Thursday, May 28, 2015

Jawapan Najib - Dakwaan Tun M tidak adil dan memesongkan (Bahasa Melayu)


Ini merupakan sambungan kepada 13 Jawapan Najib yang telah diberikan sebelum ini:-

14. Kritikan Terhadap GST

a) Saya faham bahawa terdapat beberapa kebimbangan dinyatakan berkenaan pelaksanaan GST. Walau bagaimanapun, sebagai Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang tepat untuk semua rakyat Malaysia, walaupun ia kelihatan sukar.

b) Pada masa ini, hanya 1 dalam 10 rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan peribadi, dan ia adalah penting untuk memperluaskan asas cukai kita demi kebaikan jangka panjang ekonomi

c) Selain itu, ia adalah penting untuk ambil perhatian bahawa 23% daripada hasil kerajaan pada masa ini berasal dari minyak dan gas. Seperti yang kita lihat daripada kejatuhan mendadak harga minyak global baru-baru ini, Malaysia tidak boleh mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan dengan pendapatan ini sahaja. Inilah sebabnya mengapa kita mengumumkan pembaharuan sistem cukai, dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

d) Pengenalan GST dapat membantu kita membina ekonomi yang lebih kukuh, lebih mampan dan telus: ia akan membantu mengurangkan defisit kita, membantu kita melabur untuk masa depan kita dan membantu memacu pembangunan negara kita.

e) Malangnya, daripada mencari untuk memahami rasional ekonomi dan faedah jangka panjang kepada rakyat, beberapa ahli politik telah menyerang pelaksanaan GST, menggambarkan ia sebagai langkah luar biasa dan tidak perlu bagi sebuah negara sebesar Malaysia.

f) Walau bagaimanapun, GST bukan satu fenomena baru. Lebih daripada 160 negara telah pun melaksanakan ini dan di ASEAN, kejiranan kita, kita adalah negara ke-8 untuk memperkenalkannya. Kadar 6% Malaysia sebenarnya adalah salah satu yang paling rendah di dunia. Sebaliknya; Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Indonesia semua mempunyai kadar GST sebanyak 10%.

g) Walaupun begitu, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah peniaga, besar dan kecil, yang tidak bertanggungjawab, cuba untuk mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST bagi menaikkan harga melebihi kadar 6%. Ini sangat tidak boleh diterima.

h) Saya telah mengarahkan jabatan-jabatan berkaitan untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan bahawa sebarang kenaikan yang diperkenalkan oleh pekedai dan pemilik perniagaan adalah selaras dengan kadar GST 6%, dan penyalah gunaan sistem serta tindakan yang membebankan pengguna dihentikan segera.


15. Dakwaan Tun Mahathir

a) Saya sedia menerima sebarang kritikan dengan hati yang terbuka dan akan meneliti segala kebimbangan dan maklum balas secara berterusan.

b) Kita mesti juga sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripada kita dan telah banyak berjasa kepada Malaysia. Walau bagaimanapun, saya yakin ramai yang percaya bahawa sudah tiba masanya mereka membenarkan generasi yang selepas mereka mentadbir negara, termasuk berusaha sendiri mengatasi masalah dan cabaran yag dihadapi.

c) Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Saya telah dipilih oleh UMNO, dan oleh rakyat negara ini untuk memimpin mereka. Dengan itu, saya mempunyai mandat mereka dan saya bertanggungjawab kepada parti dan rakyat, bukan kepada mana-mana individu. Pada pilihan raya dan pemilihan parti yang akan datang, tentu saja parti dan rakyat boleh sekali lagi menggunakan hak demokratik mereka melalui peti undi.

d) Apa lagi jika banyak di antara kritikan Tun adalah tidak adil dan memesongkan:

i. Beliau menentang pelaksanaan GST, walaupun semua pakar ekonomi yang berwibawa percaya tindakan meluaskan asas cukai kita adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Pendapatan yang diperolehi akan digunakan untuk kebajikan rakyat. Malah, idea ini diilhamkan semasa pentadbiran beliau.

ii. Tun mengulangi perkataan pembangkang yang berniat jahat mengenai isteri dan keluarga saya. Sebagai contoh, dalam satu ucapan baru-baru ini di Ipoh, beliau memetik satu kenyataan palsu yang dijaja oleh pembangkang melalui artikel Utusan yang telah direka. Beliau juga mengulangi fitnah yang dimulakan pembangkang semasa pilihan raya umum yang lepas kononnya isteri saya memiliki cincin berharga RM24 juta. Ini adalah satu pembohongan dan syarikat yang memiliki cincin ini telah menjelaskan secara terperinci bahawa cincin seperti itu tidak pernah dibeli oleh Rosmah. Amat dikesali apabila seseorang dengan kedudukan yang tinggi seperti Tun telah memanjangkan fitnah kepada rakyat.

iii. Beliau juga mengulangi kata-kata pembangkang apabila membangkitkan mengenai penggantian jet kerajaan, dengan mendakwa bahawa Yang Di-Pertuan Agong tidak menggunakan jet tersebut dan menggelar saya pembohong. Sekali lagi dakwaan ini adalah palsu - Seri Paduka Baginda sebenarnya penumpang VIP pertama yang menggunakan pesawat yang baru diterima ini untuk lawatan ke Langkawi, dan baginda akan terus berbuat demikian.

