Wednesday, January 7, 2009

Penggal baru tanpa yuran yang membebankan!


Selamat Tahun Baru 2009! Penggal persekolahan baru sudah pun bermula dan saya percaya ketika ini ramai ibu bapa yang berasa sedikit lega dengan pelbagai langkah yang telah kerajaan usahakan bagi meringankan beban dan mempermudahkan segala urusan ibu bapa.

Seperti yang kita semua sedia maklum, berdasarkan surat pekeliling dan penerangan yang diberikan, sepatutnya tiada sebarang kutipan dibuat pada minggu dan bulan pertama pembukaan penggal kali ini,. Jika ada sekalipun, ia hanya melibatkan yuran bagi murid warganegara asing, bayaran untuk subjek tambahan peperiksaan, bayaran tambahan bagi subjek Azhari di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), bayaran makanan bagi murid yang tinggal di asrama dan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok demi kebaikan ibu bapa dan anak-anak mereka di sekolah.

Itu pun bagi ibu bapa yang tidak mampu, pengetua dan guru besar perlu menggunakan budi bicara bagi menangani kes sebegini. Malah bagi mereka yang layak dibantu, pentadbir sekolah dikehendaki menyenaraikan mereka untuk bantuan-bantuan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat juga sejumlah pengetua dan guru besar yang sangat proaktif dan berusaha untuk membantu anak-anak dari keluarga miskin untuk mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat, biarpun ia di luar bidang tugas mereka.

Syabas kepada KPM yang telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan garis panduan yang saya rasakan dapat membantu pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat mengatasi kekeliruan mengenai pemansuhan pembayaran yuran khas persekolahan tahun lepas.

Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hasrat beliau adalah untuk memastikan beban yang perlu ditanggung oleh ibu bapa pada setiap kali sesi persekolahan baru bermula diringankan, seringan-ringannya.

Beliau memahami masalah ibu bapa yang sudah mengeluarkan begitu banyak perbelanjaan untuk persiapan sekolah anak-anak mereka di hujung tahun dan beliau tidak mahu ibu bapa ini merasa terbeban di awal tahun pula akibat bayaran-bayaran tambahan yang dikutip sehingga boleh mengakibatkan ibu bapa yang tidak berkemampuan tidak mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah.

Satu lagi jenis kutipan yang dibenarkan oleh Akta Pendidikan adalah sumbangan bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 5(4) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998. Walaupun kutipan ini dibenarkan, namun ia hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh semua ibu bapa dan pihak sekolah semasa Mesyuarat Agong PIBG yang bakal dilangsungkan tahun ini.

Ini adalah berikutan pendekatan baru KPM yang mahu memberi lebih ruang kepada PIBG dan pihak sekolah untuk menentukan sendiri sebarang bentuk sumbangan dan jumlah kutipan persekolahan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan persekolahan murid di sekolah mereka.

Ada PIBG yang aktif dan cekap serta dapat bermesyuarat awal. Ada yang mengadakannya seawal pendaftaran pelajar baru terutamanya bagi sekolah-sekolah yang berasrama bagi memudahkan penglibatan ibu bapa yang tinggal jauh dari sekolah. Ada juga PIBG yang menghadapi pelbagai masalah untuk mengadakan Mesyuarat Agung awal dan hanya dapat mengadakannya di penghujung bulan Mac. Lebih berat masalahnya, lebih lambatlah Mesyuarat Agungnya.

Apa pun, tidak kira bila Mesyuarat Agong ini dijalankan, yang penting keputusan mengenai jenis dan jumlah sumbangan perlu dibuat dan dipersetujui dalam mesyuarat ini.

Bagi ibu bapa yang berkemampuan, berilah sumbangan seperti yang dipersetujui seawal mungkin. Tidak perlulah menunggu sehingga pertengahan tahun untuk menyumbang. Fahamilah bahawa untuk memastikan PIBG dapat berperanan secara efektif, bukan sahaja ia perlu bermesyuarat awal malah perlu mempunyai dana yang mencukupi, seawal mungkin.

Bagi ibu bapa yang kurang bekemampuan, berilah sumbangan apabila sudah terasa ringan bebanan atau buatlah sumbangan secara ansuran. Kita berharap Pengerusi PIBG dan pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara dalam hal ini.

Bagi ibu bapa yang miskin dan langsung tidak berkemampuan, pastikan anak-anak anda berada di dalam senarai bantuan. Kita juga berharap agar melalui PIBG, ibu bapa yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan bagi membantu persekolahan anak-anak yang tidak bernasib baik ini.

Jadi bagi ibu bapa, pastikan anda melibatkan diri sepenuhnya di dalam Mesyuarat Agung tahun ini kerana input dan penglibatan anda penting bagi menentukan sejauh mana sumbangan PIBG nanti akan memberi menfaat kepada pembelajaran anak anda di sekolah. Jangan sampai rumah sudah siap, masih ada pahat yang berbunyi.


Akhbar Dalam Pembelajaran (ADAP), Utusan Malaysia
Rabu, 6 Januari 2009

No comments:

Post a Comment