Thursday, February 26, 2009

PPSMI - Pertimbangkan statistik yang signifikan



Seorang pembaca, Ibn Qurtubi menghantar e-mel mengatakan bahawa “setelah enam tahun berjalan, program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris.”

Respon saya kepada beliau adalah seperti berikut; pertama, tidak ada sesiapa pun yang mengatakan pelaksanaan PPSMI tidak mempunyai masalah. Secara logiknya, pelaksanaan sebarang dasar atau program yang baru pasti melalui pelbagai masalah, tetapi itu tidak bermaksud dasar itu tidak berkesan dan perlu dihapuskan.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) misalnya, mempunyai pelbagai masalah sehingga ke saat akhir pelaksanaannya selama 20 tahun, tetapi ia tidak bermaksud dasar ini tidak berkesan dan perlu dihapuskan. Dalam kes DEB, kita tidak mengambil pendekatan untuk menghapuskan semangatnya, sebaliknya semangatnya diperbaharui dan diteruskan di dalam Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang juga bermasalah sehingga hari ini, selepas 18 tahun pelaksanaannya terutama dari segi meningkatkan ekuiti, pendapatan pariti dan jumlah golongan peniaga Bumiputera yang berjaya.

Begitu juga dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Ia juga penuh dengan masalah, bukan sahaja dari segi menjadi salah satu punca kelembapan ekonomi dalam negara, malah menjadi salah satu sebab yang menjejaskan kestabilan politik di dalam negara. Bagaimanapun ia tidak sekali-kali bermaksud perancangan RMKe-9 tidak berkesan sebaliknya hanya mengesahkan bahawa pendekatan pelaksanaannya perlu diperbaiki segera. Sekali lagi dalam hal ini kita tidak mengambil pendekatan menguburkannya.

Kedua, masalah-masalah PPSMI memang ada didedahkan kepada umum sejak 2004 lagi. Cuma kebanyakannya adalah berdasarkan pemerhatian semata-mata dan jika ada pun kajian, kajian yang diangkat kepada perhatian umum dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bukan satu kajian yang betul-betul mantap dan boleh dipersoalkan pemilihan sampel dan saiznya, instrumen dan kesimpulan yang dibuat dari dapatannya. Disebabkan itu, pada tahun 2005, KPM telah diminta melaksanakan kajian yang menyeluruh mengenai impak PPSMI.

Dapatan dari kajian-kajian ini telah dibentangkan di dalam Persidangan Meja Bulat Pertama pada 14-16 Julai 2008 dan dihadiri oleh penyelidik dan profesional pendidikan daripada universiti-universiti tempatan, Majlis Guru Besar dan Pengetua serta semua Pengarah Bahagian Profesional dalam KPM. Sebanyak 16 kertas dibentangkan meliputi penilaian pelaksanaan PPSMI; analisis keputusan peperiksaan awam dan keputusan ujian diognostik; kajian mengenai tahap pencapaian murid; Kajian oleh pihak luar KPM iaitu dari Universiti Malaya (UM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kajian berkaitan Bahasa Inggeris merangkumi tahap profesiensi guru dan program ELITE.

Secara umumnya, dari kajian dan tinjauan yang dibentangkan ini, didapati trend pencapaian dalam PPSMI tidaklah menurun. Misalnya, kajian trend pencapaian pelajar yang mengukur pencapaian menggunakan skor dalam ujian sains dan matematik di semua peringkat tidak menunjukkan trend yang menurun, sebaliknya terdapat sedikit peningkatan. Begitu juga trend dalam ujian diagnostik dan ujian kompetensi bahasa Inggeris guru.

Dalam peperiksaan awam pula, dalam pencapaian kebanyakan subjek di peringkat UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan trend yang lebih baik atau dalam keadaan stabil bila dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, iaitu enam tahun sebelum pelaksanaan PPSMI. Walaupun begitu memang pencapaian subjek tertentu yang menurun, tetapi masih di dalam julat yang tidak membimbangkan jika mengambil kira pencapaian tahun-tahun sebelum pelaksanaan PPSMI.