iv. Tun juga telah memperalatkan cabaran kewangan yang dihadapi oleh 1MDB sebagai sebab untuk menyerang saya. Memang benar bahawa 1MDB menghadapi cabaran, tetapi tidaklah sehingga ke peringkat yang didakwa. Malah, beberapa tuduhan yang telah dibuat ini tidak berasas, misalnya dakwaan Tun bahawa saya bertanggungjawab ke atas kerugian sebanyak RM42 bilion dalam imbangan kira-kira 1MDB. Jelas, ini adalah perbuatan sengaja memutar belitkan fakta kerana 1MDB tidak kerugian sebanyak itu. Itu adalah nilai hutangnya; hutang yang jauh lebih rendah berbanding nilai aset syarikat sebanyak RM51 bilion, yang telah diaudit dan disahkan oleh Deloitte. Kebanyakan syarikat-syarikat besar di seluruh dunia mempunyai nilai hutang yang tinggi, dan tidak ada apa-apa yang luar biasa mengenainya. Beliau juga mendakwa bahawa saya tidak menjawab isu-isu 1MDB, sedangkan saya telah melakukan lebih daripada itu dan telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit 1MDB. Keputusannya nanti akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira yang tidak berpihak. Ini bagi memastikan prosesnya telus, dan semua soalan mengenai syarikat dapat dijawab secara bebas oleh badan-badan yang sah dari segi undang-undang dan bukannya daripada sumber yang bermotifkan politik.

v. Tun sering mendakwa bahawa dia melakukan sesuatu berdasarkan apa yang diberitahu orang kepada beliau apabila mereka berjumpa dengan beliau. Bagaimanapun, beliau perlu menyiasat sama ada khabar angin dan dakwaan tersebut mempunyai bukti dan kebenaran sebelum bercakap mengenainya. Beliau juga tahu bahawa banyak dakwaan yang dibuat mengenai perkara yang berlaku di bawah pentadbiran beliau. Dan selalunya Tun bertanya: "Di manakah buktinya?" Beliau sepatutnya menggunakan cara yang sama terhadap perkara yang beliau dengar.

vi. Walaupun banyak yang telah dicapai dalam tempoh enam tahun pertama pentadbiran saya, semua kemajuan yang dicapai oleh negara dan BN tidak diambil peduli kerana lebih memihak kepada dakwaan yang tidak berasas dan pembohongan yang dimulakan oleh pembangkang. Banyak yang Tun katakan tidak objektif dan salah. Soalan yang wajar ditanya - apakah motivasi Tun memilih masa ini untuk meluahkan fitnah yang dihasilkan oleh pembangkang beliau gelar sebagai pembohong dahulu?

vii. Sepanjang 22 tahun berkuasa, Tun sentiasa berkeras agar anggota parti menyokong kepimpinan, terutama pada masa yang mencabar. Kami telah melakukan peranan tersebut, dan saya menyokongnya ketika senang dan ketika susah. Saya berbuat demikian kerana saya percaya, pada ketika itu, sama seperti yang saya percaya pada hari ini, bahawa perpaduan parti adalah pra-syarat kepada apa sahaja yang ingin kita lakukan untuk negara ini. Sebahagian besar daripada ahli-ahli UMNO masih berpegang kepada hakikat bahawa kesetiaan sebenar bermakna bekerja bersama-sama bagi membina parti demi kebaikan rakyat. Adalah salah bagi Tun dan mana-mana anggota parti yang bertindak melemahkan kepimpinan parti hari ini semata-mata kerana kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi. Kepentingan rakyat dan parti jauh lebih penting daripada mana-mana individu.

viii. Saya telah dipilih secara demokratik oleh parti dan rakyat, dan, memandangkan saya mempunyai mandat itu, saya akan menyempurnakan penggal saya sebagai Presiden dan Perdana Menteri. Keutamaan saya adalah untuk memastikan kita mencapai Wawasan 2020 dan transformasi ekonomi, kerajaan dan politik yang pastinya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.


1 comment:

anakmusang said...

berbaloi ke admin belitkan antara nilai asset dgn persoalan duit hilang???

persoalan duit hilang muncul drpd annual report 1mdb sendiri.

pinjam 42 billion, bila ditolak segala perbelanjaan pengurusan, beli tanah, beli power plant, beli etc.. dlm annual report, sepatutnya ada banyak lagi baki dalam bank. inilah yg dipersoalkan kemana hilangnya baki hutang 1mdb tu. bukannya sikit, antara 14 - 20 billion hilang, 1mdb & najib pulak gagal jawab kemana hilangnya duit2 tu.

yg asset kononnya 51 billion tu akibat beli tanah pada harga murah tak masuk akal drpd kerajaan, sedangkan harga pasaran tanah tu amat tinggi. nilai asset tak menjawab kemana hilangnya baki berpuluh billion duit 1mdb yg sepatutnya ada dlm akaun bank.

aku pengundi bn drpd 4 pru yg lepas. demi Allah, kalau najib gagal jawab & gagal bertanggungjawab atas kehilangan berpuluh billion duit negara, next pru no more umno/bn. sekeliling aku, penyokong2 umno yg aku kenal skang ni semua tgh panas hati dgn najib.

jawab dengan membodohkan orang ramai seolah-olah orang ramai tak boleh berfikir waras.

kpd blogger2 yg paham isu tp belitkan utk cover najib, jawablah korang depan Allah nanti!

Popular Posts