Tuesday, January 27, 2009

Fanatik Bahasa - Gerakan Anti PPSMI


Dahulu saya sebenarnya selalu tertanya-tanya sampai ke tahap mana sifat fanatik pejuang bahasa Melayu dan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk perjuangan memperkasa kedudukan bahasa Melayu.

Hari ini jawapannya jelas di depan mata. Pertama, mereka sanggup menjual perjuangan bangsa. Kedua, mereka sanggup menjual agama.

Kesanggupan menjual perjuangan bangsa boleh kita lihat dengan jelas apabila mereka bersekongkol dengan pembangkang demi menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Walaupun Menteri Pelajaran telah berjanji bahawa pandangan mereka akan diambil kira dan ketika ini pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran sedang di peringkat akhir penyiapan cadangan kepada Jemaah Menteri, nampaknya seolah-olah, mereka ini terlalu terdesak. Akhirnya mereka melutut kepada pembangkang, walaupun mereka tahu BANGSA lebih utama dari BAHASA; walaupun mereka tahu pembangkang sebenarnya tidak begitu kisah sangat pun tentang perjuangan bahasa Melayu, sebaliknya hanya mahu menentang parti pemerintah.

Pakatan pembangkang sememangnya tidak pernah kisah sangat pun tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. PAS misalnya, antara parti yang paling banyak mencemarkan bahasa Melayu dengan pelbagai istilah bahasa Arab. DAP hanya mementingkan bahasa Cina. PKR langsung tidak ambil peduli. Lihat sahajalah papan tanda pelbagai bahasa yang pakatan pembangkang perjuang dan promosikan di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.

Tidakkah pejuang bahasa Melayu ini sedar bahawa, di tangan PKR dan DAP (dalam kes negeri Perak, dengan restu PAS), dengan adanya papan tanda pelbagai bahasa, kedudukan bahasa Melayu sudah diletakkan sama taraf dengan bahasa Cina dan Tamil?

Malangnya, ada dalam kalangan orang Melayu masih tidak sedar dan turut terikut-ikut dengan permainan politik pembangkang. Tidakkah orang Melayu ini sedar bahawa bagi pembangkang, yang penting adalah mereka mesti memperjuangkan sesuatu yang bertentangan Kerajaan. Contohnya, ada sumber yang menyebut bahawa Ainon Mohd, isteri kepada Profesor Abdullah Hassan merupakan seorang anggota Muslimah PAS. Kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya, tetapi jika ini benar, sebagai Muslimah PAS, kita sedia maklum bahawa, agenda yang paling utama mereka adalah untuk memastikan penentangan terhadap UMNO.

Jika itu hakikatnya, maka sebab itu tidak menghairankan jika ada kompromi di antara parti pembangkang apabila timbul isu bahasa Melayu dalam kalangan mereka. Mungkin disebabkan ini kita melihat tidak ada sebarang perarakan keranda yang digerakkan di Perak dan Pulau Pinang bagi menentang penggunaan papan tanda pelbagai bahasa, biar pun secara simboliknya, kedudukan bahasa Melayu telah diperlekeh dan dihina. Malah tidak ada usaha oleh Ainon dan PKPIM untuk menggerakkan Gerakan Anti Papan Tanda Pelbagai Bahasa di dalam blog mereka? Tidakkah ini menghairankan?

Apabila pejuang bahasa Melayu sampai sanggup merayu dan memeluk pembangkang yang di dalam perlembagaan mereka secara terang-terangan menolak semangat dan perjuangan memartabatkan BANGSA MELAYU, maka itu lah sebenarnya nilai dan harga sebuah perjuangan bahasa dan bangsa para pejuang bahasa. Begitu murah. Begitu menjelekkan. Apa guna perjuangan BAHASA, jika perjuangan BANGSA tidak didahulu dan diutamakan?

Kesanggupan sesetengah pejuang bahasa Melayu menjual agama Islam pada harga yang murah pula cukup memualkan. Dalam kefanatikan yang amat sangat (assabiah) ada individu di dalam kelompok ini menyebut “ini adalah sunnah pemerintahan nabi dan rasul dalam pendidikan dan ajarannya ke atas umat itu. Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul mengikut bangsa dan bahasa dalam kalangan mereka sendiri agar penganutnya dapat memahami ilmu yang disampaikan oleh para nabi. Malahan kufur nikmat jika mengabaikan anugerah Allah ini sebagaimana dinyatakan dalam Quran surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Rum ayat 22. Apa lagi bahasa Melayu bukan saja alat perpaduan kaum sebaliknya wahana pengucapan dan budaya ilmu tinggi dan sendi pembinaan tamadun negara Malaysia.”

Saya yakin ada golongan yang kurang pendidikan agama yang akan terpengaruh dan meng`imani’ kenyataan ini. Bagi golongan yang sanggup menjual ayat Allah SWT dengan harga yang murah ini, nasihat kita, janganlah mempergunakan agama demi menegakkan pendirian yang sempit. Janganlah kita menggunakan ayat al-Quran jika tidak benar-benar faham asbabul nuzulnya.