Ketiganya, apabila Ibn Qurtubi menyebut "HANYA 31.1 peratus (159,234) murid daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab kertas sains dalam bahasa Inggeris", kita ingin bertanya adakah beliau membandingkannya dengan jumlah yang menjawab dalam BI sebelum ini? Jika dibandingkan, tentunya hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah, jumlahnya meningkat berkali-kali ganda.

Jika tidak dibandingkan sekali pun, jumlah 31.1 peratus ini adalah satu jumlah yang signifikan yang perlu diberi perhatian oleh penggubal dasar. Jika diambil pula jumlah pelajar yang berusaha untuk menjawab dalam bahasa Inggeris walaupun bercampur-campur, jumlahnya sudah melebihi paras 50 peratus.

Bolehkah penggubal dasar termasuk yang berbahas di Parlimen mengambil enteng tentang lebih 50 peratus pelajar ini yang sedang berusaha bersungguh-sungguh menyesuaikan diri?
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 25 Februari 2009

4 comments:

  1. Tun, berdasarkan stat, blog tun tidaklah dapatlah sambutan meskipun dapat ruangan di Utusan yang mencatat 300,000 jualan sehari.

    Kenapa ya Tun?

    Blog tun tak dapat parhatian.....

    Mungkin tun kena turun padang berdialog.....

    ReplyDelete
  2. Saudara tak bernama,

    Asalkan ia menarik perhatian saudara sudah cukup memadai... :D

    ReplyDelete
  3. Pihak kami ada berpendapat bahawa pemansuhan PPSMI merupakan salah satu perkara yang patut dipertikaikan kembali. Hal ini berlaku kerana, kita boleh lihat sistem pembelajaran di IPTA DAN IPTS menggunakan bahasa inggeris. Masalahnya disini, bukanlah bahasa tetapi SISTEM. Jadi sebagai seorang pelajar sekolah menengah, kami mmpunyai bnyak pendapat mngenai hal ini. Pemansuhan PPSMI haruslah dikaji sehingga ke akar umbi
    ( pelajar ) itu sendiri. Falsafah Pendidikan Kebangsaan inginkan setipa individu cemerlang daripada aspek intelek rohani emosi jasmani.
    Oleh yang demikian, sebagaimana yang kita ketahui, PPSMI bnyak mnggunkan intelek. Jadi pabila berlakunya pemnshan PPSMI, SUDAH TENTULAH INTELEK AKAN "TERUSIK" DAN BAGAIMANA MATLAMAT DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA DAPAT DICAPAI..!!!

    IKHLAS DARI SEORANG PELAJAR...

    kalu ader pape masalah, bolehlah email kepada saya:-
    xenophobia_sarcastically@yahoo.com

    ReplyDelete
  4. Pihak kami ada berpendapat bahawa pemansuhan PPSMI merupakan salah satu perkara yang patut dipertikaikan kembali. Hal ini berlaku kerana, kita boleh lihat sistem pembelajaran di IPTA DAN IPTS menggunakan bahasa inggeris. Masalahnya disini, bukanlah bahasa tetapi SISTEM. Jadi sebagai seorang pelajar sekolah menengah, kami mmpunyai bnyak pendapat mngenai hal ini. Pemansuhan PPSMI haruslah dikaji sehingga ke akar umbi
    ( pelajar ) itu sendiri. Falsafah Pendidikan Kebangsaan inginkan setipa individu cemerlang daripada aspek intelek rohani emosi jasmani.
    Oleh yang demikian, sebagaimana yang kita ketahui, PPSMI bnyak mnggunkan intelek. Jadi pabila berlakunya pemnshan PPSMI, SUDAH TENTULAH INTELEK AKAN "TERUSIK" DAN BAGAIMANA MATLAMAT DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA DAPAT DICAPAI..!!!

    IKHLAS DARI SEORANG PELAJAR...

    kalu ader pape masalah, bolehlah email kepada saya:-
    xenophobia_sarcastically@yahoo.com

    ReplyDelete