[Nota: Ada beberapa persepsi yang saya fikir tidak tepat dalam pemikiran orang Cina di Lembah Klang jika dinilai melalui tulisan ini. Persepsi yang tidak tepat ini terbentuk kemungkinan besarnya akibat retorik perkauman yang terlalu banyak dimainkan oleh Pakatan Pembangkang bagi memenangi undi orang Cina.
Antaranya:
1. Kerajaan BN tidak berlaku adil terhadap orang Cina. Bagi saya, isunya bukan keadilan, tetapi permintaan mereka adalah untuk mendapatkan kesamarataan. Bagaimanapun kesamarataan yang dituntut oleh sejumlah orang Cina ini adalah dalam bidang-bidang lain selain dari bidang ekonomi dan perniagaan. Dalam bidang ekonomi dan perniagaan, permintaan mereka bukan keadilan dan kesamarataan lagi, sebaliknya pasaran terbuka dan kuasa pasaran (market force). Kelemahan BN, terutamanya parti komponen berasaskan kaum Cina adalah untuk menjelaskan bahawa biarpun soal kedudukan istimewa kaum Bumiputera dilindungi oleh Perlembagaan dan diterjemahkan melalui dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), namun dari segi keadilan sosial, ia dinikmati oleh semua individu yang memerlukan pembelaan (lemah, miskin, kurang upaya) dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan serta kecenderungan politik. Ini kurang dijelaskan!
2. Perlu dijelaskan bahawa keadilan kerajaan BN termasuklah dengan membenarkan pegangan ekuiti dan penguasaan dalam bidang ekonomi dan perniagaan oleh kaum Cina seperti sedia ada dan tidak bertindak seperti Robin Hood untuk menyamaratakannya. Bayangkan jika kerajaan bertindak untuk menyamaratakan pegangan ekuiti semua kaum dan pemilikan perniagaan. Adakah itu bentuk kesama rataan yang dikehendaki?
3. Singapura adalah penanda aras yang salah dan bukan perbandingan 'epal dengan epal'. Singapura mempunyai populasi yang lebih homogenus berbanding Malaysia dengan sejumlah besar penduduknya adalah terdiri dari kaum Cina. Sekiranya terdapat jurang, jurang antara kaum bukan Cina dengan kaum Cina tidak menonjol dalam carta pie dan statistik, sebaliknya jurang ini akan`tersorok' akibat populasi orang Cina yang amat besar. Begitu juga di negara Arab dan Timur Tengah yang mempunyai populasi yang lebih homogenus berbanding Malaysia. Maka sekiranya timbul isu kesama rataan dan jurang, ia bukan mengenai perbezaan antara kaum, tetapi antara individu dalam bangsa yang sama, iaitu bangsa Arab.
4. Persepsi bahawa HANYA orang Cina yang tidak mendapat layanan yang adil juga tidak tepat kerana jika ditanya kepada orang Melayu, mereka juga merasakan bahawa mereka tidak mendapat layanan yang adil, bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi juga daripada pihak swasta dan pasaran. Misalnya, ada orang Melayu yang merasakan tidak adil kerana mereka tidak memenangi tender kerajaan akibat harga barangan mentah ditentukan oleh orang Cina dan akhirnya disebabkan oleh faktor harga, syarikat yang di`ali baba'kan oleh orang Cina ini jugalah yang akan memenangi tender tersebut. Ada contoh lain yang boleh diberikan, misalnya Namewee, SJKC, gerai orang Cina, lesen pistol dan banyak lagi. Apa yang ingin ditegaskan di sini adalah persepsi `didiskriminasikan' TIDAK eksklusif terhadap kaum Cina sahaja di negara ini kerana jika ditanya soalan yang sama kepada orang Melayu, mereka juga merasakan bahawa mereka tidak diberikan layanan yang adil dan istimewa seperti yang diberikan kepada orang Cina.