Sedarlah bahawa 24 rasul diutus untuk membawa perintah Allah SWT kepada kaumnya sahaja dan dengan itu diterima akal fikiran jika perintah tersebut diturunkan di dalam bahasa kaum tersebut. Sebaliknya, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia pelbagai keturunan. Seperti yang kita semua sedia maklum juga, al-Quran, biar pun menjadi pedoman untuk semua bangsa di dunia, tidak diturunkannya dalam pelbagai bahasa, sebaliknya diturunkan di dalam bahasa Arab.

Kalaulah mengikut logik golongan ini, jika Allah SWT hendak kita mempelajari al-Quran dalam bahasa ibunda, kenapakah tidak diturunkan al-Quran ini dalam pelbagai bahasa ibunda agar semua umat manusia dapat memahaminya dengan mudah? Kenapa tidak diutus lebih ramai rasul agar dapat membimbing manusia pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa kaum dan suku mereka sendiri? Tidakkah jika mengikut logik kumpulan ini, Allah SWT zalim kerana menyusahkan anak-anak daripada pelbagai kaum untuk mempelajari al-Quran dan ajaran Islam itu sendiri?

Malah kenapa pula Allah SWT menurunkan al-Quran kepada umat manusia bukan dalam bahasa Arab harian yang biasa sebaliknya di dalam bahasa Arab yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi? Orang badawi biasa tidak mungkin dapat memahami al-Quran dengan baik, walaupun bahasa Arab itu bahasa ibunda mereka. Malah orang-orang kita di Malaysia terpaksa belajar cabang ilmu bahasa Arab seperti `balaghah' untuk memudahkan kita memahami maksud tersirat dan keindahan bahasa al-Quran.

Janganlah menjadi emosional dan bersifat assabiah sehingga sanggup menggunakan agama untuk menakut-nakut orang supaya menyokong pendirian kita. Ingatlah, dalam berhujah pertama kita perlu berilmu, kedua, perlu bertaqwa kepada Allah SWT agar yang keluar dari mulut kita adalah kebenaran bukan kebatilan. Ketiga, bagi mereka yang berkedudukan, perlu bersifat wara’ (berhati-hati), jika tidak pengikut kita yang jahil agama akan beriman dengan kenyataan kita. Bila prinsip ini tidak dipegang, maka tidak hairan ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa 'tuhan juga mencarut' dan malangnya, ramai pula yang bertaklid buta dengannya.

Tidak ada masalah untuk berjuang memperkasa kedudukan bahasa Melayu. Saya juga berjuang untuk memperkasa kedudukannya. Cuma dalam keghairahan berjuang, jangan pula kita sampai sanggup menjual agama dan perjuangan memartabat bangsa.

18 comments:

  1. Saya setuju sangat bahawa penggiat BM kadangkala terlalu fanatik dan membiarkan perasan mengawal mereka, bukan kepala.

    Lihatlah betapa benar komen Allahyarham Yg Arif Tun Mohd Suffian, bekas ketua hakim negara dalam kes Universiti Merdeka, bahawa (diringkaskan)"Nasib baik peguam dalam kes ini adalah Queens Counsel yang dapat membicarakan hal isu bahasa yang hendak digunakan di University Merdeka dengan tenang dan baik, 'tak seperti orang Melayu". Please read the judgement!

    ReplyDelete
  2. Tuan,

    Orang yang mahukan bahasa ibunda untuk memandaikan bangsa sendiri dituduh fanatik. Bukankah pelik, sedangkan UMNO yang mati-matian mahu tegakkan PPSMI itu apa pulak? Pencinta Inggeris? Inggeris Hitam?

    Cubalah letak masalah politik ke tepi sikit dan lihat isu ini dengan mata hati tuan sendiri. Cuba terangkan bagaimana tuan ingin menerangkan konsep matematik/sains dalam bahasa asing kepada anak tuan sendiri??

    Belajarlah memahami pedagogi pembelajaran bahasa berbeza dengan pembelajaran Maths/Sains. Itu pun tuan susah nak faham!

    Tuan sendiri pernah belajar Sains/Maths atau tidak?

    ReplyDelete
  3. Mungkin cik dapat jawab isu-isu dalam Universitipts.com, di sana ada penyelidikan mantap mengenai kesan PPSMI, perbandingan dalam luar dan dalam negara selain daripada PPSMI dan isu politik....

    ReplyDelete
  4. Jangan perkecilkan kebolehan anak2 kita beradaptasi dengan perubahan. Mungkin susah sedikit, tapi mereka boleh melaluinya. Kenapa takut kepada cabaran? Kenapa tidak yakin dengan kebolehan anak bangsa sendiri? Data yang ada, kajian trend, ujian diagnostik dan keputusan peperiksaan awam menunjukkan anak kita boleh melakukannya. Soalnya sekarang, bukan soal pencapaian, tetapi hanya soal bahasa Melayu. Sepanjang 20 tahun ini apa yang pejuang bahasa Melayu lakukan untuk memperkukuh dan memperkasa bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu hilang kepentingannya di dalam negara? Tanyalah mereka sendiri...

    Bukan soal UMNO hendak pertahankan PPSMI, soal manusia yang membuta tuli menentang PPSMI, menggunakan hujah yang tidak selari dengan tradisi ilmu dan intelektual. Bukan soal tidak sayangkan bahasa, tapi tentang manusia yang tidak boleh membezakan yang mana lebih utama, bangsa atau bahasa?

