Motif sebenar himpunan Bersih boleh dijangka — Zulkiflee Bakar
June 16, 201116 JUN — Cuba fikir dan kaji fakta ini; Pada Pilihan Raya Umum 2008, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen malahan turut terlepas genggaman kuasa di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor serta gagal menawan kembali Kelantan.
Sejak pilihan raya umum berkenaan, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan daripada jumlah itu BN menang lapan kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) (tiga kerusi), DAP (satu kerusi) dan PAS (empat kerusi).
Berdasarkan rekod itu, ia jelas membuktikan bahawa pilihan raya di negara ini berjalan secara bersih, telus dan adil.
Oleh itu, adalah sesuatu yang aneh apabila pembangkang secara tiba-tiba mahu mengadakan perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini kononnya bagi menuntut pilihan raya diadakan secara bersih dan adil.
Sebenarnya, perhimpunan itu bukanlah untuk memberi manfaat kepada rakyat sebaliknya mempunyai agenda politik yang tersembunyi.
Pembangkang amat memahami bahawa kedudukan mereka bukanlah lagi selesa seperti mana tahun 2007.
Pada tahun berkenaan, mereka begitu mendabik dada kerana amat memahami sentimen rakyat kepada kerajaan BN ketika itu.
Dengan pelbagai kemelut yang berlaku dalam pentadbiran BN, pembangkang mengambil kesempatan untuk membakar semangat rakyat supaya bangkit menumbangkan kerajaan BN.
Dan ketika itu juga mereka bernasib baik kerana rakyat masih belum mampu melihat sejauh mana keupayaan pembangkang apabila diberi kuasa, maka dalam keadaan perasaan tidak puas hati memuncak, pembangkang turun ke jalanan menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil.
Kesudahannya wujudlah undi protes yang hampir menumbangkan kerajaan BN.
Kali ini, pembangkang berharap membakar lagi semangat rakyat yang kononnya dicanangkan semakin menyebelahi mereka.
Gendang pilihan raya umum yang “sayup-sayup” mula kedengaran dijadikan alasan untuk pembangkang turun ke jalanan pada 9 Julai ini.
Sebenarnya, tujuan pembangkang berbuat demikian adalah bagi menutup segala kemelut yang melanda pakatan mereka dan kerisauan berhubung prestasi kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pembangkang kini berhadapan bukan sahaja dengan masalah moral pemimpinnya tetapi paling ketara ialah melaksanakan mandat yang diberikan oleh rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka.
Mereka bukan sahaja gagal menunaikan berpuluh-puluh janji di dalam manifesto pilihan raya umum 2008, malahan berlaku banyak masalah yang menyusahkan rakyat di negeri-negeri yang dikuasai.
Selain itu turut menghantui pembangkang ialah kegagalan ahli Parlimen mereka memainkan peranan yang berkesan di Dewan Rakyat.
Mereka hadir ke Parlimen bukannya untuk memperjuangkan agenda rakyat tetapi lebih banyak mahu berpolitik, akibatnya suatu ketika Dewan Rakyat menjadi “hiruk-pikuk”.
Apa yang lebih membimbangkan pembangkang ialah gaya kepimpinan Najib yang dilihat semakin diterima oleh rakyat dan meningkatkan semula imej BN.
Satu demi satu langkah yang dilakukan oleh Najib bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan membawa kemakmuran kepada negara bagaikan mimpi ngeri yang menghantui pembangkang.
Perkara yang paling ditakuti oleh pembangkang ialah kejayaan gagasan 1 Malaysia yang kini cukup popular sehingga pembangkang “mengharamkan” penggantungan logo itu di Selangor.
Gagasan itu seolah-olah membantutkan usaha pembangkang untuk terus meniupkan politik perkauman seperti mana diamalkan oleh DAP dan mendorong kejayaan PKR dalam pilihan raya umum lalu.