Oleh itu, biarpun dikatakan politik seluruh dunia bergerak ke arah kesamarataan, namun konteks kesamarataan di seluruh dunia tidak sama dengan konteks kesamarataan di Malaysia. Begitu jugalah dengan jurang sosial.
Jika jurang sosial di dalam suatu bangsa yang sama atau populasi yang lebih homogenus seperti di Timur Tengah boleh mengakibatkan kekacauan yang begitu menakutkan, tergambarkah kita saiz kekacauan yang bakal menimpa apabila terdapat jurang yang besar dalam populasi yang tidak homogenus?
Pokok pangkalnya berkisar kepada keadilan sosial, bukan kesamarataan. Jika sesuatu kumpulan merasa bahawa mereka tidak lagi menerima layanan yang adil, atau lebih buruk lagi jika mereka merasa terancam akibat persepsi bahawa hak mereka dirampas, tentu sekali mereka akan bertindak balas. Inilah yang sedang cuba dielakkan oleh kerajaan. Kata bijak pandai -
"justice is considered to mean equality, it does mean equality- but equality for those who are equal, and not for all." - Aristotle ]
Ahad 5 Jun 2011
Membaca pemikiran orang Cina
Joceline Tan
Sentimen politik orang Cina di Lembah Klang masih merupakan suatu tugas yang belum selesai.
SEMUA ORANG yang hadir dalam mesyuarat makan tengah hari MCA di sebuah restoran Cina di Cheras mengenali antara satu sama lain. Biarpun terasakan keakraban, namun pada masa yang sama terdapat juga kegelisahan di kalangan hadirin yang berkumpul.
Sehinggalah Datuk Lau Kok Chuan, ahli jawatankuasa MCA Cheras, mengungkapkan kata-kata bagi menzahirkan kekecewaan yang terbuku di dalam hati setiap orang apabila beliau menyatakan bahawa MCA tidak pernah menang di Cheras dan adalah satu pembaziran masa dan wang untuk terus bertanding kerusi itu. Parti itu, katanya, harus melupakan hasrat untuk meletakkan calon di Cheras pada pilihan raya akan datang. Ucapannya itu telah menggolakkan suasana di dalam bilik.
Pengerusi MCA Cheras Tan Sri Tee Hock Seng akhirnya berkata: "Cheras mempunyai banyak masalah. (Tetapi) kita tidak boleh berfikir seperti itu kerana peranan kita adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. "
Hakikat yang menyakitkan adalah Barisan Nasional (BN) tidak pernah berjaya memenangi Cheras sejak hari Sungai Besi dipecahkan kepada Cheras dan Bandar Tun Razak pada tahun 1995.
Tan Kok Wai, Ahli Parlimen DAP untuk penggal kedua di Sungai Besi, terus memenangi kerusi Cheras. Orang kuat DAP ini telah menjadi begitu sinonim dengan Cheras, dan menang dengan majoriti 28,300 undi, yang terbesar pernah dimenanginya, dalam tahun 2008.
Lebih menyakitkan lagi adalah sentimen di Cheras agak mencerminkan sentimen orang Cina di Lembah Klang, kawasan metropolitan yang merangkumi Petaling Jaya dan bandar Kuala Lumpur (KL). Mood orang Cina di Lembah Klang tidak pernah berubah sangat sejak tahun 2008 dan istilah yang sering digunakan di kalangan penganalisis bahawa ia telah semakin mengeras.
Orang-orang Cina membentuk 43% daripada populasi penduduk di KL dan 31% di Selangor. Tetapi impak yang dipunyai mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah kerana mereka telah bergerak senada sebagai suatu kuasa kolektif.
Tsunami politik 2008 telah menjatuhkan beberapa buah kerajaan negeri tetapi peralihan undi yang paling menakjubkan sebenarnya berlaku di kawasan kerusi majoriti Cina di Kuala Lumpur dan Selangor di mana puluhan ribu pengundi berpaling arah untuk tidak mengundi Barisan Nasional.
