Sunday, November 27, 2011

@NajibRazak - Tampilkan kekuatan yang digeruni ramai


Transkrip wawancara dengan Presiden UMNO menjelang Perhimpunan Agung
SABTU, 26 NOVEMBER 2011 17:09

Berikut adalah wawancara khas Bernama dengan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011 Kuala Lumpur pada Sabtu.

SOALAN (S): Apakah intipati amanat Datuk Seri kepada anggota parti berlatarbelakangkan transformasi politik yang Datuk Seri cadangkan baru-baru ini?

JAWAPAN (J): Sebagai sebuah parti, bila menjelang tiba cabaran yang sangat besar, yakni, pilihan raya umum maka parti mesti berada dalam keadaan kesiapsiagaan yang sepenuhnya.

Kesiapsiagaan yang saya maksudkan ini ialah secara menyeluruh dan komprehensif sama ada dari segi latihan, keilmuan, logistik mahupun dari segi mindset kita, iaitu kerangka minda kita, untuk memberi tumpuan kepada sebarang usaha yang boleh mengukuhkan parti kita, dan sebaliknya untuk mengelak daripada malakukan sebarang perbuatan yang boleh melemahkan parti.

Jadi pendekatan kita mesti menyediakan barisan yang ampuh, kita mesti rapatkan barisan kita dan kita mesti menampilkan kekuatan yang boleh digeruni pihak lawan.

S: Adakah siapsiaga boleh dianggap sebagai menyediakan parti untuk berada dalam keadaan 'war footing' atau rentak perang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13?

J: Yalah, kalau kita gunakan analogi perang, maknanya sebelum tembakan pertama diletupkan maka sebarang angkatan tentera kena melalui proses latihan dan persediaan dari segi strategi dan persediaan dari segi logistik, kelengkapan.

Semuanya ini mesti kita lakukan dalam keadaan yang sebaik-baiknya untuk mencapai kemenangan yang kita harapkan.

Tidak kurang penting juga ialah nilai-nilai asas kita dalam menentukan kita boleh menang dalam sebarang peperangan iaitu nilai-nilai seperti ketaatan dan kesetiaan, disiplin, kesungguhan membuat kerja, semangat berpasukan.

Semua ini, nilai-nilai asas yang kita mesti hayati dan kita tidak boleh kompromi dalam hal ini. Kalau tidak parti kita boleh kecundang dalam kawasan yang berkenaan.

S: Kalau boleh saya gunakan analogi Harimau Muda yang tetap tabah walaupun berdepan penyokong Indonesia dan cabaran sengit (pada perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA di Jakarta minggu lepas)

J: Kita kalau ada "mental strength" (kekuatan mental) dan kita ada jiwa yang kental, kita boleh berdepan dengan persekitaran yang sangat mencabar walaupun pihak musuh membuat apa jua tekanan terhadap kita termasuk tekanan psikologi dan emosi.

Tetapi kalau kita kental dari segi kekuatan minda kita, dan semangat kita pun kukuh, maka sudah terbukti seperti analogi Harimau Muda itu, kita boleh mengatasi keadaan yang sangat berat menekan kita, mencengkam kita, walaupun gelanggang tidak sama rata seperti di Jakarta, tapi pasukan kita akhirnya berjaya juga.-26/11/2011 -Bernama

No comments:

Post a Comment