    Mahu berjuang memperkasa bangsa bukan dengan mengusung keranda, tetapi bekerja keras memastikan bahasa Melayu diangkat ke persada dunia. Saya pernah panggil anak-anak muda PKPIM untuk berbincang tentang usaha-usaha memperkasa bahasa, malangnya tak ada seorang pun yang boleh menghuraikan dengan baik melainkan terlopong sahaja. Malah jumlah penerbitan judul am dalam bahasa Melayu pun tidak pernah ambil tahu, apa lagi Dasar Buku Negara.

    Berapa banyak tokoh bidang bahasa, sastera, agama, geografi, sejarah yang mendapat pengiktirafan kelas dunia yang telah kita lahirkan memandangkan semua bidang ini dipelajari dalam bahasa Melayu?

    Mungkin yang ada dalam bidang muzik sahaja.

    ReplyDelete
  5. Saya nak bertanya juga, apa kajian yang mantap yang dirujuk oleh Ainon dan rakan-rakan dalam Universiti PTS? Kalau kajian Ishak Haron dan Dato' Raof dari Pembina, seperti yang saya katakan, pegawai-pegawai KPM dan beberapa ahli akademik telah mempertikaikan pemilihan sampel, saiz sampel, instrumen kajian dan kesimpulan yang dibuat.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum.

    Tidak timbul soal fanatik bahasa. Saya sendiri menguasai kedua-dua bahasa melayu dan Inggeris dengan baik. Soalnya di sini, Bahasa Inggeris itu penting. Bahasa Melayu juga penting. Tetapi dasar PPSMI telah mengambil 100% BI dan membakulsampahkan secara 100% Bahasa Melayu Saintifik.

    Dalam Bahasa itu terletak seribu satu pemikiran bangsa. Bahasa itu lebih daripada sekadar alat. Bahasa adalah kunci kepada ketamadunan bangsa.

    Soalnya, jika diteruskan PPSMI, dimana pula kita harus letak "Bahasa Melayu Saintifik" dan "Sains Melayu" itu sendiri? Jangan tak tahu, dalam alam Melayu itu tentunya ada "sains"nya tersendiri.

    Dalam hal ini, saya mengakui Bahasa Inggeris itu penting. Tapi jangan sehingga bersikap tidak adil kepada Bahasa sendiri.

    Ingat, bahasa itu jiwa bangsa. Bangsa akan mati tanpa bahasa. Bahasa Melayu itu juga penjunjung agama.

    Jangan sampai satu hari nanti, anak-anak kita tak pandai hitung kira dan berurus niaga dalam bahasa sendiri.

    Wassalam.
    Azree Ariffin
    http://azreeariffin.blogspot.com

    ReplyDelete
  7. Saya cuma nak petik hujah anda yang ini:

    "Malah kenapa pula Allah SWT menurunkan al-Quran kepada umat manusia bukan dalam bahasa Arab harian yang biasa sebaliknya di dalam bahasa Arab yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi? Orang badawi biasa tidak mungkin dapat memahami al-Quran dengan baik, walaupun bahasa Arab itu bahasa ibunda mereka...."

    Alangkah 'bengongnya' hujah ini. Puak Badwi adalah puak yang memiliki laras bahasa Arab yang tinggi. Malah Imam Syafie waktu hendak memperindahkan bahasanya, telah pergi belajar dengan kabilah Arab Badwi dari puak Huzail.

    Bahasa Arab cuma dicemarkan terkemudiannya sehingga wujud Bahasa Arab pasar. Kerana itulah tidak pelik apabila Al Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang tinggi laras bahasanya pada zaman nabi. Dan harus juga diketahui bahawa Al Quran tidak hanya diturunkan dalam satu dialek, tetapi dalam tujuh dialek -- lantas wujudlah tujuh qiraat bacaan -- kerana Rasulullah membenarkan Al Quran dibaca dalam lidah tempatan para sahabat.

    Malah terdapat hadis yang menceritakan bahawa Jibril membacakan Al Quran hanya dengan satu cara kepada nabi, tetapi kemudiannya nabi meminta agar ditambah cara bacaan itu sehingga akhirnya jibril menambah sampai menjadi tujuh bacaan semua sekali.

    Ini sekali lagi mengukuhkan bahawa pengajaran kepada anak bangsa harus dilakukan dalam bahasa ibunda.

    ReplyDelete
  8. Err orang yang bermain permainan golf mahu bicara soal perjuangan bangsa dalam bahasa, oh tolonglah....

    Si pemain golf sendiri tanpa sedar bermain di atas tanah hak rakyat (sedang rakyat miskin masih perlu tempat tinggal), mahu bicara soal bahasa.

    Itu sebab makin lama makin tertolak elit seperti Tun (?) dalam masyarakat.

    PPSMI terlalu cantik di atas kertas, memetik Peter Principle No 4. When everything is alright, there must be something wrong.

    Petikan blog Prof Abdullah

    Apabila kita meneliti senarai 40 negara kaya ini, maka kita dapat melihat hakikat bahawa rakyatnya berpengetahuan. Pendidikan didemokrasikan. Ini bermaksud pendidikan itu disampaikan dalam bahasa peribumi rakyatnya.

