Friday, June 19, 2015

#1MDB jawab satu persatu pembohongan Tun M dalam blognya.

Fakta-fakta berkaitan dengan tulisan blog bertajuk “the 1MDB story” oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad

1.Tun Mahathir mendakwa bahawa ada “cubaan untuk merampas wang Terengganu Investment Authority (TIA)” dan “Terengganu dengan sewajarnya menarik diri kerana tidak mahu membiarkan telaga minyaknya menganggung risiko”.

Tiada cubaan untuk merampas wang TIA.
Pada 2009, pelbagai perbincangan telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu tentang sumbangan setiap pihak kepada TIA. Beberapa cadangan telah dibincangkan berkenaan perkara ini.
Akhirnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan terdiri daripada jaminan untuk terbitan sukuk bernilai RM5 bilion oleh TIA. Ini berlaku pada 29 Mei 2009, sebelum TIA dijadikan badan milik kerajaan Persekutuan.

Susulan itu, kerajaan negeri Terengganu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada TIA yang membawa kepada entiti tersebut dijadikan badan milik kerajaan Persekutuan pada bulan Julai 2009.

2. Tun Mahathir mendakwa, berkenaan dengan sukuk RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan tersebut, bahawa “tiada bukti bahawa satu kertas kabinet telah disediakan dan dibentangkan untuk diluluskan walaupun jumlahnya yang luar biasa besarnya”.

Bertentangan dengan dakwaan Tun Mahathir, satu kertas Kabinet mengenai perkara ini telah disediakan dan telah diluluskan oleh Kabinet, sejajar dengan amalan standard serta seperti yang diperlukan untuk semua jaminan kerajaan.
Malahan, jaminan kerajaan tersebut bukanlah di luar belanjawan (off budget) seperti yang didakwa.  Ianya merupakan satu liabiliti yang jelas dan diakui oleh kerajaan persekutuan, yang merupakan pemegang saham 100% 1MDB.  

3. Tun Mahathir mendakwa bahawa “Goldman Sachs yang diamanahkan untuk meraih pinjaman” dan “Goldman Sachs akan mendapat RM500 juta sebagai komisen”.

Keseluruhan dasar kenyataan ini adalah salah kerana Sukuk tersebut diaturkan oleh Ambank, bukan Goldman Sachs.
Ambank menaja jamin keseluruhan terbitan sukuk (dengan kata lain, ia mengambil risiko untuk memberikan RM5 billion kepada 1MDB) dan dengan itu wajar menerima sebarang komisen kerana berbuat demikian.

4. Tun Mahathir mendakwa “Pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan … biasanya dikenakan faedah sebanyak 3% atau kurang. Tetapi pinjaman 1MDB dikenakan faedah berjumlah hampir 7%”.

Ia adalah satu fakta yang boleh disahkan melalui semakan pada laman web Bank Negara Malaysia, bahawa pada 29 Mei 2009 (tarikh di mana sukuk RM5 bilion tersebut diterbitkan), kadar hasil bagi bon-bon yang diterbitkan oleh Kerajaan adalah 2.82% (3 tahun kematangan), 3.56% (5 tahun kematangan) dan 4.27% (10 tahun kematangan). Ianya jelas menunjukkan bahawa untuk setiap tambahan tahun kematangan, hasilnya adalah lebih tinggi.    
Sukuk RM5 bilion yang diterbitkan 1MDB mempunyai tempoh kematangan selama 30 tahun.  Maksudnya, ia akan mencapai tempoh kematangan pada tarikh yang tiga kali lebih lama daripada bon 10 tahun kerajaan yang mempunyai tempoh kematangan paling lama pada ketika itu.  Tiada bon 30 tahun kerajaan yang lain yang diterbitkan untuk dijadikan perbandingan.    
Sukuk 1MDB diterbitkan pada harga diskaun kira-kira 88, iaitu diskaun pada nilai muka 100, yang merupakan amalan biasa bagi instrument pendapatan tetap. Diskaun ini merupakan faedah tambahan kepada pelabur-pelabur Sukuk tersebut. Diskaun ini, apabila ditambah dengan kupon 5.75%, memberikan hasil sebanyak kira-kira 6.15% - bukan 7% seperti yang didakwa Tun Mahathir.    
Berdasarkan logik yang dinyatakan di atas, 1MDB menerima pembiayaan 30 tahun untuk Sukuknya pada hasil 6.15%.  Sebagai perbandingan, bon 10 tahun kerajaan mempunyai hasil pada kadar 4.27%.  Mengambil kira perbezaan dalam tempoh kematangan, ini merupakan hasil yang baik sekiranya dihitung dengan mana-mana kayu pengukur dalam pasaran pendapatan tetap.
   
5. Tun Mahathir mendakwa “Dalam semua RM42 bilion yang dipinjam…. Tetapi faedah ke atas RM42 bilion pastinya mencecah kira-kira RM3 bilion setahun”.

Angka-angka yang dipetik oleh Tun Mahathir adalah salah. Untuk penjelasan; kos faedah ke atas hutang RM42 billion oleh 1MDB pada 31.03.2014 adalah RM2.4 bilion. Ianya 20% lebih rendah berbanding apa yang didakwa Tun Mahathir.

6. Tun Mahathir mendakwa “…semua orang tahu Ananda Krishnan terpaksa memberi RM2 bilion untuk membayar faedah”.

1MDB memang meminjam RM2 bilion seperti yang diatur oleh anak syarikat Tanjong PLC. Hasil-hasil ini digunakan untuk membayar pinjaman RM2 bilion yang diberikan oleh satu sindiket peminjam tempatan. Ianya bukan digunakan untuk membayar faedah, seperti yang didakwa Tun Mahathir.
Berkenaan rasional di sebalik pembiayaan yang diaturkan oleh Tanjong PLC untuk 1MDB, kami merujuk kepada nota 41 (iii) (h) pada muka surat 170 dalam penyata kewangan 1MDB bertarikh 31 Mac 2014.
Nota tersebut menyatakan bahawa “Pada 7 Ogos 2014, PIH (Powertek Investment Holdings), sebuah anak syarikat Syarikat (iaitu 1MDB), memeterai sebuah Perjanjian Langganan (Subscription Agreement) dengan Tanjong di mana Tanjong bersetuju melanggan ekuiti dalam PIH, sehingga RM2.0 bilion apabila berlangsungnya sesuatu perkara… di mana hasil-hasil hendaklah digunakan hanya untuk pembayaran semula atau prapembayaran (prepayment) oleh PIH terhadap sebarang amaun hutang di bawah fasiliti pinjaman RM5.5 bilion yang diuruskan oleh Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad… ”    
Berdasarkan kenyataan di atas, ianya jelas menunjukkan bahawa Tanjong mempunyai tanggungjawab untuk melanggan ekuiti berjumlah RM2.0 bilion dalam PIH, di mana hasil-hasilnya akan digunakan untuk membayar balik fasiliti pinjaman.
Dukacitanya, seperti yang dijelaskan sebelum ini, 1MDB terikat dengan perjanjian kerahsiaan (confidentiality agreements) dan tidak boleh mengulas lanjut tentang mengapa pelaburan ekuiti berjumlah RM2.0 bilion tersebut kemudiannya dipersetujui oleh kedua belah pihak untuk menjadi pinjaman RM2.0 bilion tetapi kami percaya fakta-fakta yang dikongsi di atas telah memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara ini.  

7. Tun Mahathir mendakwa, berkenaan dengan pembelian IPP oleh 1MDB “Mengapa 1MDB tidak menunggu sehingga lesen IPP berkenaan tamat tempoh adalah menjadi misteri”.

Penting untuk dinyatakan bahawa 1MDB membeli 13 stesen janakuasa berlainan dengan kapasiti penjanaan berjumlah kira-kira 5,500 Megawatts (MW).
Daripada keseluruhan pembelian tersebut, bertentangan dengan dakwaan Tun Mahathir, hanya dua stesen janakuasa yang menghampiri tempoh “tamat lessen” iaitu stesen janakuasa Powertek berkapasiti 440 MW pada Januari 2016 dan stesen janakuasa KLPP (Genting) pada Februari 2016.
“Lesen” untuk stesen janakuasa KLPP telah pun dilanjutkan bagi tempoh 10 tahun, membuktikan bahawa ianya merupakan pembelian aset yang baik oleh 1MDB.
Selanjutnya, 1MDB sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk lanjutan lesen bagi stesen janakuasa Powertek berkapasiti 440MW.

8. Tun Mahathir mendakwa berkaitan dengan tanah di Jalan Tun Razak “Kerajaan menjual 70 ekar tanah kepada 1MDB dengan harga RM320 juta”. “Tanah berdekatan telah dijual pada harga RM7000 sekaki persegi.” “1MDB sepatutnya membayar sekurang-kurangnya RM3000 hingga RM4000 sekali persegi.”

Penting untuk dinyatakan di sini bahawa 1MDB adalah dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.
Oleh itu, sebarang pemindahan tanah kepada 1MDB dan sebarang faedah selanjutnya terhadap kenaikan nilai tanah adalah akhirnya 100% untuk Kerajaan Malaysia.
Merujuk angka-angka yang disebut oleh Tun Mahathir, sekali lagi beliau tidak tepat. Hakikatnya, 1MDB membayar RM230 juta, bukan RM320 juta, untuk memperoleh tanah tersebut.
1MDB merupakan pemaju induk dan mempunyai tanggungjawab untuk membiayai infrastruktur dan aset-aset strategik di atas tanah tersebut.  Kos infrastruktur di TRX, yang mana perlu disediakan 1MDB mengikut kontrak adalah berjumlah sekurang-kurangnya RM1,500 sekali persegi.  Ini adalah faedah langsung kepada mana-mana pembeli tanah dan menjadi sebahagian daripada harga belian yang dibayar.

9. Tun Mahathir mendakwa, mengenai aset-aset 1MDB bahawa “tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana aset-aset ini dinilai”

Penyata-penyata kewangan 1MDB dengan jelas menunjukkan asas bagi penilaian-penilaian aset.  Selain itu, penilaian-penilaian bebas telah dijalankan oleh penilai profesional. Ini merupakan syarat daripada juruaudit-juruaudit 1MDB yang telah menandatangani akaun-akaun syarikat tanpa sebarang pertikaian.    

Fakta-fakta berkaitan dengan tulisan blog bertajuk “The 1MDB story” oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad | 1MDB - http://www.1mdb.com.my/bm/siaran-media/fakta-fakta-berkaitan-dengan-tulisan-blog-bertajuk-%E2%80%9Cthe-1mdb-story%E2%80%9D-oleh-tun-dr

No comments:

Popular Posts