Sebagai contoh, Barisan Nasional memenangi PJ Utara pada tahun 2004 dengan majoriti 13,000 undi tetapi kerusi ini jatuh ke DAP dengan majoriti kira-kira 20,000 undi pada tahun 2008. Jumlah undi yang beralih arah adalah sehingga kira-kira 33,000 undi.
Terdapat 17 kerusi Parlimen di Lembah Klang yang menunjukkan peralihan undi yang menggemparkan fikiran. Sebagai contoh, peralihan undi di Serdang adalah sebanyak 32,000 undi, PJ Selatan 27,000 undi, Selayang 27,000 undi, Kelana Jaya 26,000 undi, Puchong 24,000 undi dan Kepong 23,000 undi.
Di KL, 10 daripada 11 kawasan Parlimen jatuh kepada Pakatan Rakyat. Hanya Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique terselamat tetapi boleh dikatakan kerjaya politik beliau seolah-olah sudah berakhir dan dia dilihat ibarat Koh Tsu Koon Wilayah Persekutuan.
Banyak sebab yang dikatakan sebagai punca peralihan undi orang Cina – prestasi bekas Perdana Menteri yang lemah, retorik kaum oleh Umno dan insiden keris.
Tetapi, kata bekas ahli strategi MCA, Lembah Klang, terutamanya di kawasan KL, sentiasa menjadi tempat terkumpulnya perasaan anti-establishment terutamanya di kalangan yang berpendidikan Cina dan golongan pekerja. Tekanan hidup di dalam persekitaran yang amat-kebandaran begitu tinggi dan kelemahan birokrasi dan polisi kerajaan amat dirasai.
"Insurans di kalangan orang Cina" untuk Barisan terdiri dari golongan kelas menengah dan atasan di Selangor yang mempunyai kehidupan yang agak baik. Mereka adalah golongan profesional atau golongan peniaga dan ramai di antara mereka yang dipanggil ‘orang Cina yang berbahasa Inggeris’, satu kumpulan yang juga dikenali sebagai "bananas" (kuning di luar, putih dalam).
Mereka adalah kumpulan yang canggih yang mengetahui perkembangan terkini dan mempunyai pendapat masing-masing. Lagipun, 8 daripada 10 orang Cina yang layak mengundi adalah pengundi berdaftar. Mereka ini merupakan satu kuasa yang perlu diberi perhatian.
"Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan besar intelek Cina dan, terutamanya dalam negeri Selangor, mereka cukup bersedia untuk memberikan Barisan peluang semasa pilihan raya. Mereka pernah menyokong Barisan di kawasan-kawasan seperti PJ Selatan, Serdang, Puchong dan Kelana Jaya," kata ahli strategi tersebut.
Kata strategis ini, semuanya berubah dengan kedatangan Internet. Jutaan maklumat baru, sama ada tepat atau sebaliknya, mengubah cara mereka melihat politik dan kerajaan. Tetapi insiden Umno merupakan titik puncak terutamanya untuk kumpulan yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional. Kumpulan ini merupakan kuasa utama di sebalik peralihan besar kepada pembangkang di dalam kawasan-kawasan orang Cina.
Sebahagian besar daripadanya mempunyai kaitan dengan kekecewaan mereka terhadap pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mereka telah memberikannya mandat yang amat besar pada tahun 2004 dan mereka merasa dikhianati apabila dia tidak mengekang retorik bangsa partinya.
Sebenarnya, ahli-ahli politik Umno yang telah membuat orang-orang Cina marah. Mereka membalasnya melalui peti undi pada tahun 2008 dan MCA dan Gerakan terpaksa menanggung bebannya. "Anda boleh memanggilnya penyatuan pihak yang dianiaya," kata strategis ini.
Tambahan pula, seperti yang disebut oleh Pengarah Eksekutif Sin Chew, Rita Sim, peti undi adalah satu-satunya tempat di mana orang-orang Cina tidak tertakluk kepada kuota.