    Isle of Man adalah sebuah pulau kecil di Selat Irish, antara England dengan Ireland. Pulau dijajah oleh Inggeris dan dipaksa menggunakan bahasa Inggeris. Sekarang mereka kembali kepada bahasa peribuminya.

    Yang juga menarik adalah hakikat bahawa Greenland yang pernah dikuasai oleh Inggeris dan Denmark, mulai Jun 2009 akan kembali kepada bahasa Greenlandik bagi menyampaikan pendidikan kepada rakyatnya yang seramai 57,564 orang itu. Bangsa yang ada maruah diri akan kembali menegakkan jati dirinya.

    Bahasa pendidikan itu adalah asas pada jati diri kita sebagai sebuah bangsa.

    1. Luxembourg, $60,602 (penduduk: 480,000 oorang; pendidikan dalam tiga bahasa ibunda iaitu: Luxembourgish, Perancis dan Jerman)

    2. Norway, $59,768 (penduduk: 4.8 juta orang; pendidikan dalam dua bahasa ibunda iaitu Bokmmal dan Nynorsk)

    3. Switzerland $54,925 (penduduk: 7.6 juta orang; pendidikan dalam empat bahasa ibunda, iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Roman)

    4. Denmark, $47,363 (penduduk: 5.5 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Danish)

    5. Iceland, $46,655 (penduduk: 320,000 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Icelandik)

    6. Amerika Syarikat, $43,743 (penduduk: 320 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Inggeris)

    7. Sweden, $41,042 (penduduk: 9.2 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Swede)

    8. Ireland $40,232 (penduduk: 5.9 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Irish (Gaelik) dan juga bahasa penjajah Inggeris)

    9. Liechtenstein $39,412 (penduduk: 35,322 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Jerman)

    10. Jepun $38,984 (penduduk: 127 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Jepun)

    11. Great Britain $37,632 (penduduk: 58 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Inggeris)

    12. Finland $37,471 (penduduk: 5.3 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Finnish)

    13. Austria $36,912 (penduduk: 8.3 juta orang; pendidikan dalam ermpat bahasa ibunda iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Croatia)

    14. Netherlands $36,600 (penduduk: 16.4 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Belanda)

    15. France $35,854 (penduduk: 65 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Perancis)

    16. Belgium $35,712 (penduduk: 10.6 juta orang; pendidikan dalam tiga bahasa ibunda iaitu Belanda, Jerman dan Perancis)

    17. Jerman $34,577 (penduduk: 82 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Jerman)

    18. Canada $32,546 (penduduk: 33 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda Inggeris dan Perancis; bahasa Inuktitut, Inuinnaqtun, Cree, Dene Sųłine, Gwichin, Inuvialuktun, Slavey, Tlicho dan Yatii)

    19. Australia $32,170 (penduduk: 21.5 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Inggeris)

    20. Isle of Man $31,200 (penduduk: 80,000 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Manx, bahasa ini yang dihidupkan semula daripada bahasa Gaelik, dan sekarang digunakan sebagai bahasa pengantar pendidikan menggantikan bahasa Inggeris)

    21. Monaco $30,606 (penduduk: 32,796; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Perancis)

    22. Italy $29,999 (penduduk: 59.8 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Itali)

    23. Singapura $27,842 (penduduk: 4.8 juta orang; pendidikan dalam bahasa Inggeris, bahasa Inggeris sudah mula menggantikan Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa perhubungan keluarga)

    24. New Zealand $25,942 (penduduk: 4.2 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Inggeris, dan sebahagian lagi dalam bahasa Maori iaitu 14%)

    25. Sepanyol $25,358 (penduduk: 46 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Sepanyol.)

    26. United Arab Emirates $24,213 (penduduk: 4.6 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Arab)

    27. Kuwait $23,423 (penduduk; 3.4 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Arab)

    28. Brunei $21,675 (penduduk: 381,000 orang; pendidikan dalam bahasa Inggeris BUKAN bahasa ibunda. Ini adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber petroleum)

    29. Greenland $20,702 (penduduk: 57,564 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Kalaalisut atau Greenlandik yang akan digunakan sebagai bahasa rasmi tunggal dalam pentadbiran dan pendidikan mulai Jun 2009, bagi menggantikan bahasa Inggeris dan Danish)

    30. Greece $19,687 (penduduk: 11.2 juta orang; pendidikan dalam ibunda iaitu Greek)

    31. Israel $18,624 (penduduk: 7.2 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Hebrew)

    32. Qatar $18,212 (penduduk: 1.5 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Arab)

    33. Gibraltar $17,500 (penduduk: 28,857 orang; pendidikan dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol)

    34. Andorra $17,468 (penduduk: 71,822 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Catalan.)

    35. Slovenia $17,352 (penduduk 2 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda Slovene)

    36. Cyprus $17,081 (penduduk: 800,000 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing iaitu bahasa Greek dan Turki.)

    37. Taiwan $16,764 (penduduk: 23 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Cina)

    38. Portugal $16,164 (penduduk: 10 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Portugis)

    39. Macau $15,413 (penduduk: 500,000 orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Kantonis)

    40. Bahrain $14,187 (penduduk: 1 juta orang; pendidikan dalam bahasa ibunda iaitu Arab, dan baasa Inggeris, 1 juta penduduk)




    --------------------------


    Apabila Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI, seorang ahli sains yang terdidik dalam bahasa Melayu menghantarkan kepada saya keratan blog Lim Kit Siang mengenai kemerosotan kedudukan Malaysia dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study), maka tindakan selanjutnya pada saya adalah menggoogle TIMSS.

