17 Ogos 2011
Terdapat 825 individu memiliki ejaan nama yang sama dengan Azhar Ahmad, hasil semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa menyiasat dakwaan Pemuda PAS wujudnya penyelewengan melibatkan nama lelaki itu.
Selain Azhar, Besah Mat turut memiliki ejaan nama yang sama dengan 14 orang lain manakala Mansor Ahmad memiliki ejaan nama sama dengan 229 orang.
Bagaimanapun, Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menafikan dakwaan penyelewengan kerana mereka semua memiliki nombor kad pengenalan berbeza meskipun ejaan nama sama.
Penjelasan itu dibuat SPR untuk menafikan dakwaan Pemuda PAS melalui Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasinya Suhaizan Kalat yang kononnya curiga terhadap tiga individu itu dari kawasan utara tanah air yang memiliki ejaan nama sama, dengan nombor kad pengenalan hanya berbeza di dua digit terakhir didaftarkan di dua tempat berbeza dalam Daftar Pemilih SPR.
Selain dakwaan itu, Suhaizan melalui sebuah akhbar tempatan turut mendakwa ketiga-tiga individu terbabit masing-masing mempunyai dua kad pengenalan dan boleh mengundi dua kali dalam satu pilihan raya.
Kamaruddin berkata SPR melakukan semakan menggunakan Agency Link-Up System (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara daripada 12.3 juta pengundi dalam negara untuk menyiasat dakwaan itu.
"Dalam urusan pendaftaran pemilih, pengenalan diri pengundi direkodkan berdasarkan kepada nombor kad pengenalan dan bukannya nama kerana sekiranya nama digunakan, ia tidak membolehkan SPR membezakan pengundi kerana ramai individu yang ejaan nama mereka adalah sama," katanya.
Justeru, Kamaruddin meminta Suhaizan dan pihak lain supaya tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh.
"Jika ada pihak yang mengesan perkara yang mencurigai dalam Daftar Pemilih SPR, sepatutnya perkara itu dirujuk terus kepada SPR bagi membolehkan siasatan dibuat bukannya mendedahkannya kepada pihak lain," katanya.
- Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment