Saturday, November 7, 2009

Merealisasikan idea Satu Sekolah Untuk Semua

Rata-rata ramai yang menyambut baik idea Satu Sekolah Untuk Semua (SSS) kerana hasratnya mulia, iaitu untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Bangsa Malaysia dan amat selari dengan hasrat 1Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pakar Sejarah Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, misalnya menyifatkan sistem persekolahan pelbagai aliran ini sebagai tinggalan penjajah dan tidak lagi sesuai untuk dikekalkan sekiranya matlamat 1Malaysia ingin dicapai. Menurut beliau pihak British membenarkan kaum imigran membuka sekolah mereka sendiri kerana mereka tidak bercadang untuk menetap di negara ini.

Aktivis SSS pula menyifatkan kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sebagai bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan status Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang mesti digunakan sebagai bahasa rasmi. SSS juga berpandangan bahawa bahasa Mandarin bukan bahasa ibunda kaum Cina di Malaysia, sebaliknya bahasa kebangsaan Negara China, manakala bahasa Tamil pula bukan bahasa ibunda masyarakat India di negara ini, sebaliknya merupakan bahasa rasmi Tamil Nadu.

Bagi mereka yang menentang hasrat SSS ini, penentangan mereka adalah kerana mereka mahu mempertahankan sistem persekolahan, kebudayaan dan bahasa yang dianggap sebagai bahasa Ibunda kaum mereka di negara ini. Ada juga yang menentang atas dasar pendemokrasian pendidikan, di mana ia membenarkan ibu bapa membuat pilihan.

Khoo Kay Kim tepat menyatakan bahawa pendirian asal British membenarkan sekolah kaum imigran adalah kerana berpandangan mereka tidak mahu menetap di negara ini. Disebabkan itu pendirian ini berubah dalam Laporan Barnes 1951 yang mencadangkan hanya dua jenis sekolah ditubuhkan, iaitu aliran kebangsaan dan dwi-bahasa. Begitu pun Laporan Fenn-Wu 1952 mencadangkan agar aliran vernakular ini dikekalkan.

Penyata Razak 1956 telah mengambil jalan tengah dan terwujudlah satu sistem pendidikan atas dasar kompromi. Walaupun begitu matlamat Penyata Razak ini amat jelas, iaitu untuk menyatukan anak-anak berlainan kaum di bawah satu sistem pendidikan (dan sukatan pelajaran), iaitu sistem pendidikan kebangsaan dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantar. Selepas 52 tahun merdeka hari ini dilihat sistem persekolahan pelbagai aliran ini kurang berkesan dalam membentuk perpaduan yang kukuh dalam masyarakat dan disebabkan itu gerakan SSS ini dimulakan.
Pastinya gerakan SSS ini akan menyentuh sensitiviti golongan tertentu. Disebabkan itu Datuk Seri Najib mengingatkan bahawa tujuan untuk mewujudkan sistem persekolahan aliran ini amat bagus kerana matlamatnya untuk mengukuhkan perpaduan, tetapi ia tidak bermakna sekiranya ia menimbulkan ketegangan kaum.

Ingatan Perdana Menteri ini betul, tapi jika matlamatnya mulia dan majoriti rakyat menyambutnya dengan baik, maka tidak salah untuk kita memikirkan jalan untuk merealisasikannya lebih-lebih lagi ketika ini majoriti anak-anak kita berada di Sekolah Kebangsaan (SK), iaitu sekitar 75 peratus di sekolah rendah dan 86 peratus di sekolah menengah. Mungkin sedikit lagi kesungguhan diperlukan untuk menjadikan sekitar 25 peratus lagi murid di sekolah rendah dan 14 peratus lagi di sekolah menengah berada dalam hanya satu aliran persekolahan.

Jika kita bercakap tentang pendemokrasian pendidikan, kita memahami kenapa setiap pihak tidak mahu mengalah dan mahukan yang paling ekstrem untuk aliran persekolahan yang mereka kehendaki. Bagaimanapun adakah kita mahu kompromikan matlamat kenegaraan? Akhirnya hanya yang sanggup berkorban atau yang tidak mampu sahaja yang akan berada dalam sistem kebangsaan.

Terdapat beberapa kaedah yang sedang dipraktikkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 bagi memupuk perpaduan melalui sistem pendidikan.

Pertama, melalui kaedah memujuk melalui Teras Memperkasa Sekolah Kebangsaan. Ini merupakan pendekatan lama, yang diberi nafas baru dan dijadikan lebih berfokus berbanding pendekatan lama. Dalam teras ini, usaha ditumpukan untuk meningkatkan daya tarikan SK melalui penambahbaikan infrastruktur, penawaran program yang menepati keinginan ibu bapa seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil, penawaran program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF), penambahbaikan program dan kurikulum seperti pengajaran Bahasa Inggeris, meningkatkan kualiti dan keupayaan pentadbir sekolah dan guru, membangunkan budaya cemerlang dan menjadikan SK lebih beraspirasi nasional.

Kedua, melalui program-program yang dapat memupuk perpaduan seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) bagi kelompok-kelompok sekolah yang didominasikan oleh satu kaum.

Namun kaedah ini dianggap satu kaedah yang kurang radikal, kurang efektif dan mempunyai pelbagai masalah pelaksanaan. Misalnya, RIMUP kelihatan kurang menyerlah tahun ini, kemungkinan kefahaman dan kesungguhan mengenainya semakin menurun di kalangan warga KPM.

Justeru mungkin satu kaedah yang lebih radikal diperlukan.

Salah satu kaedah yang pernah digunakan dulu tetapi tidak diteruskan adalah pembangunan Sekolah Wawasan. Ia tidak diteruskan dalam PIPP kerana tidak ada kesungguhan dari pihak yang mempertahankan SJKC. Terdapat enam buah Sekolah Wawasan, bagaimanapun hanya satu sahaja yang melibatkan ketiga-tiga jenis sekolah. Bakinya hanya melibatkan SK dan SJKT.

Kaedah kedua yang pernah digunakan dan amat berkesan adalah dengan meminda Akta Pendidikan, misalnya pindaan yang dibuat dalam Akta Pendidikan 1991 yang menjadikan semua sekolah menengah berstatus SK. Begitu pun usaha ini hanya dapat dilaksanakan di peringkat menengah dan tidak dapat dilaksanakan di peringkat rendah kerana terdapat banyak tentangan.

Kaedah yang belum pernah dicuba adalah untuk menetapkan `road-map’ dan sasaran untuk menukar status SJK kepada SK menjelang tahun sasaran tertentu terutamanya SJK yang sudah semakin hilang tarikan, terlalu dhaif dan berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM). Dimaklumkan terdapat sekitar 36 peratus atau 460 buah SJKC yang berstatus SKM dan 66 buah daripadanya berada di dalam bandar. Dikatakan juga, berbanding SJKC, lebih banyak SJKT yang berstatus SKM ini. Ini terpakai untuk sekolah vernakular yang lain juga.

Jika ini merupakan sasarannya, maka perlu ada kesungguhan politik dari segi pertama, untuk menghentikan sebarang permintaan untuk menambah jumlah sekolah vernakular; kedua, permintaan menggantikan sekolah vernakular yang bertaraf SKM dan tiada tarikan. Ketiganya, perlu ada kesungguhan untuk meningkatkan kualiti SK yang berada dalam kawasan yang mempunyai populasi campuran.

Mampukah ia dilaksanakan atau mahukah kita melaksanakannya?

No comments:

Popular Posts