    Betullah, kedudukan Malaysia itu merosot. Prestasi pelajar gred 8 kita (Tingkatan 2) dalam matematik dan sains adalah seperti berikut.

    Matematik
    1999 = skor 519, tangga 16
    2003 = skor 508, tangga 10
    2007 = skor 474, tangga 20

    Perhatikan, skor pelajar kita dalam sains menurun walaupun ‘tidak terlalu jatuh tangganya.’

    Sains
    1999 = skor 492, tangga 22
    2003 = skor 510, tangga 20
    2007 = skor 471, tangga 21

    Yang dikritik oleh pemerhati adalah hakikat bahawa Menteri Pelajaran kita membisukan isu ini. Beliau tidaklah berbega-bega mengumumkannya seperti halnya dengan keputusan TIMSS pada tahun 2003 dan 1999. Penilaian ini diadakan empat tahun sekali.

    Dan juga, Menteri Pelajaran kita tidaklah seriang mengumumkan keputusan UPSR dan PMR sebagai bukti kemantapan PPSMI.

    Perkara yang menarik dalam laporan TIMSS itu adalah negara yang tidak mengamalkan PPSMI menunjukkan prestasi cemerlang. Lihat prestasi 35 negara berikut:

    1. Singapura 567 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa komunikasi keluarga)
    2. Taiwan 561
    3. Jepun 554
    4. Korea Selatan 553
    5. England 542 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
    6. Hungary 539
    7. Republik Czech 539
    8. Slovenia 538
    9. Hong Kong 530
    10. Persekutuan Rusia 530
    11. Amerika Syarikat 520 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
    12. Lithuania 519
    13. Australia 515 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
    14. Sweden 511
    15. Scotland 496 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa ibunda)
    16. Italy 495
    17. Armenia 488
    18. Norway 487
    19. Ukrain 485
    20. Jordan 482
    21. Malaysia 471 (PPSMI + BM, Inggeris bukan bahasa ibunda)
    22. Thailand 471
    23. Serbia 470
    24. Bulgaria 470
    25. Regim Israel 468
    26. Bahrain 467
    27. Bosnia & Herzegovina 466
    28. Romania 462
    29. Iran 459
    30. Malta 457 (PPSMI, Inggeris adalah bahasa rasmi)
    31. Turki 454
    32. Syria 452
    33. Cyprus 452
    34. Tunisia 445
    35. Indonesia 427

    Kecuali Singapura dan England yang bahasa di rumah pelajarnya adalah Inggeris, 10 negara yang teratas tidak datang daripada negera yang tidak mengamalkan PPSMI.

    Harap maklum, bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda England, Amerika Syarikat, Australia dan Scotland.

    Kajian sosiolinguistik menunjukkan bahawa bahasa dalam kalangan keluarga di Singapura adalah Inggeris (Tajuddin Jaafar, 2005).

    Hanya Malta yang mengamalkan ddasar PPSMI di samping bahasanya sendiri. Namun bahasa mereka itu adalah bekeluarga dengan bahasa Inggeris.

    Data ini membuktikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda itu lebih berkesan.

    ReplyDelete
  9. Statistik yang menunjukkan kebangkitan amat pesat pembelajaran bahasa Inggeris di seluruh dunia menggerunkan sekali. Daripada China, korea, Jepun, negara2 di Amerika Selatan, Thailand, Indonesia - kesemuanya memberikan PENEKANAN baru kepada kefasihan bahasa Inggeris dalam kurikulum pembelajaran di sekolah rendah dan menengah. Di Bangkok dan Tokyo, serta di Beijing dan Shanghai, kedai-kedai bahasa Inggeris mula muncul macam cendawan. China naik ke angkasa pun terpaksa rujuk kepada ribuan makluman teknikak dan sains dalam bahasa Inggeris. Kenapa ekk? Makumlah, pejuang bahasa tak mahu dengar ini semua...pejuang bangsa mahu dengar.

    ReplyDelete
  10. Kalau nak mengukur sempit fikiran seseorang lihat lah kepada cara dia melihat sesuatu dan berbicara mengenainya. Takut pula nak mengenalkan dirinya.

    1. Apa kaitan soal golf dengan bahasa? Golf sekarang bukan permainan elit, malah hari ini ramai kakitangan kerajaan yang bermain golf. Di Putrajaya bukan sahaja pegawai atasan bermain golf, malah guru-guru dan kakitangan sokongan juga bermain golf. Salah seorang daripada pemain yang gambarnya ada di dalam blog saya adalah seorang pemandu kepada Ketua Pengarah di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya. Itu masalahnya jika saudara melihat golf dari kaca mata yang sempit.

