Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim telah memulakan polemik baru apabila dilaporkan sebagai membayangkan cadangan agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.
Dari kefahaman saya, beliau meminta agar diberi penekanan terhadap subjek lain seperti subjek sejarah bagaimanapun akibat sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan penekanan yang sewajarnya terhadap subjek-subjek lain seperi sejerah tidak diberikan.
Kegusaran beliau ini difahami berikutan tumpuan berlebih-lebihan diberikan oleh ibu bapa kepada UPSR kerana ia sering dikaitkan dengan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun tempat ke SBP ini sebenarnya begitu terhad, iaitu hanya sekitar 6,700 sedangkan yang mendapat 5A setiap tahun sudah melebihi 40,000 orang.
Relevankah UPSR? Pada pandangan saya selagi di penghujungnya ada habuan yang menarik, maka UPSR akan terus relevan. Bagi saya isunya bukan isu UPSR relevan atau tidak, tetapi ganjaran hasil dari kecemerlangan UPSR yang menyebabkan begitu ramai yang terjerumus ke dalam orientasi peperiksaan.
Bagi ibu bapa, ganjaran untuk menempatkan anak-anak di sekolah-sekolah yang dilihat sebagai menarik. Selain 6,700, ada hampir 5,000 tempat lagi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN). Bagi ibu bapa, mereka akan berasa bertuah jika anak mereka terpilih memasuki sekolah berasrama, lebih-lebih lagi SBP dan MRSM. Ia menggambarkan prestij, anak mereka bijak selain menunjukkan bahawa mereka adalah ibu bapa yang berjaya dalam mendidik anak-anak mereka. Mungkin ia juga jalan paling senang untuk melepaskan tanggung jawab mendisiplinkan anak-anak. Jika anak mereka belajar di sekolah harian biasa, mereka masih perlu mendisiplinkan anak mereka di rumah.
agi guru dan sekolah, jumlah 5A di sekolah amat berkait rapat dengan kecemerlangan sekolah dan prestasi mereka. Disebabkan itu mereka akan berlumba-lumba melahirkan seramai mungkin pelajar yang mendapat 5A. Di sekolah tertentu perlumbaan ini menyebabkan sukatan pelajaran dihabiskan secepat mungkin dan selepas itu tumpuan dibuat untuk latih tubi. Ada juga sekolah yang sampai mengabaikan subjek lain, terutama yang bukan subjek UPSR, termasuk pendidikan agama, moral, pendidikan jasmani dan kajian tempatan semata-mata ingin memberi tumpuan kepada subjek peperiksaan. Dalam keadaan ekstrem, ada juga sekolah (bukan semua) yang mengabaikan murid yang berada di kelas hujung kerana mahu memberi tumpuan kepada murid yang lebih cemerlang.
Jika orientasi peperiksaan ini berterusan, maka hasrat untuk memberi lebih penekanan terhadap subjek atau elemen lain selain daripada subjek peperiksaan tidak akan tercapai. Teknologi pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya dan pendekatan P&P yang menarik tidak akan berkembang kerana semua ini akan dianggap membuang masa; yang berkesan hanyalah latih tubi.
Apakah akan berlaku jika UPSR dimansuhkan? Kemungkinan keadaan murid di sekolah rendah akan jadi kurang tertekan berbanding sekarang. Transformasi kurikulum dan pentaksiran lebih mudah berlaku kerana murid tidak menumpukan kepada peperiksaan sebaliknya kepada potensi diri mereka. Guru akan memberi lebih tumpuan kepada usaha pentaksiran dan memperbaiki pendekatan P&P mereka. Murid akan dididik untuk menguasai ilmu mengikut keupayaan mereka dan sekolah akan menjadi suatu tempat yang begitu menyeronokkan; penuh dengan aktiviti pembelajaran luar kurikulum dan luar kelas.
Kemungkinan bukan sahaja subjek sejarah boleh diajar dengan baik, malah pendidikan jasmani dan sukan juga boleh digerakkan dengan lebih sempurna seperti sekolah-sekolah di luar negara.
Apakah yang akan berlaku dengan hampir 11,000 tempat di SBP, MRSM, SMKA, SMAN? Sama ada kita wujudkan keadah dan kriteria baru untuk kemasukan ke sekolah-sekolah ini ataupun hanya tawarkan kepada pelajar lepasan PMR. Dengan ini sekolah berasarama akan mempunyai pelajar yang lebih matang dan pelajar mempunyai lebih masa untuk bersama didikan ibu bapa mereka sebelum dilepaskan ke sekolah berasrama.
No comments:
Post a Comment