Friday, September 12, 2014

#AktaHasutan: Pejabat PM sahkan kenyataan @MPKotaBelud, MKPN bukan autoriti

Akta Hasutan 1948

1. Kerajaan ingin menegaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional hendaklah dibuat dengan rasional, berhemah dan terbuka. Proses ini hendaklah dilakukan dalam keadaan terkawal agar negara terus berada dalam keadaan harmoni, kukuh dan stabil.

2. Kerajaan juga tidak akan tergesa-gesa menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baru tanpa meneliti semua aspek berkaitan termasuk kepentingan elemen pencegahan. Kerajaan tidak akan mengambil langkah atau tindakan yang boleh menyebabkan suasana dalam negara tidak tenteram. Negara masih memerlukan sokongan undang-undang yang mampu menjadi “deterrent” bagi memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara terus dipelihara.

3. Rundingan akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kumpulan-kumpulan yang mewakili kepentingan orang Melayu yang rata-rata bimbang dengan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948. Selepas proses rundingan diadakan, barulah Kerajaan akan menentukan hala tuju yang akan diambil dengan matlamat mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk negara.

4. Apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh Kerajaan ianya tidak akan menyebabkan masyarakat berbilang bangsa negara ini merasa bimbang, kurang yakin atau tergugat. Dalam mengubah atau memperkenalkan sesuatu akta baru, ia perlulah lebih baik daripada akta sedia ada khususnya dalam meningkatkan lagi keharmonian, keamanan dan kestabilan negara serta memastikan negara terus berjaya.

5. Selain itu, ia juga mesti mampu mengawal fahaman serta pergerakan radikal, ekstrem atau fanatik selain mengekang pelampau kaum dan agama dalam masyarakat.

6. Kebebasan yang diberi kepada rakyat perlu diimbangi dengan undang-undang untuk melindungi prinsip-prinsip penting yang telah sekian lama didukung oleh masyarakat di negara ini. Ini termasuklah peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu kedudukan agama Islam dan Raja-Raja, hak-hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya. Semua peruntukan ini akan dikekalkan.

7. Berdasarkan perbincangan dan maklum balas yang diterima Kerajaan setakat ini, terdapat empat pandangan berlainan yang wujud berkaitan isu Akta Hasutan 1948. Pertama, terdapat permintaan agar Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan sahaja. Kedua, ada yang meminta Akta Hasutan dihapuskan sama sekali. Ketiga, ada yang memilih untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional demi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara. Keempat, ada yang berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baru di samping Akta Hasutan 1948 yang patut dikekalkan.

8. Kerajaan walau bagaimanapun, ingin menjelaskan bahawa draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional belum disediakan lagi pada masa ini. Kerajaan masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai prinsip-prinsip asas yang akan dijadikan panduan dalam menggubal undang-undang berkenaan. Hanya selepas konsensus umum dicapai di kalangan rakyat termasuk mereka di Sabah dan Sarawak, barulah kelak proses penggubalan akan dimulakan. Proses ini akan mengambil masa agar undang-undang yang baru kelak benar-benar dapat bantu merealisasikan matlamat kita untuk membina sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.

9. Penggubalan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara hanya setelah perkara-perkara prinsip dan dasar telah diputuskan kelak. Mana-mana draf rang undang-undang yang disediakan oleh mana-mana pihak selain daripada Jabatan Peguam Negara tidak sahih dan tidak boleh diterima.

Pejabat Perdana Menteri
12 September 2014

Nota: Tahniah. Dah macam sistem kat Amerika Syarikat. Ada jurucakap Presiden.

No comments:

Popular Posts