    2. Betul, bahasa adalah asas jati diri kita. Sebab itu di Malaysia kerajaan kita memberikan penekanan yang tinggi terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam banyak segi, bukan sahaja perlembagaan, malah dalam pendidikan. Disebabkan itu, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan. Pada waktu yang sama ia wajib diajar di sekolah jenis kebangsaan, swasta dan juga antarabangsa bagi warganegara Malaysia. Ia juga digunakan secara meluas di dalam acara rasmi di KPM dan aktiviti kokurikulum, baik di peringkat sekolah, daerah, negeri dan nasional. Bagi subjek-subjek selain daripada Sains dan Matematik ketika ini, semuanya diajar di dalam bahasa Melayu. Jadi soal ia bukan bahasa yang mencorakkan jati diri rakyat Malaysia tidak timbul selagi mereka berada di dalam sistem pendidikan kebangsaan.

    3.Mengenai TIMMS,

    The Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2007 is the fourth comparison of mathematics and science achievement carried out since 1995 by the International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA), an international organization of national research institutions and governmental research agencies. In 2007, 36 countries participated at grade four and 48 participated at grade eight. (Malaysia cuma terlibat dalam ujian kepada pelajar di gred 8 (Tingkatan 2))

    • Laporan akhir Kajian TIMMS 2007 telah dihantar secara rasmi kepada KPM pada 21/11/08 dan dapatannya telah diumumkan pada 9/12/08. (Disebabkan itu bukan soal Menteri Pelajaran mendiamkan diri, tetapi saya percaya beliau tidak boleh mengumumkan apa-apa mengenainya melainkan selepas mendapat keputusan rasmi, itupun selepas dianalisis oleh pegawai-pegawai profesional pendidikan di KPM) dan Laporan Awal dapatan analisis tersebut dimaklumkan pada bulan Januari lalu.

    Biarpun terdapat penurunan, dalam kalangan 18 negara Asia, kedudukan Malaysia masih sama, iaitu 2007 - tempat ke-6 , 2003 - tempat ke-6,
    1999 – tempat ke-6 (Maksudnya biarpun PPSMI dilaksanakan, berbanding negara-negara Asia yang tidak melaksanakan PPSMI, kedudukan Malaysia tidak terjejas. Ini bertentangan dengan HARAPAN ramai pejuang bahasa yang mengharapkan ia bukan sahaja terjejas, tetapi terjejas dengan teruk)

    Setelah dianalisis, didapati prestasi Malaysia ini menurun disebabkan terdapat tajuk yang ditanya belum dipelajari murid Malaysia dalam Tingkatan 2 seperti probability dan algebra - sebahagian besar tajuk berkaitan diajar selepas murid menduduki pengukuran TIMMS. Bagi tajuk chance pula, ia tidak diajar semasa murid di Tingkatan 2.


    Bagi Mata pelajaran Sains, sebenarnya penurunannya selepas PPSMI tidaklah signifikan sebab dalam tahun 1999, biarpun PPSMI tidak dilaksanakan lagi, kedudukannya masih lebih rendah daripada tahun 2007. Kedudukan Malaysia 2007 - tempat ke-21, 2003 - tempat ke-20, 1999 – tempat ke-22. Di kalangan 18 negara Asia, kedudukan Malaysia masih sama: 2007 - tempat ke-7, 2003 - tempat ke-7,1999 – tempat ke-6.

    Seperti Matematik, pencapaian menurun juga disebabkan murid belum mempelajari sebagaian besar daripada aspek penting yang diukur dan mereka juga tidak didedahkan dengan aspek penggunaan (applicability) dan penyelesaian masalah (problem solving) konsep yang dipelajari, misalnya dalam aspek; aplikasi dan biologi. Bagi tajuk Sains Bumi (Earth Science), ianya belum diajar secara mendalam atau sepenuhnya seperti yang diukur dalam TIMMS semasa mereka di Tingkatan 2.

    Disebabkan itu saudara/i, jangan sekadar melihat di permukaan sahaja. Lebih buruk lagi, sudahlah saudara/i hanya melihat di permukaan tetapi melihat pula dari kaca mata yang sempit.

    ReplyDelete
  11. Saudara Aidil,

    Kalau hujah itu saudara kata bengong, maka saya rasa saudara juga mengatakan bahawa hujah Yusof Qardawi juga bengong. Saya membaca kenyataan beliau ini apabila beliau berbicara mengenai Islam, tentang ekstrimisme dan penolakan terhadap Islam. Jadi terserah kepada pemahaman saudara sama ada saudara ingin melihat orang badawi pada zaman Imam Shafie atau pada zaman Rasulullah SAW yang dibanding dengan orang-orang Quraish pada ketika itu. Yang penting, saudara dan saya, sama-sama tidak berada pada zaman itu.
    Wallahualam

    ReplyDelete
  12. Saudara Azree,

    Kalau nak dikategorikan sebagai hujah yang baik, kenyataan saudara adalah dalam kategori ini.

    Seperti yang saya katakan, jangan menipu, memanipulasi, membentak dan mengugut tentang hal-hal lain, sebab yang jelas pejuang bahasa hanya mahu mempertahankan soal bahasa Melayu; bukan soal pencapaian pelajar dalam kedua-dua subjek, bukan juga sama ada kita mengikut ajaran Islam (soal ayat quran dan ajaran Islam yang disalah tafsirkan).

    Sebagaimana yang saya sebutkan saya percaya Menteri Pelajaran mendengar hujah-hujah yang bernas seperti yang dihujahkan oleh saudara dan saya yakin beliau sedang mempertimbangkannya dengan baik.

