Wednesday, November 25, 2009

Istilah Hadhari - keliru istilah, form atau substance?

Ada di kalangan rakan Facebook yang mempersoalkan tentang "kenapa UMNO mewujudkan Islam Hadhari sedangkan 1500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan Islam Hadhari?". Saya tanyakan, adakah dia pernah membuat penyelidikan dengan maksud Islam Hadhari yang dimaksudkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi? Seperti biasa, anak muda yang mengamalkan sifat kritikal berpilih (selectively critical) ini tidak pernah ambil peduli mengenainya.

Menurut Mohamed Sherif Bashir dalam tulisannya Islam Hadhari: Concent and Prospect, menyebut bahawa Tun Abdullah menjelaskan bahawa Islam Hadhari lebih merupakan "satu pendekatan untuk membangunkan tamadun Islam berasaskan kepada nilai-nilai terpuji dan ajaran Islam. Ia mengutamakan pengisian berbanding bentuk. Ia adalah suatu pendekatan yang praktikal dan pragmatik. Ia menekankan pembangunan yang konsisten dengan ajaran Islam dan memfokuskan hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup setiap warganegara, tanpa mengira pegangan agama mereka. Pendekatan ini juga dinspirasikan oleh kepercayaan golongan Muslim Malaysia bahawa gelombang radikalisme dan ekstremisme boleh diimbangkan dan diterbalikkan melalui tadbir urus yang baik, proses demokratik yang sihat, melalui pendidikan, dan juga perkongsian yang saksama manfaat dari ekonomi pembangunan".

Jelas Islam Hadhari adalah suatu pendekatan. Ia merupakan pendekatan memperbaharui aspek pengurusan agama dan ummah. Ia bukan agama yang baru seperti yang cuba dikelirukan oleh pihak tertentu. Sheikh Ramadhan al-Bouti menyebut bahawa "pembaharuan pengurusan agama bukanlah pembaharuan agama". Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang berteraskan kepada pembinaan tamadun bagi umat Islam, yang menepati kehendak syarak, bertujuan untuk menambahbaikkan pendekatan sedia ada tanpa merubah prinsip asas dan nilai teras dalam Islam. Pendekatan ini bertujuan untuk mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan pemikiran dan kemiskinan.

Boleh dikatakan ia merupakan pendekatan kerajaan terdahulu, jika diaplikasikan dapat menjelaskan bahawa Islam itu sama sekali tidak bertentangan dgn kemodenan sebaliknya jika diamalkan secara betul akan memandu manusia membentuk tamadun yang maju dan tinggi nilai kemanusiaannya. Ia juga bertujuan untuk mencari kaedah penyelesaian koflik antara golongan liberalis dan konservatif.

Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim, dalam tulisannya Kenapa kita wajib mendukung konsep Islam Hadhari tajaan kerajaan, selain menghuraikan Islam Hadhari sebagai satu pendekatan, perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan yang holistik, komprehensif dan mapan serta sistematik bagi kemajuan pembangunan dan kehidupan umat Islam ke arah tamadun dan budaya yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah, turut menyebut bahawa "konsep Islam Hadhari telah dirangka berasaskan pendekatan wasatiyyah (pertengahan) Islam. Wasatiyyah adalah sifat adil (meletakkan sesuatu yang betul pada tempat dan hirakinya), seimbang dan pertengahan di antara dua ekstrem yang berbeza, iaitu trend liberalis dan konservatif-fundamentalis yang melampau."

Golongan liberalis di Malaysia ini digambarkan beliau sebagai "orang perseorangan yang kononnya dikatakan bertaraf sarjana dan pelbagai NGO yang menggunakan topeng Islam, yang berpegang kepada idealism dan semangat fahaman liberalisme sekularisme Barat, iaitu mempunyai sikap anti kepada amalan tradisi Islam silam, yang dianggap sebagai penyebab kemunduran pemikiran umat Islam; yang akibat penolakan elemen tradisi ini, menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada penggunaan akal yang agak bebas, seperti mana diamalkan oleh sarjana Barat; dan pihak yang menggunakan dana yang disumbangkan oleh pemberi dana daripada barat, kononnya untuk tujuan mempromosikan konsep Hak Asasi Manusia dan pemodenan yang lebih jitu kepada masyarakat dunia."

Konservatisme melampau pula disifatkan beliau sebagai "mereka yang menggunakan pendekatan yang bertentangan dengan prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah dalam beberapa bentuk seperti fanatik melulu terhadap semua amalan tradisi sehingga melupakan usaha untuk menyiasat samada amalan tradisi itu bertepatan dengan world-view Islam sejati ataupun tidak; mengambil sikap yang memboikot semua amalan kehidupan moden dan menumpukan perhatian kepada aktiviti keakhiratan sehingga melupakan tugasan melaksanakan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar secara seimbang; mengambil sikap yang terlalu ekstrim dalam menanggani isu pemodenan, sama ada perlu menjauhinya ataupun perlu memeranginya secara ekstrem dengan menggunakan pelbagai kaedah kekerasan. Apa yang malangnya, tindakan kekerasan ini sering dikaitkan dengan pemahaman konsep jihad yang sempit, penyakit self truth claim dan tindakan yang mengkafirkan sesama Islam. Implikasi tindakan kekerasan ini yang sering menganggap darah musuh mereka sebagai halal dan ianya dianggap sebagai tugas suci yang boleh dibanggakan. Sedangkan, kerap kali setiap aktiviti kekerasan ini akan turut terkena kepada orang awam yang tidak berdosa; dan keengganan untuk menerima pendapat orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka, kerana bagi mereka, hanya pandangan dan paradigma pemahaman mereka sahaja yang paling betul dan menafikan hal ini kepada orang lain. Secara terang-terangan mereka telah dijangkiti dengan penyakit bebalism, sifat rohani yang lemah dan degil, yang tidak mahu berubah walaupun diberikan maklumat yang betul."

Jelasnya gagasan pemikiran Islam Hadhari merupakan satu gagasan yang besar; malangnya terlalu besar sehingga ianya gagal difahami dengan baik dan jelas oleh majoriti rakyat, termasuk majoriti golongan yang berpendidikan agama, penjawat awam dan ahli politik sehingga ia gagal disambut dan diamalkan dengan baik dalam setiap aspek tindakan dan tugasan harian.

Pada waktu yang sama pihak kepemimpinan tertinggi juga gagal memberi teladan dan contoh yang sesuai sehingga ia memberi isyarat yang bertentangan kepada rakyat. Kesempatan ini kemudiannya diambil oleh pembangkang untuk dimanipulasi sehingga berjaya mewujudkan kekeliruan demi kekeliruan yang semakin menebal sehingga menimbulkan soalan "kenapa UMNO mewujudkan Islam Hadhari sedangkan 1500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan Islam Hadhari?".

Jawapan yang paling ringkas dan mudah kepada yang bertanya adalah Islam Hadhari hanya satu istilah yg menerangkan pendekatan pembaharuan urusan agama dan urusan ummah yang sesuai dengan kemodenan dan cabaran masa kini agar umat Islam dapat bangkit semula dan membentuk tamadun yang baru. Apakah sistem perbankan Islam itu suatu yang bersalahan dengan hukum Islam? 1,500 tahun dahulu adakah istilah Perbankan Islam? Ia hanya satu istilah - seperti Parti Islam (yang malangnya dijenamakan seolah-seolah sperti 'hanya satu-satunya yang Islam). 1,500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, bukankah Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan parti Islam? Kenapa harus keliru antara istilah, form dan substance.

* artikel ini buat disiarkan buat pertama kalinya di klik4Malaysia.com

No comments:

Post a Comment