Friday, November 25, 2011

"Kita tidak benarkan Malaysia menjadi negara transit dan tapak latihan pengganas" - @HishammuddinH2O


Dalam sidang akhbar selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul bagi merungkaikan Perisytiharan Darurat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin menggambarkan bahawa pembentangan ini adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik (PTP) yang sedang giat dilaksanakan oleh Perdana Menteri seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Berikutan pengumuman Perdana Menteri pada 15 September, kerajaan telah membentang usul pemansuhan dua Akta, iaitu Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri. Selepas itu, 125 Orang yang dikenakan Perintah telah dibebaskan manakala 243 waran tangkap dan tahan tidak di laksanakan. Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan tindakan susulan terhadap apa yang telah diumumkan."

"Hari ini Perdana Menteri membentangkan pula usul untuk merungkai perisytiharan darurat tahun 1966, 1967 dan 1969. Walaupun PM memberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan apa yang berkaitan, termasuk yang berkaitan kewujudan pasukan RELA, tetapi hari ni pihak polis dan KDN akan membebaskan 36 orang di bawah Ordinan Darurat. Walaupun enam bulan, tapi proses tetap terus berjalan dan menunjukkan keseriusan PM untuk mengotakan apa yang di kata."

"Seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Rembau tadi, kita perlu mengimbangi hak asasi, keselamatan orang ramai dan kepentingan nasional. Bagaimanapun ketika hendak mencari keseimbangan di situ kita kena mempunyai sikap bertanggungjawab. Akta baru yang berkaitan dengan keganasan akan digubal agar mereka tidak melihat Malaysia sebagai sebagai negara transit atau tempat latihan."

"Tugas PDRM dan KDN adalah dari segi keselamatan dalam negara dan jaminan dari pihak polis adalah pemansuhan ini tidak akan menjejaskan kemampuan PDRM untuk terus menjaga ketenteraman awam. Dalam konteks perhimpunan awam, pihak berkuasa kena mengambil peranan agar negara tidak menjadi huru hara."

Mengenai penahanan 13 orang di Tawau, beliau menjelaskan bahawa ia berkait dengan jaringan antarabangsa dan melibatkan risikan negara-negara lain. "Berdasarkan maklumat risikan yang kita perolehi, kita tidak akan membenarkan pengganas untuk menggunakan Malaysia sebagai negara transit dan tapak latihan."

Mengenai akta baru bagi menggantikan ISA, Dato Seri Hishammuddin berkata, ia adalah sepesifik terhadap keganasan dan kegiatan subversif. "Apa tidak dikehendaki adalah agar ISA tidak digunakan untuk politik, ini juga hasrat PM. PM telah bentangkan usul merungkai Ordinan Darurat. Sebelum ini Perintah Tahanan Terhad dan Buang Negeri. Banyak yang perlu dilakukan, termasuk merangka statut baru berkenaan Pasukan RELA."

"Yg penting niat yang baik dan kita telah tunaikan apa yang kita umumkan. Apa yang dituduh tidak benar, sebab ia konsisten. Rakyat akan melihat Program Transformasi Politik (PTP) yang Datuk Seri Najib katakan adalah benar."

Berkenaan pertanyaan wartawan sama ada benar mereka yang ditahan ini mahu membunuh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Hishammuddin menyebut bahawa dia tidak boleh mengesahkan atau menafikan sebab tidak mahu jejaskan siasatan bukan saja oleh risikan dalam negara tetapi juga luar negara.

"Kita di dalam KDN dan PDRM tidak melihat ia sebagai satu isu politik, tapi untuk mengimbangi di antara hak rakyat dan keselamatan nasional. Akta baru ini akan menjadi sesuatu yang bersejarah dan menandakan perubahan yang besar dalam negara kita. Apa pun polis dan KDN beri jaminan bahawa kita boleh memenuhi tanggungjawab kita bagi memastikan keselamatan rakyat."

Menjawab soalan mengenai perhimpunan aman, beliau mengatakan bahawa sebelum ini Seksyen 27 Akta Polis tidak membenarkan perhimpunan tanpa permit, sedangkan yang (diusulkan) ini membenarkan tapi kena maklumkan kepada polis. "Mereka (pembangkang) bimbang political mileage kembali kepada Datuk Seri Najib, sebab itu mereka kata macam-macam sebelum ia dibentangkan."

Memberi respon mengenai tahanan di Tawau, Timbalan Ketua Polis, Datuk Khalid Abu Bakar menyokong kenyataan Datuk Seri Hishammuddin dengan menyatakan bahawa tanggung jawab polis untuk menjaga keselamatan rakyat lebih penting dari 13 orang yang ditahan. "Beri kita masa untuk teruskan siasatan."

No comments:

Post a Comment