    Cuma saya suka membawa saudara untuk melihat kepada realiti. Subjek Finance misalnya, tidak diajar dalam bahasa Melayu sepenuhnya di IPT-IPT tertentu. Malah di Institusi Kewangan sebenarnya, majoriti pengguna lebih selesa menggunakan istilah dalam bahasa Inggeris. Bagaimanapun bahasa dalam bidang kewangan ini tidak mati 100% kerana penggunanya perlu menterjemahkan semula sebarang laporan dan sebagainya ke dalam bahasa Melayu apabila berurusan dengan Bank Negara.

    Ini yang saya maksudkan bahawa, ia mungkin akan menjejaskan sedikit pembangunan bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Teknologi, tetapi itu tidak bermaksud kita tidak ada cara lain untuk meminimumkan kesannya.

    Saudara Azlee, sebenarnya ruang untuk berbincang secara intelektual sentiasa terbuka; dan bila kita boleh berbicara secara intelektual dan dalam tradisi ilmu, kita tidak perlu membawanya ke jalanan. Apakah kita mahu jadi samseng jalanan?

    Pada waktu yang sama, jangan kita jadi samseng bahasa, bila memaksa orang menerima pandangan kita, termasuk dengan cara menipu data kajian, menengking-nengking, mengugut dan sebagainya.

    Seperti yang saya katakan, saya tidak menolak hujah yang rasional, tetapi hujah dan perilaku yang emosional, tidak beradab dan tidak masuk akal.

    ReplyDelete
  13. Kutucyber ooo kutucyber. hujah bahasa ibunda dah tak boleh dipakai. Di sekolah kebangsaan, budak2 cina dan india belajar sains dan matematik bukan dalam bahasa ibunda la, tp bahasa kebangsaan, bahasa Melayu. Ok je. Di sarawak dan sabah pun sama. di sekolah orang asli pun sama. Apa daaaaaa.... samseng bahasa

    ReplyDelete
  14. Ada ker pejuang-pejuang tradisional bahasa tempatan mendoakan dan mengharapkan agar keputusan peperiksaan bagi subjek Sains dan Matematik (dalam bahasa Inggeris)di sekolah-sekolah Malaysia adalah lemah, teruk, menurun bagi membuktikan 'point' bahawa Bahasa Inggeris itulah yg perlu di persalahkan?

    Kenapakah 'overall' pencapaian pelajar-pelajar "MCE" dahulu, samada dari espek jati diri, samada dari aspek 'muhibbah', samada daripada aspek ilmiah dan pertumbuhan minda yang jitu, ADALAH JAUH LEBIH MEMBANGGAKAN NEGARA DAN MANUSIA MELAYU DARIPADA "SPM" HARI INI?

    ReplyDelete
  15. Terima kasih,

    Dalam soal ini, saya percaya bahawa kedua-dua pihak mahukan yang terbaik untuk anak-anak bangsa. Cuma apa yang saya perhatikan mereka saling tidak memahami kenyataan pihak yang berlawan. Pihak A sentiasa memutarkan kenyataan pihak B. Begitulah juga sebaliknya.

    Kita harus menguatkan Bahasa Melayu itu sendiri terutamanya dalam bidang-bidang teknikal dan kritikal. Ya, mungkin Bahasa Melayu itu masih lagi kekurangan perbendaharaan kata dan istilah dalam bidang-birang tertentu, tetapi, Bahasa Melayu itu ada satu perkara yang tidak dipunyai oleh bahasa-bahasa lain : iaitu jiwa Melayu.

    Berfikir dalam Bahasa Melayu akan menjadikan kita berfikir dari perspektif alam dan pemikiran Melayu. Dan saya percaya, nilai dan pemikiran Melayu itu mampu menyumbang kepada ketamadunan dunia.

    Tanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu terletak di tangan kita. Anak-anak kita harus diasuh dalam Bahasa Melayu terlebih dahulu di peringkat rendah dan menengah termasuklah dalam subjek Sains & Matematik kerana itu adalah langkah permulaan kita untuk menguatkan Bahasa Melayu. Di situlah asas ketamadunan bangsa. Sekurang-kurangnya, itulah tanggungjawab kita.

    Tingkap papan kayu bersegi,
    Sampan sakat di Pulau Angsa;
    Indah tampan kerana budi,
    Tinggi bangsa kerana bahasa!

    ReplyDelete
  16. Sdr Azlee, itulah maksud saya. Berhujahlah secara rasional, jangan secara emosional. Saya tidak akan ke hadapan jika pejuang bahasa Melayu masih berpegang kepada batas, prinsip dan tradisi keilmuan. Saya telah meneliti sampel, instrumen dan kesimpulan kajian bermula dari yang dibuat oleh Juriah Long, Ishak Haron dan Pembina. Mereka perlu bersikap jujur bahawa sampel, instrumen dan kesimpulan yang dibuat ada kelemahan. Seorang pengkaji dari Pembina misalnya, terus menerus menuduh atau cuba menggambarkan bahawa KPM memanipulasi keputusan peperiksaan awam, sedangkan realitinya bukan mudah untuk membuat begitu. Lagi pula penentuan standard tidak dibuat oleh LPM secara bersendirian, sebaliknya dengan nasihat pihak ketiga yang diiktiraf sebagai autoriti dalam bidang pentaksiran.

