka memperkenalkan diri.

Baik! Jalan cerita pula!. 1Plastik Hitam ini bermula dengan rentak perlahan dimana watak Busker berperanan memulakan cerita dan menyesuaikan minda penonton untuk masuk ke dunia mereka. Permainan emosi mula bermain dengan kehadiran watak Budak Perempuan Berpakaian Sekolah dimana kemudiannya persoalan mengenai apa yang berada didalam plastik hitam menjadi tanda tanya dari saat ia dibawa masuk oleh Perempuan Purdah. Ia terus menerus menimbulkan tanda '?' di kotak fikiran penonton apabila setiap percanggahan pendapat mula ditimbulkan oleh Lelaki Perkasa dan Graduan Muflis.

Humorisme diterapkan dalam setiap dialog mereka namun sebenarnya bait-bait interaksi mereka membawa mesej yang tersendiri dan agak berat, hanya yang fokus sahaja akan faham. Antara mesej tersirat yang cuba disampaikan melalui perkataan dan perbuatan didalam cerita ini adalah sifat amanah, mempertahankan prinsip hidup, kontradiksi sifat manusia ; kesediaan menempuh kehidupan biarpun tidak punya apa ; kegagalan biarpun punya satu kejayaan. Ini pendapat peribadi Keris, saat Lelaki Perkasa menyanyi lagu Dari Sinar Mata itu memberi maksud bahawa anak gadis seringkali terbuai dengan pujuk rayu lelaki yang akhirnya memakan diri. Dari segi watak pula ternyata 'spotlight' kepada Anas yang memegang watak Busker kerana beliau tampak santai. Namun begitu setiap watak berjaya memberi impak dan kesan tersendiri kepada penonton.

Keris beri 5 Bintang kepada mereka kerana berjaya membuat kami semua terhibur sehingga tidak sedar waktu berjalan dengan cepat. Lelah perjalanan daripada Johor seakan hilang setelah menonton teater tersebut. Tahniah! Keris bangga ada anak muda punya aspirasi dan berbakat besar! Teruskan usaha anda semua dan Keris doakan setiap pelakon dan 'orang kuat belakang tabir' berjaya di dalam dunia seni.

No comments:

Post a Comment