Monday, August 22, 2011

#Bersih Hishammuddin - JK Pilihan Khas Parlimen Pilihan Raya boleh atasi dakwaan palsu tentang daftar pemilih


Hishammuddin - "Kes-kes yang kononnya didakwa mempunyai pertalian dengan kepentingan pihak Kerajaan sebelum ini ternyata meleset apabila nama-nama individu yang kononnya mendapat status “kerakyatan segera” telah tampil dan menceritakan kisah sebenar yang mereka lalui dengan disokong dengan bukti-bukti dan rekod sahih."



Kenyataan Akhbar
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Keputusan Kabinet untuk menerima cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah langkah terbaik untuk menjawab dan menangani segala bentuk persoalan dan tuduhan yang selama ini dilemparkan oleh Pembangkang. Pendekatan yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi mewujudkan sebuah jawatankuasa yang bersifat terbuka dan telus dengan dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan, Pembangkang dan Bebas adalah perkembangan positif ke arah pengukuhan pembentukan negara ini serta rakyatnya sebagai masyarakat yang lebih matang dan progresif.

Pembentukan Jawatankuasa ini bagaimanapun bukan bermakna terdapat masalah dalam proses pilihan raya yang kita lalui selama ini. Malah proses pilihan raya di negara ini telah dilaksanakan dengan adil, penuh demokratik dan bersih. Namun pembentukan sebuah Jawatankuasa seperti ini adalah platform terbaik untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Kerajaan tidak mempunyai apa-apa perkara yang perlu diselindungi. Kita senantiasa menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan sama ada kita masih diperlukan atau tidak. Di atas asas dan keyakinan itulah Kerajaan merasakan rakyat perlu mendapat gambaran yang tepat serta tidak mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan tak berasas.

Kes-kes yang kononnya didakwa mempunyai pertalian dengan kepentingan pihak Kerajaan sebelum ini ternyata meleset apabila nama-nama individu yang kononnya mendapat status “kerakyatan segera” telah tampil dan menceritakan kisah sebenar yang mereka lalui dengan disokong dengan bukti-bukti dan rekod sahih.

Dengan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini kelak, setiap pihak sama ada pihak wakil Kerajaan, Pembangkang dan juga Bebas mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan masing-masing dan semua pihak berpeluang untuk menilainya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan awal minggu lalu untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai usaha untuk mengemaskini rekod-rekod warganegara Malaysia yang sah dan berdaftar sebagai pengundi. Langkah ini adalah selaras dengan cadangan Kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa ini.

Apa yang dihasratkan melalui pembentukan sebuah Jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan, Pembangkang dan Bebas di peringkat Parlimen adalah agar sebarang perkara berkaitan usaha memperkukuh undang-undang dan peraturan berkenaan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus dan dapat dilihat secara dekat oleh rakyat. Langkah ini adalah satu keputusan yang mendokong serta menyokong pemerintahan demokrasi berparlimen yang selama ini telah kita pertahankan demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.

KDN telah melaksanakan penambahbaikan dalam memproses permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran sejak lebih dua tahun lalu. Dalam tempoh berkenaan kita telah menetapkan matlamat untuk menyelesaikan proses permohonan dan mereka yang berhasrat menjadi warganegara Malaysia akhirnya dapat mengetahui dan mendapat makluman tentang keputusan permohonan mereka. Penambahbaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan perubahan dasar dan syarat-syarat seperti yang terkandung di bawah undang-undang serta peraturan sedia ada.

Langkah mengemaskini rekod di bawah KDN yang mana dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah untuk memastikan rekod kedua-dua pihak antara JPN dan SPR dapat diselaraskan dan pada masa yang sama dapat dikemaskini dalam kadar segera; dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang salah tafsir atau salah faham oleh mana-mana pihak.

Kerajaan mempunyai pendirian yang jelas dan tegas dalam soal kelayakan untuk berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya. Sehubungan itu KDN serta JPN akan memastikan segala keperluan dan persoalan yang timbul dalam perkara itu dapat ditangani. Ini adalah satu tanggungjawab penting yang perlu dipikul oleh KDN dan JPN. Langkah ini juga akan memerlukan KDN dan JPN untuk melipatgandakan usaha dan memastikan wujudnya sistem yang telus dan memuaskan semua pihak. Saya mahu agar pangkalan data yang menyimpan permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran dapat dikemaskini dan menunjukkan status semasa dengan tepat.

Pembentukan Jawatankuasa ini juga adalah peluang terbaik untuk menonjolkan peranan ahli-ahli Parlimen muda di negara ini untuk mengemukakan pandangan serta buah fikiran mereka khususnya mengenai penambahbaikan proses pilihan raya. Mereka tentunya mempunyai pandangan yang mampu mewakili fikiran bentuk baru memandangkan mereka adalah suara yang akan mewakili generasi masa depan.

Perubahan yang akan diputuskan kelak akan memberi kesan langsung terhadap proses dan kaedah kerja yang diamalkan selama ini termasuk oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sepanjang tempoh kempen pilihan raya juga perlu diputuskan berdasarkan keputusan yang akan dibuat kelak. Setelah kesemua cadangan berkenaan diluluskan, adalah penting agar semua jabatan dan agensi terlibat membentuk kerjasama rapat antara satu sama lain bagi memastikan segala keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan baik.

No comments:

Post a Comment