"Bagi mereka, segala-galanya mempunyai kuota seperti membeli rumah, mendapatkan pinjaman, tempat universiti. Di peti undi, ia adalah satu orang, satu undi. Sudah tentu, mereka tidak akan merosakkan undi mereka," kata Sim.
'Pemikiran baru'
Tetapi sentimen Lembah Klang ini tidak lagi tentang pragmatisme, katanya. Ia adalah mengenai pemikiran untuk tidak lagi tertakluk kepada perbezaan layanan. Generasi Y dan Y, terutamanya, benar-benar menolak pemikiran mengenai kuota.
Telah lebih daripada 30 tahun selepas kelahiran DEB dan tidak ada sebarang kata-kata daripada Kerajaan yang akan membuat mereka mengubah minda mereka mengenainya. Mereka melihatnya sebagai satu bentuk prejudis dan diskriminasi dan orang-orang yang berpelajaran dan mempunyai jalan akan tidak teragak-agak untuk mengundi untuk mengubahnya.
Ramai yang berada di dalam Umno hairan tentang "pemikiran baru" ini dan mereka telah bertanya: Mengapa orang-orang Cina begitu banyak membuat tuntutan hari ini? Tidakkah mereka memahami bahawa orang Melayu masih ketinggalan dan memerlukan lebih banyak bantuan lanjut berbanding mereka?
Jenis pemikiran ini hanya berkesan terhadap generasi baby boomers tetapi tidak untuk Generasi X (yang lahir antara 1960 dan 1980) dan Generasi Y (lahir antara 1980 dan 2000). Mereka boleh menerima layanan khas bagi golongan miskin, orang kurang upaya, warga tua atau ibu tunggal tetapi bukan polisi yang berasaskan kaum.
Mereka melihat kontroversi tahunan untuk mendapatkan biasiswa kerajaan sebagai "persembahan badut" dan mereka bosan.
Akhir sekali, sentimen Cina sebenarnya bukan "pemikiran baru". Sebaliknya ia telah wujud sejak sekian lama dan semakin menebal sejak beberapa tahun yang lalu. Ia dinyatakan secara terbuka yang di dalam Internet di mana apa sahaja dan segala-galanya boleh dinyatakan dan juga kerana terdapat sebilangan besar golongan muda Cina yang begitu menentang layanan yang berbeza ini.
"Dalam bandar, (memberikan) dana untuk sekolah-sekolah dan projek-projek semasa pilihan raya tidak lagi berfungsi. Orang-orang Cina di Lembah Klang telah pergi lebih dari itu. Ia adalah tentang keinginan untuk dilayan secara sama rata dan adil. Ia adalah idea yang besar, mempunyai banyak aspek dan begitu kompleks," kata Sim.
Ia bukan mengenai DAP yang melakukan tugas dengan baik sebagai kerajaan. Mereka bukannya tidak cekap tetapi mereka bukanlah luar biasa. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih menumpang di atas kemakmuran silam dan setiap hari terdapat satu atau beberapa kenyataan akhbar daripada beliau mengenai pelbagai isu-isu, beberapa daripadanya berbunyi seolah-olah diterjemahkan dari Bahasa Cina menggunakan Google.
Sentimen Lembah Klang, kata Sim, pada dasarnya adalah mengenai populasi yang mempunyai kesedaran yang tinggi tentang hak-hak mereka sebagai warganegara, mereka mempunyai petunjuk-petunjuk dan mereka mempunyai pilihan. Set yang lebih muda terutamanya melihat di sekeliling mereka dan rakan-rakan mereka di tempat lain yang mempunyai pendirian tegas secara politik, dan mereka sedar akan kuasa undi mereka.
Dulu, ibu bapa memberitahu anak-anak mereka tentang siapa yang patut mereka sokong. Sekarang anak-anak muda yang memberitahu ibu bapa mereka siapa yang sepatutnya diundi.