Selain itu, mereka juga seolah-olah “ngeri” dengan konsep walkabout yang dipopularkan oleh Najib dan dilaksanakan dengan berjaya oleh pemimpin-pemimpin BN terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia kerana ketika pemimpin-pemimpin pembangkang sedang bergelut dengan kelemahan mentadbir kerajaan negeri di bawah penguasaan mereka dan turun naik mahkamah kerana kes moral, pemimpin-pemimpin BN semakin popular di kalangan rakyat.
Pembangkang bimbang perolehan undi popular sebanyak 3,796,464 atau 49.4 peratus yang diraikan pada tahun 2008 tidak akan berulang lagi.
Faktor-faktor inilah yang mendorong pembangkang kini mengatur strategi untuk turun ke jalanan pada 9 Julai ini bagi menutupi segala kelemahan dan kepincangan yang sedang melumuri parti-parti mereka.
Walaupun pembangkang mengetahui bahawa perhimpunan pasti akan mendapat tentangan daripada pihak berkuasa, mereka tidak akan peduli itu semua.
Sebaliknya mereka akan “bergembira” apabila imej Malaysia akan tercalar akibat huru-hara yang mungkin berlaku akibat demonstrasi jalanan berkenaan.
Selain itu, apa yang penting bagi mereka ialah mesej kepada rakyat bahawa jika mereka kalah dalam pilihan raya nanti, ia kononnya berpunca daripada kurangnya ketelusan dan keadilan dalam pelaksanaannya.
Manakala huru-hara yang akan tercetus berikutan demonstrasi itu bukan salah mereka, sebaliknya akan dituding jari kepada pihak polis.
Inilah mainan dan helah politik pembangkang yang jelas dari semasa ke semasa semakin berani melakukan tindakan-tindakan yang bertujuan bagi mencapai cita-cita mereka menguasai Putrajaya.
Pembangkang sememangnya terlalu teruja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana menganggap ia seolah-olah peluang keemasan untuk menumbangkan kerajaan BN.
Semua itu berlaku kerana ramai pemimpin pembangkang sekarang sudah lanjut usia dan mengharapkan pilihan raya umum akan datang tercapai cita-cita mereka memimpin Kerajaan Pusat.
Malahan mereka masih lagi dibuai mimpi bahawa majoriti rakyat masih lagi mempunyai sentimen pilihan raya umum 2008.
Justeru mereka akan berusaha menggerakkan apa juga usaha bagi meraih sokongan rakyat dan dalam masa yang sama memburuk-burukkan imej kerajaan BN.
Atas sebab itulah perhimpunan Bersih yang dirancangkan tidak mempunyai niat murni apatah lagi bersih, sebaliknya terpalit dengan seribu mainan politik yang menjijikkan semata-mata kerana terlalu mahu berkuasa.
Adalah diharapkan rakyat akan menilai sikap pembangkang dengan sebaik-baiknya. Mereka boleh menilai sikap pembangkang melalui corak pemerintahan di negeri-negeri ini yang dikuasai oleh pakatan tersebut.
Kajilah bagaimana apabila mereka menang dalam sesuatu pilihan raya itu ia dianggap tidak ada masalah, tetapi apabila mereka kalah atau berada di ambang kekalahan mulalah hendak mengatur strategi bagi menutupi kelemahan sendiri.
Begitulah juga himpunan Bersih yang bakal diadakan, ia dilakukan kerana pakatan pembangkang memahami bahawa populariti mereka semakin merudum.
Segala-galanya bukan kerana orang lain tetapi disebabkan sikap mereka sendiri yang begitu ghairah hendak berkuasa tetapi apabila diberi kuasa bagaikan “kera dapat bunga” atau ibarat “tikus baiki labu”. — Utusan Malaysia
BIARKAN MEREKA HIMPUN.. KALAU DILARANG NANTI LG MELUAP2 NAK HIMPUN. KALAU BIAR OK KOT.. KESIAN KAT DEPA..HEHEHE
ReplyDelete