    Disebabkan itu saya mempersoalkan integriti beliau. Jika benar beliau melakukannya semasa menjawat jawatan di KPM, maka bagi saya, integriti beliau boleh dipersoalkan. Kalau beliau boleh memanipulasi keputusan peperiksaan awam, maka apa jaminan bahawa beliau tidak memanipulasi apa-apa di dalam kajian Pembina?

    ReplyDelete
  17. Kenapakah 'overall' pencapaian pelajar-pelajar "MCE" dahulu, samada dari espek jati diri, samada dari aspek 'muhibbah', samada daripada aspek ilmiah dan pertumbuhan minda yang jitu, ADALAH JAUH LEBIH MEMBANGGAKAN NEGARA DAN MANUSIA MELAYU DARIPADA "SPM" HARI INI ?

    Apakah ada kemungkinan KPM akan memberikan pilihan kepada ibubapa dan generasi akan datang pilihan samada untuk ambil "MCE" atau "SPM di Sekolah Kebangsaan Baru (SKB)?

    ReplyDelete
  18. saya adalah bekas pelajar under ppsmi. saya bersyukur sebab saya berada di sekolah yang baik (mrsm). dan saya sangat kasihan dengan kawan-kawan saya di luar bandar. saya dan ramai kawan-kawan yang lain sangat tidak bersetuju dengan ppsmi.

    1. math dan sains tak akan membantu meningkatkan penguasaan english. even words in math and science are not frequently use in daily life. setiap hari ke kte nak ckp, "ok, fill in the test tube with iodin"?.

    2. in math, we learn about basic calculation. itu lagi penting daripada penguasaan bahasa inggeris. saya tak kata english tak penting. tapi sy nak tanya, mana lagi penting? english or math and science?

    3. saya nasihatkan tun pergi sekolah di pedalaman. ambil seorang budak sekolh rendah and try ajar dya. ambil wakil dari kelas first hinggalah yang hujung. confirm yang class first pon hadapi masalah nak jawab soalan yang susah inikan pula budak2 kelas hujung.

    4. kenapa perlu dibazirkan 3.2 billion tuk ppsmi? sedangkan banyak lagi sekolah yang tak cukup kemudahan belajar. nampak sgtlah ppsmi ney bias pada penduduk luar bandar.

    5. lihatlah pada negara maju. dorang boleh je hidup dengan bahasa dorang. memang betul hampir semua buku berkenaan sains dalam english. tapi perlukah seorang budak yang umurnya 7-10 tahun bukak advance books macam tue? tak. langsung tak. dorang just perlu tahu basic knowledge je. macam mana dorang nak mahir basic knowledge kalau kita ajar dorang dengan bahasa yang 'alien' bagi dorang.

    5. seandainya, tiba2 bahasa utama bukan lagi english tapi perancis misalnya. adakah kerajaan akan tukar policy lagi sekali? sepanjang saya menghadiri program motivasi bahasa inggeris, tak pernah dalam seumur hidup saya, penceramah ckp, "in order to master english, we should learn science and maths in english."

    6. apa yang saya kesalkan is kenapa perlu dipolitikkan issue ney? baik pembangkang mahupun pihak kerajaan, dua2 sama. macam budak2. yang terima akibatnya budak-budak juga. ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati ditengah-tengah.

    7. insan yang layak untuk komen pasal ppsmi adalah guru-guru, sebab dorang lagi dekat dengan pelajar. jangan salahkan guru2 kalau dorang tak guna english in class. pertama sebab, budak2 memang tak faham. kedua, dorang pon bukannya west educated people.

    8. patutnya kerajaan tanya pendapat semua orang dulu bukan main sedap buat je. cadangan yang begitu cantik di atas kertas tapi realitinya, kesesuaiannya tak nak kaji dulu.

    9. 3.2 billion dilabur tuk ppsmi tapi buku teks macam sampah. (i'm sorry it's harsh but it's the reality) cikgu2 saya siap suruh beli buku reference lagi sebab buku teks tak lengkap. so tak payah lah nak guna alasan pelajar boleh belajar sebab buku teks free. imagine orang luar bandar yang miskin. buku reference agak mahal dalam 25 sebuah. 25 tu untuk dorang boleh digunakan untuk makan selama dua hari.

    10. banyak lagi cara lain tuk mantapkan english. pertamanya, kaji dulu kelemahan sistem yang sedia ada. buku teks english pon tak menarik jugak. cuba buat style overc. buat buku ikut level intermediate, advanced etc. tak pun buat reading program yang juga ikut sistem level. ibarat macam nak ajar anak2 mengeja, kenal huruf. kita ada buku yang dipanggil buku 1, 2, 3. saya pon dah lupa nama buku tue tapi memang terbukti keberkesanan buku tue. jadi disini, maksudnya, kita kena ajar budak secara berperingkat.

    11. salah satu kesan yang bakal terjadi adalah perbezaan taraf ekonomi. amat sedey, zaman tun razak, beliau cuba nak dekatkan jurang ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar tapi zaman kita, lain pula jadinya. ppsmi menyebabkan yang dah pandai terus ke depan sedangkan budak2 yang tak pandai english, dorang masih lagi terkial-kial nak belajar english dalam masa yang sama nak belajar sains dan maths lagi.

    ReplyDelete