Pilihan raya umum Singapura bulan lepas adalah contoh terbaik. Singapura adalah sebuah negara yang maju dengan rizab asing yang besar, kerajaan yang bersih dan Perdana Menteri yang berwibawa dan kacak. Tetapi jurang antara kaya dan miskin telah berkembang, dan rakyat Singapura tidak berpuas hati dengan kuasa tegas Kerajaan yang keterlaluan, kenaikan kos sara hidup dan kehadiran orang asing yang datang untuk mengambil pekerjaan mereka.
Mereka meluahkan kekecewaan mereka menggunakan peti undi. Pembangkang menguasai 40% daripada undi popular dan berkemungkinan besar dapat memenangi lebih banyak kerusi jika tidak kerana GRC, atau Sistem Perwakilan Kumpulan yang berat tidak menyebelahi pembangkang.
Dan rakyat Singapura telah menyatakan kepada PAP, perasaan terhutang budi tidak bermaksud memberikan kesetiaan secara membuta tuli.
Kolumnis Berita Harian di Singapura Seah Chiang Nee menyifatkan pemilihan negaranya baru-baru ini sebagai kemunculan "jenama baru politik". Singapura adalah terkehadapan dari Malaysia dalam banyak segi tetapi jauh terbelakang dari segi politik.
Orang Cina di Lembah Klang mungkin tidak jauh berbeza dengan rakan-rakan mereka di Singapura atau Sarawak. Mereka telah mencapai suatu tahap pemikiran politik yang tertentu dan tahap pendidikan dan ekonomi mereka membenarkan mereka untuk mengambil tindakan.
Kitaran anti-Barisan masih dalam permainan dan tidak ramai melihat ia akan mengalami perubahan yang besar menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dasar orang-orang Cina di luar Lembah Klang, kecuali yang berada di Pulau Pinang, telah menjadi stabil dan juga lebih lembut seperti yang terbukti dari pilihan raya kecil baru-baru ini.
Bagaimanapun Lembah Klang masih kekal sebagai lubuk panas perasaan tidak puas hati orang-orang Cina dan tiada siapa yang boleh meneka berapa lama lagi ia akan kekal begitu. Barisan Nasional mungkin perlu menerima fenomena ini buat sementara waktu.
"Jurang di antara pemikiran orang-orang Cina dan Melayu mengenai kedudukan mereka di dalam negara ini adalah sangat besar," kata Sim.
Sebilangan di dalam Umno merasakan bahawa Perdana Menteri wajar melupakan undi orang-orang Cina di Lembah Klang dan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan orang Melayu. Mereka agak yakin untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya lima kerusi di KL berdasarkan peralihan undi orang Melayu. Mereka merasakan bahawa mereka telah banyak bertolak ansur dengan orang Cina bagaimanapun usaha mereka ini tidak berbalas.
Sedangkan kumpulan orang Cina pula berpendapat bahawa politik di mana-mana sekali pun, dari Singapura sehinggalah ke Timur Tengah, bergerak ke arah konsep kesama rataan dan ketelusan. Kata mereka, minda Melayu yang memerlukan perubahan.
Dalam pemikiran orang Cina di Lembah Klang, keputusan kini sebenarnya terletak di tangan orang Melayu.
Banyak geran perniagaan kerajaan BN telah dimanfaatkan oleh kaum Cina melalui bank-bank di malaysia untuk menentukan mereka gologan yang paling kaya dan memonopoli bidang ekonomi & perniagaan. Adakah Joceline buta dan tidak nampak bahawa kaum Cina adalah lebih maju dan kaya berbanding kaum Melayu? Artikel Joceline adalah berbaur hasutan.
ReplyDeleteApa yg ditulis oleh Jocelyn Tan adalah berasaskan kenyataan...
ReplyDeleteKita kena terima bahawa itu sebenarnya kehendak pengundi Cina di Malaysia dan kerajaan tak perlulah menurut semua yg mereka kehendaki kerana apa yg mereka dapat tidak mungkin mengubah undi mereka...
Kalau benar mereka hendak kesamarataan maka mereka juga perlu mengorbankan SJK dan kelebihan yg ada pada mereka...